January 20, 2021
Timbalan Pengerusi Biro Penerangan Bersatu Dr Afif Bahardin mendakwa bekas menteri kewangan Lim Guan Eng cuba menjejaskan usaha kerajaan untuk mengukuhkan ekonomi negara.
Afif menyifatkan kritikan Lim berhubung kenyataan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Azmin Ali berhubung darurat sebagai tidak berasaskan fakta.
Semalam, Azmin berkata proklamasi darurat menunjukkan kerajaan serius dalam melawan Covid-19 dan ia akan memberi keyakinan kepada pelabur asing.
Lim menyifatkan Azmin sebagai “menipu diri sendiri” dengan membuat kenyataan itu, dan membangkitkan penurunan penarafan oleh Fitch Ratings, kemeleseten ekonomi dan peningkatan kadar pengangguran.
Hari ini Afif berkata Bursa Malaysia ditutup dengan kadar 1.53 peratus lebih tinggi sehari selepas pengumuman darurat.
Dia juga membangkitkan aliran masuk pelaburan asing berjumlah RM326.1 bilion dalam ekuiti negara minggu lalu.
Berhubung penarafan Fitch Ratings pula, bekas pemimpin PKR itu berkata ia “situasi biasa” di tengah kemerosotan ekonomi global akibat Covid-19.
Lim Guan Eng
“Ternyata data dan fakta yang dikongsikan ini menyangkal sama sekali cubaan Lim untuk mengelirukan rakyat dan mengganggu usaha kerajaan dalam mencerdaskan semula ekonomi negara.
“Kegagalannya untuk merujuk fakta dan data mengesahkan lagi dakwaan kegagalan dan kelemahan sebagai menteri kewangan sebelum ini,” katanya dalam kenyataan.
Sementara itu, Ahli Parlimen Bukit Mertajam Steven Sim mendakwa kerajaan cuba membunuh “sumber utama” pelaburan asing langsung (FDI) negara.
Memetik Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (Mida), Sim berkata tujuh daripada 11 projek dengan nilai Pendapatan Negara Kasar (GDI) tinggi tahun lalu adalah di Pulau Pinang, menunjukkan negeri itu sebagai destinasi utama FDI.
Maka tindakan kerajaan PN membatalkan empat projek infrastruktur penting di Pulau Pinang adalah dendam politik semata-mata yang tidak munasabah dari segi ekonomi,” katanya dalam kenyataan.
Steven Sim
Katanya, projek itu adalah pembinaan kereta kabel bernilai RM100 juta, pembesaran Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang bernilai RM800 juta, penarikan jaminan untuk pinjaman Bank Pembangunan Asia bagi projek LRT dan penggantian perkhidmatan feri.
Katanya lagi, kerajaan PN perlu sedar yang syarikat multinasional kini mula beralih ke negara jiran, termasuk Hyundai yang menutup ibu pejabat Asia Pasifik di Malaysia untuk berpindah ke Indonesia.
“Kini PN mahu membunuh sumber utama FDI dengan menafikan pembangunan infrastruktur yang amat diperlukan di Pulau Pinang.
“Empat projek ini perlu dikembalikan segera jika tidak Pulau Pinang dan Malaysia akan terus mengalami kemerosotan ekonomi tahun ini,” katanya lagi.