JIKA ZAHID HAMIDI TERLALU LAMBAT BERTINDAK, SEPERTI NAJIB DULU MELAMBAT2KAN TARIKH PRU14, UMNO AKAN KECUNDANG KALI KEDUA

 

Jika kita perhatikan, salah satu sebab UMNO kalah dan gagal mengekalkan kuasa dalam PRU14 lalu ialah kerana Najib Razak ketika itu agak berlengah-lengah dan lambat membubarkan Parlimen.

Tun Mahathir Mohamad mula menarik sokongan terhadap Najib pada Ogos 2014, beliau keluar UMNO pada Februari 2016, melancarkan gerakan selamatkan Malaysia melalui Deklarasi Rakyat pada Mac 2016, memulakan langkah berbaik dengan Anwar Ibrahim dengan mengunjungi bekas musuh politiknya itu di mahkamah pada September 2016, mengumumkan penubuhan Bersatu pada September 2016 dan diluluskan pendaftarannya pada Januari 2017 serta kemudian mengumumkan pendaftaran PH sebagai gabungan rasmi pembangkang untuk berlawan dengan BN pada Februari 2018.

Bagaimanapun, sehinggalah PRU14 diadakan pada 9 Mei 2018, PH gagal mendapat kelulusan pendaftarannya.

Untuk itu, PH akhirnya membuat keputusan untuk menggunakan logo PKR bagi semua calonnya dalam PRU14.

Hanya apabila PH berjaya memenangi PRU14 menewaskan BN dan Tun Mahathir mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri pada 10 Mei, barulah PH beroleh status pendaftaran yang sah daripada Pendaftar Pertubuhan atau RoS pada 16 Mei 2018.

Berdepan pelbagai masalah untuk mengukuhkan Bersatu selepas ia diluluskan, sementara PH yang sehingga ke detik pembuanfan undi PRU14 gagal didaftarkan, Tun Mahathir selaku Pengerusi PH ketika itu mengatakan, mereka ada cara untuk bertanding dalam pilihanraya sekiranya PH tidak diberi kelulusan.

Ketika itu, sudah timbul ura-ura bahawa PH akan menggunakan logo salah satu parti dalam gabungan tersebut sebagai pilihan agar hanya satu simbol digunakan untuk mengelakkan kekeliruan di kalangan pengundi, selain untuk memperlihatkan kesepakatan menumbangkan BN.

Persetujuan menggunakan logo PKR kemudian diumumkan menjelang saat-saat akhir PRU14 diadakan.

Sebelum persetujuan berkaitan logo itu dicapai, PH turut berdepan masalah lain yang bukan sedikit, terutama dari segi pembahagian kerusi.

Untuk menyelesaikan masalah pembahagian kerusi ketika itu, selain banyak perundingan terpaksa dilakukan oleh Tun Mahathir bersama pemimpin utama PH, beliau juga telah menghantar orang kanannya, Tun Daim Zainuddin untuk berunding dengan Anwar di Penjara Sungai Buloh sebanyak enam kali.

Bagi tujuan tersebut, Tun Daim terpaksa memperbaharui semula lesen gumannya yang telah lama mati lantaran kesibukan sebagai menteri dan menjalankan perniagaan sebelum itu.

Matlamat PH ialah mesti bertembung satu lawan satu antara PH dengan BN, sambil logo yang seragam sebagai kewajipan.

Isu calon Perdana Menteri PH juga turut berdepan masalah sehingga suatu ketika menyebabkan Tun Mahathir merajuk melarikan diri ke London, sebelum kemudiannya dipujuk oleh Nurul Izzah Anwar yang berkunjung ke sana.

Walaupun Pas ketika itu cuba membuat kacau, kononnya ingin menjadi kuasa ketiga dengan bertanding bersendirian, tetapi niat sebenarnya ialah untuk memberi kelebihan kepada BN, kemenangan PRU14 akhirnya memihak kepada PH.

Pendek kata, antara Februari 2016 iaitu ketika Tun Mahathir keluar UMNO sehinggalah 9 Mei 2018, ia adalah detik yang sibuk, penuh ketidaktentuan dan bagai bermain dengan bayang-bayang bagi PH.

Meski disedari ketika itu UMNO dan BN juga berdepan banyak masalah dan sokongan rakyat yang kadangkala mencemaskan, terutama berkaitan skandal 1MDB, salah satu kesilapan besar Najib ialah menangguh-nangguhkan tarikh membubarkan Parlimen sehingga ke penghujung tempoh.

PRU13 pada 2013 diadakan pada 5 Mei dan ini bermakna PRU14 pada 2018 yang diadakan 9 Mei genap-genap tempoh matangnya lima tahun.

Bayangkan jika Najib membubarkan Parlimen pada penghujung 2016 atau 2017 di mana pada ketika itu PH masih bercelaru, pembahagian kerusi belum lagi selesai dan penggunaan satu logo belum dimuktamadkan, pasti sukar sekali untuk BN ditumbangkan.

Tetapi, apabila Najib melewatkan PRU sehingga ke saat akhir tempoh matangnya, ia dengan sendirinya memberi masa kepada PH menyelesaikan semua perkara secara perlahan-lahan dan satu demi satu.

Sekarang, UMNO dan BN sekali berdepan situasi yang hampir sama, walaupun dalam kedaaan sudah kehilangan kuasa.

UMNO secara umummya sedar bahawa Bersatu ingin menelan mereka bagi mengekalkan parti itu di puncak kuasa, seterusnya untuk memastikan Muhyiddin, Geng Hamzah Zainuddin dan Kumpulan Azmin Ali terus dengan jawatan masing-masing selepas PRU akan datang.

Lantaran itu dan demi masa depan UMNO, telah dipersetujui di peringkat bahagian-bahagian baru-baru ini agar dikemukakan usul memutuskan hubungan dengan Bersatu dan seterusnya mendesak PRU diadakan segera.

Usul tersebut disepakati majoriti UMNO bahagian-bahagian dan diluluskan oleh mesyuarat MT pada 6 Januari lalu, tapi kemudian dianjakkan untuk dimuktamadkan dalam Perhimpunan Agung UMNO pada 31 Januari.

Oleh kerana Muhyiddin sedar 31 Januari itu mungkin “tarikh mati” baginya yang mungkin disusuli dengan keputusan Ahli-Ahli Parlimen UMNO keluar daripada kerajaan, dengan bantuan virus Covid19 yang belum hilang, di samping tempoh masa diberikan oleh UMNO untuk menikam, maka bukan setakat PKP dikuatkuasakan, malah darurat turut dilaksanakan.

Sudahnya, Perhimpunan Agung UMNO 31 Januari ini terpaksa ditangguhkan yang membuatkan tindakan untuk memuktamadkan putus hubungan dengan Bersatu dan keluar daripada kerajaan PN jadi tertangguh tanpa ketahuan.

Apakah sebab semua ini berlaku?

Sekali lagi, ia adalah disebabkan UMNO lambat, lembab dan terhegeh-hegeh dalam membuat keputusan untuk putus hubungan dengan Bersatu, menarik sokongan dan keluar daripada kerajaan PN, walaupun sudah berdentum-dentum luahan tidak puas hati dan kecewa terhadap Muhyiddin dilaungkan.

Dengan lambat, perlahan bertindak dan terhegeh-hegeh itu telah memberi ruang dan masa kepada Muhyiddin melakukan tindak balas serta persiapan mempertahankan diri bagi mengekalkan lagi kuasanya.

Bukankah jika selepas majoriti UMNO bahagian-bahagian meluluskan usul putus hubungan dengan Bersatu dalam mesyuaratnya yang diadakan antara 1-3 Januari, MT UMNO pada 6 Januari kemudiannya terus bertindak menarik sokongan dan keluar daripada kerajaan PN, Muhyiddin ketika ini sudah pun tumbang dan masa depan UMNO dengan sendirinya sudah boleh diselamatkan?

Begitu juga, selepas Ahmad Jazlan Yaakob mengumumkan penarikan sokongannya yang kemudian disusuli oleh Nazri Aziz, kenapa selepas itu senyap semuanya?

Kenapa tidak dilakukan secara beramai-ramai atau sekurang-kurangnya lima enam orang Ahli Parlimen UMNO menarik sokongan?

Seriuskah pemimpin UMNO ini mahu memastikan kelangsungan serta masa depan parti atau masing-masing lebih memikirkan untuk membuncitkan perut sendiri?

Meskipun dalam tempoh PKP dan darurat masih lagi berkuatkuasa, hakikatnya belum terlambat untuk Zahid Hamidi dan pemimpinnya bertindak untuk menyelamatkan masa depan UMNO daripada ditelan oleh Bersatu.

Ruang masih lagi terbuka kerana PKP dan darurat, di sebalik Parlimen digantung dan PRU tidak boleh diadakan, ia bagaimanapun tidak menghalang untuk Muhyiddin daripada dijatuhkan dan sebuah kerajaan baru yang lain ditubuhkan.

Cumanya, Zahid Hamidi harus mengambil iktibar dengan tidak mengulangi sejarah kelambatan bertindak yang dilakukan Najib menjelang PRU14 dahulu kerana jika itu yang dilakukan, UMNO pasti dikecundangkan sekali lagi.

Jika sudah ada ketetapan, keputusan harus dilakukan segera dan secara mengejut, tak kira melalui serangan waktu subuh atau senja.

Yang lebih malang, kalau tewas sekali lagi kali ini yang disebabkan lambat bertindak, UMNO bukan saja tidak mungkin mampu bangkit semula untuk kembali dominan dalam menguasai kerajaan, namanya pun tak mustahil bakal tersimpan di muzium sebagai kenang-kenangan generasi akan datang, bukan lagi merupakan wadah sebuah perjuangan.


 (Shahbudindotcom 20/01/2021)





No comments: