GAGAL ISYTIHAR PKP SELURUH NEGARA, KERAJAAN PN LEMAH
Gagal isytihar PKP seluruh negara, kerajaan PN lemah
Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) fasa kedua yang membingungkan rakyat mendapat kritikan mantan Timbalan Menteri Kesihatan Dr Lee Boon Chye.
Menurut Dr Lee, PKP 2.0 yang dipeluaskan ke Perlis, Kedah, Perak, Terengganu, Pahang dan Negeri Sembilan bermula Januari 22 hingga 4 Februari ini menyusahkan kehidupan rakyat dan golongan peniaga dalam merancang aktiviti mereka.
Katanya, perisytiharan secara berperingkat itu jelas menunjukkan tahap koordinasi dan perancangan yang lemah oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN).
“Sebab apa tidak dilaksanakan PKP 2.0 ke seluruh negara di peringkat awal mulai 13 Januari? Kenapa tunggu kes-kes daripada kawasan PKP 2.0 merebak ke kawasan lain sebelum ‘lockdown ‘?
“Kenapa tidak diumumkan semalam berkenaan perancangan PKP seterusnya supaya rakyat dan perniagaan boleh buat perancangan awal?” tanya beliau dalam kenyataan media.
Kata Dr Lee lagi, perisytiharan PKP peringkat kedua itu seolah-olah membayangkan bahawa lockdown seluruh negara akan berterusan sehingga hujung Februari 2021.
Katanya, kemungkinan PKP 2.0 fasa pertama (Selangor, Johor, Pulau Pinang, Melaka, Sabah dan Wilayah Persekutuan) dan termasuk Kelantan tidak akan ditamatkan pada 26 Januari amat tinggi.
PKP 2.0 di negeri-negeri tersebut mungkin akan dilanjutkan 2 minggu lagi sehingga 9 Februari dan tidak mustahil sehingga 23 Februari iaitu selepas Perayaan Tahun Baru Cina bagi mengurangkan jumlah kes jangkitan harian Covid 19.
Manakala PKP 2.0 fasa kedua, kata Dr Lee, yang melibatkan Perak dan sebagainya juga dijangka tidak akan tamat pada 4 Februari sebaliknya boleh dilanjutkan serentak dengan Selangor dan lain-lain kerana jumlah kes harian tidak akan kurang di bawah 1,000 sehari menjelang 9 Februari.
“Oleh itu, bukankah lebih baik mengumumkan lanjutan PKP 2.0 di seluruh negara (kecuali Sarawak) sehingga 9 Februari ketika pengumuman Menteri Kanan Ismail Sabri pada 19 Januari semalam!?
“Keputusan awal ini akan memberi masa dan ruang kepada rakyat dan perniagaan untuk buat persediaan sepanjang dan selepas PKP 2.0,” katanya.
Bagi Dr Lee, kerajaan Perikatan Nasional dan MKN seolah-olah tidak belajar dari pelaksanaan PKP 1.0 pada Mac hingga Mei tahun lalu, dan sepatutnya tidak mengulangi sikap membuat perhitungan semberono dan menyusahkan rakyat.
“Pengumuman yang dibuat pada saat-saat akhir harus dielakkan, seperti keputusan untuk buka sekolah dan peperiksaan. Data mengenai jumlah kes memang boleh dijangka. Kalau tidak faham, tanyalah Kementerian Kesihatan Malaysia
“Saya harap MKN selaraskan perlaksanakan PKP 2.0 dan mengumumkan segera PKP 2.0 akan dilanjutkan sehingga 9 Februari untuk semua Negeri dan Wilayah Persekutuan, kecuali Sarawak.
“Jangan sesekali mengeluarkan arahan yang setengah masak!” katanya lagi.