Tambun akan jadi ‘tapak’ saya, bukan gelanggang ‘bunuh’ karier, kata Anwar.
PETALING JAYA: Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Anwar Ibrahim menyuarakan keyakinannya memenangi kerusi Parlimen Tambun pada pilihan raya umum ke-15 (PRU15).
Beliau berkata, Tambun akan menjadi seperti “tapak” dalam perjuangan politiknya, sambil menolak tanggapan ia akan membunuh kariernya.
“Jika menang di Tambun, ini akan jadi ‘base’ saya. Tambun akan letakkan seorang perdana menteri buat pertama kalinya di Perak,” katanya ketika berucap dalam satu ceramah Jelajah Mega Harapan di Perak yang disiarkan secara langsung di Facebook.
“Ini keputusan saudara (sama ada jadikan) ‘Waterloo’, iaitu gelanggang untuk bunuh karier politik Anwar (atau tidak).”
Pada 20 Okt, Anwar diumumkan menjadi calon PH di Parlimen Tambun dan bakal menjadi perdana menteri jika gabungan itu menang pada PRU15.
Anwar dijangka bertembung dengan penyandangnya Ahmad Faizal Azumu, yang juga timbalan presiden Bersatu.
Pada PRU lalu, Faizal yang bertanding atas tiket PKR menang dengan majoriti 5,320 undi, menewaskan calon BN dan PAS.
Anwar berkata, beliau percaya dengan kebijaksanaan pengundi di Tambun untuk memilihnya.
“Setiap orang Melayu, Cina, India dan Orang Asli (mesti) faham keadaan ini dan tolong sampaikan (kepada yang lain).
“Kita tidak boleh hilang satu undi (pun) kerana ini bukan Port Dickson atau Ampang. Ini Tambun,” katanya sambil menyeru pengundi Tambun yang berada di luar kawasan agar turut pulang mengundi.