"Biasanya kita sebut tentang politik dia bersangkut paut dengan kuasa. Tetapi dengan Dr.Syed Husin Ali, politik ini dalam pandangan saya, politik Syed Husin Ali ini tidak bersangkut paut dengan kuasa. Dia hanya sangkut paut dengan idealisme dan prinsip perjuangan."
Demikianlah kata-kata Tian Chua, Naib Presiden PKR dalam Majlis Pelancaran Memoir Perjuangan Politik Syed Husin Ali, di Pusat Konvensyen Shah Alam, semalam. Tian Chua mengakui bahawa Syed Husin Ali adalah idola politik pertamanya ketika dirinya balik dari luar negeri. "Kita menyokong Syed Husin Ali (pada ketika itu) bukan dengan tujuan untuk tukar kerajaan. Bukan tujuan untuk melaksanakan prinsip-prinsip atau dasar-dasar baru. Hanya (kerana) pada waktu itu kita rasa kita perlu satu suara untuk golongan yang dipinggirkan, golongan yang ditindas. Kita perlukan a voice of conscience in the parliament."
Bagaimanapun, Tian Chua yang secara rasminya terlibat dalam politik selepas Anwar Ibrahim dipecat dari jawatan Timbalan Perdana Menteri, menganggap sejarah perjuangan politik Syed Husin Ali tidak boleh dipisahkan daripada Anwar Ibrahim, tokoh yang mewakili politik "kuasa". Gabungan politik antara Syed Husin Ali dengan Anwar Ibrahim telah memberi imaginasi bahawa kedua-dua kuasa dan idealisme boleh digabungkan, dakwa Tian Chua.
Syed Husin Ali adalah pensyarah di Universiti Malaya ketika Anwar Ibrahim memimpin gerakan mahasiswa pada tahun 1970-an. Anwar menyertai UMNO-BN pada tahun 1982, berada dalam sistem kerajaan untuk 16 tahun sebelum dipecat pada 2 September 1998. Sementara Syed Husin Ali kekal sebagai pembangkang yang tidak pernah menang dalam PRU, memimpin Parti Rakyat Malaysia (PRM). Syed Husin Ali dan Anwar bertemu semula, dengan pencantuman PRM dan Parti Keadilan Nasional (ADIL), dan berada dalam perjalanan yang sama sehingga ke hari ini.
Untuk Tian Chua, Syed Husin Ali umpama jambatan antara dua generasi, iaitu generasi sebelum merdeka (yang memikirkan bentuk dan corak negara selepas merdeka), dengan generasi selepas merdeka yang diwakili Anwar (yang cuba merealisasikan impian negara yang ingin dibentuk). Kedua-dua tokoh ini telah mengumpul pengalaman yang berbeza sepanjang perjuangan mereka, malah secara berseloroh Tian Chua menggesa Anwar untuk menulis memoir beliau selepas penerbitan memoir Syed Husin Ali.
Kira-kira 1,000 orang hadir dalam Majlis Pelancaran Memoir Perjuangan Politik Syed Husin Ali, kebanyakannya terdiri daripada pimpinan PKR. Sebelum majlis dirasmikan Menteri Besar Selagor Khalid Ibrahim, Ketua Pembangkang Parlimen Anwar Ibrahim, Sasterawan Negara A.Samad Said, Tian Chua dan bekas pimpinan PRM Sanusi Osman diundang untuk memberi ucapan. Turut hadir termasuklah Professor Emeritus Khoo Kay Khim, bekas ahli parlimen Kok Lanas, Abdullah Ahmad dan lain-lain lagi.
Syarat jadi calon...
Anwar tidak lupa untuk mengungkit kisah pencantuman PRM dan KeADILan, yang berlaku ketika dirinya berada dalam penjara. "Parti KeADILan mendapat dokongan massa pada ketika itu, Parti Rakyat punyai rekod pejuang-pejuang yang pertahankan idealisme, yang tidak mudah digugat keyakinan mereka, dibeli, ataupun diugut."
Ketua Umum PKR ini mengakui bahawa dirinya mencadangkan dalam mesyuarat Majlis Pimpinan Pusat PKR, agar majlis pelancaran memoir ini dijadikan acara yang penting untuk parti dan kerajaan negeri Selangor.
"Dalam politik ini bukan sekadar mainan kata-kata, dia mesti melalui keyakinan. Dan buku ini membantu kita memahami peristiwa, latar belakang..." Malah, berkali-kali Anwar (gambar kanan) menekankan, "Jadikan parti kita dan susuk perjuangan ini tidak sekadar retorika politik biasa, tapi satu tradisi dan budaya ilmu yang kuat, yang tabah, yang boleh membantu kita pertahankan idealisme ini, sama ada kita berkuasa di negeri, atau sekarang sebagai pembangkang, apatah lagi cabaran lebih besar, bila...Insyaallah, kita tawan Putrajaya."
Malah, secara berjenaka beliau memberi amaran, "Kalau saya dapati mana-mana tokoh yang tidak selesai menelaah buku (ini), dia tidak akan dipertimbangkan menjadi calon nanti...", disambut dengan gelak ketawa dan tepukan di bawah pentas.
Tiada kemenangan tanpa pengorbanan
Dalam ucapannya yang ringkas, bekas Timbalan Presiden PKR Syed Husin Ali berkata, "Saya tahu tujuannya bukan untuk memuji dan memuja, tetapi apa yang hendak dilakukan oleh saudara Anwar ialah meneruskan dan menggalakkan tradisi keintelektualan dalam parti."
"Kita harus bergerak bukan dari segi politik saja, sebab perubahan dalam politik itu satu aspek. Kita harus buat perubahan dalam kebudayaan, dalam ilmu, selain daripada bidang-bidang seperti politik, ekonomi dan sebagainya."
Menyambung kisah A.Samad Said yang menceritakan bagaimana Ahmad Boestamam memulangkan dua beg wang yang diserahkan kepadanya, hanya kerana tidak pasti punca dari mana sebahagian wang itu datang, Syed Husin Ali mengambil kesempatan untuk menempelak pemimpin zaman sekarang yang bukan sahaja keluar parti apabila didatangi wang dalam beg, malah terus menghentam parti dan pemimpin selepas keluar parti.
Sebelum mengakhiri ucapannya, Syed Husin Ali tidak lupa menegur sesetengah wakil rakyat yang bercita-cita menawan Putrajaya, tetapi tidak menjejak langkahnya ke kawasannya selepas menang disokong pengundi. Beliau menyeru agar pimpinan muda meneladani semangat pengorbanan pemimpin dahulu, sambil mengingatkan, "Dalam perjuangan mesti ada pengorbanan. Tanpa pengorbanan, tidak akan ada kemenangan."
Wawancara MerdekaReview bersama Syed Husin Ali pada September 2010:
Syed Husin Ali: Anwar berbeza daripada Razaleigh
Digugurkan sebagai calon PRU 2004: Saya tahu Nik Aziz menyesal, Syed Husin Ali