Pakar percaya bahawa penyumbang utama prestasi Malaysia yang jatuh merundum dalam memperoleh aliran masuk pelaburan langsung asing (FDI) tahun lalu disebabkan kestabilan politik negara yang tidak menentu.
Portal yang berpusat di Singapura, The Straits Times melaporkan, perkara tersebut dinyatakan oleh Pengarah Asia Group, Peter Mumford yang bertugas menasihati syarikat yang mempunyai kepentingan perniagaan di rantau ini.
Sebelum ini Pakatan Harapan (PH) berjaya mengambil alih kerajaan pada 2018 dan menggulingkan Barisan Nasional (BN) yang telah memerintah selama enam dekad, namun hanya mampu bertahan selama 22 bulan selepas berlakunya perpecahan dalaman yang menyaksikan Bersatu keluar dari gabungan tersebut.
“Ketidakpastian politik yang berlanjutan, tempoh lega yang hanya sementara dengan bergantung pada proklamasi darurat, dan kebimbangan yang semakin meningkat mengenai nasionalisme ekonomi semuanya menjejaskan keyakinan pelabur,” kata Peter.
Aliran FDI ke dalam negara bagi tahun 2020 jatuh sehingga 68 peratus kepada USD 2.5 billion, dan yang paling teruk dalam kalangan negara di rantau Asia Tenggara .
FDI Singapura jatuh 37 peratus kepada USD 58 billion, Indonesia 24 peratus kepada USD 18 billion dan Vietnam 10 peratis kepada USD 14 billion. Bagaimanapun FDI Filipina naik 29 peratus kepada USD 6.4 billion.
Sementara itu, portal tersebut turut melaporkan, beberapa hari sebelum kerajaan mengisytiharkan darurat pada 11 Januari, Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Aziz menjamin keyakinan pelabur terhadap Malaysia, tetapi pemain industri termasuk ketua Dewan Perniagaan dan Industri Kesatuan Eropah-Malaysia (Eurocham), mengejek tuntutan itu.
Ini kerana, pelaburan bernilai RM110 bilion (S$ 36.2 bilion) yang diluluskan – asing dan domestik – yang disebut oleh menteri untuk sembilan bulan pertama tahun lalu adalah 25 peratus lebih rendah daripada tahun 2019.
Pelabur luar semakin bimbang tapi Malaysia tidak mahu bertemu mereka.
Ketua eksekutif Eurocham Sven Schneider berkata: “Kami kini menerima banyak keluhan dan kebimbangan mengenai Malaysia sebagai destinasi pelaburan yang layak. Sehingga hari ini, menteri terhormat itu bahkan tidak dapat bertemu dengan kami dan mendengarkan keprihatinan syarikat kami.
“Tanpa input ini, kementerian anda tentu tidak dapat mengatasi masalah di lapangan. Selain itu, ia sangat memerlukan lebih dari beberapa kata-kata yang bagus dan ‘window dressing’,” katanya memetik The Straits Times.
Pengarah Eksekutif Pusat Penyelidikan Sosioekonomi, Lee Heng Guie percaya bahawa kerajaan PN telah mengambil kira cadangan sektor swasta, tetapi masih perlu melakukan lebih banyak perkara.
Katanya, pelaburan sangat bergantung pada pelaksanaan kebijakan yang telus dan stabil, inklusif dan cekap, selain perlu meminimumkan ketidakpastian serta peraturan perniagaan yang tidak jelas.
Awal tahun ini, pengeluar kereta Korea Hyundai telah memindahkan markas besar Asia-Pasifik mereka dari Malaysia ke Indonesia, setelah memutuskan pada tahun 2019 untuk melabur US$1.55 bilion di sebuah kilang di sana.
Pengeluar kereta itu mengikuti jejak Toyota saingannya di Jepun, yang melabur US$2 bilion.
Pada masa sama, syarikat elektronik Jepun, Panasonic yang menyediakan bateri kenderaan elektrik Tesla juga memilih untuk menutup panel solarnya di Malaysia, lapor Nikkei.