RULE OF LAW DAN SOKONGAN NAJIB



 1. Tulisan ini hanyalah sekadar pandangan saya berdasarkan apa yang saya pernah alami dan apa yang saya lihat dan yang saya baca.Ia tidak konklusif dan tidak sama sekali mengikat sesiapa.

2. Semasa PH yang mendapat mandat rakyat yang sah menjadi Kerajaan yang sah, saya sendiri masih ingat betapa banyak dan betapa kerap kami ditanya oleh rakyat bilakah misalnya mereka boleh lihat mantan PM di zaman BN dan beberapa orang yang lain akan dihukum penjara?.

Boleh dikatakan soalan panas tersebut ibarat sentiasa mengungguli dan menjuarai carta.

2A. Ya, ia soalan yang amat sukar untuk dijawab. Dan jika sudah dijawab pula, ia amat sukar untuk berjaya puaskan hati orang yang bertanya. Secara mudahnya, jawaban kami adalah isu yang dibangkitkan itu ada kaitan dengan prinsip “rule of law” ( kedaulatan undang-undang).

Bagi rakyat pula, prinsip rule of law itu terlalu abstract untuk difahami.

3. Mungkin setengah dari rakyat sendiri tidak begitu sedar bahawa hanya di zaman PH, mereka boleh, buat pertama kali, melihat mantan PM dan beberapa mantan menteri atau orang besar yang berjaya didakwa di mahkamah. Itu sendiri sepatutnya sudah dikira satu kejayaan besar PH !

Akan tetapi,malangnya, itu masih tidak mencukupi bagi rakyat.

4. Proses membicarakan sesorang yang buat salah atau melakukan jenayah di mahkamah ada kaitan dengan konsep “rule of law”. Dan prosesnya agak perlahan serta panjang dan tak sedikit yang rasa kurang selesa dan kurang sabar. Tetapi, suka tak suka itulah prosesnya. Ya, ia proses yang amat tidak popular. Tetapi proses itulah yang dinamakan ” a due process” yang bertunjang kepada prinsip keadilan. Keadilan wajib dilaksanakan hatta kepada insan yang kita tidak suka atau insan yang kita paling benci. Itu juga ajaran agama Islam-lihat Al-Quran 5:8.

5. Ya, jika nak mudah atau nak popular, Kerajaan PH boleh sahaja misalnya tangkap YB Pekan di waktu dinihari dengan polis yang beropeng macam samurai lakukan serbuan dengan bersenjata M-16, gari tangan YB Pekan, selubung muka dia dan dia terus ditahan macam seseorang yang ditahan di bawah ISA atau SOSMA.

Lepas itu beliau tidak perlu dibawa ke mahkamah untuk dibicara, dinafikan dia hak untik dapat peguam atau hak untuk dijamin . Sebaliknya terus sumbat dia dalam lokap atau penjara menunggu dia “reput” di penjara.

6. Jika itu yang PH lakukan, apa guna rakyat bersusah payah beratur panjang pada 9/5/2018 untuk mengundi PH jadi Kerajaan dan sekaligus tumbangkan BN.

Mungkin apa yang saya sebut di atas itu, Umno/ BN lagi pandai dan cekap lakukan dan tidak sedikit mantan menteri PH sendiri pun pernah jadi mangsa kezaliman dalam negara yang diperintah oleh rejim BN yang mungkin hanya ada law tapi tiada rule of law yang sebenarnya.

7. BilaYB Pekan mula dibicarakan, rakyat mula gembira sedikit. Bila satu-persatu bukti dikemukakan oleh pihak pendakwa di mahkamah, rakyat semakin teruja. Bila beliau didapati bersalah, ada rakyat yang menangis kerana terlalu bersyukur dan yang lebih ramai yang melonjak kerana terlalu gembira.

Masa tu rakyat sangat berharap YB Pekan akan dihantar ke penjara hari beliau dijatuhi hukum itu juga untuk lihat “proses pereputan” beliau di penjara!

8. Rupanya, YB Pekan tidak ke penjara pada hari tersebut walau dihukum penjara.Dia masih bebas sebab undang-undang membenarkan perlaksanaan hukuman penjara dia digantung ( stay of execution) kerana dia merayu. Ada dua lagi mahkamah dia boleh merayu-mahkamah rayuan dan mahkamah Persekutuan. Itulah “due process” nya atau nama lainnya “rule of law”.

9. Rakyat kecewa sekali lagi dan marah lagi. Rakyat lebih kecewa bila lihat YB Pekan masih boleh bebas pergi berkempen dalam PRK dengan diiringi atau ditemani rider polis dan bodyguard lagi. Dia masih boleh pergi ke parlimen dan hatta diberi masa 90 minit untuk berbahas bajet lagi.

Ada yang tanya saya ” kenapa dia boleh buat itu semua YB?.Saya tak mampu nak jawab.Tapi itulah “due process”nya.

10. Bagi kebanyakan rakyat hatta golongan cerdik pandai ,YB Pekan telah pun dikira bersalah bagi semua kesalahan khususnya yang berkaitan dengan skandal 1MDB. Semua kesalahan itu pula ibarat tidak boleh dimaafkan.

Saya tak salahkan rakyat sebab rakyat dah terlalu puas menderita kerana 1MDB.Bagi rakyat hukuman secara politik – kerajaan dia ditumbangkan- sepatutnya sama dengan hukuman secara undang -undang.

11. Dalam senario sebegitu, maka apabila diberitakan bahawa YB Pekan misalnya menyokong untuk DSAI jadi bakal PM, ramai yang marah dan rasa kecewa. DSAI juga turut diherdik dan dimarahi. Dengan secara mudah, DSAI juga dihukum kononnya menyokong YB Pekan. Dan dituduh serta dispekulasikan juga kononnya DSAI mungkin juga akan sokong-sekiranya beliau jadi PM- untuk YB Pekan dilepaskan dan dibebaskan.Ya, sedikit sebanyak apa yang mereka lihat macam mana Musa Aman dibebaskan, telah mempengaruhi ” judgment” mereka ke atas DSAI berhubung YB Pekan dan mereka yang sewaktu dengannya.

12. Untuk berlaku adil kepada DSAI, bagi saya, beliau tidak sewajarnya dihukum sebegitu hanya kerana YB Pekan telah bersuara sebegitu. Mungkin sahaja YB Pekan sendiri ada sebab tersendiri untuk dedahkan sokongannya ke atsa DSAI.

Seingat saya, saya tidak pernah mendengar lagi DSAI berkata yang YB Pekan dan mereka yang sewaktu dengannya akan dibebaskan jika beliau jadi PM. To be fair, sejak bila pula DSAI boleh kawal apa yang YB Pekan nak cakap?

13. Musa Aman dibebaskan.Ya, tapi itu berlaku di zaman Kerajaan Tebuk Atap yang tiada mandat rakyat.Ia tidak ada kena mengena dengan DSAI.

Jujurnya,saya musykil kenapa nak samakan jika ditakdirkan DSAI jadi PM, YB Pekan dan yang sewaktu dengannya pun akan diperlaku macam Musa Aman ?

Bagi saya, ia suatu prasangka semata mata yang amat tidak adil kepada DSAI. Dan saya tak rasa DSAI, setakat yang saya kenal, yang amat menjunjung prinsip rule of law dan pernah beberapa kali jadi mangsa kezaliman di zaman hampir ketiadaan rule of law akan bersikap macam Kerajaan Tebuk Atap.

14.Bagi saya, secara peribadi, tidak ada salahnya DSAI diberi peluang untuk mengemudi bahtera negara.Pengalaman luasnya walau mungkin tidak seluas YB Tun M -yang saya juga rasa amat banyak jasanya-itu fakta- mungkin berguna pada rakyat Malaysia.

Satu ciri tambahan yang ada pada DSAI yang mungkin tidak ada pada pada PM sekarang atau para mantan PM yang lalu adalah ini : Bagi saya, DSAI mungkin lebih mudah menjiwai penderitaan dan kesusahan kerana sejarah politik beliau terlalu banyak diwarnai dengan pelbagai warna penderitaan dan kesukaran! Dan itu bagus untuk rakyat!

والله اعلم

Mohd Hanipa Maidin, Ahli Parlimen Sepang

15/11/2020.