Ditembak Gas Pemedih Mata, Dibelasah Ramai-ramai Oleh Polis


PETALING JAYA, 17 MEI : Dua lagi peserta BERSIH 3.0 tampil mendakwa mereka menjadi mangsa keganasan polis semasa himpunan gergasi itu di Kuala Lumpur pada April 28 lalu.
Babak-babak ngeri yang mereka alami itu dimuatkan di dalam dua laporan polis yang dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling pagi tadi.
Pang Choy Wan, 27, berkata beliau ditembak dengan gas pemedih mata pada jarak kira-kira 10 meter di Jalan Yap Ah Loy selepas bersurai daripada perhimpunan itu.
“Tembakan pertama terkena di peha kiri dan tembakan yang kedua tevrkena belakang badan saya,” kata Pang semasa ditemui.
Tembakan itu katanya, meninggalkan kesan lebam kebiru-biruan di pehanya.
Ketika insiden itu beliau bersama beberapa orang wanita dan warga emas.
Seorang lagi mangsa, Abdul Razib Abu, 45, mendakwa beliau di belasah sekumpulan anggota polis lengkap beruniform di hadapan IPD Dang Wangi pada hari kejadian.
Dakwanya, dia diserbu kira-kira lapan hingga 10 orang anggota polis ketika sedang menunggang motosikal sewaktu pulang ke rumah selepas perhimpunan tersebut.
“Saya tidak diberikan arahan untuk memberhentikan motor dan mereka terus menyerbu dan memukul saya dari arah belakang badan,” katanya sambil menambah seorang anggota berpangkat Sarjan cuba menarik baju BERSIH yang dipakainya.
Beliau juga merayu untuk tidak dipukul dan mendakwa begnya diselongkar lalu dicampak ketepi jalan.
Abdul Razib berkata insiden tersebut berlaku selama 15 minit dan beliau diarahkan untuk beredar selepas itu.
Turut mengiri Pang dan Abdul Razib di IPD tersebut adalah Ahli Jawatankuasa Pemandu Bersih, Maria Chin Abdullah dan peguam dari Lawyers for Liberty (LFL), Fadiah Nadwa Fikri.
Maria Chin mengesa Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (SUHAKAM) supaya menyiasat siapa yang memberi arahan kepada pihak polis untuk menggunakan kekerasan dan keganasan walaupun peserta BERSIH 3.0 bersurai.
“Peserta himpunan ini tiada jalan untuk bersurai kerana semua jalan ditutup oleh pihak polis, macam mana mereka hendak bersurai?” soalnya.
Fadiah Nadwa menyatakan beliau telah menerima 70 laporan daripada peserta BERSIH yang mendakwa dikasari polis.
Laporan-laporan tersebut akan difailkan kepada SUHAKAM untuk menuntut satu siasatan bebas demi membela nasib mereka.

Penganalis Politik : Pilihanraya Berasingan Beri Kelebihan Kerajaan Selangor


SHAH ALAM, 17 MEI: Kerajaan Pakatan Rakyat Selangor akan memperolehi kelebihan sekiranya ia mengadakan pilihanraya bagi peringkat negeri secara berasingan daripada pilihanraya parlimen peringkat pusat.
Penganalisis politik Merdeka Center, Ibrahim Sufian berkata terdapat tiga faktor utama yang akan memberi kelebihan kepada Kerajaan Selangor sekirannya ini berlaku.
“Memang beri kelebihan kepada Kerajaan PR Selangor kerana terdapat beberapa kontroversi berhubung daftar pemilih dan perjalanan pilihan raya.
“Jadi sekiranya pilihan raya negeri tak dijalankan selari dengan peringkat parlimen, kelemahan-kelemahan ini akan timbul semasa pilihan raya umum berlangsung.
“Ia akan beri kesempatan kepada kerajaan negeri untuk mengenalpasti kelemahan perjalanan pilihan raya dan ada ruang untuk diperbaiki,” kata Ibrahim.
Menurut Ibrahim lagi, pilihan raya berasingan akan membolehkan pemimpin di peringkat negeri membantu rakan mereka di peringkat pusat.
“Walaupun pilihan raya negeri akan menyebabkan pemimpin Umno-BN lain bertumpu di Selangor, tetapi situasinya seimbang kerana pemimpin Pakatan dari negeri lain turut turun melakukan perkara yang sama.
Ketiga, kata Ibrahim, kerajaan negeri dapat meneruskan program seperti biasa walaupun kakitangan kerajaan pusat terlibat dengan pilihanraya.
“Di Selangor, dasar dan program kerajaan negeri masih dapat diteruskan seperti biasa.
“Menyalurkan peruntukan di Selangor oleh kerajaan negeri pun tak boleh dituduh sebagai pancing undi sebab mereka sedang menyalurkan pelbagai peruntukan daripada belanjawan 2012, geran Selangorku dan lain-lain,” ujar Ibrahim lagi.
Semalam, Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata beliau hanya akan membubarkan Dewan Selangor selepas daftar pemilih dibersihkan daripada pemilih yang statusnya meragukan.
Mengikut anggaran Abdul Khalid, usaha menjejaki pemilih di Selangor menerusi program “Selangorku Bersih” hanya akan selesai pada akhir bulan Julai.
Abdul Khalid juga berkata, Kerajaan Selangor mahu memastikan bahawa dana di dalam belanjawan negeri 2012 dan Geran Selangorku habis diagihkan sebelum pilihanraya negeri diadakan.

Pilihanraya Selangor Hanya Selepas Daftar Pemilih Dibersihkan


SHAH ALAM: Kerajaan negeri hanya akan membubarkan Dewan Negeri Selangor (DNS) selepas daftar pengundi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dibersihkan dari unsur-unsur yang meragukan.
Dianggarkan, proses semak semula daftar pemilih melalui program ‘Selangorku Bersih’ hanya akan selesai pada pertengahan Julai, kata Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.
Ini bermaksud, masih ada kemungkinan pilihan raya bagi kerusi DNS tidak akan diadakan serentak dengan pilihanraya bagi kerusi parlimen.
Spekulasi bahawa pilihan raya umum (PRU) bagi parlimen akan diadakan pada bulan Jun ini.
Selain itu, pilihanraya selepas pertengahan tahun ini akan memberikan peluang kepada Kerajaan Selangor untuk mengagihkan wang di dalam bajet 2012 dan Geran Selangorku.
“Lebih 400 ribu pengundi baru dan yang seratus ribu itu adalah pengundi yang dipindahkan kawasan dan projek ini dalam perlaksanaan.
“Kita rasa kita hanya dapat selesaikan pada pertengahan bulan Julai dan  barulah kita buat keputusan samada kita berjumpa semula SPR tentang kesahihan daftar pengundi itu.
“Saya rasa dengan sebab-sebab ini, kalaulah pilihan raya diumumkan berlaku dalam bulan Jun sudah tentulah saya akan memberikan cadangan kepada DYMM Sultan Selangor supaya Kerajaan Negeri Selangor tidak terlibat dalam pilihan raya yang diumumkan dan kita akan adakan pilihan raya yang berasingan,” kata Abdul Khalid kepada Selangor Kini.
Kempen ‘Selangorku Bersih’ yang dilancarkan bulan lepas akan menggunakan tenaga kerja Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) bagi menyemak nama di dalam daftar pengundi.
Usaha ini bagi menentukan pengundi sahih dan membersihkan daftar pemilih daripada pengundi yang meragukan.
Kajian yang dilakukan oleh penganalisis politik dan aktivis Pakatan Rakyat (PR) sebelum ini mengenal pasti antara 40,000 hingga 300,000 pemilih yang statusnya diragui.
Antaranya termasuk pemilih yang berumur lebih dari 100 tahun dan mereka yang kad pengenalannya menunjukkan tempat lahir luar dari Malaysia.
Ada juga pemilih yang didaftar sebagai pengundi pos tetapi tidak layak untuk klasifikasi tersebut.
“Kita juga meminta ketua-ketua masyarakat mengenal pasti mereka sebab biasanya dalam penentuan tempat-tempat mengundi adalah orang yang tinggal di tempat-tempat tersebut yang diberikan kemudahan mengundi di tempat tersebut.
“Kita memang berharap rakyat Selangor diberi peluang untuk mengundi dan kita juga mahukan demokrasi ini berasaskan keadaan bertanding yang adil atau pun ‘level playing field’ supaya semua dapat kesempatan membuat pilihan yang baik,” Abdul Khalid berkata.
Selain itu Abdul Khalid berkata, kurang daripada 40 peratus daripada dana belanjawan untuk tahun ini telah diagihkan untuk projek dan program di seluruh Selangor.
“Jadi oleh sebab itu kita memerlukan masa lagi untuk melaksanakan perancangan atau penggunaan dalam belanjawan Kerajaan Negeri Selangor,” katanya.

Media Baru sebagai ruang awam

Fenomena BERSIH 2.0 dan 3.0
 
15 tahun selepas melangkah masuk ke abad ke-21 ala Malaysia, kita sekali lagi menyaksikan betapa signifikannya peranan teknologi maklumat dan media baharu sebelum, semasa dan selepas perhimpunan BERSIH 2.0 pada 9 Julai 2011 dan BERSIH 3.0 pada 28 April 2012.  Kemuncak gelombang kedua fenomena media baharu begitu terserlah berikutan fenomena BERSIH 2.0 dan 3.0 yang menyaksikan kelahiran generasi baru yang hebat yang diberikan gelaran Generasi BERSIH.
 
Kehebatan Generasi BERSIH bukan sahaja kelihatan dalam dunia siber di mana sebahagian besar Facebook diselubungi gelombang kuning.  Yang paling menguja semangat kekitaan dalam kalangan rakyat Malaysia ialah keberanian yang ditonjolkan oleh para demonstran BERSIH 2.0 dalam dunia nyata biarpun BERSIH diisytiharkan oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN) sebagai pertubuhan haram, polis melakukan "penangkapan bersifat penangkalan" (preemptive arrest) ala McCarthyisme, dan suasana tertekan atau "keganasan putih" (white terror) ditonjolkan oleh akhbar arus perdana dan media elektronik menjelang hari perhimpunan BERSIH 2.0.
 
McCarthyisme merujuk kepada taktik era perang dingin yang dipelopori Senator Amerika Syarikat Joseph McCarthy dari parti Republikan sekitar tahun 1950-an di mana tuduhan melampau seperti subversif dilontarkan terhadap sasaran tertentu khususnya sasaran politik tanpa bukti yang menyakinkan.  Kedua-dua tahanan tanpa bicara dan penangkapan bersifat penangkalan menonjolkan ciri-ciri selaras dengan fahaman McCarthyisme.
 
Apabila menelusuri dialektikal struktur penindasan rejim pemerintah dan kebangkitan sebahagian besar rakyat, keberanian dan keseronokan yang ditonjolkan oleh Generasi BERSIH biarpun terpaksa berdepan dengan Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) yang dilengkapi gas pemedih mata dan meriam air, rejim pemerintah yang memain-
mainkan "politik ketakutan" (politics of fear), serta sekatan jalan yang dilakukan oleh pihak polis, adalah suatu fenomena perubahan sosio-politik yang mempunyai makna mendalam.
 
Gerakan BERSIH 2.0 dan 3.0 bukan sahaja menyaksikan puluhan ribu dan seterusnya ratusan ribu rakyat jelata khususnya Generasi Facebook dengan latar belakang yang pelbagai membanjiri beberapa lokasi sekitar ibu kota negara, kota-kota lain di Malaysia dan puluhan lokasi kota-kota besar di luar negara, bahkan selepas perhimpunan BERSIH 2.0, dunia siber diselubungi suasana "tak kenal BERSIH 2.0 maka dikira ketinggalan zaman".  Daripada murid sekolah hingga golongan profesional, ikon BERSIH 2.0 seperti Auntie Annie atau makcik Annie Ooi yang berusia 65 tahun dan sasterawan negara A. Samad Said yang berusia 76 tahun menjadi topik perbualan hangat.  Banyak halaman Facebook masih diselaputi gelombang kuning beberapa minggu selepas perhimpunan BERSIH 2.0 dan 3.0.
 
Media Baharu sebagai Ruang Awam
 
Tanggal 7 Julai 2011, dua hari sebelum Generasi Facebook menggegarkan rejim pemerintah yang mendakwa gerakan BERSIH 2.0 bakal mengambil bentuk demonstrasi ala-Mesir yang mampu menggulingkan rejim represif, majalah antarabangsa berpengaruh The Economist dalam siri laporan khasnya telah mengupas perubahan landskap media dan kedinamikan ruang awam (public sphere) berikutan populariti dan perkembangan media baharu.
 
Dalam artikel The Economist berjudul "Masa depan berita: Kembali kepada kafe" (The future of news: Back to the coffee house), perenggan pertamanya menyebut: "THREE hundred years ago news travelled by word of mouth or letter, and circulated in taverns and coffee houses in the form of pamphlets, newsletters and broadsides."
 
Terjemahannya berbunyi, Tiga ratus tahun dahulu, berita dikhabarkan melalui perbualan atau persuratan, dan diedarkan di warung dan kafe dalam bentuk risalah, surat berita dan selebaran.
 
Apa yang cuba dilakarkan oleh The Economist dalam laporannya adalah, Internet kini membawa dunia kehidupan dan pemberitaan kembali kepada suatu budaya siber bersifat perbualan sebelum kemunculan era media massa khususnya surat khabar. Kalau sebelum itu orang ramai bertukar-tukar berita di warung dan kafe, kini orang ramai bertukar-tukar berita melalui jaringan media sosial khususnya Facebook dan Twitter.
 
Tekanan diberikan kepada sifat kafe yang sesuai untuk perbualan secara bebas. Apabila diteliti sejarah Eropah, kafe yang muncul bagai cendawan tumbuh selepas hujan sekitar tahun 1650-an menyediakan suasana yang sesuai untuk mengikuti perkembangan terkini komuniti peniaga, ahli politik mahupun cendekiawan awam dengan harga secawan kopi.
 
Contohnya di Perancis, meskipun kafe terkenal sebagai tempat himpunan para pengkritik kerajaan dan tempat pewujudan gelombang subterranean atau bawah tanah, namun pemerintah Perancis tidak menekan aktiviti kafe dan menganggapnya sebagai tempat untuk menjejaki pandangan umum.
 
Sesungguhnya, lakaran dunia siber oleh The Economist yang menggunakan perbandingan corak kafe di Eropah adalah sejajar dengan konsep ruang awam yang dicetuskan oleh ahli falsafah Jerman Jürgen Habermas dalam karyanya berjudul "Transformasi Struktural Ruang Awam: Sebuah Kajian tentang Kategori Masyarakat Borjuis" (The Structural Transformation of the Public Sphere: An Inquiry into a Category of Bourgeois Society).  Konsep tersebut merujuk kepada kemunculan ruang awam kelas borjuis sekitar abad ke-17 sehingga ke-18 di mana orang ramai berbicara secara bebas mengenai hal ehwal semasa di kafe dan salon.
 
Sebagai lanjutan kepada dunia kehidupan era Internet, konsep ruang awam kini dipanjangkan supaya merangkumi dunia siber di mana warga siber berbicara secara bebas mengenai hal ehwal semasa di Facebook dan Twitter.  Berlandaskan dunia kehidupan yang memberdayakan rakyat jelata dan bukan sekadar masyarakat borjuis, ruang awam dunia siber memaparkan ciri-ciri partisipasi, kepelbagaian, partisan dan kebebasan.
 
Kelangsungan Hayat Portal Berita Atas Talian
 
Kekompleksan institusi media di Malaysia dapat difahami dengan lebih menyeluruh sekiranya analisis dibuat berasaskan kerangka ekonomi-politik yang lebih luas. Apabila pendekatan ekonomi-politik diambil, tiga sifat asas harus difahami iaitu struktur, sistem dan sejarah institusi media. Setiap maklumat dikatakan berkait rapat dengan struktur institusi media.  Struktur institusi media pula diintegrasi ke dalam suatu struktur ekonomi, politik, budaya dan sosial yang lebih luas yang berteraskan sistem kapitalisme dan rejim kawalan.
 
Apabila ditinjau dari perspektif makro seperti pendekatan ekonomi-politik, wacana kebebasan kewartawanan tidak bertapak atas kekosongan, sebaliknya berdepan dengan soal realiti.  Ekonomi-politik bagi komunikasi massa bermula dengan melihat media massa sebagai suatu industri dan organisasi kemersial yang terlibat dalam pengeluaran dan pengagihan komoditi.  Menyentuh dimensi komersial yang sememangnya mengutamakan keuntungan, konteks ekonomi pada arena global dan lokal haruslah diambil kira dan perubahan pada media massa haruslah dianalisa dengan mengambil kira perubahan konteks ekonomi juga.
 
Tanggal 14 April 2000, lebih daripada tiga tahun selepas keghairahan pengumuman projek MSC dan kurang daripada enam bulan selepas gelombang pertama media baharu terasa semasa PRU Ke-10, pasaran saham antarabangsa dan serantau menyaksikan kejatuhan besar indeks saham teknologi dalam tempoh kurang daripada satu bulan, bermula dengan kejatuhan Indeks Komposit Nasdaq melebihi 40 peratus dan Indeks Dow Jones melebihi 60 peratus.  Pecahnya Gelembung Teknologi (Tech Bubble) juga membantutkan potensi pertumbuhan industri teknologi maklumat di Malaysia.
 
Dalam konteks ini, Malaysiakini yang mencatatkan pengunjung harian melebihi 100 ribu dalam tempoh sembilan bulan semenjak pelancarannya berdepan dengan cabaran penurunan nilai pengiklanan bulanan dari RM15 ribu pada tahun 2000 ke RM10 ribu pada tahun 2001, dan terpaksa mengambil langkah berani memulakan eksperimen
langganan demi kelangsungan hayatnya (survival).  Tanggal 16 Julai 2001, Malaysiakini memulakan perkhidmatan berbayar untuk seksyen baharu bergelar "Analisis Malaysia", kemudian pada tahun 2002 memulakan perkhidmatan berbayar untuk rencana (feature) dan seterusnya berita harian yang dibekalkan kepada pelanggannya.
 
Semasa pelancaran kempen Jom Baca Media Alternatif anjuran Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM) di Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur-Selangor pada 7 Ogos 2011, Ketua Pengarang Malaysiakini Fathi Aris Omar mengakui bahawa media alternatif berdepan dengan masalah kewangan, di mana ramai peniaga masih tidak yakin bahawa iklan di ruang internet mampu membawa pulangan.
 
Sesungguhnya, sebahagian besar iklan di Malaysia dikaitkan dengan badan kerajaan
atau syarikat berkaitan kerajaan (GLC) yang berkepentingan bersama parti pemerintah.
Menurut Nielsen, jumlah perbelanjaan pengiklanan (Adex) di negara kita sepanjang
tahun 2010 ialah RM9.6 bilion di mana syarikat-syarikat telekomunikasi merupakan pihak yang menyumbang nilai Adex tertinggi kepada industri pengiklanan iaitu sebanyak RM364 juta, diikuti dengan kementerian-kementerian dan agensi-agensi kerajaan yang menyumbang nilai Adex kedua tertinggi iaitu sebanyak RM324 juta.
 
Media baharu memerlukan bukan sahaja sokongan dari segi audiens, tetapi juga sumber kewangan untuk menampung kelangsungan hayatnya.  Soal ini cukup kritikal khususnya apabila wacana kebebasan kewartawanan diketengahkan.  Hari ini, konsep portal berita berbayar tidak lagi terbatas kepada Malaysiakini.  Setelah penaja MerdekaReview berhenti untuk menyuntik dana pada pertengahan Mei 2011, MerdekaReview yang dilanda krisis kelangsungan hayat terpaksa menjalin hubungan strategik dengan edisi bahasa Cina Malaysiakini untuk memulakan perkhidmatan berbayar pada 3 Oktober 2011.  Sebelum ini, kedua-dua edisi bahasa Cina Malaysiakini dan MerdekaReview dapat diakses tanpa bayaran.
 
Sebelum menarik diri, para penaja MerdekaReview telah menyuntik dana dan menyokong kelangsungan hayatnya selama hampir enam tahun.  Kini MerdekaReview terpaksa berdepan dengan logik kapitalisme. Pada peringkat awal penubuhan, Ketua Pengarang Kumpulan merangkap pengasas bersama Malaysiakini Steven Gan juga menyatakan keazaman untuk menyampaikan berita kepada seramai audiens yang mungkin dan mengharapkan sumbangan pendapatan berbentuk pengiklanan mampu menampung keperluan kewangannya, namun satu setengah tahun kemudian, Malaysiakini juga terpaksa mencari sumber pendapatan baharu dan memulakan konsep portal berita berbayar.
 
Demi memelihara kebebasan kewartawanan, dua prinsip utama dipegang kuat oleh Malaysiakini dan seterusnya MerdekaReview semasa mereka berunding dengan pelabur ialah 51 peratus daripada kuasa kawalan harus dipunyai pasukan wartawan dan staf, dan pelabur tidak boleh campur tangan dalam polisi kewartawanan atau bilik editorial.
 
Penutup
 
Negara mempunyai kuasa legitimasi dan memiliki jentera-jentera pemerintahan yang ditadbir oleh kerajaan tetapi negara mungkin disalahgunakan untuk kepentingan ekonomi dan politik oleh golongan berpengaruh politik.  Di Malaysia, terutamanya pasca 8 Mac 2008, golongan dominan yang berpengaruh politik sering memperbesarkan malahan mempermainkan isu perkauman dan agama serta menjadikan pembangunan dan program transformasi sebagai kesamaran bagi melindungi kepentingan parti politik dan individu tertentu.  Tindak-tanduk tersebut kononnya dilakukan untuk menjaga kepentingan bangsa dan negara.
 
Bagi mengimbangi wacana pemerintah yang berkecenderungan memelihara kepentingan tertentu, pengiktirafan media sebagai institusi kuasa yang dapat memainkan peranan semak dan imbang secara berimpak, dan juga dalam membina ruang awam yang aktif menghasilkan wacana-wacana yang pelbagai, wacana kebebasan kewartawanan wajar diketengahkan sejajar dengan nilai zaman taknologi maklumat.
 
Menurut Antoni Gramsci, kelas pemerintah cenderung melaksanakan hegemoninya dengan bertopengkan kuasa letigimasi negara, terutamanya semasa kerajaan (baca: parti politik) dilanda krisis besar. Cabaran kita hari ini adalah untuk mengangkat wacana media yang dapat memelihara kepentingan rakyat dan negara, bukan kepentingan parti politik yang memerintah. (Bahagian kedua, tamat)
 
Bahagian pertama: Gelombang internet sebelum BERSIH 2.0 dan 3.0
 
*Artikel ini merupakan kemaskini kepada sebahagian daripada penulisan Ooi Heng pada bulan September 2011 yang dimuatkan dalam buku baharu penerbitan SIRD berjudul “Membina Bangsa Malaysia” sebagai Bab 2 bertajuk 'Media, Teknologi Maklumat dan Cabaran Semasa'.
 
**Ooi Heng ialah Pengarah Eksekutif Kajian Politik untuk Perubahan (KPRU) dan kolumnis MerdekaReview.

Teresa Kok Mengecam Tindakan Polis Berdiam Diri Dalam Protes Anti-Ambiga


SHAH ALAM, 16 MEI : Exco Selangor Teresa Kok mengecam sikap polis yang tidak mengambil tindakan terhadap beberapa NGO yang mengadakan demonstrasi berterusan di hadapan rumah Pengerusi Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH 3.0), Datuk Ambiga Sreenevasan beberapa hari lepas.
Teresa mempersoal kenapa Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Khalid Abu Bakar membenarkan kumpulan terbabit mengadakan senaman punggung dan demonstrasi burger di hadapan rumah Ambiga.
Menurut Teresa, tindakan boleh diambil terhadap NGO tersebut di bawah Seksyen 506 dan 509 Akta Ugutan dan Gangguan Seksual kerana menganggu keharmonian kawasan perumahan dan mengugut keluarga Ambiga.
“Tindakan sedemikian ini hanya bertujuan memalukan Ambiga sekeluarga dan turut mengganggu ketenteraman kawasan rumah disekitarnya,” kata Teresa, yang memegang portfolio Pelaburan, Perindustrian dan Perdagangan.
Sebelum ini, sekumpulan peniaga burger dari Pertubuhan Ikatan Usahawan Kecil dan Sederhana Malaysia (IKHLAS) memasak burger di hadapan rumah Ambiga, seorang penganut agama Hindu, dan menggantung makanan tersebut di pintu pagar beliau.
Agama Hindu menganggap lembu sebagai haiwan yang suci.
Semalam, seramai 20 orang dari Kelab Kebajikan dan Veteran Tentera (PVTM) mengadakan senaman ‘punggung’ di hadapan kediaman Ambiga di Bukit Damansara.
Khalid mempertahankan sikap polis dengan mengatakan Akta Perhimpunan Aman 2011 (APA), membenarkan semua orang boleh berhimpun asalkan notis diberi notis kepada polis dan  tidak mengganggu ketenteraman awam.
Teresa juga mengesa Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak untuk mengambil tindakan terhadap kumpulan tersebut.
“Najib selaku Menteri Wanita, Keluarga dan Pembangunan Masyarakat juga perlu bertindak terhadap polis kerana lepas tangan dari mengambil sebarang tindakan,” katanya yang juga MP Seputeh dan Adun Kinrara.
Katanya lagi, kerajaan pusat perlu menghentikan tindakan berdiam diri terhadap kumpulan itu untuk mengelak dari tanggapan bahawa mereka disokong kerajaan pusat.

SPRM Harus Siasat Shafie Dan Zahida Atas Pemberian Wang Yang Besar


PETALING JAYA,16 MEI : Pemimpin PKR mendesak Menteri Kabinet, Datuk Seri Shafie Afdal untuk menjelaskan penggunaan wang yang jumlahnya besar yang diberikan kepada pelakon Zahida Rafik.
PKR juga menyeru Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membuat siasatan terhadap Shafie yang memegang portfolio Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah.
Ahli Majlis Pimpinan Pusat Sivarasa Rasiah berkata ini bukan persoalan tentang hal peribadi antara Shafie, yang juga Naib Persiden Umno, dan Zahida.
“Kita bangkitkan isu ini kerana ia melibatkan pembayaran wang tunai yang bukan melibatkan RM1 atau RM2.
“Tetapi melibatkan ratusan ribu Ringgit Malaysia, di mana jumlahnya amat besar dan apakah puncanya wang ini,” kata Sivarasa yang juga MP Subang, di dalam satu sidang media Ibu pejabat PKR di sini hari ini.
Dalam sidang media sama, Ketua Wanita PKR, Zuraida Kamarudin mempersoalkan bagaimana Shafie memperolehi wang itu dan tujuan beliau memberikan kepada artis tersebut.
“Kita masih menunggu jawapan daripada Shafie Afdal mengenai penjelasan tentang daripada wang yang dia dapat untuk setiap kali pertemuan.
“Kita masih tidak memperolehi apa-apa jawapan lagi daripada Shafie Afdal selepas kita mendedahkan pada bulan lepas.
“Beliau kena tampil ke hadapan dan memberikan penjelasan samada menafikan ataupun tidak,” kata Zuraida.
Dalam sidang media itu, bekas pemandu Zahida mendakwa bahawa beliau pernah menemani aktres itu untuk membawa duit berjumlah RM 1 juta yang didakwa diberikan oleh Shafie.
Noor Azman Azemi, yang bekerja selama tiga tahun untuk Zahida,
mendakwa wang tersebut merupakan jumlah tertinggi yang pernah dibawa untuk dimasukkan dalam akaun milik Zahida pada tahun lalu.
Beliau mendakwa menteri itu menemui pelakon itu seminggu sekali di hotel-hotel sekitar Kuala Lumpur.
“Yang paling rendah sebanyak RM100,000, manakala RM200,000 itu biasa.
“Saya pernah sekali saya tak tahu dalam beg ada RM 1juta. Itu nilai paling tinggi,” katanya sambil mengesahkan ia dibawa masuk ke dalam bank dalam bentuk tunai.
Noor Azman menjadi perhatian selepas membuat laporan polis pada 13 Mac selepas Zahida menuduh beliau melarikan diri dengan wang sebanyak RM 200,000.
Selepas laporan Noor Azman, Zuraida mendedahkan di dalam kenyataan media bahawa transaksi wang itu berlaku antara Oktober 2011 hingga Januari 2012.
Pada Oktober, sebanyak dua transaksi dibuat dengan jumlah RM36,000 dan RM22,000. Manakala pada November 2011 sebanyak RM112,000 dimasukkan dalam akaun.
Disember sebanyak RM330,000 dan Januari tahun ini sebanyak RM510,000 telah dimasukkan ke dalam akaun peribadi artis terbabit.
Polis menahan Noor Azman selama tiga hari daripada 13 – 16 Mac untuk siasatan berhubung laporan polis yang dibuat oleh Zahida.
Laporan polis itu didedahkan oleh Zuraida pada 18 April lepas. Zahida dan Shafie bagaimanapun menafikan dakwaan itu. Zahida pula telah mengambil tindakan undang-undang terhadap Zuraida.
Turut hadir dalam sidang media itu ahli keluarga Noor Azman, Tengku Intan Tengku Abdul Hamid yang dikenali sebagai “Dayangku Intan” (ibu saudara), Rosman Yahil (bapa saudara) dan peguamnya, Lateefa Koya.
Tengku Intan, yang juga seorang artis terkenal era 80-an, mendakwa keluarganya mengalami gangguan daripada individu yang tidak dikenali menunggu depan rumah beliau sejak Noor Azman dibebaskan.
“Rumah kami diganggu kerana alamat kad pengenalan Noor Azman adalah alamat rumah saya.
“Saya tidak kenal individu yang buat gangguan itu, tapi sedar di antara jam 2.00 – 4.00 pagi mereka ada depan rumah. Tak tahu polis atau siapa,” kata Tengku Intan.
Menurut Tengku Intan, mereka sekeluarga tampil untuk membersihkan nama dan maruah mereka kerana ia juga membabitkan maruah pihak kerabat DiRaja Kedah.

Bekas pemandu pernah bawa RM1 juta untuk artis








PETALING JAYA: Bekas pemandu seorang artis popular, Noor Azman Azemi (gambar dua dari kanan) memberitahu beliau pernah diarah membawa wang tunai berjumlah RM1 juta untuk diberikan kepada artis tersebut.

Beliau juga mendakwa setiap kali pertemuan antara artis itu dengan seorang menteri, artis itu akan diberikan paling sedikit RM100 ribu.

Menurutnya lagi, beliau tampil mengadakan sidang media hari ini kerana mahu membersihkan namanya yang dituduh melarikan RM200 ribu wang artis itu yang juga bekas majikannya.

Beliau mengadakan sidang media itu di Ibu Pejabat Parti Keadilan Rakyat (PKR) petang ini dengan ditemani peguamnya Latheefa Koya dan Ketua Wanita PKR, Zuraida Kamaruddin.

Noor Azman juga turut memberitahu rumahnya sering diganggu oleh beberapa individu yang tidak dikenali hampir setiap malam selepas pendedahannya itu.

Turut menerima gangguan itu adalah makciknya Tengku Intan Tengku Abd Hamid yang lebih dekenali sebagai Dayangku Intan.

Noor Azman menjadi perhatian selepas membuat laporan polis pada 13 Mac sebagai reaksi atas dakwaan beliau melarikan diri dengan wang pelakon Zahida Rafik sebanyak RM200,000.

Laporan polis itu turut mengaitkan pemberian wang itu dengan Menteri Pembangunan Luar Bandar Datuk Seri Shafie Apdal.

Laporan polis itu didedahkan oleh Zuraida pada 18 April.

Zahida dan Shafie bagaimanapun menafikan dakwaan itu dan akan mengambil tindakan undang-undang.

Sementara itu, Zuraida menegaskan PKR tidak berminat langsung dengan soal peribadi antara Shafie dengan Zahida tetapi apa yang perlu dijelaskan oleh Shafie dari manakah beliau memperolehi wang tunai untuk diberi kepada artis tersebut.

Sebelum ini, Zuraida dan Noor Azman telah menerima surat saman yang dikemukakan oleh Zahida melalui Shafee & Co.

Turut hadir pada sidang media tersebut adalah Dayangku Intan dan suaminya, Rosman Yahil serta Ahli Parlimen Subang, R Sivarasa.

BERSIH : Polis Diminta Keluarkan Senarai Nama 120 Individu Dijejaki


KUALA LUMPUR, 16 MEI: Polis diminta mengeluarkan senarai nama kepada pihak media sekiranya mereka benar-benar ingin menjejaki peserta yang didakwa mencetuskan keganasan pada hari perhimpunan Bersih 3.0 yang lalu.
Ahli Jawatankuasa Pemandu Bersih, Maria Chin Abdullah berkata, perkara ini perlu bagi mengelakkan kesilapan tangkapan meskipun ada beberapa perserta yang menyerah diri setelah melihat gambar yang dipaparkan oleh polis.
“Apa yang penting adalah kalau ada 100 orang yang diburu oleh polis senarai mesti dikeluarkan. Kalau saya tidak tahu saya ada dalam senarai bagaimana saya ingin menyerahkan diri kepada pihak polis,” katanya.
Maria Chin berkata awal minggu ini, seorang individu bernama Mohd Safuan Mamat @ Nordin, 25 telah menyerahkan diri kepada pihak polis di Balai Polis Dang Wangi bagi membantu siasatan berhubung himpunan BERSIH 3.0 pada 28 April lalu.
Mohd Safuan mendakwa dia dipukul oleh seorang aggota berpakaian biasa ketika dibawa ke lokap dan dipaksa untuk mengaku merosakkan kereta peronda polis.
Apabila beliau tidak mengaku bersalah terhadap tuduhan itu Mohd Safuan mendakwa dia telah dipukul menggunakan batang paip hitam di bahagian badan dan ditendang.
Setelah dia dimasukkan ke dalam lokap, beliau mendakwa tahanan lain di dalam bilik tersebut menampar beliau sebanyak empat kali namun pihak polis tidak mengambil apa-apa tindakan.
Beliau dihadapkan ke mahkamah dengan pertuduhan di bawah Seksyen 440 dan 174 Kanun Keseksaan di Mahkamah Sesyen  Jenayah (5), Jalan Duta Kuala Lumpur pada 15 Mei lalu.
Maria turut memaklumkan, setakat ini pihaknya sedang mengumpul segala maklumat berhubung mangsa kekasaran polis pada perhimpunan berkenaan dan akan berbincang bersama pihak guaman bagi menentukan tindakan seterusnya.

Rafizi : Hanya 20% Pengurusan Tertinggi Felda Sokong Penyenaraian FGHV


PETALING JAYA,16 MEI : Hanya 20 peratus dari pengurusan tertinggi Felda yang benar-benar menyokong proses penyenaraian Felda Global Ventures Holdings (FGVH) di Bursa Saham Malaysia ,dedah Rafizi Ramli.
Beliau yang juga Pengarah Strategi PKR berkata, lebih separuh dari pengurusan Felda atau 55 peratus tidak bersedia untuk melalui proses penyenaraian itu.
“Pendedahan ini mengesahkan bahawa proses penyenaraian yang cuba dilakukan kerajaan BN mendapat tentangan hebat dari kalangan pimpinan tertinggi Felda sendiri.
“Ini memberi gambaran bahawa mereka yang lebih arif dan mengikuti proses dalaman sepanjang keputusan menyenaraikan Felda berpandangan penyenaraian ini lebih membawa keburukan daripada kebaikan kepada Felda dan peneroka,” jelas Rafizi dalam sidang media di Pejabat PKR di sini hari ini.
Tambah Rafizi, tentangan pengurusan tertinggi Felda ini akan menyulitkan proses penyenaraian dan membawa risiko bahawa ia akan gagal kerana tidak mendapat kerjasama kakitangan Felda.
“Adalah menjadi tanggungjawab Datuk Seri Najib Razak dan Tan Sri Isa Abdul Samad untuk memberikan penjelasan kenapa pandangan dan tentangan pengurusan tertinggi Felda ini tidak diambil kira dan penyenaraian Felda diteruskan jua.
“Mereka juga perlu memberi jaminan bahawa pengurusan Felda sedia ada tidak diketepikan dan muka-muka baru yang lebih akur dengan kehendak BN akan dilantik mengisi sebahagian besar jawatan baru di dalam Felda,” tegas Rafizi.
Beliau juga mendedahkan kira-kira 65 peratus dari pengurusan tertinggi Felda percaya proses penyenaraian ini akan gagal kerana Felda masih belum bersedia.
Kesimpulan itu dibuat oleh Boston Consulting Group (BCG) setelah menemuramah dan mengadakan kaji selidik melibatkan 30 orang pengurusan tertinggi Felda dalam bulan Oktober tahun lalu.
Pada 18 Oktober 2011 , pengurusan FGVH mengadakan Mesyuarat Jawatankuasa Penyenaraian FGV yang ketiga dipengerusikan oleh Isa.
Antara lainnya, mesyuarat tersebut membincangkan kesediaan pengurusan Felda dan pandangan mereka mengenai penyenaraian FGV dan penstrukturan korporat yang akan berlaku berikutan penyenaraian tersebut.

PKR : Asas FGVH Lemah, IPO Didorong Politik Bukan Ekonomi


PETALING JAYA,16 MEI : PKR menggesa Felda dan Kerajaan Pusat untuk mendedahkan secara terperinci mengenai yuran-yuran yang bakal diterima oleh pihak bank dan penasihat, hasil daripada penyenaraian Felda Global Ventures Holdings (FGVH) di Bursa Saham Malaysia.
Pengerusi Biro Pelaburan Dan Perdagangan PKR, Wong Chen dalam sidang media di ibupejabat parti itu berkata, ‘Initial Public Offering’ (IPO) FGVH ini didorong oleh politik dan bukannya berdasarkan kekukuhan kewangan FGVH.

“Kami merujuk kepada laporan dari Wall Street Journal mengenai IPO FGVH, di mana kebimbangan dibangkitkan mengenai keuntungan FGVH kerana profil pokok kelapa sawit yang tersangat teruk,” kata Wong.
Wong menjelaskan sesebuah syarikat akan mencuba IPO di bursa apabila ia berada dalam kedudukan yang kukuh dan mempunyai prospek yang sangat cemerlang.
Menurut beliau, bisnes FGVH bukanlah berada didalam kedudukan yang kukuh dan masa hadapan untuk pertumbuhan yang tinggi adalah sangat terhad malahan Prospektus IPO mendedahkan bahawa kedudukan sebenar FGVH di dalam pengurusan perladangan adalah lemah.

“Pada asasnya, profil umur pokok sawit FGVH mendedahkan bahawa lembaga pengarah Felda tidak memberi tumpuan sewajarnya kepada pengurusan penanaman pokok.
“Sangat mengejutkan adalah 53 peratus daripada pokok-pokok sudah tua, 31 peratus muda dan tidak matang dan hanya 16 peratus pokok sawit pada tahap matang perdana.
“Bayangkan sebuah syarikat yang berprestasi hanya pada tahap 16 peratus daripada potensi sebenarnya membuat percubaan IPO,” jelas beliau.

Tambah Wong, sebagai perbandingan am, sebuah ladang yang sihat diurus dengan baik akan mempunyai profil pokok berusia tujuh peratus pokok tua, dan 15 peratus muda dan belum matang dan 78 peratus matang perdana.
FGVH perlu menanam balik dan menunggu selama sekurang-kurangnya 10 tahun sebelum majoriti pokok pokok sawitnya menjadi matang perdana.
“Jadi jika anda membeli saham FGVH pada hari ini, kemungkinan besar anda perlu menunggu sekurang-kurangnya 10 tahun sebelum FGVH pulih ke tahap pengurusan perladangan yang baik,” ujar beliau.
Justeru, Felda dan kerajaan perlu menjawab persoalan apakah tujuan utama mereka membuat penyenaraian itu yang mungkin mempunyai kepentingan politik.

“Adakah dorongan utama bertujuan untuk memperkayakan bank, dan penasihat, pengarah-pengarah Felda dan juga untuk menyediakan pembayaran durian runtuh kepada peneroka untuk membeli sokongan politik di dalam pilihanraya yang akan datang.
“IPO FGVH adalah satu IPO yang sebesar RM10.2 bilion, ianya yang kedua di dunia tahun ini dan pihak bank dan penasihat kepada IPO ini akan untung yuran berpuluh-puluh juta ringgit,” katanya.

Gelombang internet sebelum BERSIH 2.0 dan 3.0

Pengenalan
 
Dalam dunia kewartawanan, berita sering digambarkan sebagai naskhah kasar pertama sejarah.  Media merupakan wahana komunikasi yang menyalurkan sesuatu berita, justeru media juga mentakrifkan catatan asal sesuatu peristiwa sejarah.  Namun, proses kewartawanan yang kompleks dan dipengaruhi pelbagai faktor khususnya kuasa politik sering mengubah catatan asal sehingga berita yang dipaparkan dalam media terpesong daripada kebenaran.
 
Media wujud dalam pelbagai wahana.  Di Malaysia, media cetak dan penyiaran sering dianggap sebagai media tradisional.  Apabila kawalan media yang ketat dikenakan terhadap media tradisional, liputan berita atau siaran sesuatu peristiwa penting lebih merupakan "konstruk kompleks" mengikut acuan rejim kawalan, maka gambaran tertentu dipaparkan, persepsi tertentu ditonjolkan.  Dimensi kebenaran yang tertentu menjadi pilihan, dimensi kebenaran yang lain tersisip dalam kekaburan, kalau bukan kepalsuan.
 
Kini dengan perkembangan pesat teknologi maklumat dan komunikasi (ICT), media baharu sedang mencorakkan persekitaran sosio-politik semasa dalam negara dengan begitu rancak.  Kawalan terhadap media tradisional masih berterusan, tetapi rejim kawalan yang bersifat monolitik sedang berhadapan dengan cabaran besar media baharu yang bersifat interaktif dan bergerak pantas berentap dengan media tradisional dalam proses representasi sesuatu peristiwa.
 
Semenjak kewujudan media baharu termasuk portal berita atas talian seperti Malaysiakini, MerdekaReview dan The Malaysian Insider serta media sosial seperti blog dan mikroblog, ketegangan antara rejim pemerintah dengan media baharu dan juga antara media tradisional dengan media baharu tidak pernah reda.  Semasa perhimpunan BERSIH 2007, apabila media tradisional melaporkan angka empat ribu, media baharu melaporkan angka puluhan ribu.  Seterusnya semasa perhimpunan BERSIH 2.0 dan 3.0, warga siber mendapat manfaat dari segi perbandingan maklumat ekoran kewujudan media baharu lantas memikirkan tentang kesahihan berita berkaitan.
 
Lahirnya media baharu menjadikan perspektif bahawa "kebenaran menjadi pilihan" begitu menonjol sekali.  Maka perbandingan dapat dilakukan dan representasi media baharu khususnya portal berita atas talian dapat mencabar representasi media tradisional dengan kredibiliti yang setanding jika tidak lebih tinggi kredibilitinya.
 
Kredibiliti representasi sesuatu peristiwa tidak lagi dimonopoli oleh media tradisional, malahan kredibiliti media tradisional semakin terhakis. Contoh klasik ialah Utusan Malaysia yang mengalami kemerosotan sebanyak 31.12 peratus dari segi jumlah edarannya semenjak zaman Reformasi. (sila lihat Jadual 1 Bab 2 buku Membina Bangsa Malaysia penerbitan SIRD). Dalam hal ini, Kesatuan Kebangsaan Wartawan Malaysia (NUJ) berpendapat bahawa "kejatuhan edaran akhbar Utusan Malaysia disumbangkan atas beberapa faktor dan kebanyakannya disebabkan polisi yang ditetapkan oleh Ketua Pengarang dan Pengarang-pengarang Kanan", antara lain termasuk "laporan berat sebelah" dan "tidak memberi peluang kepada orang yang dituduh untuk menjawab dan disiarkan di dalam akhbar Utusan Malaysia".
 
Empat tahun selepas BERSIH 2007, gerakan BERSIH 2.0 menyaksikan fenomena kemunculan Generasi Facebook ekoran populariti jaringan media sosial dalam kalangan warga siber serta suasana politik yang dinamik dan memberangsangkan pasca 8 Mac 2008.  20 tahun selepas Tim-Berners Lee mengumumkan ciptaannya yakni jaringan seantero dunia yang juga dikenali dengan nama singkatan WWW (World Wide Web), kesan media sosial terhadap politik kebangsaan terserlah apabila Generasi Facebook mengemparkan bumi Malaysia dengan tuntutan
pembaharuan sistem pilihan raya dalam negara.  Semasa kemuncak gerakan BERSIH 2.0, sebahagian besar halaman Facebook diselubungi kekuningan apabila ramai pengguna Facebook memasang lencana BERSIH 2.0 pada gambar profil masing-masing. Begitu juga semasa BERSIH 3.0.
 
Jaminan tiada penapisan Internet
 
Apabila diimbas kembali perkembangan dalam negara kita, mungkin lebih sesuai jikalau tahun 1996 dan bukannya tahun 2000 diambil kira sebagai permulaan abad ke-21 Malaysia.  Tanggal 1 Ogos 1996, Perdana Menteri (PM) ke-4, Dr.Mahathir Mohamad yang kini bergelar Tun Mahathir telah mengumumkan projek mega Koridor Raya Multimedia (MSC) semasa merasmikan Persidangan Multimedia Asia.
 
Ekoran itu, Mahathir mengumumkan suatu Rang Jaminan MSC Malaysia (MSC Malaysia Bill of Guarantees) yang mengandungi sepuluh jaminan kerajaan untuk menggalakkan pertumbuhan syarikat-syarikat berstatus MSC dan industri teknologi maklumat di Malaysia.  Antara jaminan penting yang menyediakan kerangka tatakelola dan mewujudkan persekitaran untuk perkembangan industri teknologi maklumat dan media ialah:
• Rang Jaminan ke-6: Menjadi pendahulu serantau dalam perlindungan hakmilik
intelektual dan undang-undang siber.
• Rang Jaminan ke-7: Tiada penapisan Internet.
• Rang Jaminan ke-8: Menyediakan tarif komunikasi yang kompetitif pada peringkat global.
 
Apa yang menarik ialah, atas andaian bahawa pembangunan MSC dapat mentransformasi masyarakat dan "melonjatkan" (leapfrog) pembangunan negara untuk mencapai tahap pembangunan sepenuhnya, sejajar dengan tesis masyarakat maklumat dan Wawasan 2020, paradigma pembangunan yang acap kali melegitimasikan tindakan rejim kawalan kini menjanjikan keterbukaan dari segi penapisan Internet.
 
Seterusnya, jaminan tiada penapisan Internet diketengahkan oleh masyarakat madani sebagai syarat penting pewujudan persekitaran kondusif untuk pengoperasian portal berita atas talian tanpa sekatan politik dalam dunia siber.  Perlu ditekankan di sini bahawa jaminan tiada penapisan Internet hanya diutarakan oleh Mahathir semasa beliau berucap di hadapan para pelabur Amerika Syarikat pada 14 Januari 1997, lima bulan selepas pengumuman MSC.  Seterusnya, Fasal 3 (3) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 mengisytiharkan bahawa "tiada apa-apa jua dalam Akta ini boleh ditafsirkan sebagai membenarkan penapisan Internet."
 
Jaminan tersebut dapat dilihat sebagai satu-satunya legasi penting Mahathir yang menyumbang secara tidak langsung dan "secara tidak diingini" (unintended) kepada ruang demokrasi dunia siber selepas tercetusnya gerakan massa bergelar Reformasi dua tahun selepas pelancaran MSC.
 
Setahun selepas pelancaran MSC, Malaysia mengalami krisis kewangan Asia 1997/98 yang bermula dari negara Thailand dan juga melanda negara-negara serantau termasuk Indonesia, Filipina, Korea Selatan dan Hong Kong.  Industri ICT berorientasikan MSC yang diagung-agungkan kelihatan lebih signifikan dari segi pembinaan projek mega seperti Lebuhraya Putrajaya-Cyberjaya, Putrajaya dan Cyberjaya yang kerja pembinaannya bermula sekitar pertengahan tahun 1990-an.
 
Dalam sebuah kajian ilmiah berkenaan pembangunan MSC, Tim Bunnell menyifatkan projek MSC sebagai suatu usaha penswastaan untuk mengecualikan rakyat terbanyak, sejajar dengan wacana dominan Mahathirisme yang cenderung mengaitkan slogan "Malaysia Boleh" dengan kehebatan pembangunan berorientasikan projek mega.
 
Faktor dorongan perkembangan ICT
 
Sementara pembangunan MSC kelihatan lemah tatkala krisis kewangan 1997/98, gelombang menuntut perubahan bergelar Reformasi memukul kuat politik tanah air lantas mendorong rakyat marhaen menerokai kemungkinan penyebaran maklumat tanpa sekatan menggunakan teknologi Internet.  Justeru, gerakan Reformasi banyak mendorong perkembangan ICT apabila potensi ruang siber dikenalpasti sebagai manifestasi baharu politik partisipasi supaya mobilisasi rakyat terbanyak dapat dicapai sepanjang zaman Reformasi.
 
Pelancaran laman sesawang zaman Reformasi yang pertama - Anwar Online - pada 1 September 1998, disusuli dengan pemecatan mantan Timbalan Perdana Menteri merangkap mantan Menteri Kewangan Anwar Ibrahim keesokan hari, serta perisytiharaan Deklarasi Permatang Pauh olehnya di kampung halaman beliau, Cherok Tok Kun, Permatang Pauh pada 12 September 1998, bukan sahaja menandakan permulaan gelombang gerakan Reformasi 1998, tetapi juga menandakan permulaan masyarakat siber ketika Malaysia melangkah masuk ke abad ke-21 dan mengejar impian masyarakat berpengetahuan.
 
Selepas itu, fenomena media baharu mulai menyerlah selari dengan arus perkembangan industri teknologi maklumat peringkat global dan gerakan Reformasi 1998 yang menyaksikan kelahiran sebuah parti baharu bersifat massa - Parti Keadilan Nasional - yang berjaya memenangi lima kerusi Parlimen di Pulau Pinang, Kelantan dan Terengganu serta empat kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di Selangor, Pahang, Pulau Pinang dan Perak melalui gabungan parti oposisi Barisan Alternatif yang memberikan cabaran kuat kepada Barisan Nasional (BN).  Komponen parti oposisi tatkala itu termasuk Parti Islam Se-Malaysia (PAS), Parti Tindakan Demokratik (DAP) dan Parti Rakyat Malaysia (PRM).
 
Gelombang pertama fenomena media baharu berkisar sekitar kemunculan laman sesawang pro-Reformasi atau pro-Anwar bagaikan cendawan tumbuh selepas hujan, bersama-sama dengan penerbitan cakera padat (CD), video cakera padat (VCD), penerbitan berkala dan tidak berkala lidah rasmi parti oposisi dan masyarakat madani, serta pelancaran Malaysiakini selari dengan hari penamaan calon Pilihan Raya Umum Ke-10 (PRU Ke-10) pada 20 November 1999.
 
Jika sekiranya gerakan Reformasi 1998 dan PRU Ke-10 pada tahun 1999 dianggap sebagai petanda gelombang pertama fenomena media baharu, gerakan massa sekitar tahun 2007 khususnya gerakan BERSIH dan PRU Ke-12 pada tahun 2008 dapat dilihat sebagai permulaan gelombang kedua fenomena media baharu berikutan populariti media sosial seperti blog, Facebook dan YouTube. (Bahagian pertama, bersambung)
 
Bahagian kedua: Media Baru sebagai ruang awam
 
*Artikel ini merupakan kemaskini kepada sebahagian daripada penulisan Ooi Heng
pada bulan September 2011 yang dimuatkan dalam buku baharu penerbitan SIRD
berjudul "Membina Bangsa Malaysia" sebagai Bab 2 bertajuk "Media, Teknologi
Maklumat dan Cabaran Semasa".
 
**Ooi Heng ialah Pengarah Eksekutif Kajian Politik untuk Perubahan (KPRU) dan kolumnis MerdekaReview.

Orang Afrika: Antara stereotaip dengan realiti


Terdapat pelbagai teori media yang mengatakan bahawa saluran media mempunyai kuasa untuk mempengaruhi pendapat awam, terutamanya kuasa untuk mengeruhkan lagi sentimen perkauman terhadap pekerja dan penuntut asing yang sudah lama berakar umbi di minda dan jiwa rakyat kebanyakan. Sentimen perkauman terhadap lelaki Afrika di Malaysia didapati lebih parah daripada wanita. Tanggapan buruk ini banyak disumbang melalui stereotaip lelaki Afrika sebagai kaki lawan dan penjenayah yang memporak-perandakan keamanan dan budaya kita. Stereotaip ini muncul di kaca televisyen, di internet, dan di muka akhbar. Seringkali orang berkulit hitam disamakan dengan orang Afrika seolah-seolah Afrika itu satu negara yang monolitik, tanpa kepelbagaian budaya, bahasa, dan rupa. Realitinya, ramai yang meneruskan pelajaran atau datang mencari rezeki di Malaysia datang daripada latar belakang sosial, kelas, agama, bahasa, dan keadaan geopolitik yang berbeza.
 
Kini, kita sering mendengar di wahana media tentang "kebanjiran" pekerja dan penuntut Afrika pada tahap yang membimbangkan di seluruh pelusuk Malaysia, dari Kota Kinabalu hingga ke Alor Setar. Kita menggarapi migrasi sebagai satu masalah "baru" yang melanda negara, yang menyerupai gejala jenayah, hakisan budaya tempatan, dan meningkatkan satu iklim yang menakutkan dan penuh bahaya. Kehadiran populasi Afrika dianggap sebagai sesuatu yang baru, seolah-olah tidak wujudnya sejarah migrasi dan penempatan orang-orang dari benua Afrika.
 
"Gelombang" pertama pergerakan orang Afrika (atau "Negrito") ke Asia bermula lebih kurang 100,000 tahun dahulu, dan kemudiannya berkembang di Pakistan selatan, dan kepulauan Polynesian dan Melanisia. Golongan ini berpecah kepada etnik Khyeng di Pakistan, Jawawa di Teluk Benggala, dan Agta di Filipina. Sejak 1970-an, kedatangan warga asing ke tanahair dimangkinkan oleh situasi ekonomi dan globalisasi. Tahap penghijrahan yang meninggi jelas menunjukkan kemakmuran ekonomi Malaysia dan gawatnya ekonomi negara-negara penghantar para penghijrah. Malangnya, tahap kesedaran sosial tidak setimpal dan jauh kebelakang; lain kata, kemakmuran dan pembangunan tidak pernah menjamin perikemanusiaan dan keadilan.
 
Pada 31 Mac, seorang pelajar IPTS berusia 35 tahun yang bernama Onochie Martins Nwankwo telah dipukul sehingga mati di Hulu Langat di tangan lima anggota RELA. Onochie dipercayai mencabul seorang pencuci wanita di tempat tinggalnya. Wanita tersebut melapor bahawa beliau melarikan diri daripada Onochie dan meminta tolong kepada kumpulan suspek-suspek yang kemudiannya bertindak dengan membelasah Onochie. Di sebuah negara yang mempunyai sistem perundangan yang dicipta untuk menjamin keamanan dan menghukum pesalah dengan saksama, anggota RELA tidak berhak untuk menjatuhkan "hukuman" mereka ke atas mendiang Onochie. Motif di sebalik pembunuhan beliau berbaur perkauman terhadap orang-orang berkulit hitam.
 
Disebabkan layanan kelas kedua yang terpaksa dipikul oleh warga Afrika amnya, kesahihan kes cabul yang dibayar oleh Onochie dengan nyawanya mungkin tidak dipersoalkan lagi, seperti kesahihan kes-kes jenayah lain yang melibatkan warga Afrika yang lain. Tragedi seperti beberapa penuntut IPTS dari negara Botswana pernah dilaporkan membunuh diri disebabkan tekanan yang dicetus oleh perkauman dan layanan buruk warga Malaysia. Ekoran kejadian tersebut, kematian seorang warganegara Nigeria bulan lalu di tangan pengganas RELA, yang kemudiannya mencetus pertunjukan perasaan oleh kumpulan sewarganegara di Ulu Langat kini menunjukkan betapa parahnya keadaan perkauman yang mengganas dan berdarah di Malaysia dewasa ini.
 
Terdapat beberapa faktor yang menjadikan Malaysia sebagai destinasi tarikan ramai penuntut Afrika. Pertama sekali, kerana kos pembiayaan untuk pendidikan tertiari adalah lebih rendah daripada di Eropah, Amerika Syarikat, atau di Australia. Kemudahan dan kualiti pendidikan juga dianggap setanding dengan IPT di negara-negara tersebut. Sesetengah IPT memperuntukkan RM25,000 bagi penuntut pasca-siswazah antarabangsa. Kedua, ramai penuntut yang beragama Islam dari benua Afrika yakin bahawa gaya hidup di negara yang majoriti Islam seperti Malaysia
membantu memelihara akidah mereka. Ketiga, visa untuk belajar di Malaysia lebih muda diperolehi berbanding negara-negara barat yang kini mengetatkan polisi imigresen negeri masing-masing. Dan keempat, ramai akan mengambil peluang untuk meninggalkan negara masing-masing untuk kehidupan di luar negara kerana nilai prestij mereka akan meraih daripada pengalaman merantau dan gaji yang dijangka lebih lumayan di sini. Faktor-faktor diatas begitu logikal, tetapi mampukah
kesemuanya menangkis prejudis terhadap warga asing Afrika yang menular?
 
Terdapat lebih kurang 22,000 penuntut di IPT dari benua Afrika; yang terjebak dalam gejala jenayah dan sosial adalah sangat minima mengikut Menteri Pengajian Tinggi Mohamed Khaled Nordin - terdapat hanya 66 kes dilaporkan membabitkan orang Afrika lewat tahun lepas. Menurut Abiodun Musa Aibinu, wakil Diaspora Nigeria dan Profesor Madya kejuruteraan mekatronik di Universiti Islam Malaysia (UIA) pula, hanya 5% daripada 5,000 warga Nigeria yang berada di Malaysia terlibat dalam pengedaran dadah dan penipuan ("black money"). Hakikatnya wujud hierarki manusia di mana layanan yang diberikan kepada mereka di lapisan bawah pekerja,
penuntut IPT asing, dan golongan pelarian secara automatis jauh lebih teruk. Tetapi kesemua warganegara Afrika yang berkulit hitam digolongkan sebagai "pariah" di mata rakyat Malaysia: walaupun sebagai seorang pensyarah, Abiodoun juga sering menjadi mangsa penghinaan orang-orang tempatan.
 
Sebagai rakyat Malaysia, kita merayakan imej negara kita yang berbilang kaum - itulah satu-satunya "keistimewaan" yang diwarisi daripada sejarah kolonial kita. Tetapi sayangnya, kepelbagaian bangsa dan budaya yang dibanggakan hanya dikhaskan untuk mereka yang berwarganegara Malaysia, walaupun mereka yang bukan banyak menyumbang kepada pembangunan dan melancarkan kehidupan seharian kita. Kepelbagaian bangsa dan budaya Malaysia senantiasa berubah dan kita seharusnya menerima bahawa migrasi adalah hakikat masakini di era globalisasi dan geopolitik dan ekonomi dunia ketiga yang tidak pernah lelah goyah.
 
*Alicia Izharuddin adalah pelajar Doktor Falsafah dalam kajian Islam, gender, dan media.

Misteri Kad Pengenalan Merah Di Malaysia

Selepas 54 tahun kita sudah merdeka, terdapat ramai rakyat Malaysia yang masih memiliki kad pengenalan merah.  Sebahagian besar atau hampir kesemua yang memiliki kad pengenalan merah ini adalah dari kalangan kaum India.  Saya tidak pernah mendengar masalah kad pengenalan merah dari kalangan kaum Melayu.  Jarang sekali kita bertemu dengan  orang-orang Cina yang masih memegang kad pengenalan merah.  Walaupun ada juga segelintir orang- orang Cina yang masih memegang kad pengenalan merah  tetapi jumlah itu tidak signifikan. Tetapi, masalah kad pengenalan merah dari kalangan masyarakat India adalah satu masalah yang serius dan perlu diberi perhatian yang khusus.  Siapakah yang perlu dipersalahkan dalam hal ini kalau bukan kerajaan yang tidak prihatin terhadap kebajikan orang-orang India?
 
Lebih 54 tahun masyarakat India telah dianak tirikan di negara ini.  Masalah kad pengenalan merah tidak pernah menjadi fokus kerajaan Barisan Nasional.  Mereka tidak mempedulikan masyarakat India yang berbakti dan  berjasa dalam pembangunan dan kemajuan negara ini.  Masyarakat India pernah menjadi pengundi setia kepada Barisan Nasional sehingga PRU 11. Tetapi, kerajaaan Barisan Nasional pula tidak mengenang budi  kaum India.  Terdapat banyak kes dimana walaupun permohonan kad pengenalan biru  dibuat berulang kali tetapi ditolak oleh kerajaan dengan pelbagai alasan.
 
Apabila masalah ini telah meruncing ada pihak-pihak yang tidak bermaruah dari kalangan Barisan Nasional muncul  untuk membantu mangsa diskriminasi kerajaan Barisan Nasional itu sendiri.  Puak-puak ini harus berasa malu kerana kecuaian dan kegagalan mereka inilah yang menyebabkan masyarakat India masih mundur di negara kita.
 
Macam-macam program seperti Mydaftar dan sebagainya dilaksanakan untuk menutup kesilapan mereka selama ini. Tetapi, apakah hasilnya?  Berapa ribukah  orang India yang memohon itu  sudah berjaya  mendapat kad pengenalan biru?  Benarkah program Mydaftar yang dianjurkan oleh kerajaan telah berjaya menghapuskan masalah kad pengenalan merah di negara kita?
 
Sedih melihat orang-orang yang mendapat kad pengenalan biru kebanyakkannya adalah warga emas.  Mereka telah hilang usia muda yang produktif dengan memegang kad pengenalan merah.  Mereka hidup di negara ini sebagai pendatang walaupun mereka lahir di sini.  Mereka tidak dapat kerja yang baik, tidak ada caruman KWSP dan Socso.  Mereka tidak boleh memiliki harta.  Mereka hilang hak untuk mendapat rawatan percuma di hospital.  Mereka juga tidak pernah dibantu oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat.
 
"Selepas habis segala-galanya, baru mahu bagi kad pengenalan merah kepada mereka.  Ada juga puak-puak tertentu yang berbangga dengan pencapaian mereka itu.  Mereka seharusnya berasa malu dengan isu kad pengenalan merah ini, bukannya berasa bangga. Inilah golongan yang tidak mempunyai maruah dan harga diri yang sanggup menggadai bangsa sendiri untuk wang, pingat dan jawatan politik.”
 
Saya akan mendedahkan kes-kes kad pengenalan merah yang masih tidak diselesaikan oleh kerajaan Barisan Nasional satu per satu.
 
* Gambar menunjukkan seorang warga emas di Taman Permai, Bemban Batu Gajah yang lahir di Malaysia, ibu bapanya juga lahir di Malaysia, suaminya orang Malaysia, anak-anaknya juga dilahirkan di Malaysia.  Tetapi beliau masih memegang kad pengenalan merah. Beliau sudah putus asa untuk memohon kad pengenalan biru. Bukankah ini satu kekejaman kerajaan Barisan Nasional yang menganiyaya rakyatnya sendiri?
 
* Kenyataan media oleh V.Sivakumar, Timbalan Pengerusi  DAP Perak, ADUN Kawasan Tronoh.

Maria Chin: Jangan Layan 120 Orang Peserta BERSIH Macam Penjenayah


SHAH ALAM, 15 MEI :P olis perlu menghantar surat pemberitahuan lebih awal kepada 120 orang peserta BERSIH 3.0 sebelum bertindak menahan atas dakwaan menimbulkan kekacauan semasa himpunan Bersih 3.0 pada 28 April lalu.
Beliau yang juga Ahli Jawatankuasa Pemandu BERSIH 3.0 mengesa agar polis tidak melayan kesemua peserta ini sebagai penjenayah kerana banyak kaedah lain untuk mendapatkan kerjasama daripada mereka ini.
Menurutnya, jika polis ingin meminta kerjasama peserta BERSIH 3.0, polis perlu bertindak secara professional dengan tidak hanya menggertak dan menakut-nakutkan mereka supaya hadir ke balai polis sebelum tindakan diambil.
“Jika benar polis mempunyai nama mereka, kenapa tidak menghantar surat pemberitahuan kepada mereka yang terlibat dan bukannya hanya menyiarkan gambar mereka di dada akhbar-akhbar,” katanya ketika dihubungi  hari ini.
Katanya, penangkapan 120 orang ini merupakan salah satu bentuk gangguan dan  tidak seharusnya berlaku kerana polismempunyai data yang diperlukan untuk mengetahui alamat peserta-peserta BERSIH 3.0 ini.
Sementara itu, mulai esok polis akan mencari 120 orang baki individu-individu yang disyaki terlibat mencetuskan rusuhan pada himpunan bantah terhadap keengganan Suruhanjaya Pilihanraya(SPR) menunaikan lapan tuntutan bagi membaiki sistem pilihanraya di Malaysia.
Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Khalid Abu Bakar sebelum ini dipetik berkata, polis tidak memerlukan waran tangkap untuk menahan mereka kerana terlibat dengan kesalahan lazim seperti merusuh dan polis berhak menahan sesiapa sahaja untuk siasatan.
Maria Chin juga menasihati mana-mana individu yang akan dipanggil polis tidak perlu panik dan jangan melawan polis tetapi perlu mendapatkan nama pegawai, balai polis serta nombor pegawai yang menghubunginya.
“Individu-individu terbabit akan diberi khidmat guaman atau boleh terus menghubungi pihak SUARAM atau Ahli Jawatankuasa Bersih 3.0 dan jangan menghadirkan diri ke balai polis seorang diri,” jelasnya lagi.
Nombor yang boleh dihubungi adalah 03-77723275 atau 016-9670921 bagi mendapatkan khidmat nasihat atau bantuan guaman yang telah disediakan.

BERSIH Protest in London (An Evening with Najib)


 TANGGUH LAGI PILIHANRAYA NI?....Adoiiiiiiiii Dulu kena dah bila Queen Elizebeth sambut.Ni kena lagi....



















Pemegang MyKad Merah Berhimpun 27 Mei

SHAH ALAM, 14 MEI : Berlarutan sejak sekian lama tanpa pemegang MyKad merah dari seluruh Selangor dan negara akan mengadakan satu perjumpaan di Dewan Hamzah, Klang pada 27 Mei depan.
Perjumpaan yang dianjurkan kerajaan negeri bertujuan menyelesaikan isu membelenggu masyarakat India yang tinggal di ladang-ladang yang menghadapi masalah bagi mendapatkan MyKad biru dari Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).
Exco Kesihatan, Pekerja Ladang, Kemiskinan dan Kerajaan Prihatin Selangor, Dr Xavier Jayakumar berkata, Selangor sendiri sebagai negeri maju dianggarkan terdapat beribu orang di kalangan masyarakat India yang menghadapi masalah berkenaan serta orang Cina, Melayu dan Orang Asal.
Kerajaan negeri mengambil inisiatif menganjurkan perhimpunan ini kerana Kerajaan Pusat menjelaskan akan mengambil tindakan segera bagi meenyelesaikannya sekiranya segala maklumat diberikan.
“Menteri Dalam Negeri atau kerajaan BN kata kalau kita boleh serahkan nama pemegang MyKad merah ini, mereka akan ambil tindakan secepat mungkin. Sebab itu kita ambil cabaran ini.
“Orang-orang ini dianggap sebagai warganegara Malaysia kerana lahir dan bekerja di negara ini tetapi akhirnya lebih dari 55 tahun, tiada sebarang bantuan diberi Kerajaan Pusat kerana mereka pemegang MyKad merah. Mereka ini juga tidak boleh mendapatkan bantuan dari kerajaan negeri melalui agenda Merakyatkan Ekonomi Selangor (MES),” katanya dalam sidang media di sini hari ini.
Turut hadir, Adun Taman Medan, Haniza Talha dan Adun Kampung Tunku, Lau Weng San.
Bagi mencari jalan penyelesaian, Dr Xavier berkata, kerajaan negeri berusaha menghimpunkan golongan itu dalam majlis itu yang akan berlangsung dari jam 10 pagi hingga 2 petang.
Katanya, kerjasama dari pelbagai pihak termasuk Adun, pertubuhan bukan kerajaan(NGO), Jawatankuasa Kemajuan Kampung (JKKK), Ketua Komuniti dan selainnya diperlukan bagi menghimpunkan kesemua mereka termasuk membantu kalangan yang uzur dan tua serta kanak-kanak yang dikesan turut tidak memiliki sijil kelahiran.
Menurutnya, mereka diminta membawa dokumen seperti MyKad merah, dokumen perkahwinan dan yang berkaitan bagi memudahkan segala bukti dikumpulkan.
“Semua data-data ini kita akan hantar kepada Menteri Dalam Negeri untuk diambil tindakan selanjutnya. Dalam majlis ini, saya harap dan jangkakan lebih 1,500 orang akan hadir. Kita juga akan menjemput pihak Jabatan Pendaftaran Negara(JPN) untuk hadir,” katanya yang mempersoalkan isu pendatang asing yang didakwa memiliki MyKad biru tetapi golongan berhak dinafikan haknya.

Muzakarah Dengan Umno: PAS Nafi Bercanggah Pendapat



SHAH ALAM 14 MEI : Pimpinan PAS hari ini menafikan dakwaan bahawa berlakunya percanggahan pendapat antara Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dengan Naib Presidennya, Datuk Mahfuz Omar berhubung isu bermuzakarah dengan Umno-BN.
Timbalan Pesuruhjaya PAS Selangor, Khalid Samad berkata secara dasarnya, PAS sanggup bermuzakarah, berbincang, berdebat dan berdialog dengan mana-mana pihak termasuk Umno-BN.
Bagaimanapun, berdasarkan pengalaman sebelum ini, Khalid yakin bahawa Umno-BN tidak akan bersetuju berhubung perkara tersebut malah tidak ikhlas dalam melakukan sesuatu perkara.
“Kita tahu Umno-BN memang tidak ikhlas walaupun mereka melakukan perkara yang salah tetapi tetap mahu mempertahankannya. Maka, Datuk Mahfuz itu bercakap berlandaskan pengalamannya dan PAS sendiri,” katanya ketika dihubungi TV Selangor.

Perkara sama turut dipersetujui Pesuruhjaya PAS Pahang, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man yang menyangkal dakwaan wujudnya percanggahan kenyataan sesama pimpinan PAS berhubung isu berkenaan.
Menurutnya, muzakarah yang dimaksudkan Presiden PAS itu adalah bagi memberi penjelasan sebenar terhadap isu-isu negatif yang dibangkitkan media arus perdana dan kerajaan Umno-BN terhadap parti itu.
“Isunya bukan muzakarah PAS bergabung dengan Umno-BN, tetapi muzakarah kepada isu yang berbangkit antaranya PAS membuat kenyataan bercanggah dengan Majlis Fatwa, tuduhan kafir terhadap Mursyidul Am PAS, Datuk Seri Nik Abdul Aziz dan beberapa isu negatif yang cuba menjatuhkan kredibiliti PAS,” ujarnya.
PAS dalam satu sidang media di Pejabat Agung Pas di Kuala Lumpur semalam mengumumkan sedia bermuzakarah dengan mana-mana pihak termasuk Umno-BN bagi menyelesaikan kekeliruan umat Islam di negara ini termasuk dakwaan mengatakan parti itu sudah terpesong dari landasan perjuangannya.
Namun, kenyataan yang dimaklumkan Abdul Hadi itu kemudiannya disanggah Mahfuz yang mencelah ‘kecuali Umno’.

Pak Samad : “Jangan Hiraukan Kenyataan Menteri Dalam Negeri”.


SHAH ALAM, 14 MEI: Kenyataan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishamuddin Hussein bahawa terdapat unsur semasa perhimpunan BERSIH 3.0 yang mahu menyebabkan kematian tidak perlu diambil perhatian.
Demikian menurut Pengerusi Bersama Gabungan Menuntut Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH 3.0) Datuk A. Samad Said ketika dihubungi TVS petang ini.
Menurut beliau kenyataan tersebut boleh dianggap sebagai andaian kerajaan pusat untuk memberikan gambaran negatif terhadap BERSIH 3.0.
“Untuk saya, itu andaian mereka. Itukan sesuatu yang kita tidak tahu hasrat orang jadi kita cuma boleh buat andaian sahajalah dan kita boleh buat tohmahan untuk menyebelahi kita.
“Saya sendiri fikir, itu tidak payah diambil berat. Benda semacam itu akan bertingkat-tingkat dan berkembang-kembang.
“Memang tak perlu dilayan, sebab mantan IGP (Ketua Polis Negara) sudah kata, mantan Perdana Menteri sudah kata, ini pula Menteri Dalam Negeri pun sudah kata dan nanti akan banyak lagilah yang akan berkata,” kata Samad yang lebih dikenali Pak Samad.
Menurut Sasterawan Negara itu lagi, pihak berkuasa sepatutnya menubuhkan sebuah jawatankuasa yang mampu menjalankan siasatan lebih adil.
“Apa yang harus berlaku adalah seperti yang disarankan mengadakan suatu pemeriksaan yang lebih rasmi, yang lebih adil barangkali untuk menubuhkan sebuah jawatankuasa yang khusus daripada membiarkan hal ini agak merayau dan berselerak,” ujar beliau.
Samad turut memberitahu jawatankuasa BERSIH 3.0 pada masa ini masih belum membincangkan samada akan mengadakan satu lagi perhimpunan BERSIH atau BERSIH 4.0.
“Itu masih dalam khayalan lagi, sebab masih jauh lagi, tetapi ada orang yang menginginkannya, itu biasalah.
“Kami akan adakan mesyuarat untuk bincangkannya nanti, saya tak dapat beritahu sekarang, nanti kalau ia berlaku saya akan maklumkan,” kata beliau.
Samad memberitahu lagi, BERSIH 3.0 bukanlah mengejar jumlah penyertaan yang besar semata-mata tetapi mahukan mesej perhimpunan dapat disampaikan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya.

PAS Tetap Dengan Pendirian Pakatan Rakyat, Buku Jingga


PETALING JAYA, 14 MEI: PAS akan terus mempertahankan resolusi yang telah disepakati DAP dan PKR meskipun terdapat percanggahan dalam beberapa perkara.
Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang menegaskan, fokus utama yang perlu diberikan perhatian adalah melaksanakan tuntutan Bersih 3.0 demi memastikan pilihanraya dapat dijalankan secara adil.
Katanya, Pas akan terus dengan pendirian untuk bersama dan menghormati dasar Pakatan manakala segala percanggahan pendapat akan diselesaikan secara dalaman dan bukannya melalui media.
“Kita akan bincang secara dalaman dan kita akan utamakan isu Bersih dahulu untuk kita memerintah. BN menyembunyikan isu Bersih,” katanya di dalam sidang media di ibupejabat PKR di sini.
Ketua Umum Pakatan Rakyat, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata Abdul Hadi dan Penasihat DAP, Lim Kit Siang tegas untuk mempertahankan Perlembagaan Persekutuan seperti yang dimaklumkan dalam Buku Jingga.
Katanya, serangan terhadap Pakatan melalui media pro Umno-BN tidak akan menggugat kesepakatan bersama yang telah dipersetujui selama ini.
Kit Siang dalam sidang media sama membacakan semula ikrar yang telah dipersetujui bersama yang dimuatkan dalam Buku Jingga.
“Semangat dan keutuhan Pakatan tidak sedikit pun terjejas dengan liputan yang dikira negatif dalam keadaan sekarang.
“Kenyataan ketiga-tiga parti untuk kekal dengan Pakatan Rakyat sekarang, semasa pilihan raya dan selepas membentuk kerajaan insyaAllah.
“Tuan Guru (Hadi Awang) berkata kita masih terikat dengan kesepakatan yang telah ditandatangani bersama.
“Yang menyatakan segala perubahan yang dibuat terikat dengan dasar kesepakatan bersama, Perlembagaan Persekutuan, Buku Jingga.  Itu cukup jelas,” Lim berkata.
Sementara itu, Anwar memaklumkan, pimpinan sedang menumpukan perhatian terhadap menyiapkan manifesto pilihanraya dan akan mengadakan beberapa siri rapat rakyat bagi menjelaskannya.

PM panggil 'haram jadah', ANAK mahu saman


 Belum pun sempat habis nak kena saman dengan mahkamah Perancis, Kini Najib nak di saman oleh parti Pas sebab memanggil nama peneroka yang tidak mahu menandatangani perjanjian untuk membeli saham FELDA.





Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (ANAK) menuntut Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak memohon maaf kerana menyifatkan golongan peneroka yang membantah penyenaraian Felda Globa Ventures Holdings sebagai "haram jadah."

Ketua penerangan PAS Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, perdana menteri tidak sepatutnya menyebut kata-kata makian bermaksud "anak luar nikah" itu ke atas rakyat negara ini.

Katanya, golongan peneroka tersebut berhak menentang penyenaraian tersebut, demi kepentingan mereka dan tindakan itu tidak patut menyebabkan mereka dipanggil sedemikian.

ANAK, yang merupakan NGO bawah PAS, akan mengambil tindakan undang-undang ke atas Najib sekiranya tidak menarik balik kenyataan itu dalam tempoh 14 hari, kata Tuan Ibrahim lagi.

Najib membuat kenyataan sedemikian pada 18 Mei lalu ketika mengumumkan bayaran RM15,000 kepada isi rumah Felda, sebagai insentif kepada penyenaraian FGVH ke Bursa Malaysia.

RM500 Untuk Tahfiz: Satu Lagi Bukti DAP Bukan Parti Anti-Islam, Melayu


SHAH ALAM, 11 MEI: Seorang wartawan bangsa Cina pernah bertanya kepada Lim Guan Eng, mengapa Kerajaan Pulau Pinang memberi RM500 kepada pelajar Maahad Tahfiz yang menghafal Al-Quran 30 Juz?
Ketua Menteri Pulau Pinang itu menjawab: “Orang Islam yang pegang kepada ajaran Islam mereka tidak akan makan rasuah.”
Malah Kerajaan Pulau Pinang yang diterajui, DAP – parti yang dimomokan sebagai anti-Melayu dan anti-Islam – memperuntukan lebih dana bagi program pembangunan Islam di negeri itu berbanding dengan pentadbiran Umno-BN yang sebelumnya.
Menurut MP Shah Alam Khalid Samad, Kerajaan Pakatan Pulau Pinang meningkatkan bajet pembangunan dan pentadbiran Islam ke RM 24 juta setahun berbanding RM 12 juta semasa di bawah Umno-BN.
“Ini bukanlah retorik atau percakapan tetapi berdasarkan amalan dan dasar-dasar yang dilaksanakan Lim Guan Eng di Pulau Pinang,” Khalid berkata di dalam wacana bertajuk ‘Melayu, Islam dan DAP’ yang diadakan diBangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah semalam.
Khalid menambah, kehadiran wakil rakyat DAP dalam majlis berbuka puasa, pemberian sumbangan kepada surau dan masjid, kehadiran dalam majlis rasmi yang diadakan di Masjid dan Surau turut membuktikan bahawa DAP bukan sebuah parti yang anti Melayu-Islam seperti yang digembar-gemburkan oleh media pro-Umno-BN.
Ini dikuatkan lagi dengan amalan pemimpin dan perwakilan parti yang menggunakan Bahasa Malaysia ketika memberikan ucapan dalam perhimpunan parti.
“Bermula 2005, 2006 semenjak Lim Guan Eng menjadi Setiausaha Agung mengambil alih barisan kepimpinan DAP, sudah banyak perubahan yang dilakukan,” kata Setiausaha Politik Setiausaha Agung DAP, Zairil Khir Johari.
“Kita telah memahatkan perlembagaan kita kepada perlembagaan Malaysia termasuklah artikel 153 antaranya bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, kedudukan raja-raja Melayu dan keistimewaan orang-orang bumiputra,” ujar Zairil, seorang panelis di dalam wacana tersebut.
Manakala panelis dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Dr Maszlee Malik pula berkata persepsi yang ditanamkan oleh Umno-BN yang DAP anti-Melayu menyembunyikan hakikat bahawa parti komponen gagasan itu yang sebenarnya mengamalkan dasar perkauman.
Contohnya, MCA sendiri merupakan sebuah parti yang hanya membuka keahliannya ekslusif kepada masyarakat berbangsa Cina, manakala Umno dan MIC turut menghadkan keahlian parti mereka kepada orang Melayu dan India.
Sedangkan DAP merupakan sebuah parti yang terbuka kepada semua rakyat Malaysia.
Hujah ini disokong oleh Ketua Eksekutif Institute for Democracy and Economic Affairs (IDEAS), Wan Saiful Wan Jan yang berpendapat DAP adalah sebuah parti yang lebih terkehadapan berbanding Umno, MCA dan MIC.
Menurutnya ketiga-tiga parti komponen utama BN itu masih lagi terperangkap dengan kepompong etnik berbanding memperjuangkan idealogi sosial demokrat yang dibawa oleh DAP.

SISMEPS KESAN PENGUUNDI HANTU



PETALING JAYA, 10 MEI : PKR hari ini memperkenalkan Sistem Menang Pilihanraya (SISMEP) bagi membantu mengesan pengundi-pengundi hantu yang terdapat di dalam senarai pemilih yang dikeluarkan Suruhanjaya Pilihanraya Malaysia (SPR).
Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali memaklumkan SISMEP mampu mengesan perbezaan senarai pengundi yang berdaftar serta kawasan mengundi sejak 2004 hingga 2011.
“SISMEP ini akan memudahkan petugas-petugas Pakatan Rakyat untuk mengesan kehadiran pengundi-pengundi hantu di kawasan mengundi,” katanya dalam satu sidang media selepas merasmikan Pusat Media PKR Selangor di sini.
Menurutnya, petugas parti hanya perlu memasukkan no kad pengenalan pengundi untuk mengesan samada pengundi tersebut benar-benar menjadi pengundi bagi kawasan tersebut.
Dengan adanya sistem ini, petugas pilihanraya boleh menghalang kehadiran pengundi-pengundi hantu yang dihantar bertujuan untuk memenangi undi sesebuah kawasan itu seperti yang berlaku sebelum ini.
Azmin juga memberitahu pihaknya tidak keberatan untuk berkongsi penggunaan SISMEP ini bersama rakan-rakan dalam Pakatan Rakyat.
Sebagai permulaan, SISMEP ini akan dilancarkan di Perak bagi menguji keberkesanannya.
Sebelum itu, dalam ucapan perasmiannya Azmin menegaskan media seharusnya bebas daripada kongkongan parti pemerintah dan meminggirkan kepentingan rakyat.
“Media sepatutnya pro-rakyat dan bukannya pro-perasuah dan pro-perompak yang mengaut keuntungan daripada rakyat,” katanya.
Selain itu, Ketua Penerangan PKR Selangor, Shuhaimi Shafiei berkata, media arus perdana perlu kembali ke jalan yang betul dengan menyiarkan fakta sebenar berkenaan sesuatu isu dan bukan hanya menjadi bahan mainan Umno-BN.
“Jangan merendahkan imej kewartawanan hanya kerana ingin mendapat keuntungan dengan fitnah yang dimainkan selama bertahun-tahun dibawah kerajaan Umno-BN,” katanya.
Majlis Hi-Tea dan Ramah Mesra Pemimpin PKR Selangor bersama Rakan Media serta Perasmian Pusat Media PKR Selangor diadakan di Pejabat PKR Selangor di Lembah Subang, Petaling Jaya.
Majlis ini dihadiri Naib Presiden PKR, Datuk Mansor Othman, Ahli Parlimen Ampang, Zuraida Kamaruddin Adun Taman Medan, Haniza Talha, Adun Batu Caves, Amirudin Shari serta barisan kepimpinan PKR Selangor.

VIDEO HARAMJADAH

Tubuh Tribunal Siasat Pengerusi SPR Langgar Perlembagaan Persekutuan

ERA NAJIB PALING KOTOR


SHAH ALAM, 11 MEI: Moral politik di era Perdana Menteri ke enam Malaysia, Datuk Seri Najib Razak dianggap sebagai yang terburuk dalam sejarah politik Malaysia.
Demikian menurut Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam ucapannya di hadapan kira-kira 2,000 penyokong Paktan Rakyat di Subang Jaya malam tadi.
“Anda beritahu saya, negara mana? Amerika Latin? Afrika? China? India? Bagi tahu ada tak negara yang ada politik kotor macam negara di bawah Najib sekarang.

“Ada tak negara di mana televisyen tiap malam, seks, seks, seks, seks, tiada lain? Najib dari segi ini, segi moral paling hina dalam sejarah negara kita,” ujarnya.
Menurut Anwar, beliau tidak akan terikut-ikut dengan budaya politik kotor yang diamalkan oleh Umno-BN di bawah Najib walaupun mengetahui rahsia peribadi Najib.
“Semasa saya memangku jawatan Perdana Menteri dan selama tiga bulan itu, semua laporan polis cawangan khas akan dilaporkan kepada saya. Saya tahu kesemuanya.
“Adakah anda mahu saya beritahu anda apa yang saya tahu? Tidak sebab politik saya tak gunakan cara politik kotor seperti Najib.
“Saya tidak akan mengikut style politik Najib yang kotor, kalau saya ikut bermakna saya juga sama seperti mereka.
“Adakah saya tak tahu cerita tentang beliau? Ya, saya tahu. Siapa beritahu saya? Cawangan Khas, laporan khas.
“Adakah mampu saya maklumkan kepada orang ramai? Tidak, sebab saya nak menang, tetapi bukan dengan cara mencaci, memfitnah, menipu, memburukkan peribadi orang dan merosakkan rumahtangga orang,” kata beliau dalam ceramah ‘Merdeka Rakyat’ itu.
Anwar juga mengutuk keras perbuatan media Umno-BN yang melemparkan pelbagai fitnah terhadap beliau sendiri, Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali dan pemimpin lain Pakatan Rakyat.
Beliau turut menganggap perbuatan samseng upahan Umno sebagai perbuatan bodoh penyokong Umno.
“Semasa saya pergi ke Johor, mereka pukul kereta saya sampai pecah. Kalau mereka pukul saya tidak akan melemahkan semangat saya, inikan pula pukul kereta, lagilah tidak akan beri kesan.
“Ada yang baling batu, menjerit, Israel, Yahudi, ini apa benda bodohnya ni?” Kata Anwar lagi.

Peneroka FELDA berhak mendapat RM50K/ keluarga, bukan RM15K



Pengumuman yang dibuat Najib Razak bahawa setiap peneroka FELDA akan mendapat ganjaran RM15,000 selepas penyenaraian FELDA membuktikan sekali lagi bahawa pentadbiran Barisan Nasional membolot kekayaan sesama mereka, sedang rakyat diberikan hampas dan imbuhan kecil sahaja.

KEADILAN telah meneliti prospektus penyenaraian Felda Global Ventures (FGV) untuk menentukan berapakah nilaian sebenar ganjaran yang sepatutnya diperolehi oleh peneroka FELDA.  Proses ini turut melibatkan perbincangan dengan penganalisa pasaran untuk menentukan prestasi FGV dan harga setiap unit saham apabila disenaraikan kelak.

Berdasarkan prospektus penyenaraian, dana yang akan dikutip oleh FELDA selepas penyenaraian berjumlah RM5.6 bilion, sementara FGV pula akan mendapat suntikan dana tambahan berjumlah RM4.557 bilion.

Ini berikutan urusniaga berikut:

1. FELDA akan menjual 59% dari pegangannya sedia ada di dalam FGV (bersamaan 1,208,890,900 saham) kepada pelabur-pelabur baru

2. FGV akan menerbitkan saham baru berjumlah 980,000,000 yang akan dijual kepada pelabur-pelabur baru

3. Harga penyenaraian setiap unit saham adalah RM4.65

4. Dana tambahan yang dikutip oleh FELDA adalah RM4.65 X 1,208,890,900 = RM5.6 bilion

5. Dana tambahan yang dikutip oleh FGV adalah RM4.65 X 980,000,000 = RM4.557 bilion

Jumlah keluarga peneroka FELDA di seluruh negara adalah 112,635 yang berhak mendapat keuntungan dari proses penyenaraian ini kerana tanah-tanah seluas 840,603 ekar yang diusahakan oleh Felda Plantatians Sdn Bhd adalah milik mereka.  Tanah ini dipajakkan kepada FGV yang memberi nilaian besar kepada penyenaraian ini.  Tanpa tanah yang diambil oleh FELDA atas nama peneroka ini, penyenaraian FGV akan gagal.

Oleh yang demikian, KEADILAN berpendapat Najib Razak harus berterus terang kepada rakyat bahawa hanya 30% (berjumlah RM15,000 setiap keluarga) dari dana yang dikutip akan diagihkan kepada peneroka.  Jumlah keseluruhan agihan ini adalah RM1.689 bilion.

Bakinya yang lebih besar (iaitu 70% dari jumlah dana yang dikutip) berjumlah RM3.942 bilion akan disimpan dan digunakan oleh pentadbiran beliau.

Maka, reaksi pertama KEADILAN kepada pengumuman beliau pada hari ini adalah:

1. Najib Razak wajib mengagihkan KESEMUA dana yang dikutip oleh FELDA kepada peneroka.  Ini bersamaan dengan RM50,000 setiap keluarga, bukannya RM15,000 yang diumumkan.  KEADILAN mencabar beliau mengumumkan agihan keseluruhan RM50,000 ini; dan

2. Pentadbiran Barisan Nasional mestilah memperincikan bagaimanakah baki RM3.942 bilion akan dibelanjakan supaya ada ketelusan dan amanah.

Ini bukanlah kali pertama Najib Razak berpura-pura mendahulukan rakyat sedangkan di belakang beliau dan suku sakat mengaut keuntungan besar dengan menggunakan nama rakyat.

*Mohd Rafizi Ramli ialah Pengarah Strategi Parti Keadilan Rakyat, dan Wong Chen ialah Pengerusi Biro Perdagangan dan Industri.