Panas! Malaysia perlukan menteri kesihatan yang baru

 

Panas! Malaysia perlukan menteri kesihatan yang baru

COVID-19 merupakan ancaman kepada kesihatan manusia dan kesihatan merupakan perkara asas bagi memastikan kesinambungan kehidupan.

Justeru itu dalam menangani pandemik Covid-19, sudah tentu Kementerian Kesihatan (KKM) mempunyai tanggungjawab dan peranan yang utama. Bagaimanapun, kementerian-kementerian lain juga mempunyai peranan tertentu dan  harus memberikan fokus kepada tugas masing-masing.

Di Malaysia terdapat 3 individu yang biasanya bersiaran berkaitan Covid-19, iaitu perdana menteri, menteri pertahanan dan ketua pengarah kesihatan.

Untuk meningkatkan keberkesanan usaha menangani pandemik Covid-19, KKM sewajarnya diberi kuasa lebih besar. Ini bagi memastikan perkara-perkara berkaitan kebajikan dan keselamatan barisan hadapan dapat diberikan perhatian yang serius serta lebih terjamin.

Kelemahan menteri kesihatan tidak boleh dijadikan alasan. Justeru, jalan terbaik adalah menukar menteri kesihatan sekarang kepada individu yang punya kewibawaan untuk memerangi Covid-19.

Mengambil New Zealand sebagai contoh terbaik, menteri kesihatannya meletak jawatan apabila terlibat dalam aktiviti yang melanggar prosedur operasi standard (SOP) iaitu dengan berkelah di tepi pantai.

Jawatan menteri kesihatan New Zealand kemudian diberi kepada menteri pendidikan untuk memerangi Covid-19. Hasilnya, hari ini New Zealand menjadi negara terendah kes Covid-19.

Menunggu menteri kesihatan Malaysia meletak jawatan seperti menunggu “kucing bertanduk”, dan rakyat boleh menilai keupayaan beliau. Malahan perdana menteri sendiri pernah memberi contoh tidak baik kepada beliau.

Maka, Malaysia tidak boleh terus bergantung harap kepada menteri kesihatan yang lemah untuk menangani pandemik Covid-19 yang semakin membarah.

Tanggungjawab melawan Covid-19 melalui menteri pertahanan (pengumuman SOP, Perintah Kawalan Pergerakan) dan urus selia vaksin melalui Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi mesti ditamatkan, dan diserahkan sepenuhnya kepada KKM.

Malaysia memerlukan menteri kesihatan yang punya wibawa untuk menangani Covid-19. Kita sudah darurat, perdana menteri punya kuasa mutlak untuk melakukan perubahan itu. Justeru, menteri paling berwibawa harus mengambil alih tugas menteri kesihatan.

Sekiranya sukar untuk mendapatkan menteri yang berwibawa sebagai menteri kesihatan, saya ingin mengesyorkan supaya ketua pengarah kesihatan dilantik sebagai menteri kesihatan.

Alang-alang darurat, biarlah tenaga profesional membuat dasar dan melaksanakan proses memerangi Covid-19.

Jika kita masih ditakuk lama dan perdana menteri tidak bersedia menukar menteri yang lemah, maka, apa makna darurat kalau bukan kerana politik.

Ia sekadar mengesahkan perdana menteri lemah didukung oleh menteri yang lemah.  – 20 Januari, 2021.

* Adly Zahari, Adun Bukit Katil.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi Perak Insights.