Kerajaan Negeri Diminta Siasat 'Lapangan Terbang Haram' di Hulu Bernam

SHAH ALAM, 18 Nov : Jawatankuasa Pilihan Mengenai Agensi Kerajaan, Badan Berkanun dan Anak-Anak Syarikat Kerajaan Negeri Selangor (ABAS) menggesa agar Kerajaan Selangor menyiasat dan mengambil tindakan tegas berhubung kewujudan sebuah lapangan terbang ditanah milik Yayasan Selangor yang sebelumnya berstatus tanah dusun seluas 217 ekar di Hulu Bernam.

Adun Lembah Jaya, Khasim Abdul Aziz semasa sidang DUN Selangor berkata ABAS telah membuat lawatan ke Hulu Bernam pada Oktober lepas ekoran dakwaan wujudnya sebuah landasan kapal terbang haram iaitu Bernam River Airfield .

Menurut ABAS lapangan terbang tersebut berada dalam tanah milik Yayasan Selangor di Geran hakmilik bernombor HSD 45128, No Pt 2924 yang keluasan asal 225 ekar.

"Jawatankuasa Pilihan ABAS mendapati perkara tersebut tidak patut berlaku , tanah tersebut telah diberi kepada Syarikat Aviation Development Sdn Bhd (ADC) pada tahun 2006 seluas 217 ekar, dan sepatutnya digunakan dengan cara yang betul, tetapi yang menjadi masalah kepada kita ialah anak-anak syarikat tidak mempergunakan tanah tersebut dengan betul dan keuntungannya dikaut oleh pihak yang lain," katanya.

Beliau berkata, Jawatankuasa Pilihan ABAS menyararankan supaya kerajaan mewujudkan satu pasukan untuk menyemak dan meneliti perjanjian usahasama yang ditandatangani pada 15 Ogos 2007 antara Yayasan Selangor dan Syarikat ADC.

Ini bagi memastikan sebarang amalan yang menyalahi peraturan dan etika dapat diperbetulkan dan individu-individu terlibat bagi pihak anak syarikat kepada kerajaan negeri dapat dipertanggungjawabkan .

"Kerajaan negeri perlu mewujudkan satu pasukan khas bagi mengkaji secara mendalam kesesuaian tanah seluar 217 ekar pada dasar penggunaan nilai semasa, serta unjuran penggunaan tanah pada masa hadapan, berbanding syarat kelulusan asal bagi menjana hasil dan pulangan yang optimum kepada kerajaan negeri dan manafaat sebaiknya kepada kerajaan Selangor," katanya.

Sementara itu, Adun Subang Jaya Hannah Yeoh yang menyokong usul itu berkata Yayasan Selangor telah membuat laporan terdapat aktiviti-aktiviti yang tidak bermoral dan menyalahi undang-undang di kawasan lokasi tersebut dan menggesa agar syarikat tersebut juga disiasat.

 "Syarat nyata di kawasan ini ialah untuk tanaman dusun tetapi digunakan untuk membina kawasan lapangan terbang dan aktiviti ini telah bermula sejak 2007 namun jawatankuasa mendapati tidak ada tindakan langsung daripada Majlis Daerah Hulu Selangor ataupun Pejabat Tanah.

"Saya menyeru agar disiasat siapa yang di belakang syarikat ADC ini, dan diminta kerajaan negeri cepat menyiasat bagi menjamin keselamatan pendudukdi sekitar kawasan tersebut," katanya.

Menteri Besar , Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim ketika memberi respon berhubung perkara ini menyatakan perjanjian yang ditandatangani pada 2007 tersebut didapati banyak terma-terma perjanjian yang berat sebelah dan merugikan Yayasan Selangor.

"Saya diberitahu Yayasan Selangor telah membuat inisiatif untuk membawa kes ini ke mahkamah, supaya dapat menghentikan syarikat tersebut daripada menjalankan penyalahgunaan status tanah tersebut." katanya.

Seleweng Tanah : ADUN BN Minta Satim Bertanggungjawab

SHAH ALAM, 18 NOV : Isu penyelewengan berhubung penjualan tanah kerajaan di Science Park 2 membabit Ketua Pembangkang Dun Selangor, Datuk Satin Diman turut mendapat kecaman dari pemimpin Barisan nasional.

Adun Sungai Burung dari Barisan Nasional(BN), Shamsudin Lias mengesa Ketua Pembangkang Selangor, Datuk Satim Diman tampil kehadapan bagi membuktikan dirinya tidak bersalah atas dakwaan penyelewengan tanah ketika era pemerintahan BN dahulu.

"Sekiranya terbukti beliau (Satim) lakukannya, beliau perlu bertanggungjawab, prinsip kita jelas, saya sendiri jelas sekiranya kita langgar undang-undang, kita perlu bertanggungjawab.

"Kalau benar wujud salahguna kuasa, perkara ini boleh dilaporkan kepada pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan polis, itu sahaja,"katanya.

Di dalam sesi DUN 15 November lalu, Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim menjelaskan bahawa Satim menjual tanah milik kerajaan Selangor pada tahun 2006 dengan harga yang murah kepada Nikmat Inai Sdn Bhd.

Menurut Khalid transaksi penjualan yang dilakukan oleh Satin amat licik sehingga tidak dapat dikesan berlaku sebarang penyelewengan.

"Ada juga beberapa isu mengenai Bekas Menteri Besar, saya sedang kumpulkan dan jika perlu saya akan dedahkan.

"Apa yang ingin saya pamerkan ialah beza antara pentadbiran Pakatan Rakyat dengan Barisan Nasional, yang mana kita melaksanakannya pentadbiran untuk kepentingan semua rakyat tetapi sebaliknya bagi mereka (BN) yang hanya memberi kepada kroni,"jelas khalid

Pendedahan tersebut menyaksikan seorang lagi pemimpin tertinggi BN Selangor terpalit dengan pelbagai penyelewengan.

Satim ketika itu adalah ahli lembaga pengarah dan pemegang saham utama di dalam Nikmat Inai.

Tanah dilokasi Science Park-2 seluas 80 ekar di Cyberjaya itu dianugerahkan oleh kerajaan negeri kepada Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS).

Satim bagaimana pun menjual tanah tersebut kepada syarikatnya sendiri pada harga RM1.80 sekaki persegi atau RM 6.5 juta.

Susulan itu, syarikatnya menjual semula kepada Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) pada harga RM5.30 sekaki persegi atau RM19.2 juta.

 Ditanya mengenai urus niaga untung atas angin ini, Shamsudin (gambar) menjelaskan ia bukan isu kerana tanah tersebut diberikan kepada Satim dan terpulang kepada beliau untuk menguruskannya.

"Itu terpulang kepada tuan empunya tanah, asalkan urusan itu tidak menyeleweng dan melanggar undang-undang," jelas Shamsudin.

Turut disebut dalam pendedahan Khalid itu ialah pemberian tanah melibatkan seorang bekas Menteri Besar Selangor dan isteri kepada seorang Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani.

Sementara itu, Adun Sungai Pelek, Yap Ee Wah dari BN ketika ditemui TVSelangor di Lobi DUN semalam enggan memberi apa-apa reaksi berhubung perkara ini dengan memberi alasan bahawa beliau tidak hadir pada sesi DUN 15 November lalu.

"Saya tidak boleh memberi apa-apa reaksi kerana saya tidak hadir pada hari itu, Saya keluar kawasan untuk memberi sumbangan, ia tidak adil bagi saya untuk mengulas benda ini.

"Minta penjelasan dari mana-mana adun pembangkang yang lain," katanya.

Memoir Syed Husin: Apabila idealisme bergabung dengan kuasa

"Biasanya kita sebut tentang politik dia bersangkut paut dengan kuasa. Tetapi dengan Dr.Syed Husin Ali, politik ini dalam pandangan saya, politik Syed Husin Ali ini tidak bersangkut paut dengan kuasa. Dia hanya sangkut paut dengan idealisme dan prinsip perjuangan."

Demikianlah kata-kata Tian Chua, Naib Presiden PKR dalam Majlis Pelancaran Memoir Perjuangan Politik Syed Husin Ali, di Pusat Konvensyen Shah Alam, semalam. Tian Chua mengakui bahawa Syed Husin Ali adalah idola politik pertamanya ketika dirinya balik dari luar negeri. "Kita menyokong Syed Husin Ali (pada ketika itu) bukan dengan tujuan untuk tukar kerajaan. Bukan tujuan untuk melaksanakan prinsip-prinsip atau dasar-dasar baru. Hanya (kerana) pada waktu itu kita rasa kita perlu satu suara untuk golongan yang dipinggirkan, golongan yang ditindas. Kita perlukan a voice of conscience in the parliament."

Bagaimanapun, Tian Chua yang secara rasminya terlibat dalam politik selepas Anwar Ibrahim dipecat dari jawatan Timbalan Perdana Menteri, menganggap sejarah perjuangan politik Syed Husin Ali tidak boleh dipisahkan daripada Anwar Ibrahim, tokoh yang mewakili politik "kuasa". Gabungan politik antara Syed Husin Ali dengan Anwar Ibrahim telah memberi imaginasi bahawa kedua-dua kuasa dan idealisme boleh digabungkan, dakwa Tian Chua.

Syed Husin Ali adalah pensyarah di Universiti Malaya ketika Anwar Ibrahim memimpin gerakan mahasiswa pada tahun 1970-an. Anwar menyertai UMNO-BN pada tahun 1982, berada dalam sistem kerajaan untuk 16 tahun sebelum dipecat pada 2 September 1998. Sementara Syed Husin Ali kekal sebagai pembangkang yang tidak pernah menang dalam PRU, memimpin Parti Rakyat Malaysia (PRM). Syed Husin Ali dan Anwar bertemu semula, dengan pencantuman PRM dan Parti Keadilan Nasional (ADIL), dan berada dalam perjalanan yang sama sehingga ke hari ini.

Untuk Tian Chua, Syed Husin Ali umpama jambatan antara dua generasi, iaitu generasi sebelum merdeka (yang memikirkan bentuk dan corak negara selepas merdeka), dengan generasi selepas merdeka yang diwakili Anwar (yang cuba merealisasikan impian negara yang ingin dibentuk). Kedua-dua tokoh ini telah mengumpul pengalaman yang berbeza sepanjang perjuangan mereka, malah secara berseloroh Tian Chua menggesa Anwar untuk menulis memoir beliau selepas penerbitan memoir Syed Husin Ali.

Kira-kira 1,000 orang hadir dalam Majlis Pelancaran Memoir Perjuangan Politik Syed Husin Ali, kebanyakannya terdiri daripada pimpinan PKR. Sebelum majlis dirasmikan Menteri Besar Selagor Khalid Ibrahim, Ketua Pembangkang Parlimen Anwar Ibrahim, Sasterawan Negara A.Samad Said, Tian Chua dan bekas pimpinan PRM Sanusi Osman diundang untuk memberi ucapan. Turut hadir termasuklah Professor Emeritus Khoo Kay Khim, bekas ahli parlimen Kok Lanas, Abdullah Ahmad dan lain-lain lagi.

Syarat jadi calon...

Anwar tidak lupa untuk mengungkit kisah pencantuman PRM dan KeADILan, yang berlaku ketika dirinya berada dalam penjara. "Parti KeADILan mendapat dokongan massa pada ketika itu, Parti Rakyat punyai rekod pejuang-pejuang yang pertahankan idealisme, yang tidak mudah digugat keyakinan mereka, dibeli, ataupun diugut."

Ketua Umum PKR ini mengakui bahawa dirinya mencadangkan dalam mesyuarat Majlis Pimpinan Pusat PKR, agar majlis pelancaran memoir ini dijadikan acara yang penting untuk parti dan kerajaan negeri Selangor.

"Dalam politik ini bukan sekadar mainan kata-kata, dia mesti melalui keyakinan. Dan buku ini membantu kita memahami peristiwa, latar belakang..." Malah, berkali-kali Anwar (gambar kanan) menekankan, "Jadikan parti kita dan susuk perjuangan ini tidak sekadar retorika politik biasa, tapi satu tradisi dan budaya ilmu yang kuat, yang tabah, yang boleh membantu kita pertahankan idealisme ini, sama ada kita berkuasa di negeri, atau sekarang sebagai pembangkang, apatah lagi cabaran lebih besar, bila...Insyaallah, kita tawan Putrajaya."

Malah, secara berjenaka beliau memberi amaran, "Kalau saya dapati mana-mana tokoh yang tidak selesai menelaah buku (ini), dia tidak akan dipertimbangkan menjadi calon nanti...", disambut dengan gelak ketawa dan tepukan di bawah pentas.

Tiada kemenangan tanpa pengorbanan

Dalam ucapannya yang ringkas, bekas Timbalan Presiden PKR Syed Husin Ali berkata, "Saya tahu tujuannya bukan untuk memuji dan memuja, tetapi apa yang hendak dilakukan oleh saudara Anwar ialah meneruskan dan menggalakkan tradisi keintelektualan dalam parti."

"Kita harus bergerak bukan dari segi politik saja, sebab perubahan dalam politik itu satu aspek. Kita harus buat perubahan dalam kebudayaan, dalam ilmu, selain daripada bidang-bidang seperti politik, ekonomi dan sebagainya."

Menyambung kisah A.Samad Said yang menceritakan bagaimana Ahmad Boestamam memulangkan dua beg wang yang diserahkan kepadanya, hanya kerana tidak pasti punca dari mana sebahagian wang itu datang, Syed Husin Ali mengambil kesempatan untuk menempelak pemimpin zaman sekarang yang bukan sahaja keluar parti apabila didatangi wang dalam beg, malah terus menghentam parti dan pemimpin selepas keluar parti.

Sebelum mengakhiri ucapannya, Syed Husin Ali tidak lupa menegur sesetengah wakil rakyat yang bercita-cita menawan Putrajaya, tetapi tidak menjejak langkahnya ke kawasannya selepas menang disokong pengundi. Beliau menyeru agar pimpinan muda meneladani semangat pengorbanan pemimpin dahulu, sambil mengingatkan, "Dalam perjuangan mesti ada pengorbanan. Tanpa pengorbanan, tidak akan ada kemenangan."

Wawancara MerdekaReview bersama Syed Husin Ali pada September 2010:

Syed Husin Ali: Anwar berbeza daripada Razaleigh

Digugurkan sebagai calon PRU 2004: Saya tahu Nik Aziz menyesal, Syed Husin Ali

PERSAPAN LANCAR LA...PEMBAHRUAN MACAMANA?

PRU-13: Persiapan SPR lancar

November 17, 2011

PORT DICKSON, 17 Nov ― Persiapan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menghadapi pilihan raya umum ke-13 berjalan lancar dan setakat ini masih di peringkat awal, kata Pengerusi SPR Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof.

“Maknanya persediaan kita sangat awal. Maksud saya banyak di peringkat perancangan lagi. Hanya untuk tujuan ini baru kita mula pelantikan sebahagian pegawai pengurus dan penolong pegawai pengurus pilihan raya dan ini tidak menyeluruh lagi.

“Tapi maksudnya kita sudah mula peringkat demi peringkat. Daripada segi perancangan kita sudah ada... lepas ini apa, lepas ini apa dan seterusnya,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan majlis taklimat kepada 50 orang pegawai pengurus dan penolong pegawai pengurus pilihan raya bagi Negeri Sembilan di sini.

Dipetik Bernama Online, Aziz (gambar) berkata persiapan daripada segi logistik seperti peti undi, penindik, borang-borang dan sebagainya juga sedang disusun.

“Begitu juga dengan keperluan pengangkutan seperti helikopter, kapal terbang, perahu, bot, kereta dan lain-lain. Di samping itu, kita juga mengatur kerjasama dengan semua jabatan dan agensi yang berkaitan seperti polis dan Jabatan Pelajaran supaya dapat membantu SPR apabila pilihan raya umum diadakan kelak.

“Persiapan ini perlu supaya kita tidak terperangkap apabila dewan dibubarkan nanti. Sekarang ini perhatian kita sepenuhnya untuk membuat persediaan pilihan raya umum yang ke-13... fokus kita ke situ sekarang,” katanya.

Mengenai perkara baharu yang hendak diperkenalkan, Aziz berkata berkata ada perkara berkenaan baru diperkenalkan kepada Jawatankuasa Pilihan Khas Berhubung Dengan Penambahbaikan Proses Pilihan Raya untuk dibincang dan diperhalusi dengan pelbagai pihak.

“Setelah ada persetujuan itu nanti barulah dikemukakan kepada SPR untuk keputusan muktamad bagi pelaksanaan. Perkara baru itu termasuk proses penambahbaikan penamaan calon, bahan kempen, pengundian pos dan sebagainya,” katanya.

Pilihanraya Negeri Selepas Jun

SHAH ALAM, 17 NOV: Selangor hanya akan menyertai piliharaya Umum sekiranya dilakukan selepas bulan Jun tahun hadapan.

Menteri Besar Selangor berkata tempoh selepas Jun dianggap relevan dan sesuai selepas belanjawan negeri dapat dilaksana dan dinikmati oleh rakyat.

"Kalau tidak apa guna kita buat belanjawan sekiranya belanjawan tersebut tidak dapat dinikmati oleh rakyat.

"Kalau dalam bulan Jun, Julai dan Ogos tahun depan kita akan sertai pilihan umum bersama pusat kalau tidak kita akan buat berasingan," kata beliau yang juga Adun Ijok.

Menurut Khalid, adalah amat berhemah sekiranya belanjawan sebanyak RM 1.6 bilion dapat dinikmati oleh rakyat Selanor supaya keikhlasan kerajaan Selangor dapat dinilai oleh rakyat.

"Kita masih ingat semasa Pilihanraya Umum 2008 dahulu dimana pilihanraya Umum dilakukan pada bulan Mac dan semua belanjawan tersebut telah habis dalam masa hanya tiga bulan oleh pentadbiran BN," jelas beliau di sidang media sejurus selepas tamat sidang DUN Selangor.

Ketika di tanya berhubung persetujuan parti diperingkat pusat beliau berkata kepimpinan tertinggi parti memberi sepenuh kepercayaan kepada kerajaan negeri untuk memilih tarikh untuk mengadakan pilihanraya negeri.

Ditanya mengenai kebimbangan sokongan rakyat terhadap kepimpinan negeri sekarang Khalid berkata tidak ada sesiapa pun boleh memberi jaminan berhubung sokongan rakyat.

"Perlembagaan negara membenarkan pilihanraya dalam tempoh lima tahun dan tempoh empat tahun lebih yang kita pilih adalah amat sesuai dan munasabah.

"Rakyat pun bukan mahu kita buat pilihanraya setiap tahun tetapi rakyat mahu melihat pentadbiran dan pengurusan kerajaan yang baik dan memberi manfaat kepada rakyat.

Menurut Khalid lagi, beliau menyerahkan seluruh kepercayaan kepada rakyat negeri selangor untuk memastikan kepimpinan negeri dimasa akan datang.

MB : Syabas Berniaga Air Cara Hutang

SHAH ALAM, 16 NOV : Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim mendedahkan tindakan beberapa syarikat konsesi air seperti Syabas yang menjalankan operasi perniagaan mereka secara berhutang dan bukannya berdasarkan kemampuan kewangan syarikat terbabit.

Kesan dari itu mengakibatkan Syabas terpaksa menaikkan tarif air bagi membayar pelbagai tunggakan kepada pihak yang memberi hutang.

Menurut Khalid, selepas Syabas mendapat kontrak bagi konsesi perbekalan air, syarikat tersebut menjadikan perjanjian kontrak tersebut sebagai cagaran untuk mendapatkan hutang dari pasaran-pasaran kewangan.

"Syabas telah berhutang sebanyak RM3 bilion dari syarikat-syarikat kewangan sejurus selepas memperoleh perjanjian konsasi tersebut.

"Ini menunjukkan asas perniagaan Syabas adalah dari sumber hutang bukannya dari kemampuan kewangan syabas sendiri." kata beliau ketika menjawab soalan Adun Lembah Jaya, Abdul Khasim Abdul Aziz.

Beliau yang juga Adun Ijok berkata akibat dari bebanan hutang yang tinggi, bebanan tersebut terpaksa ditanggung oleh rakyat dengan cara Syabas menaikkan tarif air.

"Apabila hutang tidak dapat dibayar Syabas telah meminta dari kerajaan persekutuan.

"Disebabkan nak bantu syarikat kroni kerajaan pusat telah menggunakan wang rakyat dengan memberi pinjaman sebanyak RM300 juta tanpa faedah selama tujuh hingga lapan tahun." jelas Khalid.

Menurut Khalid lagi akibat dari ketidakcekapan Syabas serta beberapa syarikat konsasi air di Selangor ini menyebabkan kerajaan negeri terpaksa menggunakan dana yang tinggi untuk mengambil alih industri air dinegeri ini.

"Selangor perlu menggunakan hampir RM10 bilion untuk mengambil alih air Selangor kerana kos tersebut turut melibatkan hutang-hutang syarikat konsasi tersebut dengan pasaran-pasaran kewangan.

"Walaupun bayarannya agak besar tetapi industri air ini perlu diselamatkan bagi menjamin tidak berlaku penguasaan yang sewenang-wenangnya oleh mereka yang tidak bertanggung jawab yang akhirnya dibebankan kepada rakyat." ujar beliau lagi.

MUKA TAK MALU MAKAN DUIT RAKYAT


Berdasarkan rekod kewangan syarikat projek ternakan lembu, Perbadanan Fidlot Kebangsaan (NFC), PKR mendakwa terdapat lebih banyak penyelewengan dalam syarikat yang dimiliki oleh keluarga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Sharizat Abdul Jalil.

NONEPada sidang media di lobi parlimen, setiausaha agung PKR Saifuddin Nasution mendedahkan bahawa skandal itu kini merebak dan turut membabitkan beberapa pemimpin Umno lain.

1. Lembu-lembu bernilai RM5,281 yang disumbangkan pada tahun 2009 kepada Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Shaziman Mansor; dan RM2,640 kepada ADUN yang hanya dikenali sebagai 'YB Yunus'.

2. Lembu-lembu bernilai RM70,000 dikatakan dijual secara kredit kepada bekas Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Zulhasnan Rafique pada tahun 2008; dan harga pembelian hanya dibayar sepenuhnya pada tahun 2009.

3. RM26,400 yang didakwa dibayar sebagai perbelanjaan yang dilakukan pada tahun 2008 oleh Shahrizat.

4. RM368,640 yang dikatakan digunakan bagi sewa pejabat dan dibayar kepada pengarah NFC - suami Shahrizat, Mohamad Salleh Ismail dan anak lelaki mereka, Wan Shahinur Izran.

Syarikat itu, sebelum ini, didakwa telah membelanjakan sebanyak RM250 juta dana awam yang diperuntukan dalam bentuk pinjaman mudah. Namun sehingga hari ini, tiada ulasan berhubung segala dakwaan yang dilemparkan dijawab.

MULA MULA NAFI ...AKHIRNYA TARIK PULA....

Tak habis-habis kerajaan Njib 1 Malaysia ni dengan berbagai skadal dan juga pentadbiran.Walau diberikan maklumat yang tepat berhubung dengan beberapa barangan yang tercemar, seperti biasanya kerajaan dan pecacai Umno tetap menafikan sehinggalah ianya terbukti.

Sikap beginilah yang sedang menjahanamkan Umno dan kita harap ianya dapt menyedarkan rakyat bahawa kerajaan yang ada sekarang ini tidak harus di kekalkan dan harus di tolak bagi menggantikan dengan kerajaan yang baru.


Kedai Rakyat 1Malaysia (KR1M) telah menarik balik susu tepung jenama itu dari pasaran, sehari selepas dakwaan bahawa kandungannya melanggar batas-batas yang ditetapkan oleh Akta Peraturan-Peraturan Makanan 1985.

NONEDalam satu kenyataan di laman web hari ini, KR1M berkata produk itu telah dikeluarkan buat sementara waktu tetapi tidak memberikan sebarang sebab bagi berbuat demikian.

“Pembekal susu tepung KR1M telah dimaklumkan dan produk berkenaan telah dikeluarkan buat sementara waktu sehingga diberitahu kelak,” petik kenyataan itu.

Mengenai dakwaan sos cili jenama 1Malaysia yang didakwa mempunyai tahap raksa dan plumbum melebihi paras yang dibenarkan, pengendalinya menafikan perkara itu.

“Buat masa ini, ujian makmal dari pembekal menunjukkan bahawa formula produk itu mematuhi keperluan Akta Peraturan-Peraturan Makanan,” petik kenyataan itu lagi.

Penyelewengan Satim dan Barisan Nasional Dibongkar MB

SHAH ALAM, 16 NOV : Sesi penggulungan Belanjawan Selangor 2012 hari ini menjadi gempar berikutan pendedahan Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berhubung pelbagai salah guna kuasa Barisan Nasional Selangor membabitkan kehilangan jutaan ringgit yang turut melibatkan Ketua Pembangkang, Datuk Satim Diman.

Selain Satim, Abdul Khalid juga mendedahkan usaha pengambilan tanah oleh bekas menteri Besar Selangor, isteri Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani serta pemimpin politik setempat bagi mendapat beberapa lot tanah dikawasan elit.

Dalam sesi penggulungan itu, Khalid mendedahkan Ketua Pembangkang, Satim Diman telah membuat beberapa transaksi berhubung penjualan tanah di Science Park 2 semasa pentadbiran BN dulu.

Tanah tersebut merupakan tanah milik kerajaan negeri yang telah diberikan kepada Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) untuk tujuan pembangunan pendidikan sains.

Menurut Khalid, pemberian tanah tersebut bagaimanapun dijual oleh Satim dengan harga murah kepada Nikmat Inai Sdn Bhd, di mana Satim adalah salah seorang pemegang saham dan Ahli Lembaga Pengarah.

"Belum selesai syarikat Satim membayar belian kepada PKPS, atas kuasa politik yang beliau pegang, tanah itu dijual kepada Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) dengan harga berlipat kali ganda.

"Inilah berjayanya Satim Diman menjadi orang tengah untuk mengaut untung atas angin atas dasar Bumiputera,"jelas Khalid.

Sidang DUN yang masuk hari kelima hari ini turut digemparkan dengan pendedahan Khalid berhubung tanah Revolusi Hijau di Alam Perdana yang melibatkan bekas Menteri Besar dan isteri Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani serta pemimpin politik setempat membolot beberapa lot tanah.

"Tanah ini telah menjual kepada Barisan Elit untuk taman penindustrian walaupun tanah itu masih berstatus pertanian.

"Meskipun Barisan Elit tidak boleh memulakan projek perindustrian, namun yang berkuasa adalah orang berkepentingan maka projek tersebut dijalankan sedangkan rakyat Selangor kerugian puluhan juta hasil bayaran premium," katanya.

Selain itu, ladang seluas 12,000 ekar di Sabah yang dikatakan dijual oleh PKPS pada 2006. Ladang ini djual RM8,000 seekar kepada syarikat Bumiputera.

Namun seperti juga kes Science Park 2, Khalid berkata, ladang ini dijual pula kepada Rimbunan Hijau, syarikat yang ada kaitan dengan parti komponen BN.

Mengulas lanjut salahlaku pembangkang ini, Khalid menjelaskan Kerajaan Negeri pada akhirnya berjaya memaksa Barisan Elit Sdn Bhd membayar RM29 juta untuk menukar syarat dari pertanian kepada perindustrian.

"Tiga contoh ini menunjukkan Umno-BN sentiasa menggunakan isu Bumiputera dan memperjuangkan hak Melayu namun mereka adalah dalang yang menghakis hak kepentingan rakyat Selangor,"kata Khalid lagi.

Beliau yang juga Adun Ijok berkata sejak Mac 2008, kerajaan Pakatan Rakyat telah mengamalkan reformasi dalam pentadbirannya yang amat mementingkan ketelusan, kecekapan dan pertanggungjawaban serta bersih dari amalan rasuah dan kronisma.

Kesan dari reformasi ini, kata Khalid telah memberi keuntungan yang berlipat kali ganda berbanding pentadbiran terdahulu, malah mampu mengembalikan hasil negeri untuk rakyat Selangor.

MASAKAN CINTA (LOVE DISH)

LEPAS LETAK JAWATAN ...kes pasti selesai bawah tikar

Dakwat kekal: Pakatan akan sokong pindaan perlembagaan

BAYAR JANGAN TAK BAYAR

Kes fitnah: Permohonan Hisham batal kenyataan Anwar ditolak

November 15, 2011

KUALA LUMPUR, 15 Nov – Mahkamah Tinggi hari ini menolak permohonan Datuk Seri Hishammuddin Hussein untuk mengetepikan beberapa bahagian dalam kenyataan pembelaan difailkan oleh Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam kes fitnah dibawa oleh Menteri Dalam Negeri itu.

Sehubungan itu juga, Hakim Mahkamah Tinggi V.T. Singham mengarahkan Hishammuddin agar membayar kos RM25,000 kepada Anwar.

Hishammuddin memohon bagi membatalkan sebahagian kenyataan pembelaan Anwar dalam saman fitnah berhubung video seks memaparkan pelaku mirip ketua pembangkang itu.

Hishammuddin yang diwakili peguam Sunil Abraham memfailkan saman fitnah terhadap Anwar kerana mengeluarkan kenyataan memfitnahnya semasa temu bual dengan media pada 22 Mac lalu selepas membuat laporan mengenai video itu di balai polis Dang Wangi di sini.

Hishammuddin, 50, berkata kenyataan itu dilaporkan secara meluas dalam media dan Internet dan difahamkan membawa maksud bahawa beliau bertanggungjawab menayangkan video itu kepada sekumpulan editor dan wartawan di Hotel Carcosa Seri Negara pada 21 Mac lepas.

Menteri itu berkata kenyataan itu juga difahamkan membawa maksud yang beliau telah mengaturkan penayangan video itu dan telah berkomplot dengan Perdana Menteri dan pegawai tinggi polis untuk melakukan perbuatan itu.

Dalam pernyataan pembelaannya, Anwar berkata kenyataan beliau semasa temu bual dengan media pada 22 Mac, selepas membuat laporan mengenai video itu di balai polis Dang Wangi, diterbitkan berdasarkan perlindungan bersyarat.

Anwar mendakwa kenyataan itu diterbitkan berdasarkan perlindungan bersyarat yang dimilikinya atas kedudukannya sebagai Ketua Pembangkang dan Anggota Parlimen kawasan Permatang Pauh, kepada orang awam yang mempunyai hak kepentingan untuk menerima maklumat itu.

Lagipun, beliau mendakwa kenyataan yang dipertikaikan itu merupakan komen yang adil terhadap perkara berkepentingan awam dalam menyatakan pendapat beliau bahawa Hishammuddin telah berkompromi dengan perbuatan jenayah kumpulan lelaki yang digelar ‘trio’ dalam memaparkan video itu walaupun beliau tahu atau sepatutnya tahu mengenai perbuatan mereka.

Dalam tuntutan balasnya, Anwar menegaskan kenyataan Hishammuddin dalam sidang media beliau pada 21 Mac, memperlihatkan bahawa beliau adalah individu dalam video itu seperti mana ditegaskan oleh trio itu.

Hishammuddin, dalam jawapannya kepada pernyataan pembelaan Anwar berkata ketua pembangkang itu berniat jahat selepas mengeluarkan kata-kata dalam satu persidangan akhbar yang kemudiannya dilaporkan dengan meluas di media dan Internet.

Beliau berkata perkataan yang diterbitkan itu, tidak dipaparkan dengan niat baik dan motif utama Anwar adalah untuk memperlekehkan reputasi Hishammuddin sebagai menteri dan sebagai ahli politik.

PPSMI: Krisis Legitimasi dan Normatif


Aqil Fithri | Nov 15, 2011 12:08:18 pm

PPSMI adalah bahagian dari konflik sosial. Justeru, dalam berbicara tentang konflik sosial, itu akan melibatkan dua aspek penting: teori sosial, dan teori normatif; antara realiti dan telos, antara fenomena dan noumena, antara praktis dan teori.

Justeru, di sini saya ingin menunjukkan bahawa dalam isu PPSMI ini, kedua ranah ini tidaklah memihak kepada kalangan yang mendukung PPSMI. Maknanya, untuk "apa yang ada" (das sein) itu ada masalah legitimasi, sementara untuk "apa yang seharusnya" (das sollen) itu adalah masalah normativiti.

Begini. Kita mulakan dengan persoalan legitimasi dulu.

PPSMI, dilaksanakan pada tahun 2003, dengan tergesa-gesa, tanpa kajian, tanpa percubaan, dan melibatkan jumlah bukan-main, ura-ura lebih RM12 billion. Dengan semua ketergesaan ini, PPSMI dilaksanakan, dan akhirnya menimbulkan pelbagai bantahan keras, dan berpanjangan. Permulaannya, berlaku perdebatan yang melibatkan kalangan intelektual, ahli pendidikan, ahli sains dll. Namun, di kalangan PPSMI, intelektual yang paling kental tidak lain adalah Mahathir Mohammad. Ini tokohnya. Mahathirisme adalah sumber pemikiran bagi kalangan PPSMI.

Hujah-hujah untuk mempertahankan PPSMI hanya saja dikeluarkan secara intensif setelah dilaksanakan. Itupun telah berlaku peralihan nada hujah; dari soal menguasai Bahasa Inggeris, kepada soal belajar sains dan matematik dalam Bahasa Inggeris. Namun, PPSMI terus mendapat tentangan. Ini sehingga mengundang sejumlah rakyat untuk turun ke jalanraya pada tahun 2009. Soalnya, mengapa sampai ada bantahan yang cukup kuat terhadap PPSMI?

Ini tentu sekali akibat proses untuk melaksanakan PPSMI itu yang tidak melalui prosedur yang legitim. Prosedur yang seharusnya, haruslah mendapatkan persetujuan rakyat. Jika tidak, pendam dan dendam, akan meledak. Ini akan menjadikan setiap keputusan tanpa prosedur legitim akan mendapat bantahan yang berlarutan. Kalau benar hujah bahawa PPSMI dapat dipertahankan, maka kalangan PPSMI seharusnya berani berdepan secara rasional, bahkan dapat juga menunjukkan betapa ada majoriti yang mendukung keputusan tersebut. Tapi, ini tidak berlaku. Memang, nanti akan ada tuduhan bahawa apakah majoriti berhak untuk menentukan kehendak minoriti? Tidak dinafikan, persoalan ini penting.

Meskipun begitu, saya hanya akan bahaskan ini dalam bahagian normativiti nanti. Yang saya mahu paparkan ialah, sama ada setuju atau tidak, persoalan PPSMI ini bermula dari kehendak seorang individu, yang akhirnya memenatkan seluruh rakyat di negara kita. Individu itu bernama Mahathir. Kerana itu, keputusan individu yang dipaksakan secara politik ini, dengan sendirinya bererti sebuah keputusan yang telah kehilangan legitimasinya. Lantaran itu, tidak hairan pemerintah terpaksa berpatah-balik kerana mereka bukan saja kehilangan dukungan majoriti, malahan turut gagal untuk mengemukakan hujah intelektual.

Baik. Saya telah jelaskan tentang asal-usul yang mendorong krisis legitimasi dalam PPSMI tersebut. Sekarang, kita akan berbahas, mungkin sedikit panjang, tentang pencarian normatif mengenai PPSMI ini.

Apa itu normatif? Itu adalah sebuah penjelasan tentang "apa yang seharusnya", bukannya "apa yang ada". Maka, normatif itu bersifat universal dan rasional. Dalam soal PPSMI, yang jadi kehendak unggulnya adalah untuk mendirikan negara-maju, dengan melahirkan saintis-saintis yang hebat, yang terkenal dengan teori-teori besar, yang sehingga memungkinkan kita dapat menghasilkan pemenang Hadiah Nobel? Itu seasal-asal tujuan PPSMI, konon.

Shahdan, terlepas dari tujuan asal tersebut, mari kita lihat apa wacana seputar PPSMI dewasa ini? Wacananya sering jatuh dalam soal (1) menguasai Bahasa Inggeris, atau dalam soal (2) Bahasa Inggeris dalam sains dan matematik, (3) rayuan untuk diberi opsyen dalam melaksanakan PPSMI.

Tentang wacana untuk menguasai Bahasa Inggeris tersebut, sebetulnya sudah ada banyak kritikan yang menyanggah hujah tersebut. Mithalnya, untuk menguasai Bahasa Inggeris, itu haruslah belajar Bahasa Inggeris itu sendirinya. Bukannya belajar sains dan matematik dalam Bahasa Inggeris. Saya fikir banyak kajian ahli pendidikan, dalam dan luar negara, yang dapat menyokong pandangan ini. Namun, bagaimana pula dengan soal belajar sains dan matematik dalam Bahasa Inggeris? Kata kalangan PPSMI, tidakkah untuk maju secara saintifik, maka kita mestilah menguasai Bahasa Inggeris ini? Persoalan ini yang akan saya tanggapi dengan sedikit rinci.

Pertama, kalau benar Bahasa Inggeris sebagai bahasa unggul untuk sains dan matematik, sehingga dapat melahirkan saintis yang hebat-hebat, maka kenapa ada negara yang bukan berbahasa Inggeris tapi dapat menghasilkan pemenang Hadiah Nobel? Malah, ada pemenang Hadiah Nobel yang tidak tahu berbahasa Inggeris sekalipun! Ini jawapan balas lazim, yang pertama. Tapi, mungkin kalangan PPSMI menyanggahnya. "Kejayaan," mithalnya Jepun dan Jerman, "sehingga dapat menghasilkan pemenang Hadiah Nobel itu kerana mereka punya tradisi intelektual yang panjang", kata mereka. Kalau begitu hujahnya, justeru kenapa kita tidak membina budaya intelektual seperti itu? Mengapa kita berfikir pintas bahawa, Bahasa Inggeris adalah setara dengan budaya intelektual? Apakah konotasi konyol ini dapat dipertahankan?

Jadi, kalangan PPSMI harus menjelaskannya dengan rasional tentang kritikan ini. Mereka harus jelaskan: Ini termasuklah, bahawa mana yang merupakan matlamat utama mereka, sama ada menguasai ilmu atau menguasai bahasa? Kalau mahukan ilmu berkenaan sains dan matematik, maka yang perlu ditekankan adalah aspek-aspek seperti, galakan penyelidikan, pendedahan intelektual, kualiti pendidikan, dll, manakala persoalan bahasa adalah sebahagian dari perkara-perkara ini. Bukannya pokok.

Mereka yang sungguh-sungguh, yang serius untuk bergelar sarjana, selalunya di peringkat yang lebih tinggi (siswazah dan pascasiswah), adalah mereka yang akan memaksa dirinya untuk belajar bahasa apapun sehingga membolehkan mereka akses kepada ilmu yang diminatinya tersebut. Lantas, di sini insentif perlu diberikan: biasiswa, bantuan, latihan, dll. Sebaliknya, jika anak-anak sekolah berminat mengenai sains dan matematik, maka yang paling awal adalah memupuk minat dan iltizam mereka. Bukannya menyuruh mereka membaca dan menghasilkan jurnal. Bukannya menyuruh mereka membentang hasil penyelidikan di persidangan-persidangan. Ini kuncinya kepada kronologi pembikinan sebuah tradisi intelektual. Sebab, belum tentu anak-anak sekolah yang dapat A dalam Bahasa Inggeris, adalah mereka yang automatik juga dapat A dalam sains dan matematik!

Kedua, kalau benar Bahasa Inggeris bahasa terunggul dalam sains dan matematik, sehingga menghasilkan tradisi intelektualisme Inggeris, maka ini bukti bahawa mereka (komuniti saintis berbahasa Inggeris) berjaya bukan kerana melakukan penyalinan ilmu, tapi kerana berkreativiti dan berinovasi. Apa yang cuba dilakukan pemerintah lewat PPSMI adalah untuk menjadi bangsa penyalin. Belajar Bahasa Inggeris, dan meniru. Ini adalah bentuk tindakan instrumental, yang sangat bermasalah. Tindakan ini ibarat seekor kerbau di sawah, atau seorang pekerja yang tidak pernah mempersoalkan tujuan kerjanya. Atau juga ibarat, seorang mahasiswa yang hanya mahu mendapat A, biar apa cara sekalipun! Ini sangat dangkal.

Mengapa? Sebab, terbukti untuk bergelar saintis yang hebat kita mestilah berkreativiti dan berinovasi. Aspek ini ternyata berkait dengan kognitif, dengan cara kita berfikir. Bukan dengan sefaseh dan sebanyak mana kita berbahasa. Dengan itu, yang mustahak adalah usaha untuk memugar daya kreativiti dan berivovasi. Sebab itu, kita perhatikan komuniti intelektual Inggeris itu sendiri pun masih terus menambah ilmu baru yang diperoleh dari mana saja, yang makin pesat dari hari ke hari. Mithalnya, mereka juga sanggup pergi ke budaya Timur, dll untuk mendapatkan ilham dan penemuan baru (himbau saja Tao untuk teori kuantum, atau Shi’isme untuk teori kritis agama).

Jadi, ini jelas menunjukkan kepada kita soal yang harus ditingkatkan adalah cara berfikir, yang kritis, yang rasional, yang kreatif, yang inovatif, juga kita harus ada keberanian untuk menempuhnya. Kalau ini semua tidak ada, maka gunalah bahasa apa sekalipun: kebodohan tetaplah kebodohan. Mudah saja, mari saja kita tanyakan pada Steve Jobs: apa kunci kejayaannya, kalau kita boleh sepakat bahawa ia telah berjaya sebagai seorang inovator? Apakah ia akan menjawab: sebab saya menguasai Bahasa Inggeris?

Ketiga, kalangan PPSMI mendakwa, tidakkah banyak teori-teori baru sains dan matematik itu dalam Bahasa Inggeris? Jadi, kononnya dengan menguasai Bahasa Inggeris kita dapat melakukan jalan-pintas untuk menguasai ilmu tersebut. Apatah-lagi, banyak jurnal, kertas persidangan, hampir semuanya dalam Bahasa Inggeris. Betul. Tapi, teori-teori fundamental sains dan matematik tidak banyak berubah. Yang berubah hanya aplikasinya saja. Sedar atau tidak sedar, buku-buku teks tentang "perbezaan" dan "kamiran" masih lagi sama dengan yang kita gunakan dengan abad ke-17 dan abad ke-18. Buku teks sekolah tidak banyak berubah untuk tempoh berdekad-dekad sekalipun. Kalau ada kelemahan dalam soal pendidikan, itu semata kerana kualiti pendidikan.

Sorot saja di universiti-universiti di Malaysia, jelas kualiti pendidikan kita amat ketinggalan. Bukan kerana pensharah kita tidak mampu nak berkarya. Tapi, pensharah kita malas! Mereka tidak gigih menulis buku (apa-apa bahasa sekalipun!), culas untuk menterjemah, bahkan tidak menguasai bidangnya sendiri pun! Bila pensharah kita diberi permasalahan untuk dirungkai, mereka gagal mengartikulasikan ilmunya. Rasional hilang. Dogmatik pula muncul. Ini pensharah, nah apatah lagi mahasiswa! Lihat saja silibus fizik di universiti, mengapa mahasiswa tidak diajar subjek Teori Einstein sejak prasiswazah lagi? Sedangkan ini teori penting untuk fizik. Jadi, apa masalah utama kita sampai gagal melahirkan saintis yang hebat? Masalah bahasa, atau masalah kualiti pendidikan? Jawab dengan jujur saja.

Keempat, tentang pembelahan antara sains tabi’i dengan sains sosial. Jangan kita lupa: siapa dalang yang menobatkan komposisi dualisme ini? Mahathir! Ia telah membahagi 70% sains – 30% sastera, juga menggesa diwujudkan "masharakat saintifik" dalam Wawasan 2020. Soalnya, apakah makna "saintifik" yang kita kemaruk sangat itu, sampai diangkat sebaris dengan makna "maju"? Benarkah bila kita "saintifik", makanya kita maju? Dan, "saintifik" yang difahami dalam konteks ini sering dikaitkan dengan kapital, sains, bahasa, dan sebagainya. Jadi, dengan menggunakan Bahasa Inggeris, itu secara tidak langsung cuba dihubungkan dengan kepandaian, kemodenan, sekaligus juga kemuliaan.

Tidakkah kita sedar, ramai yang gagal berhujah akan sering mengalih penggunaan bahasanya kepada Bahasa Inggeris. Ini berpunca dari konotasi bahawa berbahasa Inggeris adalah bahasa untuk mereka yang pandai. Walhal, kepandaian berbahasa Inggeris mereka telahpun digunakan untuk memperlekehkan ilmu. Bahasa, waktu-waktu tertentu, telah berjaya menyembunyikan kebodohan mereka. Dan, lebih jauh lagi, kepandaian ini terus dihubungkaitkan dengan hanya "sains dan matematik dalam Bahasa Inggeris" saja. Yang belajar agama, yang belajar falsafah, yang belajar pertanian, itu tiada masa depan! Gelap! Tapi, sebentar, kita boleh buktikan bahawa, rupanya ada yang bijak berbahasa Inggeris, namun tetap saja bodoh. Ini banyak ditemukan bukan saja dalam Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Rakyat (PR), hatta dapat ditemui dalam diri mereka yang konon menjunjung cita-cita kebebasan sekalipun! Jadi, bodoh ini bukan persoalan bahasa, tapi persoalan sikap.

Dan, kelima, tentang tidak perlunya terjemahan. Sebab, cemuh mereka, kerja terjemahan memamah masa. "Jadi", kata kalangan PPSMI, "bagi membina tamadun Malaysia dengan sekelip mata, seeloknya kita abaikan saja terjemahan". Saya telah jelaskan serba-sedikit betapa mudahnya mereka melekatkan Bahasa Inggeris sebagai setara dengan sains dan matematik. Walau bagaimanapun, yang saya mahu utarakan di sini ialah, tentang kalangan yang mahu mengambil-jalan pintas membina tamadun ini. Mereka ini sebenarnya pemalas. Memang malas! Sebab, kerja untuk menyalin lebih mudah dari kerja untuk menghasilkan sesuatu yang baru.

Sebaliknya, dengan melakukan terjemahan, kita bukan saja dituntut untuk menguasai, setidaknya dua bahasa, tapi juga dituntut untuk menguasai subjek tersebut. Mahu tidak mahu, kita harus cekap kedua bahasa sekaligus. Sehubungan dengan itu, dengan melakukan terjemahan, itu telah menuntut sebuah kefahaman yang mendalam, bagi mengartikulasikannya ke dalam bahasa terjemahan. Dan, ini yang cuba dielak oleh kalangan PPSMI. Padahal, kalau tidak dilakukan kerja-kerja asas ini, maka kita telah memupus kemungkinan besar untuk menghasilkan sesuatu yang baru lewat terjemahan.

Mithalnya, Shaharir Mohamad Zain sering menunjukkan, bahawa persoalan "optimum/justice" dengan persoalan "terbaik/keadilan", itu boleh berbeza konsep menurut makna dari bahasa yang diguna. Dengan adanya perbezaan makna ini, maka terdapat kemungkinan untuk menghasilkan sesuatu yang menarik. Hinggakan, dengan bertindak tak-lazim ini, maka kita memberi ruang kepada potensi untuk membina sains normal, yang baru. Menurut Kuhn lagi dalam The Structure of Scientific Revolutions (1962), sains itu terbangun dari komuniti. Bergantung kepada komuniti untuk mencorakkannya.

Perubahan paradigma tentang sains dan matematik sangat bergantung kepada penerimaan sesuatu komuniti tersebut. Bukan bergantung kepada bahasa. Jadi, dengan menghasilkan sesuatu yang baru, kita sebenarnya bekerja untuk membentuk sebuah sains normal yang baru. Ini adalah sebuah kelestarian sejarah dari perjalanan sains dan matematik. Soalnya, adakah kita mahu terlibat membina sejarah atau tidak? Atau, adakah kita hanya mahu mengekor saja kepada sains normal dewasa ini, serta melupakan kemampuan membangunkan sains tak-normal ke arah menjadi sains normal?

Tidak mahukah kita berjiwa besar: dengan berani membuka "kedai baru"? Lantas, jika mahu membuka "kedai baru", itu tentu sekali menuntut kerja-keras: antaranya mengartikulasikan ilmu dalam bahasa sendiri. Dan, jangan kita lupa untuk belajar petua kejayaan dari Bahasa Inggeris tersebut: tentang apa petua mereka sampai mereka begitu berjaya hari ini? Apakah kerana pelajar sekolah mereka, iaitu pada abad ke-17 dll, belajar sains dan matematik dalam bahasa Latin, atau Greek, atau Arab? Tidak! Semuanya kerana mereka berjaya melewati sebuah zaman penterjemahan. Dalam hukum pembinaan tamadun, memang harus mempunyai zaman penterjemahan ini. Akur saja, sampai hari ini mereka (kalangan Inggeris) terus rajin menterjemah dari pelbagai bahasa dunia ke dalam bahasa Inggeris, tanpa henti-henti. Ini kerja berat yang patut kita teladani, kalau benarlah kita memang komited untuk membangun negara, meminjam istilah Mahathir, menurut "acuan kita sendiri". Malangnya, kita tidak pula mahu meneladani liku-liku yang Inggeris tempuhi. Sebaliknya hanya mengutip hasil-hasil mereka. Jika begini pendekatannya, maka sampai bilapun kita tetap menjadi bangsa-penyalin.

Kini, saya telah membentangkan lima hujah, dalam mempersoalkan Bahasa Inggeris sebagai bahasa unggul untuk sains dan matematik; yang konon hanya dengan bahasa ini saja kita mampu membina tradisi intelektual, berkreativiti dan berinovasi, serta meningkatkan kualiti pendidikan, lalu membuat kita berasa moden, dan beranggapan ini sajalah jalan singkat ke arah pembinaan tamadun Malaysia. Sejauh yang saya paparkan, hujah mereka memang maseh bertahap konon.

Mengapa demikian? Sebab, mari kita kembali pada hasrat asal mereka yang mahu melaksanakan PPSMI, dan ini jangan kita lupa: untuk melahirkan saintis-saintis (hanya merujuk kepada sains tulen), yang hebat-hebat, serta membina negara-moden. Di sini: mari kita tanya baik-baik pada kalangan PPSMI; Apakah benar bahawa hanya dengan belajar sains dan matematik dalam Bahasa Inggeris sajalah yang mampu merealisisasikan harapan ini?; Apakah benar kita hanya akan memperoleh pemenang Hadiah Nobel dari anak-anak sekolah yang sekarang sedang belajar sains dan matematik dalam Bahasa Inggeris ini?; Apakah benar Malaysia hanya akan jadi moden tatkala kita melaksanakan dasar PPSMI? Saya fikir, sekiranya mereka rasional, mereka akan merasakan bahawa ada sesuatu yang cetek dalam logika penghujahannya.

Tapi, buat kalangan yang anti-PPSMI pula, jangan mudah berpuas hati. Sebab, apa yang saya paparkan tersebut sekadar kritikan tentang kewajaran bahasa Inggeris dalam sains dan matematik saja. Kini, persoalan yang berjela-jela saya bahaskan ini sebenarnya sudah tidak begitu relevan lagi. Persoalan normatif yang saya ungkap awal-awal tadi, belumpun dituntaskan. Persoalan normatif ini bangkit dari evolusi tuntutan dari kalangan PPSMI ini.

Memang, seperti yang disebut awal-awal, pertama kali PPSMI bangkit kerana (1) mahukan penguasaan Bahasa Inggeris, lalu berubah nada (2) mahu menguasai sains dan matematik dalam Bahasa Inggeris, dan kini akhir-akhir ini nada tersebut berubah lagi, (3) tuntutan untuk opsyen bagi perlaksanaan PPSMI menurut sekolah. Isu yang ketiga ini harus menjadi persoalan perdebatan dalam konteks normatif tersebut. Sebab, ini persoalan yang bukan saja penting, tapi menarik. Mengapa penting dan menarik? Sebab, persoalan opsyen ini melibatkan tema-tema politis. Ini adalah persoalan politis kerana, berkait rapat dengan wacana negara-bangsa, ruang awam, kebersamaan, identiti nasional, dan paling mustahak, juga dihubungkan dengan konsep hak asasi manusia.

Sebagai bahan perbincangan ini, biarlah kita berempatik dulu, dengan cuba menyelami hasrat, mithalnya PAGE, yang telah memanjangkan keluhan seperti begini: "apakah hak kita untuk menghalang anak mereka belajar dalam bahasa yang anak mereka paling selesa? Apakah benar kita lebih tahu mengenai keperluan pendidikan anak-anak mereka berbanding ibubapa mereka sendiri? Soal pendidikan anak-anak mereka adalah hak asasi mereka, dan anak-anak mereka mestilah diberikan pilihan untuk belajar dalam bahasa pilihannya sendiri. Biarlah ibubapa mereka yang mencorakkan sama ada anak mereka mahu jadi Nasrani, Yahudi, atau Inggeris sekalipun. Ini adalah hak mereka!" Dan, kita boleh terus berempatik dengan PAGE lagi, lalu menambah, "bahawa mereka sama sekali tidak menghalang hak anak-anak kita untuk belajar dalam bahasa pilihan kita. Jadi, mengapa kita pula yang menghalang hak pilihan mereka?" Ini semua adalah nada-nada untuk PAGE, yang mengeluh mengenai pemaksaan ke atas mereka. Konsep opsyen yang sifatnya lebih adil dan demokratik, kalau menurut mereka itu, telah dinafikan dari hak mereka.

Nah, tugas mendesak kita adalah untuk menjawab apa yang dibangkitkan ini dengan rasional. Sebab, persoalan inilah yang menjadi tulang-belakang kepada seluruh persoalan mutakhir PPSMI. Menjawab persoalan ini, bererti dapat menamatkan sisa-sisa talian hayat mereka, serta melengkapkan normativiti dalam isu ini.

Justeru, dalam rangka menjawabnya, mari kita berpijak atas tanah, melihat realiti. Kita duduk dalam konteks negara-bangsa. Ini sudah terlekat dalam diri kita, terima atau tidak. Konsep negara, sudah menjadi sebuah kerukunan bersama, demi mengimbangi mereka yang sombong. Maka, persoalan majoriti-minoriti dalam soal negara-bangsa ini maseh lagi signifikan. Sebab, hak minoriti, yang berdiri atas nama hak asasi manusia, itu tidak diperoleh secara terus, bukan anugerah, sebaliknya adalah sesuatu yang harus diperjuangkan oleh mereka sendiri. Ini yang menuntut sebuah perjuangan untuk mendapatkan pengakuan.

Soalnya, kalangan yang mahukan opsyen PPSMI ini: sejauh mana mereka berjuang untuk memperoleh pengakuan tersebut? Atau, apakah mereka bersantaian, lalu cuba menggunakan jalan pintas, terus mengenepikan prinsip legitimasi, alih-alih cuba membodek pemerintah? Tidakkah apa yang kita nampak adalah mereka cuba untuk memujuk pemerintah; bukan dengan rasional, bukan dengan pengakuan, bukan dengan legitimasi, tapi dengan kabel-kabel birokrasi.

Mereka lupa, bahawa hanya dengan pengakuan majoriti saja mereka akhirnya mereka berhak untuk memiliki hak asasi, yakni diberi opsyen tersebut. Dengan pengakuan yang diberikan, maka keputusan untuk melaksanakan PPSMI baru boleh dilakukan. Namun, mampukah mereka untuk gigih berhujah, sehingga dapat meyakinkan sejumlah besar rakyat? Ini yang harus kita tanyakan kepada mereka.

Dan, kalau mereka menuduh bahawa kita telah melakukan kezaliman majoriti terhadap mereka yang minoriti, itu adalah tidak benar. Sebab, selama mereka diberi ruang dan peluang untuk berkempen menyebar dakyah PPSMI mereka, maka itu bukanlah dinamakan kezaliman. Namanya, kezaliman bila mereka dipaksa untuk menutup mulut, selama-lamanya! Jadi, fakta inilah yang harus mereka renung kembali, dan tanyakan kepada diri mereka: mengapa rakyat tidak bangkit mempertahankan mereka secara besar-besaran? Bukahkah ini bermaksud kegagalan mereka untuk merasionalkan dasar PPSMI ini?!

Walhasil, dari seluruh perbahasan ini, saya telah menunjukkan betapa dalam soal PPSMI ini, apa sisi pun tidak memihak kepada mereka. Sama ada soal legitimasi mahupun normativiti. Kini, terpulang kepada mereka, dan tak salah kepada kita juga, untuk menawarkan kecerdasan hujah. Usah pula ada yang cuba berselindung di balik raksasa yang bernama "pemerintah." Untuk kalangan yang suka menumpang kasih kekuasaan ini, tanyalah kepada nalar tentang kebenaran, atau tetaplah terpenjara dengan ego sendiri. Dan, harus disebut juga, bahawa bahaya ego ini tidaklah mengenal sesiapa, termasuk mereka yang mendakwa dirinya paling liberal sekalipun.

*Aqil Fithri boleh dihubungi lewat aqilfithri@gmail.com. Makalah ini pertama kali dibentangkan sewaktu Wacana PPSMI: Pro atau Kontra, di program anjuran Akademi Pak Sako, Kuala Lumpur pada 1 November 2011. Dipetik dari Jalan Telawi.com

ADUN PANTAI JERJAK BERBAKTI LAGI



Pulau Pinang-3 NOV Adun Pantai Jerejak, YB Sim Tze Tzin hari ini telah turun ke Kampung Sungai Nibong Besar untuk memberi bantuan segera kepada 4 buah keluarga mangsa bumbung rumah yang telah ditiup angin baru-baru ini. Beliau berjaya memberi bantuan dalam masa kurang 24jam sahaja. Turut hadir bersama YB Sim, Ahli Majlis MPPP En Mohd Rashid Hasnon, Pengerusi JKKK Sg Nibong Besar En Hj Ishak, Setiausaha JKKK Sg Nibong Besar En Jamaluddin, Penghulu Pejabat Daerah dan Tanah Barat Daya En Zul Hazman, Isteri kepada Timbalan Ketua Menteri 1 Datin Aishah, Pengerusi JKKK Mahsuri Pn Latifah Hussainsa dan Pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat Barat Daya, En Thum. Semua mangsa bencana telah menerima bantuan kewangan sebanyak RM800.

Menurut YB Sim, beliau berharap dengan bantuan kewangan yang diberikan kepada keluarga mangsa ini, ianya akan membantu mereka untuk membaiki kerosakan yang berlaku dan sekaligus meringankan beban mereka. Beliau juga amat bersyukur kerana kejadian ribut ini tidak membawa sebarang ancaman kepada keselamatan penduduk dan tiada kerosakan yang serius dilaporkan berlaku pada rumah mangsa. Beliau berkata, kejadian umpama ini jarang berlaku namun beliau tetap bersedia dengan pasukan bantuan segera sekiranya berlaku bencana seperti ini.

YB Sim juga menyeru semua penduduk kampung mengambil initiatif memperkuatkan bumbung masing-masing untuk mengelakkan sebarang kejadian sebegini berulang.



--
Sim Tze Tzin
ADUN Pantai Jerejak
State Assemblyman of Penang
12-J-2 Jalan Rumbia
11900 Bayan Lepas,
Pulau Pinang
Tel: +6019 472 8099
Fax: 04-2260633
Website: www.pantaijerejak.com
Blog: www.simformalaysia.com
www.facebook.com/simtzetzin
twitter: @simtzetzin

forum sosialisme 2011

Halimah : Fikir Cara Lain Tingkat Kualiti Kerja Guru

SHAH ALAM, 14 NOV : Kementerian Pelajaran harus mencari strategi lain bagi meningkatkan mutu kerja guru dan bukan semata-mata dengan melanjutkan waktu bekerja bagi membina pelajar yang berkualiti.

Exco Pendidikan, Pendidikan Tinggi dan Pembangunan Modal Insan, Dr Halimah Ali menyatakan, selama ini guru-guru telah terbeban dengan kerja-kerja perkeranian sedangkan tugas utama mereka untuk mengajar dan mendidik.

"Yang paling penting ini adalah hasil, untuk seorang guru hasil produk adalah pelajar. Maknanya pelajar itu cemerlang dari segi akademik dan sahsiah.

"Kalau 24 jam tumpu tetapi akhirnya pelajar terjebak kepada gejala sosial maknanya keberkesanan pembelajaran itu masih di tahap yang tidak memberangsangkan," katanya.

Halimah berkata demikian ketika mengulas cadangan kerajaan pusat untuk melanjutkan waktu bekerja bagi guru kepada sembilan jam sehari.

Rancangan ini akan dilaksanakan di Pahang, Johor dan Melaka mulai tahun hadapan.

Mengulas lanjut, beliau meminta kerajaan persekutuan supaya mengkaji sebaik mungkin dan mendapatkan pandangan pelbagai pihak termasuk guru sendiri sebelum mencadangkan polisi baru.

"Persoalannya adakah menambah waktu kerja selama selama 9 jam akan menambah keberkesanan proses pendidikan pelajar-pelajar di Malaysia?

"Kedua, adakah guru-guru yang perlu bekerja selama enam hari dan ada yang membawa beban kerja ke rumah, adakah lepas 9 jam, mereka tidak perlu membuat kerja lagi?" soal beliau lagi.

Beliau menambah, faktor kesihatan dan kecergasan guru juga perlu diberikan perhatian supaya guru dapat meningkatkan keupayaan dan keberkesanan dalam melaksanakan tugas.

Kerajaan Pusat Diharap Ikut Contoh Selangor Laksanakan Gaji Minima

SHAH ALAM, 14 NOV : Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim menegaskan bahawa skim gaji minima sememangnya tidak boleh dilaksanakan untuk kesemua penjawat awam di Negeri Selangor ekoran pelaksanaannya berkait dengan pemberian pencen di bawah kuasa Kumpulan Wang Negara.

Walaubagaimana pun, Khalid menjelaskan kerajaan negeri hanya merintis dan perlaksanaan menyeluruh di peringkat nasional terletak di bahu Kerajaan Pusat iaitu menerusi Kementerian Sumber Manusia.

"Kita mesti mengambil kira tentang pencen dibawah Kumpulan Wang Negara, jadi tidak boleh dilakukan.

"Namun sekiranya negara (Kerajaan Pusat) bersetuju, barulah ianya boleh dilaksanakan, tetapi yang paling penting gaji minima ini ialah tugas negara bukan tugas negeri,"

Beliau berkata demikian bagi mengulas kenyatan Adun Batang Kali, Mohd Isa Abu Kasim yang mendakwa langkah Kerajaan Negeri melaksanakan gaji minimum RM1,500 kepada kakitangan syarikat milik Kerajaan Negeri (GLC) sebagai diskriminasi terhadap penjawat awam di negeri ini.

Mohd Isa mempertikaikan pelaksanaan gaji minimum tersebut yang hanya dijalankan kepada syarikat milik Kerajaan Negeri.

Terlebih dahulu, Abdul Khalid memberitahu Dewan yang Selangor memperuntukkan kira-kira RM100 hingga RM150 ribu kepada Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) untuk menjalankan kajian terperinci berkenaan pelaksanaan gaji minima dengan lebih meluas.

Sebelum ini, MTUC menggesa kerajaan negeri Selangor memperluaskan skop pelaksanaan gaji minima kepada sektor swasta dan tidak terhad kepada kakitangan anak syarikat kerjaan negeri sahaja.

Abdul Khalid berkata kerajaan negeri mahu pelaksanaan gaji minima diperluaskan kepada sektor swasta namun kuasa untuk membuat demikian hanya berada ditangan kerajaan pusat.

Tambahnya, Selangor sebagai negeri perintis yang mendahului kerajaan persekutuan dalam usaha ini berharap ia menjadi ikutan negeri-negeri lain dalam mendepani masalah kemiskinan rakyat.

"Hasil kajian MTUC ini kita akan bawa berbincang dengan kerajaan Persekutuan untuk fikirkan cara pelaksanaannya.

"Kalau kajian yang dilakukan MTUC ini berjaya dan keputusannya baik, kenapa tidak pihak swasta melakukan perkara yang sama," beliau berkata demikian ketika menjawab soalan dari Adun Kota Damansara, Nasir Hashim.

Pada 9 November lalu, Khalid menerusi Pembentangan Belanjawan Selangor 2012, mengumumkan pelaksanakan dasar gaji minima, RM1,500 sebulan sebagai gaji permulaan di syarikat-syarikat milik kerajaan negeri mulai tahun depan.

Pelaksanaan ini melibatkan kakitangan syarikat-syarikat milik kerajaan negeri yang status kewangannya stabil sebelum ia diperluaskan kepada syarikat lain.

Antara syarikat itu termasuk Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS), Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS), Permodalan Negeri Selangor Berhad (PNSB) dan Worldwide Holdings Bhd.

Manakala bagi syarikat-syarikat yang mempunyai status kewangan yang tidak stabil, Abdul Khalid berkata kerajaan negeri akan menyediakan peruntukan dana RM10 juta supaya kenaikan gaji dapat dilaksanakan.


NUTP DIGESA LEBIH AGRESIF MEMBANTAH UJIKAJI TERHADAP KAUM GURU....

NUTP gesa Putrajaya batal projek rintis, jangan paksa guru kerja 9 jam

November 13, 2011
Di bawah projek perintis guru dihendaki berada di sekolah selama sembilan jam di sekolah. — Foto fail
KUALA LUMPUR, 13 Nov — Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) hari ini menggesa Putrajaya membatalkan sahaja projek perintis guru bertugas sembilan jam sehari atas alasan kajian itu satu tindakan membazir selain tidak mendapat maklum balas positif daripada kalangan tenaga pendidik.

Selain itu, NUTP juga mendakwa dasar baru tersebut tidak sesuai buat masa sekarang memandangkan kebanyakan sekolah kurang kemudahan selesa dan kondusif bagi guru.

Projek perintis itu akan dilaksanakan di empat negeri melibatkan sekitar 5,000 guru sekolah rendah dan menengah kerajaan mulai 1 Januari depan.

Presiden NUTP Hashim Adnan berkata, pihaknya pasti bahawa kajian perintis itu tidak akan membawa hasil positif jika mengambil kira kemudahan semasa di kebanyakan dan beban kerja setiap guru buat masa sekarang.

“Kita tahu bahawa kajian perintis ini tidak akan membawa keputusan positif yang diharapkan oleh Kementerian Pelajaran... jadi mengapa kita hendak membuang masa dan wang rakyat.

“Lagipun guru tidak perlu diwajibkan kerja sembilan jam seperti perkhidmatan lain, sebagaimana dikatakan oleh menteri (hari ini), guru-guru perlu cukup istirahat dan mereka sebenarnya kerja lebih daripada sembilan jam... misalnya kita ambil kira seorang cikgu yang meninggal dunia bersama dua anak muridnya,” kata beliau ketika dihubungi The Malaysian Insider hari ini, dengan merujuk kepada tragedi empat orang meninggal dunia dalam nahas lebuh raya dekat Behrang awal pagi kelmarin.

Kata Hashim, besar kemungkinan guru-guru tidak akan berminat dengan dasar baru kerja sembilan jam, dan oleh itu “mengapa kerajaan hendak meneruskan kajian perintis ini?”

Hashim menjelaskan, Kementerian Pelajaran hendak menjalankan kajian perintis sebelum mewajikan kaum guru berkhidmat selama sembilan jam sehari seperti kakitangan awam yang lain.

“Langkah ini bertujuan menjadikan perkhidmatan pendidikan seperti perkhidmatan lain di negara ini. NUTP merasakan langkah ini tidak sesuai, tidak kena tempat memandangkan sifat perkhidmatan itu sendiri berbeza daripada sektor perkhidmatan awam yang lain,” kata beliau.

Di bawah dasar baru ini, guru sebelah pagi dikehendaki berada di sekolah dari 7.30 pagi hingga 4.30 petang manakala guru sebelah petang pula dikehendaki masuk sekolah 9.30 pagi dan bertugas sehngga 6.30 petang.

Semalam, Timbalan Menteri Pelajaran Datuk Dr Wee Ka Siong menasihatkan para guru agar tidak “panik” dengan projek rintis sistem bekerja sembilan jam Kementerian Pelajaran.

Projek itu yang akan dilaksanakan mulai Januari 2012 di empat negeri — Melaka, Sarawak, Pahang dan Johor berasaskan satu kajian di Melaka Tengah yang mengenal pasti tempoh bekerja yang ideal bagi guru.

Laporan media menyebut kira-kira 5,000 guru dari hampir 104 sekolah di seluruh negara akan menjadi perintis kepada sistem waktu bekerja sembilan jam mulai Januari depan.

PAS, komponen Pakatan Rakyat hari ini turut menggesa Kementerian Pelajaran mengkaji semula projek perintis guru-guru bertugas selama sembilan jam sehari yang akan dilaksanakan di empat negeri mulai Januari ini.

Ahli jawatankuasa kerja PAS Idris Ahmad berkata, tindakan itu tidak wajar memandangkan guru memang sedia terbeban pada masa ini termasuk tugasan selain mengajar.

“Rasional apakah guru-guru terpaksa bekerja selama sembilan jam? Sebenarnya guru-guru di Malaysia sudah sedia terbeban, bukan sahaja pembelajaran dan pengajaran.

“Malahan guru sudah menjadi tenaga kerja pelbagai tujuan kerana semua perkara guru terpaksa melakukan. Guru juga pemandu ambulans jika pelajar sakit, menjadi polis trafik ketika pelajar keluar sekolah, pengawal disiplin, pegawai kewangan kalau ia guru kelas, menjadi kerani untuk masuk markah,” kata beliau.

Hashim menambah, berkata pihaknya belum menjalankan kajian ke atas projek perintis itu tetapi pihaknya telah menerima maklum balas awal daripada guru-guru membantah langkah itu.

“Tanda-tanda awal ini menunjukan projek ini tidak akan berjaya, jadi batalkan sahaja projek perintis... buang masa kalau kita buat kajian ini,” kata beliau yang turut berharap Jabatan Perkhidmatan Awam akan meneliti perkara ini khususnya dari sudut kemudahan dan keselesaan tempat kerja.

“Kalau kita hendak duduk di pejabat selama sembilan jam sehari, kita kena ada kemudahan yang selesa. Kakitangan di agensi lain ada meja, persekitaran yang selesa, tetapi di kebanyakan sekolah tidak, ini kena diperbaiki dulu... tak perlu buat kajian lagi,” tambah Hashim.






‘Gerakan Selamatkan Felda’ 8 Disember ini di Jengka

‘Gerakan Selamatkan Felda’ 8 Disember ini di Jengka

TEMERLOH: Persatuan Anak-Anak Peneroka Malaysia (Anak) akan melancarkan program ‘Gerakan Selamatkan Felda’ peringkat kebangsaan pada 8 Disember ini bertempat di perkarangan Masjid Lama Bandar Jengka.

Menurut presidennya, Mazlan Aliman, program yang bakal disertai oleh warga Felda seluruh negara itu akan diisi dengan Solat Hajat serta majlis taklimat perdana berkaitan isu penyenaraian Felda ke dalam Bursa Saham Kuala Lumpur (BSKL).

“Dua orang pakar ekonomi iaitu Dr Rosli Yaakob dan Haji Razman Zakaria dijangka akan membentangkan pengalaman masing-masing termasuk tentang risiko penyenaraian Felda supaya warga Felda mendapat gambaran jelas

“Di satu pihak telah diberi gambaran kebaikan penyenaraian oleh pemimpin negara kerana lebih 220 ribu peneroka dimaklumkan akan mendapat durian runtuh, namun di pihak yang satu lagi kami ingin memberitahu bahawa terdapat risiko amat besar apabila Felda memasuki penyenaraian awam.

“Kita boleh ambil iktibar bagaimana nasib amanah saham negeri-negeri seperti Johor, Selangor, Pahang, Terengganu yang semuanya lingkup apabila memasuki pasaran saham,” katanya dalam sidang medianya di sini.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak ketika pembentangan belanjawan 2012, mengumumkan kerajaan bercadang menyenaraikan Felda di BSKL melalui Felda Global Ventures Holdings Bhd (FGVH) tahun hadapan.

Menurut Mazlan, cubaan penyenaraian ini bukanlah kali pertama di mana pernah cuba dilakukan pada tahun 2003 oleh bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamed ketika membentangkan belanjawan tetapi dibatalkan oleh Tun Abdullah Badawi.

Tambah Mazlan, kini Najib sekali lagi cuba mengikut langkah Dr Mahathir menyenaraikan Felda melalui syarikat yang baru wujud iaitu FGVH yang akan menelan syarikat yang menjadi hak dan kepentingan peneroka selama ini iaitu Felda Holding Berhad.

“Syarikat itu (FGVH) pula diketuai oleh (Datuk Sabri Ahmad) seorang yang kita tahu track recordnya semasa beliau di Golden Hope. Bagaimana boleh diberi kepercayaan yang begitu tinggi kepadanya sedangkan kontraknya dalam sudah hampir tamat.

“Anak kesal yang amat sangat dengan tindakan Pengerusi Felda dan kini dilantik oleh Perdana Menteri sebagai Pengerusi Koperasi Permodalan Felda Malaysia Berhad (KPF) Tan Seri Isa Samad yang masih meneruskan usaha ke arah penyenaraian Felda meskipun banyak dibantah oleh peneroka,” jelasnya.

Berkenaan durian runtuh untuk peneroka yang dicanangkan oleh Najib, Mazlan berkata, Anak dimaklumkan mereka akan dapat sekitar RM15,000 dalam bentuk saham.

“Nak cari di mana wang kerana rizab tunai Felda yang ada pada masa ini ada sekitar RM600 juta merosot dari tahun 2009 RM1.37 bilion. Walhal masa Raja Alias tinggalkan dulu ada RM7 bilion rizab tunai. Ertinya di zaman dua perdana menteri Felda telah kehilangan lebih 80% rizab tunai. Ini menunjukkan pemborosan yang luar biasa. Sepatutnya rizab Felda makin meningkat tetapi merosot.”

Kata Mazlan, sehubungan itu Anak meminta Isa menghentikan tindakan memanggil pengerusi-pengerusi koperasi dan ketua-ketua peneroka untuk majlis penerangan Felda disenarai di BSKL yang diadakan di Dewan Perdana Felda sehingga membelanjakan berjuta-juta ringgit wang Felda.

Tambah Mazlan, Isa tidak boleh terlalu gelojoh sementara menunggu keputusan tribunal kerana Anak telahpun membuat aduan kepada
Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) dan membuat bantahan kepada tribunal SKM pada 18 Oktober lalu.

Mengulas lanjut mengenai bantahan Anak terhadap Isa, Mazlan mendakwa bekas pesalah rasuah Umno itu menjadi Pengerusi KPF ikut pintu belakang berikutan campur tangan Perdana Menteri (PM) kerana status beliau (Isa) sendiri dilantik secara kontrak dan tidak layak menjadi ahli KPF kerana bukan peneroka ataupun warga Felda.

“Pada 15 Ogos lalu surat dihantar oleh Ketua Setiausaha Sulit Kanan PM yang memaklumkan PM setuju melantik Isa sebagai Pengerusi KPF sedangkan Datuk Zulkifli baru saja dilantik pada Mesyuarat Agung bertarikh 24 Jun 2011. Isa pula baru jadi ahli KPF pada 23 Jun, iaitu sehari sebelum mensyuarat tersebut.

“Jadi nampak sangat ada konspirasi. Pelantikan Pengerusi KPF melalui kuasa menteri Seksyen 87 Akta Koperasi 1993 mengecualikannya daripada tertakluk kepada peruntukan Akta Koperas juga tidak sah kerana perlukan sekurang-kurangnya dua tahun menjadi ahli, sedangkan Isa baru dua bulan jadi ahli.

“Sebab itu saya katakan ini semacam ada konspirasi dan jelas menyalahi akta koperasi sendiri. Dengan itu Anak menganggap ini satu pencabulan,” tegas Mazlan.

Sehubungan dengan itu Mazlan merayu warga Felda agar mengenepikan sentimen politik sebaliknya bersatu menghentikan usaha penyenaraian Felda di BSKL bermula dengan program ‘Gerakan Selamatkan Felda’ 8 Disember ini.

Katanya, lebih baik Felda tumpukan penyelesaian kepada permasalahan peneroka yang tidak diberi perhatian selama ini seperti isu-isu KPG, wang tanam semula (TTS), hutang ladang peneroka yang tidak munasabah, ladang urusan Technoplants dan sebagainya supaya tidak jadi seperti pepatah ‘yang dikejar tak dapat yang dikendung berciciran’.

~ Harakahdaily

PAS : Jangan Jadikan Guru Sebagai Makmal Percubaan

KUALA LUMPUR 13 NOV : PAS menggesa kerajaan mengkaji semula projek perintis guru-guru bertugas selama sembilan jam sehari yang dilaksanakan di Melaka, Sarawak, Pahang dan Johor.

Projek tersebut yang akan dilaksanakan mulai Januari tahun depan berasaskan satu kajian di Melaka Tengah yang mengenalpasti tempoh bekerja yang ideal bagi guru.

Ahli Jawatan Kuasa PAS Pusat, Idris Ahmad berkata tindakan itu tidak wajar dan membebankan golongan pendidik.

"Rasional apakah guru-guru terpaksa bekerja selama 9 jam? Sebenarnya guru-guru di Malaysia sudah sedia terbeban, bukan sahaja pembelajaran dan pengajaran.

"Malahan guru sudah menjadi "multi purpose" kerana semua perkara guru terpaksa melakukan. Guru juga pemandu Ambulan jika pelajar sakit, menjadi polis trafik ketika pelajar keluar sekolah, pengawal disiplin, pegawai kewangan kalau ia guru kelas, menjadi kerani untuk masuk markah," katanya dalam satu kenyataan media.

Menurut Idris, Kementerian Pelajaran sepatutnya mencari satu formula terbaik untuk meringankan beban para guru selain memberi sokongan kepada golongan tersebut untuk melahirkan modal insan berguna kepada negara.

"Mungkin ada orang cemburu kerana guru banyak mendapat cuti berbanding dengan mereka yang berada di pejabat.

"Tetapi perlu diingat tugas guru bukan sahaja di sekolah, malahan kerja mereka berterusan sehingga balik ke rumah," katanya lagi.

"Atas asas inilah maka Pakatan Rakyat menjanjikan RM500 sebulan kepada guru-guru jika diberi mandat ke Putrajaya. Ini sebagai penghormatan kepada guru-guru yang mendidik rakyat di negara ini," katanya.

ADUN BN Kerap 'Ponteng' Mesyuarat Jawatankuasa Khas

SHAH ALAM 13 NOV : ADUN pembangkang di Selangor didapati ‘culas' dalam mengambil bahagian berkiatan urusan negeri apabila gagal hadir dalam jawatankuasa khas yang dibentuk dalam Dewan Undangan Negeri.

Perkara ini didedahkan ADUN Sekinchan Ng Suee Lim yang mengetuai beberapa jawatankuasa khas DUN.

Beliau terlibat dalam jawatankuasa-jawatankuasa khas memantau operasi badan berkanun, anak syarikat, pejabat tanah dan kira-kira am.

Ng melahirkan rasa kecewanya terhadap sikap ADUN dari Barisan Nasional yang mengabaikan tanggungjawab dan peluang mereka untuk memberi pandangan dan teguran untuk memperbaiki operasi badan-badan tersebut.

"Zaman dulu saya pembangkang, saya tak diberi peluang. Kalau saya diberi peluang, saya akan datang," kata Ng semasa perbahasan pembentangan bajet 2012.

Sebagai contoh, Ng mendakwa ADUN Sg Burong Datuk Shamsudin Lias tidak pernah hadir dalam jawatankuasa khas kira-kira am yang sudah enam kali bermesyuarat.

"Enam-kosong. Ini bukan main bola yer. Sungai Burong, kosong. Tak hadir. Semenyih pun sama,"katanya.
Sementara itu, ADUN Sungai Pelek, Yap Ee Wah hanya hadir sekali daripada enam ketika mesyuarat jawatankuasa khas pejabat daerah dan tanah.

"Lima-satu. Dalam enam mesyuarat, sekali sahaja hadir,"katanya.

Perkara sama berlaku di dalam jawatankuasa khas Anak Syarikat dan Badan Berkanun yang dianggotai ADUN BN dari Seri Serdang (Datuk Mohamad Satim Diman) dan Jeram (Datuk Amiruddin Setro).

"Kosong. Dua-dua, tidak hadir," kata Ng kepada dewan.

TANPA UMNO SEMUA TAK ADA ??

111111 Selangor Dapat Tanah, Wang Daripada Hutang Talam Corporation


























Prestasi Kewangan Selangor Lebih Baik Dari Negeri BN




SHAH ALAM, 11 NOV : Laporan Ketua Audit Negara 2010 merumuskan bahawa pengurusan kewangan dan perbelanjaan Negeri Selangor yang ditadbir Pakatan Rakyat adalah lebih memuaskan berbanding negeri-negeri yang ditadbir oleh Barisan Nasional.

Malahan Ketua Audit Negara menegur pentadbiran di negeri-negeri seperti Terengganu dan Pahang supaya memperbaiki pengurusan kewangan mereka, kata Adun Bukit Antarabangsa Azmin Ali.

Di dalam perbahasan beliau di sidang DUN, Azmin berkata keupayaan Pakatan menguruskan sumber kewangan dan berbelanjaan dengan baik serta perbezaan gagasan itu dengan pendekatan BN perlu dilihat oleh rakyat.

"Saya pada hari ini membawa laporan audit ketua negara bagi negeri Terengganu sebuah negeri yang mempunyai hasil mahsul yang melimpah ruah ditadbir oleh Umno Barisan Nasional. Rumusan untuk audit bagi negeri itu ialah pada tahun 2010 ialah kerajaan negeri Terengganu perlu merancang perbelanjaan dan kewangan dengan cekap dan berhemah tanpa perlu menjejaskan pertumbuhan ekonomi.

"Saya juga ingin merujuk kepada laporan audit negara bagi negeri Pahang, sekali lagi sebuah negeri yang mempunyai hasil mahsul yang lebih besar ditadbir oleh Umno , rumusan ketua audit negara ialah agar disyorkan kerajaan negeri Pahang agar mengamalkan perbelanjaan yang berhemah serta mengutip hutang agensi kerajaan negeri berjumlah RM228.8 juta dan menjelaskan bayaran balik hutang kerajaan Persekutuan," katanya.

Azmin berkata lagi, teguran terhadap pengurusan kewangan yang diberikan oleh Ketua Audit Negara terhadap negeri pimpinan Umno-BN itu tidak terdapat dalam laporan Ketua Audit Negara 2010 bagi negeri Selangor.

Justeru, ini jelas membuktikan bahawa mekanisme pengurusan kewangan negeri Selangor adalah pada tahap terbaik katanya.

Hishamuddin Rais: Simpatilah Melayu yang dibonsaikan mindanya

Hishamuddin Rais: Simpatilah Melayu yang dibonsaikan mindanya

Lim Hong Siang

Satu Malaysia menanggung kerugian, apabila pemerintah mengambil langkah memusnahkan institusi pengajian, mengawal media dan memperbodohkan rakyat - lantas memberi laluan kepada penyalahgunaan kuasa dan rasuah untuk berlaku sepanjang puluhan tahun ini.

Pandangan berbeza dicantas, demonstrasi jalan raya dipatahkan setelah dewan dalam universiti untuk pertembungan pandangan ditutup, dan peranan universiti sebagai institusi pendidikan dimusnahkan. Lantaran daripada itu, universiti awam tempatan menghasilkan badut, kaki bodek, malah ahli akademik yang memplagiat kajian orang lain pada hari ini...

Hishamuddin Rais (gambar kanan, kedua dari kiri), yang juga "produk" Universiti Malaya pada tahun 1970-an, gagal menahan kemarahan melihat situasi institut pengajian tinggi tempatan yang diperlakukan sebegini oleh pemerintah, sehingga mengeluarkan kata-kata kasar, "Masa sudah tiba. Masa sudah tiba untuk semua kita kata, F*** you, United Malays National Organisation!"

Luahan Hishamuddin Rais ini disambut dengan tepukan dan sorakan gemuruh daripada lebih 150 orang hadirin, dalam satu forum berjudul "Malays Are Muted Too! - The Importance Of Freedom Of Expression", bertempat di Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur-Selangor (SCAH), semalam.

Forum ini mempertemukan mereka yang "dibisukan"- Zunar yang diharamkan karya kartunnya; Amir Muhammad yang dirampas buku terbitannya, Jamaluddin Ibrahim yang diarah untuk mengambil cuti setelah rancangannya "Say Hi To Malaysia" dalam stesen radio 98.8 disiasat Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia (MCMC), dan Hishamuddin Rais, bekas tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) yang sepanjang ini mencabar sistem yang sedia ada dengan pandangannya yang penuh kontroversi.

Lebih menarik, biarpun keempat-empat ahli panel ini berketurunan Melayu, namun mereka berasal dari dunia yang berlainan bahasa. Jamaluddin Ibrahim, misalnya lebih fasih untuk bertutur dalam bahasa Cina, dan mempunyai peminat dari komuniti Cina. Forum yang dianjurkan bersama oleh Jawatankuasa Hak Sivil SCAH, 1 Muted Malaysia dan MerdekaReview.com ini dijalankan dengan terjemahan oleh moderator, Chai Chee Fatt.

Guan Eng naik Haji tahun depan?

Hishamuddin Rais bermula dengan analisis bagaimana orang Melayu ditakut-takutkan, dan diperbodohkan agar pemerintah mengambil kesempatan untuk mengaut kepentingan diri. Pawang dan bomoh dalam kampung akan menyebarkan khabar hantu, dan kemudian akan diberikan telur dan beras oleh orang kampung yang telah ditakut-takutkan. Dalam politik moden, Hishamuddin Rais mendakwa model ini terus digunapakai, dan orang Cina dalam konteks hari ini telah dijadikan "hantu" untuk menakut-nakutkan orang Melayu.

Beliau sempat melontarkan jenaka ketika menyindir politik perkauman yang dimainkan dewasa ini, "Sekarang kamu boleh nampak, setiap hari, UMNO kata DAP pergi surau-lah, Lim Guan Eng sembelih lembu-lah...Lepas tu, tahun depan, Lim Guan Eng naik Haji...kemudian, Lim Kit Siang bersunat!"

Malah, Hishamuddin Rais (gambar kiri) mempersendakan kenyataan bahawa orang Cina bakal mengambil-alih kerajaan di Malaysia, "Mengapa orang Cina mahu mengambil alih negara ini? Ini sesuatu yang pelik. Negara ini negara yang paling teruk disalah-urustadbir (mismanaged) di dunia...polisnya rasuah, sistem kehakimannya rasuah. Kalau Lim Kit Siang jadi Perdana Menteri, dalam tiga hari beliau akan ditendang keluar!"

Budaya perbincangan intelektual di Universiti

Ketika menjawab soalan daripada hadirin, Hishamuddin Rais mengimbas nostalgianya bagaimana suburnya budaya perbincangan intelektual dalam universiti, pada zaman tahun 1960-an dan 1970-an. Menurut Hishamuddin Rais, yang juga pemimpin gerakan siswa ketika itu, persatuan dan pertubuhan dalam kampus akan menempah dewan pada setiap malam Rabu, untuk menganjurkan forum.

Untuk beliau, budaya ini adalah tradisi pengetahuan, menyaksikan bagaimana idea baru dicabar, sementara idea lama disingkirkan. "Ini adalah kegunaan universiti...ini adalah apa yang dikatakan pendidikan!" Pandangan Hishamuddin menerima tepukan dari bawah pentas.

"Kemudian, datang seorang yang bernama Mahathir Mohamad. Beliau musnahkan institusi. Beliau memusnahkan universiti sebagai institusi untuk pembelajaran. Mengapa? Kerana banyak pandangan yang berbeza dari kampus. Banyak demonstrasi, banyak "tidak setuju" (disagreement) datang daripada orang muda!"

Malah, Hishamuddin Rais memperlihatkan kekecewaannya apabila perbincangan intelektual kini terpaksa mengambil tempat di SCAH, atau hotel yang disewa, yang untuknya bukan tempat yang sesuai. "Ia seharusnya berlaku dalam dewan universiti. Apa yang terjadi sekarang adalah semuanya tertutup!"

Beliau yang gagal menahan kemarahan akhirnya mencemuh UMNO, yang dipersalahkan kerana memusnahkan segala-gala ini.

Feudalisme sebati dengan jiwa Melayu

Amir Muhammad, yang pada mulanya "terasa malas untuk hadir" kerana melihat tajuk forum (Melayu juga dibisukan), cuba mengulas isu ini di luar kerangka perkauman, mengambil contoh bagaimana "senarai tahanan ISA dari dulu hingga sekarang" memperlihatkan corak "1Malaysia".

Bagaimanapun, pembikin filem bebas ini berkongsi pengamatannya bahawa "feudalisme adalah satu perkara yang amat sebati dengan jiwa Melayu, yang berkurun-kurun lamanya." Amir Muhammad mengimbas sejarah bagaimana kaum Melayu menyembah kepada raja Hindu sebelum kedatangan Islam, dan bagaimana penyembahan ini dialihkan kepada Raja dan Sultan Islam, seterusnya kepada pemerintah sekarang.

Malah, feudalisme ini tidak terhapus hanya dengan pertukaran sistem politik, misalnya kepada republik. Ketika menjawab soalan dari hadirin, Amir Muhammad mengambil contoh bagaimana ketiga-tiga negara republik termasuk Singapura, Filipina dan Indonesia, yang terjatuh ke dalam neo-feudalisme, apabila rakyatnya masih cenderung untuk mengundi calon yang "dilahirkan daripada sperma seorang tokoh dahulu".

Mengulas isu negara republik, Hishamuddin Rais yang juga pembikin filem seketika dahulu enggan memberi jawapan yang "dramatik", misalnya menganjurkan Revolusi Bolsheviks dan sebagainya, tetapi tetap mengusik hati ramai.

Hishamuddin tidak tertarik untuk hapuskan raja, tapi...

Beliau berkata, "Menukar kepada (sistem) Republik, untuk saya tidak begitu penting. Saya tidak tertarik hati untuk menghapuskan raja-raja. Untuk saya, kamu boleh mempunyai seramai raja yang boleh. Tapi kamu kerja. Kamu boleh mempunyai seorang raja yang memandu teksi, kamu boleh mempunyai Sultan Negeri Sembilan memandu teksi...saya ok. Kamu boleh jadi Raja, Tan Sri, tapi kamu kerja sebagai nelayan...kamu boleh jadi Raja, kamu boleh jadi Sultan, apa masalahnya?"

"Masalahnya, mereka tidak bekerja (they are not working)...Mereka menyalahgunakan wang (they are abusing the money). Itu masalahnya!"

Hishamuddin Rais menegaskan,"...tapi, jangan suruh saya menghormati anda, kerana penghormatan bukan dipaksakan kepada rakyat. Kita memberikan penghormatan, kerana kita wajib berikan penghormatan kepada orang yang seharusnya kita hormati."

Malah, beliau memberi contoh bagaimana negeri India yang juga mengekalkan kerabat dirajanya, telah memperlihatkan perubahan. "Di India, ada raja-raja yang jalankan perniagaan hotel. Mereka masih mempunyai kerabat diraja, kamu nak jual kacang putih, kamu boleh jual kacang putih... Apa masalahnya?"

Amir: Mengapa raja tidak bersatu?

Amir Muhammad yang mengkaji filem tanah air turut berkongsi pengamatan dirinya. Beliau mendapati filem pada tahun 1940-an hanya menjadikan raja sebagai wira, tetapi "revolusi mental" berlaku apabila filem seperti Hang Jebat pada tahun 1950-an, menampilkan raja dengan perwatakan yang jahat, dengan menganjurkan kemungkinan bahawa Sultan boleh berkelakuan jahat, seperti bunuh, rogol dan sebagainya dalam filem.

"Sebenarnya benda yang ditanggap tak boleh disoal, pernah disoal sebelum ini. Padahal benda yang baik berlaku. Kalau orang dahulu sudah menyoal, orang sekarang ada tanggungjawab untuk menyoal dengan lebih..," kata Amir Muhammad (gambar kiri), sambil mengingatkan bahawa kebodohan Utusan Melayu hanya bermula pada tahun 1960, apabila UMNO mengambil-alih akhbar tersebut.

Amir terus mempersoalkan, "Baru-baru ini, Sultan Perak dan Sultan Selangor, dua-dua kata orang Islam kena bersatu. Saya pun bertanya sebagai soalan, hak saya untuk mengutarakan soalan, kalau sultan-sultan ini nak bersatu, kenapa kita ada sembilan ...(Raja/Sultan)? Kenapa kita satu-satunya negara di dunia yang ada sistem rotating (bergilir)? Macam roda rolet..."

"Ini adalah apa yang berlaku semasa kemerdekaan. Dan mungkin ramai tidak diberitahu atau disedarkan bahawa semasa kemerdekaan, institusi raja adalah institusi yang tak nak kemerdekaan. Sebab dia tahu dia akan hilang kuasa!" katanya.

Ketawa pun perlu ambil lesen?

Sebelum mengakhiri ucapannya, Hishamuddin Rais menyeru agar orang Cina memberi lebih simpati kepada orang Melayu, kerana orang Melayu kini telah diperbodohkan, dibonsaikan mindanya sehingga malas untuk berfikir. Beliau sempat mengusik pemimpin UMNO apabila mengeluarkan kata-kata, "Lebih dahsyat, Muhyiddin Yassin (TPM) dan Lokman Adam (yang lompat parti) memikir untuk mereka!"

Zunar (gambar kanan), atau nama asalnya Zulkiflee Anwar Ulhaque, meneruskan jenaka Hishamuddin Rais, yang berbunyi "nak ketawa pun perlu ambil lesen" apabila memperkenalkan kartunis yang diharamkan koleksi karyanya ini. Zunar menggelakkan hadirin ketika menceritakan pengalaman bagaimana kartunnya diharamkan, dan proses beliau disoalsiasat oleh pegawai Kementerian Dalam Negeri (KDN).

Dalam soal-siasat tersebut, majalah jenaka kartun kelolaan Zunar dituduh bersifat "politikal", namun dinafikan satu persatu, dari muka depan hinggalah ke muka akhir. Zunar mempertahankan isu gadis Mongolia dibom, isu kematian Teoh Beng Hock yang dibangkitkan dalam majalah tersebut sebagai "isu jenayah", dan orang Malaysia seharusnya mempunyai hak untuk membincangkan isu yang berlaku di Malaysia.

Malah, Zunar menyatakan ketidakpuasannya kerana kelangsungan majalahnya ditentukan hanya seorang Menteri yang berkuasa. Beliau rela berdepan dengan audien di pasaran, dan sanggup menerima nasib seandai karyanya tidak mendapat sambutan di pasaran.

Zunar yang buku dan majalah terbitannya "diganggu" dari setiap lapisan, dari pencetak, vendor sehinggalah pemilik kedai, menuding jari kepada Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984. Beliau bertegas bahawa pencetak yang tugasnya hanya mencetak, iaitu yang akan menanyakan soalan pertama "buku ini hitam putih atau berwarna, kertas 70 gram atau 80 gram" itu tidak harus dipertanggungjawabkan dalam penerbitan.

Beliau memberi gambaran bagaimana pencetak dan vendor diugut untuk tidak mencetak karya kartunnya, yang dianggap "mengancam keselamatan dalam negeri".

Jamaluddin: Untuk kepentingan diri pemerintah

Jamaluddin Ibrahim melanjutkan kupasan Hishamuddin Rais sebermulanya, bahawa segala "hantu" yang diwujudkan tidak berkaitan dengan nasionalisme, perlembagaan persekutuan dan sebagainya, sebaliknya hanya percaturan politik kelas pemerintah untuk mengekalkan kuasa, lantas menjaga kepentingan diri.

Jamaluddin (gambar kanan) yang disekat beritanya oleh media cetak yang dimiliki Tiong Hiew King dalam tempoh tiga minggu yang lalu, merungut bagaimana Sin Chew Daily memainkan peranan yang menyerupai Utusan Malaysia, iaitu mempermainkan isu yang tidak menyenangkan kalangan komuniti Cina.

Beliau yang bekerja di stesen radio bahasa Cina ini menyahut apa yang dibentangkan ahli panel sebelumnya, iaitu pemerintah sebenarnya tidak mahu rakyatnya dicelikkan, sama ada dalam konteks UMNO dengan masyarakat Melayu, mahupun MCA dengan komuniti Cina.

*Lim Hong Siang ialah Editor MerdekaReview, edisi bahasa Melayu.

111111 dan "Negara Peragut"

111111 dan "Negara Peragut"

Ooi Heng | Nov 11, 2011 04:48:37 pm

Andaikan Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU Ke-13) merupakan PRU terakhir yang penuh bermakna kepada golongan warga emas daripada kalangan elit politik seperti bekas Perdana Menteri Mahathir Mohamad, maka isu pokok yang wajar ditelusuri bersama oleh rakyat Malaysia ialah, apakah ciri-ciri negara yang telah dicorakkan oleh elit politik selama ini yang telah membawa kepada kemudaratan dari segi kekayaan negara?

Perdana Menteri Najib Razak (gambar kanan) yang berdepan dengan desakan dalaman UMNO supaya mengundurkan diri sebelum PRU Ke-13, nampaknya mengakui bahawa Kerajaan Barisan Nasional (BN) mempunyai kelemahan diri yang menyebabkannya kehilangan sokongan sebahagian besar rakyat, justeru wujudnya keperluan untuk program transformasi ekonomi dan seumpamanya.

Namun, apa yang enggan diakui Najib adalah, ciri-ciri negara yang dicorakkan oleh elit politik BN atau lebih tepat UMNO sebenarnya telah memudaratkan negara. Tidak kira sehebat mana program transformasi dilaksanakan, Malaysia tidak akan memasuki era negara berpendapatan tinggi. Hal ini kerana, pendekatan kepada program transformasi tidak lain tidak bukan masih terkongkong dalam dasar lama yang membawa manfaat kepada elit politik tetapi memudaratkan negara dalam jangka panjang.

Kalau dulu nama yang digunakan ialah pembangunan, kini namanya transformasi. Cukup indah dan bagus kalau apa yang diamalkan ialah pembangunan yang mampan dan kekayaan negara diagihkan untuk menjaga kebajikan rakyat terbanyak, bukan diperuntukkan kepada elit lingkungan pemimpin UMNO dengan tertanamnya budaya rent seeking.

Tetapi realitinya cukup menyedihkan. Apabila diteliti projek-projek yang diperuntukkan dalam Belanjawan Negara dan penemuan-penemuan Laporan Ketua Audit Negara, cukup banyak program atau projek yang melibatkan skandal penyelewengan wang rakyat. Pendedahan terbaru ialah bayaran untuk pembelian kondominium mewah berharga RM9.8 juta yang direkodkan sebagai "hutang" National Meat and Livestocks Corporation Sdn Bhd (NMLC) kepada National Feedlot Corporation Sdn Bhd (NFC) yang melibatkan keluarga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.

Wacana dominan pemerintah selama ini yang bertapak di atas kewajaran pembangunan agak meyakinkan. Namun, apabila apa yang berlaku ialah peragutan kekayaan bertopengkan nama pembangunan, dan apabila kekerapan skandal sedemikian telah membawa kepada apa yang disifatkan sebagai "sindrom katak dalam air mendidih" (boiling frog syndrome), bukan sahaja kekayaan diragut oleh golongan yang mencorakkan ciri-ciri negara mengikut acuan, nafsu dan kepentingan mereka, negara bakal berdepan dengan krisis jika sekiranya rakyat menjadi katak yang kehilangan kekuatan untuk melompat keluar.

Kalau sebelum PRU ke-12 pada 3 Mac 2008, "sindrom katak dalam air mendidih" merupakan sesuatu yang lumrah dalam kebanyakan negara yang mengangkat wacana "negara pembangunan" (developmental state). Elit politik dalam negara seumpama yang lahir daripada perjuangan nasionalisme dan anti-kolonialisme selepas perang dunia kedua melihat pembangunan ekonomi dan pemodenan masyarakat sebagai agenda terpenting mereka.

Negara dan agensi negara dilihat sebagai pemacu utama dengan kerjasama sektor swasta. Bagi menjayakan agenda tersebut, negara harus bersifat pembangunan. Rakyat pula harus berterima kasih kepada pemimpin negara dan jangan banyak mempertikaikan sesetengah kelemahan yang dianggap remeh-temeh. Dengan kata lain, elit yang mewakili kerajaan dan memperkudakan negara tahu segala-galanya. Rakyat namanya silent majority. Cukup indah hubungan dari atas ke bawah yang dilakarkan oleh para elit dan media yang mendokong "kewartawanan pembangunan" (developmental journalism).

Tetapi realiti hari ini ialah, peranan meluas pemerintah dalam ekonomi tanpa mekanisme semak dan seimbang yang berkesan dan menyeluruh bukan sahaja menyekat perkembangan modal swasta, malahan menyebabkan amalan rasuah dan budaya rent seeking dalam pelbagai aktiviti termasuklah pengeluaran lesen, kawalan harga, kuota import dan sebagainya sementara hutang Kerajaan Persekutuan melambung tinggi seperti yang ditunjukkan dalam jadual di bawah:

Sumber: Laporan Bank Negara Malaysia, dan Laporan Ekonomi, Kementerian Kewangan

Di Malaysia, Mahathirisme melihat pemerintahan kuku besi sebagai "elemen buruk yang diperlukan" sesuai dengan hegemoni elit pemerintah supaya negara dapat memecut dari segi pembangunan. Sehinggalah kepada pentadbiran Najib, jaringan kumpulan elit dibentuk dan rent seeking diangkat sebagai bentuk sokongan ekonomi-politik utama untuk program transformasinya. Pelbagai agensi dibentuk untuk penyaluran peruntukan bukan secara langsung kepada rakyat terbanyak atau kumpulan sasaran seperti petani tetapi kepada agensi bersifat monopoli atau oligopoli seperti Bernas. Perangkaan sebuah Belanjawan Negara lebih merupakan penyenaraian dan pengagihan projek kepada jaringan kumpulan elit seumpama asalkan alasan bagus dapat difikirkan. Maka aktiviti seumpama yang bercanggah dengan produktiviti diteruskan meskipun program transformasi kononnya mahukan peningkatan produktiviti.

Wacana baharu yang perlu diangkat dewasa ini untuk memberi kekuatan kepada rakyat terbanyak, justeru menyemak amalan dan tingkah laku elit yang cenderung memperkudakan peranan dan kekayaan negara demi kepentingan diri ialah konsep "negara peragut" (predatory state) yang dibicarakan oleh sarjana seperti James K. Galbraith dan Peter Evans.

Dalam konteks Malaysia, isu-isu seperti tadbir urus dan ketelusan, ketidakcekapan, rasuah dan kronisme merupakan persoalan pokok yang perlu dijawab oleh elit seperti Najib yang menguar-uarkan segala program transformasi.

Negara perlu disusun semula supaya benar-benar merakyatkan ekonomi dalam menjaga kepentingan semua pihak dan tidak hanya menjaga kepentingan sebahagian kecil yang mempunyai kaitan politik dengan pemimpin negara. Isu pokok yang cukup mustahak untuk negara yang terperangkap dalam middle-income trap seperti Malaysia ialah, transformasi yang membawa pembangunan tetapi pada sama yang sama mengizinkan peragutan kekayaan negara oleh sekumpulan kecil elit bukan sahaja jauh menyimpang jauh daripada makna transformasi, malahan akan memudaratkan negara sehingga rakyat terbanyak terpaksa menanggung beban berat apabila krisis serious melanda negara pada masa hadapan.

Sesungguhnya, apa yang dilakarkan oleh konsep "negara peragut" bahawa "pembangunan tanpa pertumbuhan bermakna" bakal mengorbankan kekayaan negara dan menjahanamkan negara juga merupakan lakaran yang tepat dengan program transformasi yang diuar-uarkan oleh Kerajaan UMNO-BN yang dipimpin oleh Najib.

Walau bagaimanapun, rakyat di kebanyakan negara di dunia ini kini bangkit daripada "sindrom katak dalam air mendidih". Kekuatan rakyat di negara-negara Timur Tengah contohnya telah berjaya menumpaskan pemerintah yang meragut kekayaan negara atas nama pembangunan dan transformasi. Begitu juga di Malaysia, kebangkitan rakyat terserlah semasa perhimpunan BERSIH 2.0.

Meskipun serangan bertalu-talu dilancarkan terhadap peguam Ambiga yang memimpin gerakan BERSIH demi melenyapkan impak besar gerakan tersebut terhadap politik tanah air, senario global menunjukkan bahawa, rakyat terbanyak pasti bangkit dan tolak parti politik yang membawa negara ke arah "negara peragut" bertopengkan nama pembangunan dan transformasi.

Demi menyelamatkan kekayaan negara dan harapan baharu kepada generasi akan datang, mari kita lompat keluar daripada kuari air yang semakin panas suhunya sebelum terlambat.

Sama ada Parlimen dibubarkan atau tidak, hari ini tetap merupakan hari lahir saya. Semoga kekayaan negara sempat diselamatkan daripada para elit yang berselindung di sebalik "negara peragut" yang menjuruskan negara ke arah pembangunan tanpa pertumbuhan bermakna.

*Ooi Heng ialah Pengarah Eksekutif Kajian Politik untuk Perubahan (KPRU) dan kolumnis MerdekaReview.