JIKA BENAR IKUT NABI, KENAPA PAS SOKONG PERKAUMAN, PENGKHIANATAN DAN RASUAH - FAIZ


Faiz Fadzil

Jika Benar Ikut Nabi, Kenapa Pas  menyokong Perkauman, Pengkhianatan dan Rasuah


Pas sekali lagi menjual agama bagi meraih sokongan politik apabila AJK Pas Pusat YB Ustaz Nik Abduh Nik Mat mendakwa perjuangan Pas mengikut perjuangan Nabi Muhammad SAW. Sebagai parti pemerintah, Pas seharusnya melaksanakan kata-kata dan bukan lagi menjual idea ‘Islam’ yang tidak menyelesaikan masalah rakyat dan negara. Slogan ‘Islam penyelesai’ tidak dilihat dilaksanakan, walaupun menjadi sebahagian kabinet, wabak Covid-19 gagal diuruskan dengan baik dan ekonomi rakyat semakin parah hari ini.


Jika benar Pas menyokong perjuangan Baginda Nabi, kenapa Pas menyokong Umno dan berada bersama mereka dalam satu koalisi politik yang dikenali Muafakat Nasional sedangkan Umno memperjuangkan perkauman. Nabi mencegah perjuangan berasaskan perkauman yang dulu dibawa Pas ketika melawan Umno, tetapi Pas kini pula berada di landasan yang sama. Apakah Pas kini telah menggadai perjuangan ini semata-mata kerana kuasa politik?


Jika benar Pas menyokong perjuangan Baginda Nabi, kenapa Pas menyokong pengkhianatan Tan Sri Muhyiddin Yasin terhadap mandat rakyat sehingga menjatuhkan kerajaan PH. Mandat rakyat adalah memilih PH sebagai kerajaan menggantikan BN, dan bukannya melantik TS Muhyiddin sebagai PM. Bukankah sifat Nabi adalah amanah, sedangkan khianat itu sifat keji yang ditentang Nabi. Apakah Pas sanggup menggadaikan perjuangan ini hanya kerana mabuk kuasa?


Presiden Pas Dato’ Seri Abdul Hadi Awang ada menyarankan penakrifan baharu rasuah dengan memberi contoh sumbangan kepada orang ramai bukan rasuah, namun adakah sumbangan dengan tujuan meraih sesuatu habuan bukan rasuah? Apakah Presiden Pas tidak sedar derma juga telah ditakrifkan sebagai rasuah di dalam Akta SPRM 2009? Jika Akta tersebut masih belum cukup Islamik, eloklah Pas membawa usul persendirian meminda Akta tersebut sepertimana perjuangan meminda Akta 355 yang sudahpun layu. Di samping itu, apakah tindakan Pas yang menyokong Dato’ Seri Najib Razak yang telah dihukum bersalah adalah mengikut ajaran Baginda Nabi?


Di mana Islam Pas sekarang, jika cabutan khas judi meningkat dari 8 ke 22 kali setahun, Kempen Beli Barangan Muslim (BMF) tidak diangkat polisi ekonomi negara dan kes-kes maksiat semakin mengancam hidup orang Islam negara ini. Justeru, persoalan di benak rakyat adakah Islam Pas suatu perjuangan Baginda Nabi atau sekadar candu politik?



No comments: