Berdasarkan senarai calon PRU15 mewakili PKR yang diumumkan pada Jumaat lalu, keluarga Anwar Ibrahim dengan sendirinya telah mencatat sejarah buat negara, malah bakal mencipta lebih banyak sejarah jika PH menang dan berjaya menubuhkan kerajaan pada 19 November depan.
Selama ini, adalah perkara biasa bila ayah dan anak dipilih sebagai calon dalam sesuatu PRU – misalnya Tun Mahathir Mohamad dan Mukhriz Mahathir, Tun Ghafar Baba dan Tamrin Ghafar, Lim Kit Siang dan Lim Guan Eng, Karpal Singh dan Gobind Deo, Taib Mahmud dan Sulaiman Taib serta Anwar dan Nurul Izzah – tetapi belum pernah tiga orang dalam satu keluarga dipilih sebagai calon.
Tetapi PRU15 ini akan menyaksikan sejarah baru tercipta bila mana tiga orang dalam sebuah keluarga iaitu Anwar, Wan Azizah Wan Ismail dan Nurul Izzah, secara serentak dipilih sebagai calon untuk bertanding dalam PRU yang sama.
Walaupun sebelum ini, ketiga-tiganya sudah sedia memegang status sebagai Ahli Parlimen, tetapi mereka tidak pernah bertanding secara serentak.
Wan Azizah dan Nurul Izzah bertanding dan menang di Pandan serta Permatang Pauh pada PRU tahun 2018, manakala Anwar menjadi Ahli Parlimen Port Dickson melalui PRK pada 2019.
Dalam PRU15 kali ini, tiga pemimpin berkenaan akan bertanding serentak dan jika ketiga-tiganya menang, secara serentak pula mereka akan mengangkat sumpah sebagai Ahli Parlimen.
Sebelum ini, ketika Wan Azizah dan Nurul Izzah menjadi Ahli Parlimen, kedua-duanya juga boleh dikira mencipta sejarah kerana pertama kali seorang ibu dan anak perempuan secara serentak berada di Dewan Rakyat.
Meskipun kali ini Wan Azizah berpindah dari Pandan ke Bandar Tun Razak dan ramai yang mempertikaikannya kerana dianggap tidak wajar lagi diletakkan sebagai calon, dikatakan memadai dengan Anwar dan Nurul Izzah saja bertanding, namun kesediaan bekas Timbalan Perdana Menteri itu terus bertanding adalah suatu pengorbanan yang cukup besar sebenarnya.
Beliau bukan diletakkan untuk bertanding di kawasan yang mudah, bahkan dalam misi untuk menyingkirkan pengkhianat parti iaitu Kamaruddin Jaafar yang pada PRU14 telah memenangi kerusi tersebut atas tiket PKR, tetapi kemudian melompat katak ke kolam Bersatu.
Oleh kerana memenangi satu kerusi adalah cukup penting, maka meletakkan Wan Azizah di Bandar Tun Razak adalah tepat, bahkan kesediaan beliau menggalas tugas berat itu seharusnya amat terpuji.
Isteri pemimpin-pemimpin lain sudah pasti tidak sedia melakukan pengorbanan dan perjuangan seperti itu kerana ramai yang lebih suka memilih kehidupan senang serta mewah tanpa melakukan apa-apa kerja yang susah.
Lantaran itu, keberadaan Wan Azizah sebagai calon, meski dalam usia 70 tahun haruslah diraikan serta dilihat dalam perspektif yang betul dalam usaha memastikan PH beroleh kejayaan.
Ini kerana sebagaimana disebut Anwar sendiri, PKR wajib merampas balik semua kerusi pengkhianat itu dan jika pimpinan utama tidak diletakkan sebagai calon, usaha mengalahkan mereka mungkin tidak menemui kejayaan.
Wan Azizah dalam hal ini nampaknya sehati sejiwa dengan Anwar yang sama-sama berpindah ke kawasan sukar iaitu Tambun bagi melonjakkan lagi harapan meraih kemenangan buat PH.
Dalam pada itu, Anwar dan Wan Azizah adalah satu-satunya pasangan suami isteri yang mencipta sejarah dalam negara ini kerana pernah menjadi Timbalan Perdana Menteri, Ketua Pembangkang serta Ahli Parlimen.
Barangkali boleh diucapkan terima kasih kepada Tun Mahathir kerana memecat Anwar pada 1998 dahulu, tanpa pemecatan itu tidak mungkin Wan Azizah terlintas untuk menceburi dunia politik secara aktif sehingga pencapaiannya yang luar biasa itu.
Pada PRU kali ini, jika ditakdirkan PH menang dan Anwar menjadi Perdana Menteri selepas 20 November nanti, banyak lagi sejarah baru bakal tercipta.
Melaluinya nanti akan tercipta sejarah di mana Anwar sebagai Perdana Menteri, manakala isteri Perdana Menteri ialah seorang bekas Timbalan Perdana Menteri dan bekas Ketua Pembangkang.
Juga akan tercipta sejarah di mana Anwar sebagai Perdana Menteri dan isteri Perdana Menteri adalah seorang Ahli Parlimen.
Semua ini tidak pernah berlaku dalam mana-mana era kepimpinan Perdana Menteri yang terdahulu.
Pada 19 November nanti, tidak mahukah kita menjadi sebahagian daripada penyumbang kepada terciptanya sejarah hebat itu? – ShahbudinHusin 30/10/2022.