Panas! Pemimpin Bersatu dedah akan buat pengumuman besar lepas penamaan calon PRN Melaka
Bekas menteri Mohd Redzuan Mohd Yusof, salah seorang ahli awal Bersatu, menyifatkan bahawa partinya “sudah berubah wajah”.
Redzuan mendedahkan bahawa dia akan membuat pengumuman bulan depan, sehari selepas penamaan calon pilihan raya negeri (PRN) Melaka.
Namun, dia menafikan ia berkaitan dengan spekulasi bahawa dia akan bertukar parti.
“Kita tunggu siri kedua, kalau nak tunggu November ini, saya akan berbaju Melayu, bersamping dengan warna apa yang akan saya umumkan nantilah,” katanya dipetik Melaka Hari Ini, media rasmi kerajaan negeri.
Redzuan yang lebih dikenali sebagai Pak Wan sebelum ini mengkritik pengurusan kerajaan Muhyiddin Yassin terhadap pandemik Covid-19 ketika menjadi menteri di Jabatan Perdana Menteri yang bertanggungjawab dalam tugas-tugas khas.
Muhyiddin ialah presiden Bersatu.
Redzuan digugurkan sebagai menteri apabila Naib Presiden Umno Ismail Sabri Yaakob mengambil alih jawatan perdana menteri.
“Ramai orang yang bertanya Pak Wan sepatutnya orang yang membawa arus kebangkitan, perjuangan tapi saya tak boleh laungkan itu lagi, sebab saya sebutkan Bersatu telah berubah wajah.
“Ramai yang bertanya kenapa orang yang masuk Bersatu kemudiannya ke depan, saya tak tahu, dinamik bersatu mungkin berbeza…saya tak tahu, sebab saya pun tak terlibat dalam menguruskan Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka,” katanya dipetik sebagai berkata.
Pengundi Melaka dijangka keluar mengundi pada 20 Nov selepas kerajaan negeri Umno-Bersatu tumbang. Hari penamaan calon ialah pada 8 Nov.
Dia pernah menjadi Ketua Bersatu Melaka tetapi berdepan tentangan daripada ahli akar umbi berhubung gaya kepimpinannya.
Jawatan itu diserahkan kepada Mohd Rafiq Naizamohideen.
Sejak itu, Redzuan berkata dia tidak tahu banyak perkara tentang apa yang berlaku dalam Bersatu Melaka.
“Selepas itu, saya tak tahu, saya tak terlibat dengan pengurusan, saya pun tidak dipanggil walaupun saya Ex-Offisio di Bahagian Alor Gajah dan Bendahari Alor Gajah, saya tidak melibatkan diri,” luahnya.
Redzuan, yang merupakan Ahli Parlimen Alor Gajah, berkata dia kekal konsisten dengan akar Bersatu.
“Saya sebutkan Bersatu telah berubah wajah. Kalau perlu saya masuk dalam kelompok untuk memperjuangkan perjuangan kita, saya tak lari dari konsistensi saya, saya tetap perjuangkan perjuangan asal Bersatu.
“Macam saya sendiri berfikir ke mana Bersatu ini nak pergi sebab kepala saya (masih mengatakan) Bersatu dahulu adalah bersama Tun M (Dr Mahathir Mohamad), Muhyiddin dan Mukhriz (Mukhriz Mahathir),” katanya lagi.
Bersatu telah memecat Mahathir dan Mukhriz selepas mereka menentang usaha Muhyiddin untuk membentuk pakatan dengan Umno.
Mahathir dan Mukhriz sejak itu telah membentuk Pejuang.
Redzuan sebelum ini dispekulasi mempertimbangkan untuk menyertai kumpulan Mahathir selepas Mahathir dipecat tetapi akhirnya tidak berlaku.