Dedahkan kenamaan, syarikat yang terlibat dalam kontrak 5G, kata Anwar

inderjeet Kaur

 -
Anwar Ibrahim berkata, kos pelancaran perkhidmatan telekomunikasi 5G dikatakan meningkat daripada RM11 bilion kepada RM28 bilion. (Gambar Bernama)

KUALA LUMPUR: Kerajaan perlu menjelaskan kos sebenar perkhidmatan telekomunikasi 5G kerana dilihat semakin meningkat, kata Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim.

Beliau berkata, angkanya dikatakan antara RM11 bilion hingga RM15 bilion, malah hingga RM28 bilion dan meminta penjelasan kerana rakyat yang perlu membayarnya.

“Kita perlu tahu kenapa syarikat itu dipilih dan mengapa kosnya meningkat?

“Rakyat menderita, rakyat tiada pekerjaan, sekolah tiada kemudahan dan komputer riba juga tidak mencukupi tetapi kita mahu berbelanja berbilion-bilion (untuk 5G),” katanya semasa membahaskan Rang Undang-undang Perbekalan 2022 di Dewan Rakyat.

Anwar berkata, proses tender itu sepatutnya telus dan orang ramai mesti tahu “syarikat mana yang telah diberikan tender dan ejen atau kenamaan mana yang terlibat”.

Sebuah syarikat bertujuan khas (SPV), Digital Nasional Berhad (DNB) ditubuhkan untuk melaksanakan projek itu dan Malaysia telah membuat perjanjian dengan Ericsson selama 10 tahun untuk pelancaran 5G.

Anwar seterusnya bertanya sama ada sasaran 6% Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) kerajaan yang diumumkan dalam Bajet 2022 minggu lalu adalah realistik.

Beliau berkata, negara maju seperti AS, Eropah, China dan Singapura mengumumkan sasaran yang lebih rendah sebanyak 4% hingga 5%.

“Sasaran kita 6% adalah yang tertinggi di dunia,” dakwanya.

“Malah unjuran hasil kerajaan sebanyak RM234 bilion adalah tidak realistik,” katanya sambil mempersoal bagaimana pendapatan itu boleh setinggi 2019 ketika negara masih dilanda krisis kesihatan.

Pada 2019 katanya, ia adalah sebanyak RM264 bilion dengan dividen khas RM30 bilion daripada Petronas.

Anwar juga bertanya tentang jumlah pekerjaan yang diwujudkan tahun lalu selepas berjuta-juta ringgit wang dibelanjakan. Beliau berkata, pada Ogos 2020, pengangguran dilaporkan pada paras 4.5% dan pada bulan berikutnya ia meningkat kepada 4.6%.

Di bawah Bajet 2021, kerajaan berkata, ia akan mewujudkan 500,000 pekerjaan. Tahun ini, ia berkata ia akan mewujudkan 600,000 lagi pekerjaan di bawah Bajet 2022.

“Apakah kejayaannya pada tahun lepas?” tanya Anwar.

Beliau seterusnya berkata, kadar upah tidak berubah walaupun kos hidup selama ini meningkat.

Peruntukan khas untuk tuala wanita dalam kumpulan B40 juga menunjukkan tahap kemiskinan di Malaysia, katanya sambil menambah mana-mana ibu bapa yang berpendapatan RM2,000 dengan lima anak memerlukan bantuan.


No comments: