Mana 800 siaran TV RM2 juta untuk murid? soal Maszlee kepada kerajaan

 

Bekas menteri pendidikan Maszlee Malik berkata projek itu diberikan kepada sebuah syarikat secara rundingan terus.

PETALING JAYA: Bekas menteri pendidikan Maszlee Malik meminta penjelasan Putrajaya berhubung status 800 rancangan pendidikan bernilai RM2 juta yang diberi secara rundingan terus kepada sebuah syarikat.

Maszlee (Bebas-Simpang Renggam) berkata, syarikat berkenaan sepatutnya menyiapkan semua program itu pada Oktober lalu untuk diserahkan kepada Kementerian Pendidikan.

“Rakyat tahu KPM ada berikan projek, melalui tender terus berharga RM2 juta sejak beberapa bulan lalu untuk hasilkan 800 kandungan yang sepatutnya diselesaikan pada Oktober lalu.

“Dewan ingin penjelasan, apakah status pembekalan kandungan yang KPM (Kementerian Pendidikan) berikan pada syarikat berkenaan, di manakah 800 kandungan dijanjikan itu. Pendidik dan anak-anak sekolah sedang menantikannya,” katanya dalam sesi perbahasan di Dewan Rakyat hari ini.

Lapan ratus rancangan pendidikan untuk siaran TV itu dilihat penting berikutan pengajaran dan pembelajaran beralih ke atas tallan ataú menerusi televisen setelah semua sekolah dan kolej vokasional awam ditutup sejak 9 Nov lalu kerana Covid-19.

Maszlee berkata, tempoh masa 2 jam siaran pendidikan menerusi stesen televisyen arus perdana tidak memadai, jika dibandingkan dengan negara jiran lain.

“Setakat ini TV pendidikan percuma di Malaysia hanya boleh diakses di TV Okay selama 2 jam sehari sahaja. Ini amat memalukan.  Di Indonesia, mereka (pemerintah) memperuntukkan 6 jam sehari di stesen televisyen arus perdana. Di Thailand pula mereka sediakan 15 saluran untuk pendidikan.

“Manakala, di Turki, siaran televisyen pendidikan disediakan bagi setiap kelas berbeza dari pra sekolah hingga peringkat universiti. Di Malaysia hanya 2 jam sehari,” katanya.

 

Sementara itu, bekas timbalan menteri pendidikan Teo Nie Ching turut berkata tempoh siaran pendidikan di Malaysia terlampau pendek dan tidak boleh menampung keperluan pelajar.

“Untuk tingkatan 6 hanya 3 subjek yang diajar iaitu fizik yang diajar selama 55 minit, subjek ekonomi pula selama 27.5 minit dan sejarah 27.5 minit. Itu sahaja untuk tingkatan 6. Lagi teruk untuk tingkatan 2, bagi tempoh 5 November hingga 12 November, tidak ada mata pelajaran yang diajar dalam saluran ini.

 “Berbanding dengan tahun 1, hanya 1 mata pelajaran diajar iaitu matematik selama 30 minit, sedangkan di sekolah rendah untuk darjah 1, bagi tempoh seminggu sepatutnya mereka boleh belajar 300 minit seminggu,” katanya.