Menteri Besar Perak Datuk Saarani Mohamad perlu menjelaskan status tanah seluas 200 ekar di Sungai Betul Bawah milik SADC (Perbadanan Kemajuan Pertanian Negeri Perak) ) yang dipajak kepada sebuah entiti untuk dibangunkan untuk projek kolam udang.
Ahli Parlimen Parit Buntar , Datuk seri Dr Mujahid bin Yusuf Rawa meminta Menteri Besar Perak Datuk Saarani Mohamad menjelaskan kepada rakyat khususnya para nelayan di Sungai Betul Bawan dan kawasan sekitar kerana implikasi penerokaan tersebut akan mengancam kehidupan nelayan pantai dan membahayakan penduduk.
“Menteri Besar Perak perlu jelaskan apakah projek ini tetap diluluskan sedangkan saya mendapati notis pemberhentian kerja-kerja laluan jalan telah dikeluarkan oleh Pejabat Galian dan Tanah Daerah kepada pemaju.
“Kedua, apakah telah dibuat EIA (environmental impact assesment) sebelum projek diluluskan dan ketiga kawasan penerokaan adalah di bawah status zon penampan yang diwartakan oleh Rancangan Tempatan Daerah 2025” katanya.
Ahli Parlimen Parit Buntar itu ditemui semasa melawat pencerobohan sungai di Sungai Betul Bawah untuk pembinaan jalan masuk dan sebuah jambatan ke tanah seluas 200 ekar milik SADC.
Pencerobohan ini telah menyekat laluan para nelayan pantai untuk mencari hasil laut sebagai sumber pendapatan harian mereka.
Turut bersama ialah Mohd Faizal Mohd Zabri , Timbalan Pengerusi Persatuan Pendidikan dan Kebajikan Jaringan Nelayan Pantai Malaysia (JARING) , Azrul Faizal Muhamad , wakil Sahabat Alam Malaysia dan penduduk kampung Sungai Betul Bawah.
Dr Mujahid berkata Dasar Perak Lestari yang dibawa Menteri Besar Perak, dipampang besar-besaran di papan-papan tanda kelihatan tidak konsisten dengan isu penerokaan projek akuakultur kolam udang di Sungai Betul Bawah dalam Parlimen Parit Buntar.
“Dasar Perak Lestari adalah bertujuan untuk memastikan alam sekitar diberi tumpuan untuk mengimbangi kesan perubahan iklim yang mengancam dunia dan bagi memelihara ekosistem habitat yang turut mengancam sumber hasil laut. Dasar ini disambut baik oleh rakyat khususnya di Parlimen Parit Buntar.
“Walaubagaimanapun dasar ini kelihatan tidak konsisten dengan isu penerokaan projek akuakultur kolam udang di Sungai Betul Bawah yang akan menjejaskan ekosistem habitat kawasan hutan paya kayu bakau dan bakal mencerobohi zon penampan tsunami” kataya.
Menurutnya, ekosistem habitat ketam, kerang dan spesis lain yang bergantung kepada persekitaran hutan akan menjejaskan tangkapan nelayan di laut selain kebergantungan nelayan mencari sumber rezeki mereka di kawasan hutan paya disekelilingnya yang akan menjadi terhad.
“Kesan penerokaan kolam udang turut menjejaskan zon penampan dari tsunami dan akan membahayakan penduduk dan sawah disekeliling akibat angin yang tiada penampan.
“Saya telah beberapa kali turun padang mendengar aduan penduduk sekitar supaya pihak MB mengambil kira implikasi kelulusan projek ini”.
Tambahnya, usaha menanam spesis kayu bakau di kawasan tersebut yang diusahakan oleh NGO alam sekitar dan komuniti setempat menjadi sia-sia jika penerokaan hutan paya bakau seluas 200 ekar diteruskan sekaligus mengancam nyawa penduduk terdiri dari nelayan dan pesawah di kawasan sekitar.