Dahulukan rakyat, bukan Jasa atau ‘projek khas’, kata Santiago


Charles Santiago menggesa belanjawan kerajaan diubah suai.

PETALING JAYA: Ahli Parlimen Klang Charles Santiago menggesa Putrajaya supaya mengutamakan rakyat, terutama golongan pekerja, sekali gus meminta peruntukan tidak perlu dan “projek khas” dikeluarkan daripada Belanjawan 2021.

Beliau merujuk kepada peruntukan RM85.5 juta kepada Jabatan Hal-Ehwal Khas (Jasa), RM8.6 juta kepada Penggerak Komuniti Tempatan, RM1 bilion untuk “projek khas” di bawah Jabatan Perdana Menteri dan RM13.61 bilion di bawah Kementerian Kewangan untuk “pelbagai suntikan modal” dalam belanjawan tersebut dengan berkata, jumlah dana sebanyak RM14 bilion itu sangat membantu golongan yang paling memerlukan.

Santiago berkata, dengan menyalurkan dana tersebut kepada rakyat, orang ramai tidak perlu mengeluarkan simpanan daripada Akaun 1 Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang merupakan simpanan persaraan mereka.

“Bolehkah kerajaan ubah suai belanjawan ini? Sebagai langkah awal, ia boleh memindahkan dana bagi membantu pekerja dengan membatalkan atau menilai semula cadangan belanjawan berkenaan.

“Kerajaan ada dana. Tetapi adakah ia mempunyai keazaman politik untuk membantu golongan yang paling memerlukan?

“Apakah pentadbiran Muhyiddin Yassin mengambil jalan mudah dengan menjadikan simpanan KWSP, yang merupakan dana persaraan, sebagai tabung kecemasan?”, soalnya dalam kenyataan hari ini.

Baru-baru ini Menteri Kewangan Tengku Zafrul Abdul Aziz mendedahkan bahawa 32% daripada pencarum KWSP mempunyai simpanan kurang RM5,000 dalam Akaun 1, sementara 10% lagi mempunyai antara RM6,000 hingga RM10,000.

KWSP sendiri memaklumkan kira-kira 65% pencarum di bawah umur 55 tahun mempunyai simpanan kurang RM50,000, sementara 60% pesara menggunakan kesemua simpanan mereka dalam tempoh 3 tahun selepas bersara.

Santiago berkata, angka ini menunjukkan bahawa sebilangan besar pekerja hidup dalam kemiskinan, sementara pengeluaran lebih banyak simpanan mereka akan menghilangkan terus jaminan keselamatan kewangan selepas persaraan.

“Pengeluaran terkumpul akan memberi kesan ke atas kapasiti perolehan masa depan pekerja melalui kehilangan dividen dan faedah kompaun simpanan yang dikeluarkan.

“Ia juga akan menghapuskan keselamatan kewangan pada masa tua,” katanya.

Kerajaan merancang untuk membenarkan individu yang kehilangan pekerjaan mengeluarkan maksimum RM500 sebulan daripada Akaun 1 KWSP di bawah kemudahan i-Lestari yang dilaksanakan pada April.



No comments: