Pelaburan asing merosot, Malaysia hanya dapat 5% tahun lalu - Syed Ibrahim

 



POSTED BY  AMIR WRLR


Malaysia tidak lagi menjadi destinasi tumpuan pelaburan langsung asing (FDI).

Bukan sahaja pelaburan yang dicatat sepanjang tahun lalu merosot namun pelabur yang menanam modal sejak bertahun-tahun juga dilaporkan telah meninggalkan negara.

Bagi Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri KEADILAN Johor, Syed Ibrahim Syed Noh, kenyataan 'mengujakan' di Facebook Menteri Kewangan Tengku Zafrul Abdul Aziz semalam, yang mengalu-alukan pembukaan Pusat Pengedaran Alat Ganti Serantau Volkswagen di Tanjung Pelepas, Johor bolehlah dianggap percubaan untuk menyedapkan hati rakyat dalam suasana darurat.

Katanya, pembukaan pusat itu sebenarnya adalah bukti ekonomi dan pelaburan di Malaysia tidak kukuh. Projek pusat serantau itu telah diumumkan semenjak tahun 2016 dan dijadualkan siap pada penghujung tahun 2018.

"Di atas faktor ekonomi dan halatuju negara yang tidak meyakinkan, ianya hanya dapat beroperasi pada suku pertama tahun 2021.

"Oleh itu, saya menggesa pihak kerajaan terutamanya Kementerian Kewangan dan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri agar lebih giat memainkan peranan membawa masuk pelaburan asing ke dalam negara.

"Aliran pelaburan antarabangsa di rantau Asia yang kini beralih ke negara jiran juga wajib diberi perhatian. Pakar-pakar ekonomi menyuarakan kebimbangan terhadap pengumuman PKP kedua dan pengisytiharan darurat oleh Kerajaan yang membawa kesan kepada keyakinan pelabur asing.

"Sebagai contoh, sektor automotif yang dahulunya berkembang pesat dalam Malaysia kini telah beralih ke Thailand, Indonesia dan Singapura. Syarikat-syarikat besar seperti Hyundai dan Mercedes-Benz cenderung untuk membuka cawangan di negara jiran Thailand dan Singapura," katanya dalam satu kenyatan.

Menurut Ahli Parlimen Ledang itu lagi, laporan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Mengenai Perdagangan Dan Pembangunan (UNCTAD) bagi Asia juga menunjukkan data yang tidak memberansangkan apabila Malaysia hanya mendapat cebisan FDI yang masuk pada tahun lalu.

"80% daripada AS$ 156 bilion aliran pelaburan asing untuk Asia adalah milik negara Indonesia, Singapura dan Vietnam. Manakala Malaysia hanya menerima 5% atau AS$ 7.8 bilion. Lebih kritikal, unjuran aliran pelaburan antarabangsa bagi negara membangun Asia menunjukkan penurunan 45% pada tahun 2020.

"Dengan itu, sikap kerajaan dalam menangani penularan wabak Covid-19 dan usaha pemulihan ekonomi harus lebih konsisten dengan janji-janji yang diutarakan.

"Saya ingin berpesan kepada Datuk Seri Azmin Ali dan Tengku Zafrul Aziz agar berhenti bermain politik dan memberi fokus kepada usaha pemantapan ekonomi yang lebih tersusun.

"Jangan sekadar mengambil nama atas usaha pihak-pihak terdahulu. Buktikan kepada rakyat bahawa kerajaan berpijak pada bumi nyata dan mempunyai perancangan yang kukuh untuk sektor ekonomi negara," katanya lagi.