TAK MUNASABAH MAHIADDIN LEBIH DISUKAI DAN POPULAR BERBANDING ISMAIL SABRI

 

Berdasarkan dapatan atau tinjauan terbaru oleh Merdeka Center, sebagaimana dilaporkan media semalam, Pengerusi PN, Mahiaddin Md Yasin didapati merupakan pemimpin politik paling popular dan disukai sekali.

Beliau dilaporkan mendapat 51 peratus undian daripada keseluruhan responden yang ditinjau pendapat mereka.

Populariti Mahiaddin dengan itu digambarkan mengatasi Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob yang mendapat undian 46 peratus, diikuti Anwar Ibrahim 33 peratus, Mohamad Hasan 32 peratus dan Ahmad Zahid Hamidi sekadar 13 peratus.

Selain menggambarkan kedudukan Mahiaddin sebagai paling disukai dan paling berpotensi untuk kembali sebagai Perdana Menteri selepas PRU15 akan datang, dapatan Merdeka Center juga mencadangkan Ismail Sabri harus dikekalkan sebagai calon Perdana Menteri bagi BN.

“Adalah suatu langkah strategik yang baik untuk terus mengekalkan Ismail Sabri sebagai calon Perdana Menteri memandangkan popularitinya lebih tinggi berbanding Zahid Hamidi,” tambah laporan itu lagi.

Menggambarkan Ismail Sabri lebih popular daripada Zahid Hamidi barangkali tidaklah begitu menghairankan kerana beliau memang telah disahkan sebagai “poster boy” dan calon Perdana Menteri bagi BN selepas PRU15 nanti.

Tetapi, meletakkan Mahiaddin lebih disukai berbanding Ismail Sabri mungkin membuatkan ramai yang tersengih sinis mendengarnya.

Sebagai pemimpin yang gagal ketika memegang jawatan Perdana Menteri selama 17 bulan, kemudian gagal lagi selaku Pengerusi Majlis Pemulihan Negara, tidak munasabah langsung kedudukannya boleh terangkat sebagai paling disukai dan paling popular sekali.

Ketika Mahiaddin melabel Ismail Sabri sebagai gagal dan Ismail Sabri membalas dengan mengatakan jika beliau gagal bererti Mahiaddin selaku Pengerusi Majlis Pemulihan Negara juga gagal.

Ini kerana, menurut beliau, Mahiaddin dan Majlis Pemulihan Negara adalah sebahagian daripada kerajaan yang dipimpinnya.

Bererti dalam hal ini, Mahiaddin dua kali gagal – pertama sebagai Perdana Menteri dan kedua, sebagai Pengerusi Majlis Pemulihan Negara.

Lebih daripada itu, tindakan Mahiaddin meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri kerana hilang sokongan juga menunjukkan beliau sendiri mengakui dirinya adalah pemimpin yang gagal.

Lalu, bagaimana pemimpin yang gagal boleh bertukar menjadi paling disukai?

Begitu juga dengan dapatan yang meletakkan Mahiaddin jauh meninggalkan Anwar dari segi populariti dan disukai, turut menunjukkan tidak ia tidak munasabah sama sekali.

Di pelbagai medium media sosial dan ke mana saja Anwar pergi dalam program bertemu rakyat, dibuktikan dengan gambar dan video bagaimana sambutan hangat yang diterimanya.

Dengan itu, bagaimana Anwar boleh digambarkan jauh lebih tidak popular berbanding Mahiaddin?

Ehhh….Merdeka Center dipunyai oleh siapa dan di belakang tabirnya pula ada siapa? – ShahbudinHusin 31/10/2022.

 

No comments: