DALAM TANGAN KAMI BOLEH MENANG 20 KERUSI, DAKWA PEMIMPIN KANAN GTA

 

Seorang pemimpin kanan GTA tidak setuju dan menyanggah tulisan saya di blog ini semalam yang menyebut Tun Mahathir Mohamad sudah tidak relevan lagi dalam PRU15 akan datang dan sesiapa yang bersamanya juga bakal kecundang sama.

Katanya, tulisan itu dibuat mengikut sesedap rasa saya semata-mata dan tanpa kajian teliti di peringkat akar umbi.

“Nak kata banyak sangat GTA boleh menang memanglah mustahil, tapi 20 kerusi Parlimen dalam tangan,” ujarnya penuh yakin.

Wowww…kuat tu 20 kerusi dalam tangan!!

Dengan keyakinan tersebut, ini sekaligus bermakna GTA sekarang ini lebih kuat daripada Bersatu yang diterajui oleh Tun Mahathir ketika PRU14 dan walaupun disokong oleh PKR, DAP dan Amanah tetapi hanya mampu menang 13 kerusi saja daripada 52 yang ditandinginya.

Artikel saya semalam bertajuk Tun Mahathir tidak lagi relevan, sesiapa yang bersamanya bererti menempah kekalahan boleh dibaca di sini – https://shahbudindotcom.net/2022/10/16/tun-mahathir-tidak-lagi-relevan-siapa-yang-bersamanya-bererti-menempah-kekalahan.html

Menurut pemimpin kanan GTA itu lagi, Tun Mahathir masih mempunyai pengaruh yang besar di kalangan rakyat.

“Parti yang bermusuh dan tak pandai menari mengikut rentak Tun Mahathir, akan gigit jarilah jawabnya,” tambah beliau.

Pemimpin kanan itu berkata, membawa kapak atau gergaji untuk melawan bekas Perdana Menteri itu tidak akan membawa mereka ke mana-mana.

Beliau seterusnya memberi contoh beberapa pemimpin seperti Tengku Razaleigh Hamzah, Harun Idris dan Ghazali Shafie yang “mati berangan” dalam karier politik masing-masing kerana memilih untuk bermusuh dan tidak menari mengikut rentak Tun Mahathir.

“Itulah kesilapan pemimpin-pemimpin tersebut,” jelasnya.

Sebaliknya, kata pemimpin kanan GTA itu, jika mahu bermusuh dengan Tun Mahathir, cara yang betul ialah menggunakan “cara racun serangga” yang akhirnya pokok akan mati tanpa disedari. – ShahbudinHusin 17/10/2022.



No comments: