ANWAR JEJAK KAKI SEMULA KE BANGUNAN UMNO, PASTI RAMAI YANG PEDIH HATI

 

Anwar Ibrahim akan menjejakkan kaki di ibu pejabat UMNO di WTCKL malam ini, 25 tahun selepas dipecat daripada parti itu pada 1998.

Perdana Menteri dijadual akan tiba pada jam 8.30 malam bagi mempengerusikan mesyuarat pertama Sekretariat Kerajaan Perpaduan, yang melibatkan wakil-wakil parti kerajaan.

Ketua Pemuda UMNO, Dr. Asyraf Wajdi Dusuki yang juga ketua sekretariat itu mengesahkan kepada portal Malaysiakini bahawa Anwar akan hadir malam ini.

Ini adalah kali pertama Anwar hadir ke Bangunan UMNO selepas dipecat oleh Tun Mahathir Mohamad pada 1998 lalu.

Ketika itu, Anwar memegang jawatan Timbalan Presiden UMNO, Timbalan Perdana Menteri serta Menteri Kewangan.

Apa yang menarik, kembalinya Anwar ke Bangunan UMNO malam ini ialah dengan jawatan sebagai Perdana Menteri.

Dapat kembali sebagai Perdana Menteri ke Bangunan UMNO, sedangkan 24 tahun lalu dipecat ketika memegang jawatan Timbalan Perdana Menteri, bukan saja sesuatu yang menyentuh hati buat Anwar sendiri, malah juga UMNO dan PKR, sebuah parti yang lahir hasil pemecatan itu.

Tetapi, tentu saja ramai yang pedih hati menyaksikan Anwar kembali ke Bangunan UMNO malam ini, terutama Tun Mahathir yang telah memecatnya pada 1998 dahulu.

Selama 25 tahun, Tun Mahathir cuba menghalang Anwar daripada menjadi Perdana Menteri dan sebelum ini menjadikan beliau sebagai musuh utama UMNO dengan pelbagai rekayasa tuduhan, Anwar selain berjaya akhirnya memburu cita-citanya itu, bahkan memperolehi jawatan tersebut melalui kerjasama dengan UMNO.

Kemudian, malam ini hadir pula ke Bangunan UMNO, tempat di mana beliau dipecat suku abad yang lalu.

Mahu tak pedih hati Tun Mahathir melihatnya…silap-silap berdarah hidung sekali!

Selain Anwar, kehadiran DAP juga menjadi tumpuan memandangkan konflik lama parti itu dan UMNO sebelum ini.

Pejabat UMNO menjadi pejabat urusan sekretariat itu.

Sekretariat itu ditubuh bagi membincangkan perjalanan kerajaan dan langkah ke hadapan, termasuk kerjasama politik serta janji-janji manifesto parti-parti kerajaan.

Dalam perhimpunan agung UMNO sebelum ini, hanya wakil BN diundang atas alasan “ingin menyelesaikan perkara-perkara yang berkait dengan keputusan dalaman Umno dan BN”.

Bagaimanapun, ramai melihat tindakan itu dibuat supaya penyokong UMNO tidak terkejut dengan perubahan drastik hala tujunya yang membentuk kerajaan dengan musuh tradisi kali ini.

Sementara itu, pemimpin Pakatan Harapan (PH) akan bermesyuarat terlebih dahulu petang ini, sebelum bertemu parti-parti kerajaan lain malam nanti. – ShahbudinHusin 07/02/2023.