Panas! Pemimpin Umno dedah punca kegagalan rundingan kerjasama politik Umno-Pas-Bersatu di Melaka
Beberapa pemimpin UMNO mendedahkan punca kegagalan rundingan kerjasama politik dengan PAS dan BERSATU bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka adalah kerana kedua-dua parti komponen Perikatan Nasional (PN) itu menuntut agihan kerusi secara sama rata.
Mereka mengakui memang ada rundingan berhubung pengagihan kerusi sebelum ini, namun hanya membabitkan 23 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang menjadi buruan tiga parti terbabit.
Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Razali Ibrahim, berkata parti itu secara dasarnya bersetuju berunding dengan PAS dan BERSATU dalam menentukan agihan secara adil dan penuh keikhlasan, dengan pendirian untuk mengelak pertembungan.
“Namun, apa yang kita bincang itu hanya 23 kerusi, bukan 28 kerusi. Sebab kerusi lain, (UMNO) tak mahu pun sebab kita tak bertanding di kerusi itu dari segi sejarahnya di Melaka. Untuk elak tiga penjuru bukan bermakna kerjasama, tetapi tak mahu bagi bertembung sebab akhirnya kita kalah kerana ketiga-ketiga parti ini berebut kerusi yang sama.
“Tidak adil bagi kita, jangan kata kita sombong tidak mahu berunding, kita sudah usaha akhirnya tidak berjaya,” katanya ketika menjadi panel dalam satu program temu bual disiarkan di Facebook BN malam tadi.
Pada Pilihan Raya Umum (PRU) 2018, UMNO menguasai 13 DUN di Melaka, manakala dua DUN disandang BERSATU dan tiada kerusi dimenangi PAS.
Seorang lagi Ahli MKT UMNO, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan pula mendedahkan, UMNO melihat PRN Sabah pada tahun lalu sebagai pengajaran dan rujukan dengan pendirian dibuat ketika rundingan, mengambil kira sentimen akar umbi.
Katanya, dalam rundingan itu, BERSATU juga menetapkan syarat UMNO tidak boleh bertanding melebihi 14 kerusi DUN bagi mengelak parti itu menjadi terlalu dominan dalam kerajaan jika menang pada PRN Melaka.
“Mereka mahukan penyatuan ummah, tetapi realitinya dalam kiraan kita sebelum ini, PAS tidak menang kerusi dan BERSATU pun hanya menang dua kerusi. Kalau mahu penyatuan ummah, kita sepatutnya pertaruhkan masa depan ummah kepada parti yang boleh menang iaitu UMNO.
“Bukan bermakna penyatuan ummah kena bagi sama rata, barulah masalah penyatuan ummah ini selesai, tidak begitu. Dalam konteks Melaka, sepatutnya kita cari jalan bagaimana ummah ini untuk menang. Formulanya adalah UMNO. Kalau kita yakin, ikhlas dengan penyatuan ummah apa salahnya kali ini kita bagi kepada UMNO,” katanya, memetik laporan Berita Harian.
Beliau berkata, rundingan kerjasama itu juga membabitkan peranan Perdana Menteri yang juga Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang mengetengahkan sendiri formula itu untuk dibincangkan.
“Kita kata kekuatan kita jauh daripada 14 kerusi itu, iaitu 18 yang kita mahu, tetapi kalau mahu keikhlasan dan satu perjanjian dibuat baiklah, maka kita buat perjanjian. EXCO dapat berapa (selepas menang), ahli majlis (pihak berkuasa tempatan) dapat berapa. Semua itu boleh ditulis dalam perjanjian.
“Waktu itu (ketika rundingan), peguam pun sudah ada di luar bilik, kita sudah sediakan (draf perjanjian) kalau mereka setuju,” katanya.
PRN Melaka menyaksikan pertembungan di semua 28 DUN antara calon BN dan PN, sekali gus bayangan kerjasama yang mahu dilihat antara UMNO, PAS serta BERSATU sebelum ini sudah gagal.
PAS yang sebelum ini mengajak UMNO berunding, malah sedia menarik diri jika berlaku pertembungan di kerusi UMNO, mengambil keputusan meletakkan calonnya di tujuh kerusi yang turut ditandingi calon rakan politiknya dalam Muafakat Nasional (MN) itu.