Radzi arah KSU lapor SPRM dakwaan Zaharin


 

Menteri Kanan Pendidikan Datuk Dr Radzi Jidin mengarahkan satu laporan kepada SPRM dibuat hari ini (17 Oktober 2022) susulan dakwaan blogger Zaharin Mohd Yassin.

Menteri Kanan Pendidikan Datuk Dr Radzi Jidin hari ini (17 Oktober 2022) telah mengarahkan satu laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung dakwaan yang dibuat blogger Zaharin Mohd Yassin.

Menurutnya beliau telah menerima satu hantaran video dakwaan yang dibuat bekas ahli UMNO yang dipecat itu berkaitan penyelewengan yang didakwa kononnya berlaku dalam Kementerian Pendidikan (KPM).

“Saya menerima hantaran video yang dibuat oleh Saudara Zaharin Yassin menyatakan bahawa terdapat aduan yang beliau terima tentang penyelewengan di Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

“Dakwaan itu adalah berkaitan Surat Setuju Terima (SST) untuk kontrak bekalan makanan bermasak serta kebersihan bangunan dan kawasan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Radzi berkata oleh kerana nama beliau dan Ketua Setiausaha KPM Datuk Yusran Shah Mohd Yusof juga telah disebut, maka beliau telah mengarahkan Yusran membuat laporan kepada SPRM.

“Memandangkan nama saya dan KSU KPM turut disentuh, saya telah mengarahkan Ketua Setiausaha KPM untuk membuat laporan segera kepada SPRM supaya siasatan terhadap dakwaan tersebut dilaksanakan secepat mungkin.

“Saya juga berharap Saudara Zaharin dapat menyampaikan maklumat yang diterima beliau kepada SPRM,” katanya.

Sementara itu, Zaharin dalam kiriman terbaharu di Facebooknya memuji tindakan Radzi yang pantas bertindak, sekali gus akan membersihkan nama menteri pendidikan itu.

“Dengan respond dari Menteri Pendidikan. Akan membersihkan nama beliau. Terima Kasih YB Menteri.

“Kesian saya jika beliau bertanding dalam PRU ke 15. Isu ini akan digunakan menyerang beliau. Harap Menteri lain mencontohi beliau,” tulis Zaharin.

 

No comments: