Adly pemimpin humble disukai rakyat, pentadbirannya dirindui



Adly tidak mahu dipayung,
enggan dilayan sebagai Vvip.
 

BARANGKALI bukan saja saya yang merasai, tatkala Pengerusi PH Anwar Ibrahim mengumumkan nama Adly Zahari sebagai calon Ketua Menteri Melaka pada suatu majlis petang tadi, tetapi orang lain juga seperti pengumuman itu akan menjelma menjadi kenyataan selepas 20 November nanti.

Pengumuman calon PH Dun Bukit Katil itu sebagai bakal Ketua Menteri disambut dengan tepukan bergemuruh yang hadir pada majlis pengumuman itu.

Tepukan berderai itu menunjukkan pemilihan dan pengumuman PH itu sebagai tepat.

Pemilihan Adly Zahari, 50 menurut Anwar dibuat secara konsensus di kalangan parti-parti PH, ertinya tidak ada dakwa dakwi lagi, dan pemilihan itu sepakat. Ada bersama dalam majlis peluncuran Manifesto PH bertemakan "Maju Bersama Harapan" itu ialah pimpinan tertinggi DAP, Lim Guan Eng dan juga Presiden Amanah, Mohamad Sabu. Beberapa pemimpin lain juga turut hadir. 

Dengan pengumuman itu menjadi PH parti yang pertama mengumumkan calon ketua menteri mereka. Walaupun BN telah membayangkan Sulaiman Md Ali sebagai calon ketua menteri, tetapi ia tidak dibuat secara rasmi seperti mana PH. Timbalan Presiden Umno Mohamad Hassan menyebut, Sulaiman hanya dijadikan sebagai poster boy sahaja. Itu bermakna BN masih belum memutuskan calon bakal Ketua Menteri mereka.  

Dalam pada itu belum ada kedengaran mana-mana individu bakal dilantik sebagai ketua menteri daripada PN. Apakah parti itu telah menyedari harapan mereka untuk menang sangat tipis? Walaupun Pas bersama mereka, tetapi parti itu tidak dapat dijadikan tempat menyandar harapan.

Pemilihan Adly yang juga naib presiden Amanah sebagai bakal ketua menteri adalah tepat. Sekaligus penamaan Adly itu menjadikan pengundi Melaka sudah tidak berkeluh kesah lagi untuk memastikan PH menang besar Pirane Melaka itu. Tentunya pemilihan bekas Ketua Menteri itu berpandukan kepada rekod perkhidmatan cemerlangnya selama 22 bulan menjawat jawatan itu. 

Description: https://blogger.googleusercontent.com/img/b/R29vZ2xl/AVvXsEj-F1x26Xez3Mdu1bT0kVrR3k5mPybhUCZUvUw5iCH77wwtUAEuXMNQzGYtI-lfIBQOm6WU5JiWRbbNmKEEVjb_PuyMWqWDHTxGH-kDOZFQWvo_oKsbVni27omk3aS23eB7bN9SrNH6fXxc/s320/IMG_20190119_111512.JPG

Adly seorang yang 
simple berpakaian.

Seperti diketahui umum dan dirasai oleh rakyat Melaka, Adly telah berjaya menunjukkan prestasi sebagai ketua menteri memuaskan dan sekaligus membuktikan bahawa PH mempunyai pemimpin dan seorang ketua menteri terbaik. Walaupun pertama kali memegang jawatan itu tetapi Adly dapat melaksanakan dengan sempurna sehingga menjadi sebutan rakyat.

Keterkenalan dan rasa senang terhadap beliau bukan sahaja dari kalangan rakyat Melaka, tetapi turut juga terhimbau ke negeri-negeri lain. Semasa PH memerintah kerajaan Persekutuan dan beberapa negeri, Adly disebut-sebut antara sebagai Ketua Menteri berjaya membawa aspirasi PH untuk rakyat.   

Beberapa polisi dan dasar serta pendekatan diperkenalkan olehnya, cukup disenangi rakyat justeru apabila kerajaan PH dikhianati sehingga tumbang ia dikesali. Rakyat Melaka khasnya terkilan dengan apa yang berlaku.

Ada rakyat yang menangis dan menyifatkan tindakan BN itu sebagai kejam dan menafikan hak dan suara rakyat. Rakyat Melaka belum puas menikmati pentadbiran Adly. Situasi itu menjadi rakyat berdendam dengan anasir yang mengkhianati dan mengganggu kerajaan Adly.  

Apabila nama Adly dicadangkan untuk menjadi ketua menteri, rakyat tentu berharap semoga calon Bukit Katil itu akan dapat menyambung tugas dan amanahnya yang ternafi kerana khianat BN sebelum ini. Semoga dan harapan rakyat untuk memastikan PH menang menjadi lebih berkobar-kobar lagi. 

Adly adalah pendatang baru dalam kepimpinan kerajaan. Beliau juga digolong dalam pemimpin muda, usianya 50 tahun. Tetapi dengan ilmu dan iltizam beliau sebagai pemimpin, beliau berjaya meletakkan dirinya dikenali dan setanding dengan pemimpin lain yang lebih senior.

Pendekatan sederhana, hidup penuh kehambaan antara sebab beliau disenangi.

Semasa menjadi KM beliau tidak tinggal di kediaman rasmi ketua menteri di Seri Bendahara sebaliknya kekal tinggal dirumahnya. Beliau juga tidak bersusah payah untuk menukar perabot baru atau membuat ubah suai kediaman itu, tetapi kekal dengan peralatan lama. Malahan kediaman rasmi ketua menteri itu dibuka untuk menjadi lokasi kunjungan rakyat. Langkah itu diambil adalah untuk tidak membazir dan menjimatkan perbelanjaan kerajaan. 

Selain itu pendekatan atau polisinya berjumpa rakyat pada setiap minggu sangat disukai rakyat. Beliau juga memperkenalkan minggu berjumpa rakyat. Menerusi program ini beliau berjumpa dan bermesra dengan rakyat pada setiap minggu melibatkan seluruh Melaka. 

Menerusi program ini beliau bersama pegawai kerajaan berintraksi dengan rakyat untuk mengetahui apakah permasalahan rakyat dan cuba mengatasinya. 

Dalam hidupnya tidak ada istilah protokol rakyat boleh berjumpa bila-bila masa dan dimana-mana sahaja. Pintu rumahnya terbuka 24 jam. 

Saya merasai dan melihat sendiri akan kerendahan diri dan ketinggian budi Adly ini. Kebetulan suatu hari saya hadir ke majlis lawatan beliau ke bendang padi yang diubah sesuai menjadi ladang kenaf.

Semasa turun melawat ladang kenaf itu beliau selamba sahaja. Kedatangannya tidak disambut sedemikian biasa vvip hadir sehingga yang tidak pernah mengenalinya tidak sangka kalau dia adalah ketua menteri. Beliau tidak berkehendak begitu. Kebetulan ketika itu hujan turun renyai-renyai. Pihak penganjur telah menyediakan sekaki payung untuk melindunginya daripada ditimpa hujan tetapi ditolaknya. Beliau tidak dipayungi. Beliau melangkah turun ke bendang dan membiarkan kepalanya dititis hujan bersama rombongan lain.

Description: https://blogger.googleusercontent.com/img/b/R29vZ2xl/AVvXsEj9ScVGRbNC1ftwa8ddx00m_f6JWdMsd-GtFhyphenhyphen_4_mxCVelBENGb6fKQEsbLsYph6cGfS0IENOS-bGsty_EeK9eSWhRQRuzNeCN-0JQeIwIBhpT6R3TVp5MiInCMzaUpMo7qn_ftdeoXDe9/s320/IMG_20190710_170940.jpg

Keselambaan Adly menyebabkan 
beliau disenangi rakyat.

Ikut sama dalam lawatan itu Shamsul Iskandar Md Akin yang ketika itu Timbalan Menteri Komoditi. Lagak dan wataknya ketika di majlis itu sedikit pun tidak menggambarkan beliau vvip yang memerlukan layanan istimewa seperti pembesar lain. Walaupun pihak majlis cuba memberi sambutan tetapi ditolaknya. 

Sementara itu di kesempatan lain saya berjumpa dengan beliau di Pulau Pinang. Kebetulan kami menginap di hotel yang sama. Apa yang hendak saya sebut, baju yang dipakainya (Oren) adalah baju sama yang pernah saya lihat sebelum ini, semasa beliau belum menjadi ketua menteri lagi. 

Gambaran itu sudah menjelaskan akan kehambaan dirinya. Kalau kedudukan itu ditempat orang lain sudah pasti mereka tidak mengenakan baju yang sama, sesudah bergelar ketua menteri. Apa lagi ketua menteri ada peruntukan elaun khas untuk pakaian seperti menteri lain. Namun itu tidak berlaku kepada Adly. 

Kehambaan Adly inilah kita tidak berasa hairan kenapa rakyat Melaka sayang dan masih merindui kepimpinan dan pentadbirannya. Kerana Adly dapat memenuhi citarasa rakyat menjelmakan seorang pemimpin khas seperti ketua menteri. Yang hidup bergelumang dengan rakyat dan bukannya menjadikan jawatan dan kuasa untuk kepentingan diri sendiri. Sesungguhnya rakyat Melaka bertuah diberi kesempatan untuk memiliki Adly sebagai pemimpin. [wm.kl.9:19 pm 10/11/2021]