Nasib dan masa depan politik Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Zuraida Kamaruddin setelah keluar daripada Bersatu dan sebelum itu bangga bertindak khianat kepada PKR, nampaknya terus jadi tidak menentu.
Parti Bangsa Malaysia atau PBM yang mahu dijadikan landasan perjuangan barunya dilihat tidak menjanjikan laluan cerah buat masa depannya.
Zuraida yang sebelum ini cuba diangkat menjadi Presiden PBM bukan saja berbalah dengan Larry Sng yang mendakwa dirinya juga sebagai Presiden PBM, malah dua hari lalu turut digantung keahliannya daripada parti itu bersama 12 pimpinan parti yang lain.
Larry Sng mendakwa, tindakan penggantungan itu diambilnya kerana pembabitan mereka terbabit secara berterusan menggugat kepentingan parti dan kepimpinannya.
Selepas tindakan penggantungan itu, Jabatan Pendaftar Pertubuhan atau RoS pula mengesahkan Larry Sng masih merupakan Presiden PBM yang sah.
Kata RoS, pertikaian yang berlaku dalam PBM adalah masalah dalaman parti itu dan ia tidak membabitkan mereka sebagai sebuah agensi kerajaan.
Bermakna dalam hal ini dan setakat ini, bukan saja Larry Sng diakui sebagai peneraju PBM yang sah, bahkan tindakannya menggantung keahlian Zuraida bersama 12 pemimpin lain juga adalah sah.
Dalam keadaan tersebut, memandangkan hari penamaan calon hanya tinggal beberapa hari saja lagi, persoalan paling besar kini ialah Zuraida mahu bertanding atas tiket apa bagi mempertahankan kerusi Parlimen Ampang pada PRU15 ini?
Sudahlah permohonan PBM untuk menyertai BN telah ditolak, kini dengan penggantungannya itu, Zuraida seolah-olah hilang sama sekali tempat bergantung untuk mengharungi masa depan politiknya.
Mujur juga kedudukan menterinya masih dikekalkan oleh Ismail Sabri Yaakob, meski telah keluar daripada Bersatu dan diasak berkali-kali oleh Mahiaddin Md Yasin agar segera diganti.
Jika tidak, pasti lagi malang nasib yang menimpanya.
Mahu tidak mahu, menjelang hari penamaan calon pada 5 November ini, Zuraida harus mencari jalan sehabis baik bagi menyelesaikan pertelingkahannya dengan Larry Sng berkaitan kepimpinan PBM itu.
Gagal berbuat demikian atau jika Larry Sng enggan berdamai dengannya serta akhirnya terpaksa bertanding atas tiket Bebas di Ampang dan bersendirian tanpa sebarang pakatan dengan mana-mana gabungan, harapannya untuk menang boleh dikira sudah melayang bak debu-debu berterbangan.
Masa depan politik beliau dengan itu tak ubah seperti sudah dikebumi sebelum pun kuburnya digali dan tanpa perlu menunggu tarikh pengundian pada 19 November nanti.
Adakah semua ini balasan Tuhan atas pengkhianatannya selama ini?
Dalam satu rakaman video selepas bertindak khianat kepada PKR dan seolah-olah berjaya menghalang Anwar Ibrahim daripada menjadi Perdana Menteri pada tahun 2020 dahulu, Zuraida pernah dengan bangga menyanyi sambil mengungkapkan kata-kata “bye-bye Anwar”.
Dengan nasib yang menimpanya sekarang, siapa lebih dulu bye-bye? – ShahbudinHusin 31/10/2022.