Oleh SITI NUR ZAWANI
MISCON / November 1, 2021
Kerajaan sekali lagi
ditegur berhubung isu nombor ekor apabila Datuk Seri Anwar Ibrahim (PH-Port
Dickson) membangkitkan berkenaan pertambahan pusat-pusat judi dan kegiatan judi
yang semakin berleluasa dalam negara.
Beliau berkata,
seolah-olah ada usaha dari pihak kerajaan yang mahu menutup fakta bahawa hampir
45 peratus daripada individu yang terbabit dalam aktiviti tersebut adalah
mereka yang beragama Islam.
Beliau memberi amaran
agar kerajaan tidak berdalih dan menafikan perkara tersebut kerana data dari sistem
MySejahtera boleh membuktikan berapa ramai individu Melayu Islam yang terlibat
dengan kegiatan judi dan menjadi ahli kelab tersebut.
“Saya
cuma menekankan supaya menteri kewangan ambil serius soal cabutan khas dan
lesen (judi) kerana saya tahu ia melibatkan dana besar dan bantuan kewangan
besar kepada pihak tertentu.
“Tapi
untuk mengizinkan perjudian ini bermaharajalela, (tidak boleh diterima). Dan
seperti yang saya dapat maklumat, 45 peratus daripada anggotanya yang terlibat
dalam perjudian adalah orang Melayu yang diizinkan (kerajaan),” katanya ketika
sesi perbahasan Ketua Pembangkang hari ini.
Mohamad
Sabu (PH-Kota Raja) kemudian bangkit dan mencelah agar Port Dickson tidak terus
menekan pihak kerajaan yang sememangnya tidak mempunyai apa-apa manifesto yang
boleh dilakukan.
“Janganlah
tekan sangat kerajaan ini. Mereka bukan ada manifesto. Mereka bukan ada apa
yang boleh dijanjikan Oleh itu, apa yang boleh dapat duit, mereka buat
sahajalah. Jadi janganlah Port Dickson duk tekan kerajaan yang tak ada
manifesto ini,” sindirnya.
“Besok
pula ada cabutan khas. (Jarak) dia 70 meter daripada tangga ibu pejabat Parti
Islam seMalaysia (Pas). Ada satu kedai judi yang akan buat cabutan khas,”
katanya.
Justeru
itu, Anwar menggesa agar satu tindakan tegas perlu diambil terhadap isu
pusat-pusat judi yang berleluasa dan kenaikan cabutan nombor ekor yang sudah
beberapa kali dibahas di Parlimen.
Menurutnya,
hal ini bukan sahaja untuk dibincangkan, tetapi memerlukan respon dari menteri
kewangan, perdana menteri dan seluruh jemaah menteri dari parti Islam untik
bersuara mengambil tindakan tegas.