ALAAA...NUTP NI SETAKAT ADA SAJA-JANGAN HARAP LEBIH LEBIH- NAK SETTLE KES BAIK CARI PEGUAM SENDIRI.AKU INGAT NUTP NI PUN BOLEH PAKAI TAU TIDAK ENTAH LA...SEJAUH MANA PERJUANGKAN NASIB GURU.

 

Kes cikgu Fadli bersifat individu, NUTP hanya bela ahli





Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) menyifatkan kes
 membabitan guru matematik Mohd Fadli Salleh bersifat individu.
 (Gambar Facebook)

PETALING JAYA: Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) menegaskan kes yang hangat diperkatakan membabitkan tindakan tatatertib terhadap guru matematik Mohd Fadli Salleh yang lantang bersuara mengenai sistem pendidikan adalah bersifat individu.

Setiausaha kehormatnya, Fouzi Singon berkata NUTP hanya membela dan menjaga hak guru yang menjadi ahli sahaja.

“NUTP sentiasa komited untuk menjaga kebajikan guru secara keseluruhannya dengan berpandukan peraturan kesatuan jika wujud masalah dalam kalangan ahlinya.

“Tetapi jika ada kes yang bersifat individu, NUTP ada peraturan sendiri, iaitu membela dan menjaga hak guru yang menjadi ahli NUTP sahaja,” katanya ketika dihubungi.

Sabtu lalu, Fadli mendakwa akan dikenakan tindakan buang kerja atau diturunkan pangkat kerana alasan menyuarakan isu kepada pejabat pendidikan daerah (PPD) membabitkan sistem pendidikan, beg sekolah, silibus subjek, masa belajar dan bilangan murid di dalam kelas.

Menurut surat yang dimuat naik guru berkenaan, dia diberikan tempoh 21 hari untuk mengemukakan representasi kepada pengerusi Lembaga Tatatertib Perkhidmatan Pendidikan bagi membela diri.

Fouzi berkata, Kementerian Pendidikan (KPM) harus menangani isu itu dengan berhati-hati selain menegaskan peraturan yang sedia ada perlu dipatuhi kerana ini akan menjadi rujukan kepada kes seumpamanya pada masa depan.

“Justeru NUTP menyeru guru KPM menjadi ahli kesatuan bagi bersama memperjuangkan kebajikan mereka,” katanya.

Nafi kesatuan tak bersuara

Sementara itu, Presiden Ikatan Guru-guru Muslim Malaysia (iGuru), Mohd Azizee Hasan, berkata pihaknya menafikan dakwaan kesatuan kurang bersuara dalam membela isu berkenaan kerana hakikatnya banyak kesatuan telah bercakap berkaitan kebajikan guru dan turut menyentuh isu pendidikan.

“Saya tidak nampak isu kesatuan tidak bersuara. Banyak suara kesatuan seperti NUTP, Kesatuan Guru-guru Melayu Malaysia Barat (KGMMB), NGO iGuru telah bercakap berkaitan kebajikan guru dan menyentuh isu pendidikan juga. Tinggal lagi kita perlu ikut saluran betul.

“Tidak adil menyebut sedemikian rupa, kita dalam kesatuan pun ada akta yang mengikat kita, jadi kita manfaatkan dalam ruang yang dibenarkan,” katannya.

Beliau berkata, guru mempunyai hak bersuara namun perlu mengikut saluran yang betul dengan membawa pandangan mereka kepada kesatuan untuk diketengahkan di peringkat lebih tinggi.

“Masalah sebahagian guru bercakap atas kapasiti individu dan kadang-kadang tidak menjadi ahli mana-mana kesatuan, jadi bagaimana mereka dapat menyalurkan pandangan, idea mereka untuk disampaikan kepada pihak kesatuan untuk diangkat ke peringkat lebih tinggi,” katanya.

Mengulas tindakan KPM terhadap Fadli, Azizee berkata, tindakan tatatertib kepada guru melalui proses cukup teliti dengan prosedur ketat, justeru katanya KPM ada kewajarannya.

No comments: