KE MANA AKHIRNYA KETETAPAN PAU2020, APAKAH KATA NAFSU PEMIMPIN LEBIH TINGGI DARIPADA SUARA AKAR UMBI?

 

Perkara terbesar yang menjadi pertaruhan, malah mungkin dijadikan korban berikutan keputusan mesyuarat MT UMNO memberi mandat kepada Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob untuk berunding dengan parti-parti dalam kerajaan bagi mengelakkan pertandingan tiga penjuru dalam PRN Melaka ialah ketetapan Perhimpunan Agung UMNO 2020.

Ketetapan PAU 2020 ialah UMNO sebulat suara memuktamadkan putus hubungan dan tidak akan mengadakan sebarang kerjasama dengan Bersatu dalam PRU15 akan datang.

Maksud mandat untuk Ismail Sabri berunding dengan parti-parti dalam kerajaan itu pula tentulah dengan Bersatu dan Pas.

Mengadakan rundingan dengan Pas barangkali bukan menjadi masalah buat UMNO kerana tiada sebarang ketetapan menghalangnya, meskipun Pas adalah anggota rasmi PN bersama Bersatu, tetapi cuba berunding dengan Bersatu adalah suatu kesalahan bagi parti itu.

Ini berikutan PAU 2020 telah membuat ketetapan yang jelas iaitu UMNO akan memutuskan hubungan dan tidak sama sekali bekerjasama dengan Bersatu dalam PRU15.

Memang benar yang ingin dirunding itu hanyalah berkaitan PRN Melaka dan bukannya PRU15, tetapi kita juga tahu bahawa kerjasama UMNO dengan Bersatu, jika berlaku dalam PRN Melaka, ia pasti akan meleret sehingga kepada PRU15.

Sepatutnya apabila sudah ada ketetapan putus hubungan dengan Bersatu dalam PRU15, UMNO tidak harus sama sekali ada sebarang rundingan lagi atau cuba membentuk kerjasama dengan parti pimpinan Mahiaddin Md Yasin itu, baik dalam mana-mana PRK atau PRN.

Untuk apa ditetapkan putus hubungan dengan Bersatu dalam PRU15 jika dalam apa-apa pilihanraya, baik PRK dan PRN sebelum tibanya tarikh PRU15, UMNO masih boleh berunding dan ingin bekerjasama dengan Bersatu?

Adakah Zahid Hamidi selaku Presiden UMNO dan lain-lain pemimpinnya yang membuat keputusan memberi mandat kepada Ismail Sabri itu benar-benar faham dengan ketetapan PAU 2020 serta menjiwai semangat ketetapan tersebut?

Begitu juga dengan Ismail Sabri yang nampaknya seronok diberi mandat berunding dengan Bersatu itu, adakah beliau juga faham dengan ketetapan PAU 2020 serta semangatnya?

Apatah lagi, Ismail Sabri yang dilantik untuk berunding itu pula adalah pemimpin UMNO yang mempunyai kepentingan paling besar iaitu takut kehilangan jawatan Perdana Menterinya jika rundingan menemui jalan buntu.

Kedudukan beliau boleh jatuh jika Bersatu atau PN mengambil tindakan menarik sokongan atau membuat keputusan tidak menyokong Belanjawan 2022 di Parlimen.

Dengan yang demikian, Ismail Sabri hampir pasti akan melakukan apa saja untuk memastikan rundingan dengan Bersatu itu menemui kejayaan.

Sebagai tambahan, Ismail Sabri turut merupakan antara pemimpin UMNO diketahui umum pro kepada Bersatu sejak era Mahiaddin jadi Perdana Menteri lagi dan tidak bersama dengan keputusan MT UMNO menarik sokongan terhadap Perdana Menteri sebelum ini.

Bahkan, beliau ketika itu sibuk mengatur perjumpaan bersama pemimpin kluster kabinet dalam UMNO untuk mempertahankan Mahiaddin dan kerajaan PN.

Dengan latar belakang Ismail itu, selain UMNO membuat keputusan memberi mandat kepadanya untuk berundung dengan Bersatu, apa jadi akhrinya kepada ketetapan PAU 2020?

Apakah suara akar umbi masih ada harga dan nilainya dalam UMNO jika ketetapan PAU sendiri begitu senang diperleceh, bahkan cuba dibuang ke dalam bakul sampah begitu saja?

Apa juga makna dan nilai suara akar umbi itu sendiri yang mana selama ini pemimpin-pemimpin UMNO begitu meletakkannya sebagai sumber kekuatan parti?

Kalau suara akar umbi sudah tiada nilainya lagi, lebih baik dimansuhkan saja peraturan yang mengatakan ketetapan PAU adalah keputusan yang tertinggi sekali dalam UMNO.

Lebih munasabah diletakkan peraturan baru – keputusan tertinggi dalam UMNO ialah nafsu pemimpinnya sendiri. – ShahbudinHusin 01/11/2021.



No comments: