Komen pakaian PM kenyataan umum, jangan ‘sentap’
Serangan Ahli Parlimen Padang Rengas, Datuk Seri Nazri Aziz terhadap Pengarah Komunikasi KEADILAN, Fahmi Fadzil yang mempersoalkan Perdana Menteri (PM) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengenakan busana mahal dan mengaitkan kononnya Fahmi juga mempunyai pakaian mewah menjadi tanda tanya.
Dalam reaksi balasnya, Fahmi tidak faham mengapa beliau dipersoalkan kerana kritikan kepada PM itu bersifat umum, bukannya berkenaan peribadi dan tiada kaitan dengan Nazri.
“Saya tak pasti kenapa Nazri tersentap. Dia (komen itu) sebenarnya bukan komen peribadi terhadap Datuk Seri Ismail Sabri. Ini komen mengenai persepsi umum dan ia penting kerana PM ada makna simboliknya (perbuatan, pakaian dan sebagainya).
“Mungkin Nazri kurang faham atau dia tersentap, maka seakan akan dia menyerang saya secara peribadi pula,” katanya.
Sebelum ini, Nazri dalam kenyataannya menyindir Fahmi dengan berkata Ahli Parlimen yang baru sepenggal memegang jawatan itu juga mempunyai pakaian, kasut dan jam tangan yang ‘boleh tahan’ harganya.
Namun bagi Fahmi, tiada apa yang mahal dan perlu disembunyikan mengenai pakaiannya.
Malah beliau juga telah mengisytiharkan harta sebelum ini.
“Saya telah isytihar harta kepada Dewan Rakyat, kepada SPRM, saya tak ada apa nak disembunyikan. Kalau dia nak dakwa (ada barangan mewah) dia kena tunjuk bukti. Apa jam yang saya pakai, kasut yang saya pakai. Dari mana datangnya duit untuk saya perolehi barang barang ini.
“Saya rasa dia tak mampu nak buat.
“Saya juga tak ada pihak pihak macam Ultra Kirana (syarikat penyumbang dana kepada Zahid Hamidi) nak bantu itu ini. Orang nak hantar kek besar tak ada,” katanya.
Menurut Ahli Parlimen Lembah Pantai itu lagi, isu yang paling penting berkenaan kritikannya terhadap busana PM adalah berkenaan penderitaan rakyat.
Katanya, beliau membandingkan kemeja PM mencecah harga RM6,900 dan kesusahan rakyat ketika ini yang berhadapan kenaikan kos sara hidup dan tentu untuk membeli pakaian murah pun ‘berkira’
“Isu lebih penting bukan isu pakaian, tetapi isu sama ada kita sensitif atau tidak terhadap masib rakyat. Penderitaan dan tekanan yang rakyat rasa sekarang.
“Mereka tak tinggal di kondo mewah, mereka kalau nak beli barang sekarang kena fikir 3 – 4 kali. Jadi kalau PM berbusana sedemian rupa dengan baju yang harganya sedemikian nilainya, jadi pasti mewujudkan satu jurang yang sangat besar. Itu yang saya tegur,” katanya lagi.