“PERANAN NAZLAN DI MAYBANK TIADA KAITAN DENGAN KES RASUAH SRC NAJIB”


 Peranan Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali sebelum ini di Maybank adalah tidak relevan dengan kes rasuah RM42 juta SRC International ke atas Najib Razak, kata pihak pendakwaan.

Dalam afidavit yang difailkan di Mahkamah Persekutuan petang ini untuk membantah permohonan bekas perdana menteri yang mahu mengemukakan bukti tambahan baru, timbalan pendakwa raya (TPP) Mohd Ashrof Adrin Kamarul berhujah bahawa bukti yang didakwa itu lebih berkaitan dengan perbicaraan rasuah membabitkan RM2.28 bilion dana 1MDB yang sedang dijalankan terhadap tertuduh.

Tuduhan pemohon tidak lain hanyalah untuk mengisytiharkan perbicaraan SRC sebagai tidak sah, kata timbalan pendakwa raya itu.

Sehubungan itu, Mohd Ashrof berkata, bahawa isu pengambilalihan 1MDB terhadap Tanjong Energy Holdings, penglibatan Maybank Berhad dan Hakim Nazlan dalam perkara 1MDB ini, tidak relevan dengan fakta berhubung pertuduhan SRC yang dihadapi pemohon.

“Isu-isu ini tidak relevan dengan rayuan SRC tetapi berkaitan dengan kes 1MDB yang tidak dipengerusikan oleh Hakim Nazlan,” katanya.

Baru-baru ini, Najib memfailkan permohonan untuk mengemukakan keterangan lanjut bagi membatalkan sabitan dan hukumannya dalam perbicaraan rasuah SRC.

Pasukan peguam bekas perdana menteri itu berhujah bahawa terdapat konflik kepentingan yang didakwa berlaku apabila hakim perbicaraan di Mahkamah Tinggi, Mohd Nazlan ketika itu menngendalikan perbicaraan kes SRC. Dia kemudiannya telah dinaikkan ke Mahkamah Rayuan.

Mahkamah Persekutuan menetapkan 10 hari pada Ogos untuk mendengar rayuan terakhir SRC Najib untuk membatalkan keputusan bersalahnya atas tujuh pertuduhan salah guna kuasa, pecah amanah jenayah dan pengubahan wang haram serta hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta.



No comments: