Hamzah Zainudin porak perandakan demokrasi Malaysia?


Riduan Samsudin

Setiausaha Agung Bersatu Hamzah Zainudin mungkin akan diingat sejarah sebagai tokoh yang memporak-perandakan demokrasi Malaysia.

Peranan beliau agak besar dalam 6 bulan pergolakan politik negara. Bermula sebagai antara watak yang didakwa terlibat mengumpulkan Akuan Berkanun (SD) ahli politik Bersatu untuk khianat kepada kerajaan Pakatan Harapan (PH) sehinggalah percubaannya meruntuhkan kerajaan Warisan di Sabah. Namanya disebut-sebut sebagai dalang.

Cuma ketika Langkah Sheraton, Hamzah dituduh oleh penyokong Anwar bertindak atas arahan Tun Mahathir untuk memastikan kerajaan tumbang dan Anwar tidak menjadi perdana menteri (PM). Namun selepas itu, watak ini bertindak pelik apabila kem Anwar mendakwa Hamzah menemui Pengerusi PH itu dan berunding bagi memberi sokongan kepada Anwar mengangkatnya sebagai PM.

Alasannya, Hamzah dan beberapa ahli parlimen Bersatu kecewa terhadap Umno yang tidak mahu memberi laluan kepada ‘katak-katak’ bekas Umno terus bertanding di kerusi parlimen asal. Hamzah dan kawan-kawan khuatir Umno akan beri mereka kerusi yang tidak boleh menang, sedangkan kerusi yang disandang ditandingi orang lain.

Bagaimanapun Hamzah gagal menyempurnakan rancangan membentuk kerajaan baharu antara Bersatu dan PH.

Musa kaitkan Hamzah

Namun Hamzah dikaitkan sekali lagi dalam rampasan kuasa lewat kenyataan media Musa Aman. Musa menamakan Hamzah sebagai pemimpin utama kerajaan Perikatan Nasional yang menyokong usaha menumbangkan Shafie.

Malangnya kali ini nama Hamzah digandingkan dengan dakwaan puluhan juta ringgit wang rasuah  ditabur untuk membeli ADUN-ADUN Sabah. Malah terdapat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung langkah membeli sokongan itu. Maka rekod Hamzah menjadi lebih tercalar dalam gerak kerjanya menterbalikkan demokrasi dan mandat rakyat Malaysia. Cuma kali ini Hamzah didakwa menjadi agen Muhyiddin pula, bukan lagi Tun Mahathir.

Gagal Sabah, PN hancur

Mujurlah usaha di Sabah gagal. Malah sejarah akan mengingati Sabah satu-satunya negeri yang berani mengatakan ‘tidak’ kepada arahan Persekutuan untuk membentuk kerajaan baharu. Dewan Undangan Negeri segera dibubarkan bagi mendapatkan mandat. Sekiranya strategi Shafie berjaya dan Warisan menang, perasaan anti-Semenanjung dan tekad mahu membalas pembulian Semenanjung akan melanda Sarawak yang dijangka menyukarkan GPS bertahan dalam Pilihan Raya Negeri pada 2021.

Sekiranya hal itu terjadi maka Hamzah akan dicatat sejarah sebagai ahli politik ‘terjun gaung’ tersalah langkah membantu cubaan rampasan kuasa yang akhirnya menyebabkan GPS hilang negeri atau mungkin menyeberang lebih awal menyokong PH mengambil alih Putrajaya.

Apa pun dalam kemelut politik terbaharu, rakyat Sabah dianggap paling berprinsip. Yang Dipertua Negeri pula akan dikenang sebagai hero yang tidak tunduk kepada ugutan Persekutuan membuli negeri-negeri yang berlainan haluan politik. Kehebatan muslihat PN akhirnya dipatahkan di Sabah. Setelah ketua-ketua negeri di Semenanjung  akur kepada arahan Putrajaya menukar kerajaan.

Kejutan di Sabah boleh disamakan dengan kegagalan serangan Nazi Jerman ke atas Rusia pada 1941. Kekalahan Jerman di Rusia menyebabkan seluruh ketenteraan Nazi runtuh dan penyudahnya Jerman sendiri kalah dalam Perang Dunia Kedua. Sejarah akan berulang dan kerajaan PN hanya menunggu masa untuk mengisi nama dalam daftar kekalahan.

No comments: