ADLY PILIHAN TERBAIK BERBANDING CALON BN DAN PN, BERILAH UNDI IKUT SIAPA CALON KETUA MENTERINYA

 

PH akhirnya menamatkan spekulasi dengan menamakan Adly Zahari sebagai calon Ketua Menteri jika gabungan itu memenangi PRN Melaka, 20 November ini.

Adly adalah Pengerusi PH Melaka serta merupakan Ketua Menteri selepas kemenangan gabungan itu dalam PRU14 sebelum beliau kemudian dijatuhkan melalui pengkhianatan dan lompat parti susulan berlakunya Langkah Sheraton.

Melalui PRN Melaka ini serta kedudukan jawatannya dalam PH, selain rekod baiknya mentadbir Melaka dengan pelbagai kejayaan sebelum ini, meletakkan semula Adly sebagai calon Ketua Menteri tentu saja adalah pilihan yang tepat.

Realitinya, Adly bukan dijatuhkan kerana dikaitkan sesuatu dakwaan buruk terhadapnya seperti pecah amanah, salah guna kuasa, bolot pasir, tidak menjaga rakyat atau kedudukannya sebagai Ketua Menteri dikuasai oleh orang lain.

Beliau dan PH dijatuhkan semata-mata kerana berlaku pengkhianatan dan dengki ingin merebut kuasa, walaupun mereka itu hakikatnya tidak menang di hati rakyat melalui undi.

Kini, dengan pencalonannya semula beserta barisan calon PH yang diketengahkan dalam PRN Melaka ini, pengundi Melaka mempunyai peluang terbaik untuk memilih sebuah kerajaan dan ketua pentadbir negeri yang terbaik serta mampu berkhidmat sepenuh hati untuk mereka.

Selain PH yang sudah menamakan calon Ketua Menterinya, BN juga turut telah menamakan Sulaiman Md Ali sebagai pertaruhan mereka.

Dengan pengumuman Najib Razak selaku Pengerusi Lembaga Penasihat BN sebelum ini dan ia kini disahkan oleh Pengarah PRN BN, Mohamad Hasan, bermakna Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Melaka, Ab Rauf Yusoh yang pertama kali bertanding di DUN Tanjung Bidara, automatik akan diketepikan untuk dijadikan Ketua Menteri.

Tetapi, jangan kita lupa, isu yang berlengar hangat di Melaka sejak sekian lama, malah menjadi punca empat Adun menarik sokongan terhadap Sulaiman ialah kerana dakwaan beliau dikuasai dan dibonekakan oleh Ab Rauf dalam urusan pentadbiran kerajaan negeri.

Dengan Sulaiman dicalonkan semula, jika pengundi Melaka memberi kemenangan kepada BN pada 20 November ini, ia samalah seperti mereka membenarkan berlakunya lagi penguasaan dan pembonekaan Ab Rauf terhadap Ketua Menteri.

Tidak meletakkan Ab Rauf sebagai Ketua Menteri tidak bererti ia menghalang beliau daripada terus mengusai Sulaiman atas kapasitinya yang berada lebih tinggi berbanding Sulaiman dalam hieraki parti.

Dalam erti kata lain, mengundi BN adalah kerja buang masa, tidak akan membantu rakyat, sebaliknya hanya membantu pemimpin di atas kekal mengaut kekayaan hasil Melaka.

Hanya PN yang belum mengumumkan calon Ketua Menteri, namun dua nama disebut-sebut sebagai pertaruhan iaitu Pengerusi PN negeri itu, Mohd Rafiq Naizamohiddeen yang bertanding di Dun Telok Mas dan Mas Ermieyati Shamsuddin yang bertembung dengan Ab Rauf di Tanjung Bidara.

Mohd Rafiq sebelum ini adalah Adun Paya Rumput, tapi kini berpindah ke Telok Mas.

Selain beliau masih dianggap terlalu muda dan mentah untuk mengetuai pentadbiran Melaka, tindakannya melarikan diri daripada Paya Rumput ke Telok Mas turut menggambarkan ketidakyakinannya mampu bertahan di kawasan lamanya itu.

Adakah pemimpin sebegini layak diberi tanggungjawab sebagai Ketua Menteri?

Berkaitan dengan Mas Ermieyati pula, meskipun jika terpilih sebagai Ketua Menteri Melaka bermakna beliau akan menjadi wanita pertama memegang jawatan itu, tetapi rekodnya sebagai pemimpin adalah sangat buruk.

Mas Ermisyati sebelum ini adalah Ketua Pureri UMNO dan menang sebagai Ahli Parlimen Masjid Tanah atas tiket BN, tetapi berikutan kemenangan PH dalam PRU14, beliau telah melompat menyertai Bersatu dan meninggalkan wadah perjuangan lamanya.

Berikutan sokongan kepada Langkah Sheratan, beliau seterusnya dihadiahkan jawatan timbalan menteri dan kini memegang jawatan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri.

Seorang lari kawasan dan masih budak mentah, manakala seorang lagi mempunyai sejarah buruk lompat parti, makna kata kedua-dua calon yang disebut-sebut sebagai bakal Ketua Menteri PN ini tidak memberi jaminan mereka lebih mengutamakan rakyat berbanding diri sendiri dalam perjuangan mereka.

Kesimpulan paling mudah di sini, baik mengenai calon Ketua Menteri BN iaitu Sulaiman atau daripada PN iaitu sama ada Mohd Rafiq atau Mas Ermieyati, kedua-dua parti tidak menjanjikan cahaya harapan buat rakyat Melaka.

Selain melalui calon BN, ia hanya memastikan ulangan sejarah pembonekaan lama berulang kembali, melalui calon PN pula, langsung tiada harapan boleh disandarkan.

Berbeza dengan Adly, calon Ketua Menteri yang dinamakan PH, rekod pentadbirannya selama 22 bulan sebelum ini adalah bukti keutamaannya menjaga rakyat Melaka.

Oleh itu, pada 20 November nanti, salah satu faktor yang tidak harus diabaikan oleh pengundi Melaka dalam memberi undi mereka, berilah undi berdasarkan siapa calon Ketua Menteri yang telah ditonjolkan.

Mengundi parti berdasarkan calon Ketua Menteri yang telah terbukti ini pasti tidak akan membuatkan rakyat menyesal di kemudian hari. –


ShahbudinHusin 11/11/2021.


No comments: