KEDUDUKAN MUSUH ZAHID HAMIDI SEBAGAI CALON BELUM TERJAMIN, WALAU ADA YANG CUBA CIUM TANGANNYA

 

Presiden UMNO, Ahmad Zahid Hamidi memberi jaminan tiada unsur balas dendam dalam pemilihan calon bagi PRU15 akan datang ini.

Katanya, pemilihan calon kali ini adalah berdasarkan kriteria terbaik daripada kalangan yang terbaik.

“Dalam hal pemilihan calon, kita telah merundingkan dengan ‘Top 5’ UMNO.

“Kami yakin keputusan untuk memilih calon ini adalah satu keputusan penuh kebijaksanaan dan tidak ada elemen balas dendam kepada mana-mana individu,” jelasnya dalam program “Solidariti, Kestabilan dan Kemakmuran” bersama BN di Bagan Datuk semalam yang turut dihadiri Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob.

Adalah difahami, ucapan Zahid Hamidi itu merujuk kepada beberapa pemimpin UMNO yang tidak bersetuju dengannya sebelum ini, termasuk ada kalangan menteri dipecat daripada jawatan dalam parti kerana sikap demikian itu.

Ramai beranggapan, malah percaya, mereka itu bakal disingkirkan sebagai calon dalam usaha Zahid Hamidi membentuk pasukan yang setia kepadanya.

Begitu pun, sementara menyatakan tiada unsur balas dendam dalam pemilihan calon, dua hari lalu beliau turut mengumumkan bahawa BN akan menampilkan 70 peratus calon muka baru pada PRU15 ini.

Menurut beliau, muka baru yang bakal dicalonkan itu terdiri daripada individu berkaliber, memiliki kelayakan akademik, selain berkomitmen tinggi dalam membantu rakyat.

Video Player
00:00
00:13

Berdasarkan perkembangan tersebut, walaupun tiada unsur dendam disebutnya, tetapi dalam masa yang sama dinyatakan 70 peratus calon nanti adalah muka baru yang bermakna 70 peratus daripada wakil rakyat sedia ada akan digugurkan.

Hanya sekitar 30 peratus wakil rakyat sedia ada saja akan dikekalkan.

Persoalannya, siapakah golongan 70 peratus itu?

Adakah pemimpin-pemimpin UMNO yang diketahui tidak sebulu dengan Zahid Hamidi seperti Annuar Musa, Shahidan Kasim dan Tajuddin Abdul Rahman termasuk dalam kelompok 70 peratus itu?

Siapa pula golongan 30 peratus yang terus dikekalkan sebagai calon itu?

Apakah semua penyokong setia Zahid Hamidi termasuk di dalamnya?

Sejauh mana benarnya tiada unsur dendam atau alasan untuk meletakkan 70 peratus muka baru akan digunakan untuk mengenepikan mereka yang tak sebulu itu?

Apatah lagi, dalam program di Bagan Datuk semalam, salah seorang pemimpin UMNO yang diketahui tidak sebulu dengan Zahid Hamidi turut hadir dan didapati cuba mencium tangan Presiden UMNO itu selepas bersalaman dengannya.

Bagaimanapun Zahid Hamidi cepat-cepat menarik tangannya kerana enggan membenarkan ia dicium Tajuddin.

Walhal, dalam beberapa dapatan di media sosial, beliau biasanya membiarkan saja jika ada pemimpin UMNO ingin mencium tangannya.

Dalam hal ini, adakah menarik tangan daripada dicium Tajuddin itu bermakna Ahli Parlimen Pasir Salak itu bakal digugurkan sebagai calon?

Ataukah Tajuddin kena cuba di lain program untuk terus mencium tangan “sang pemberi watikah” itu?

Apa pula nasib Annuar dan Shahidantak nak cuba cium tangan Presiden UMNO juga ke? – ShahbudinHusin 18/10/2022.