Anwar cadang debat terbuka calon KM semua parti

 


Anwar Ibrahim mencadangkan satu debat terbuka dianjurkan antara semua calon ketua menteri daripada PH, BN dan PN.

PETALING JAYA: Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim mencadangkan satu debat terbuka dianjurkan antara semua calon ketua menteri daripada parti bertanding di pilihan raya negeri (PRN) Melaka.

“Saya yakin cadangan ini adalah wahana terbaik dalam melonjak nama Malaysia sebagai contoh negara demokrasi yang sihat dan matang,” kata Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu di Facebook.

Daripada tiga gabungan kerjasama politik yang bertanding, hanya PH dan Barisan Nasional (BN) sudah menamakan calon ketua menteri mereka, di mana PH memutuskan pengerusi pakatan itu di Melaka iaitu Adly Zahari dan BN menamakan Sulaiman Md Ali.

Perikatan Nasional (PN) masih belum menamakan calon ketua menteri mereka dengan Ketua Penerangan Bersatu Wan Saiful Wan Jan hari ini menyatakan fokus utama PN ialah memenangi seberapa banyak kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dahulu sebelum memutuskan siapakah calon ketua menterinya.

Anwar juga menyambut baik dan mengalu-alukan hasrat kerajaan yang menyatakan kesediaan untuk memberi ruang berkempen sama rata kepada semua calon-calon PRN Melaka termasuk yang ditonjolkan PH di saluran media rasmi kerajaan.

Berikutan kekangan Covid-19, program ceramah, ziarah rumah ke rumah dan perhimpunan awam tidak dibenarkan dengan semua parti dikehendaki beralih kepada cara berkempen yang lain seperti menggunakan media sosial.

No comments: