Oleh HASMI HASHIM
ADA yang tidak kena dengan manusia bernama Mahathir bin Mohamad. Kalau semua orang tidak betul, biasanya, dialah yang tidak betul.
Begitu kata orang tua-tua.
Najib Razak baginya tak betul. Semalam dia bilang, Anwar juga tidak betul — tidak boleh menjadi Perdana Menteri waktu krisis. Dulu, pengganti yang dia pilih sendiri, Abdullah Ahmad Badawi, juga tidak betul.
Belum pun lama, dalam tiga tahun lalu, Anwar dan partinya memaafkan apa yang sudah berlaku sejak 1998. Bukan mudah, sama ada bagi Anwar, keluarganya, anggota lama Keadilan bahkan ramai yang terlibat dengan Reformasi 1998 boleh menerima Mahathir kembali.
Alasannya adalah demi menyelamatkan Malaysia — ada skandal yang tidak boleh dibiarkan. Salah laku di dalam 1MDB, terlalu besar.
Kalau bukan sebab untuk menyelamatkan Malaysia ketika Anwar mendekam di penjara, Mahathir bukan sesiapa. Dia hanya bekas perdana menteri — yang di mukanya penuh arang hitam yang dicontengkannya sendiri.
“Arang hitam” sudah mencemar muka Mahathir cukup lama. Bukan sejak 1998 ketika dia memecat Anwar, tetapi jauh sebelum itu lagi.
Pendedahan mengenai salah laku Mahathir ketika dalam pentadbiran — khususnya ketika menjadi PM — sudah terdengar lama. Dia mencatat rekod buruk, satu demi satu.
Sebut sahaja skandal Bank Bumiputera, Perwaja, MAS, forex oleh Bank Negara sampailah kepada geran-geran yang diberikan kepada Proton seperti projek pembangunan kereta eletrik. Semuanya telungkup.
Syukur bila mana Proton yang setakat ini berjaya diselamatkan oleh Najib selepas penggabungan dengan syarikat dari China, Geely. Dan ketika Proton mencatat keuntungan semula, yang tetap untung juga adalah Mahathir — 50.9 saham Proton itu adalah adalah milik kawan akrabnya, Syed Mokhtar Albukhary melalui DRB-Hicom.
Kalau semua kerugian daripada siri skandal tadi dikumpulkan, mungkin jumlahnya lebih besar daripada kerugian yang dialami 1MDB. Itu belum lagi arahan untuk menggunakan wang KWSP, Tabung Haji, Petronas, Khazanah untuk menyelamatkan syarikat kroni dan anak-anaknya.
Najib dalam satu hantaran di Facebook kelmarin juga membangkitkan antara skandal terawal yang wujud pada zaman Mahathir. Ia melibatkan dana kerajaan yang disalurkan kepada sebuah syarikat pelombong bijih timah, Maminco.
Syarikat itu, seperti biasa, juga rugi.
Maminco ditubuhkan adalah untuk memanipulasi pasaran timah. Apabila gagal, maka diwujudkan satu lagi syarikat, Makuwasa untuk menyelamatkan pula Maminco. Begitulah caranya Mahathir ‘menarik’ duit. Berlapis-lapis.
Bukan sahaja Najib, bekas Setiausaha Agung DAP, Lim Kit Siang juga pernah mendedahkan skandal lebih 40 tahun lalu itu.
Kata Mahathir ketika berbahas soal Belanjawan 2021 di Dewan Rakyat minggu lalu, hutang tidak boleh ditutup dengan hutang. Betul.
Tetapi tidak pula Mahathir membentangkan pandangan lebih baik, mahu pun menyuarakan hasrat rakyat. Misalnya tentang morotarium automatik sepertimana yang disuarakan ramai ahli-ahli parlimen.
Pandangan maha hebat Mahathir cuma potongan 10 peratus gaji menteri. Kalau keseluruhan gaji menteri kabinet ialah RM25 juta, sepuluh peratus baru RM2.5 juga. Entah ke mana lenyapnya Mahathir sebagai seorang mantan menteri kewangan dan PM yang kononnya menjadi simbol pembangunan ekonomi Malaysia.
Jumlah penjimatan ala Mahathir itu terlalu kecil sekiranya hendak dibandingkan dengan desakan Pakatan Harapan (PH) atau Barisan Nasional (BN) yang tidak bersetuju dengan peruntukan lebih RM85 juta untuk JASA, atau lebih RM8 juta untuk sebuah badan di bawah menteri Zuraida Kamaruddin.
Di sebalik kata-kata hutang tidak boleh ditutup dengan hutang, jangan-Jangan ia membayangkan juga sifat Mahathir sendiri yang mahu dan gemar menutup dosa, dengan dosa.
Caranya bukan susah. Caranya ialah dengan memburukkan orang lain.
Kalau isu yang dibangkitkan betul, anggapkannya sebagai “bonus” atau kebetulan. Kalau yang diungkap Mahathir itu salah serta fitnah, apa yang mustahak, kebencian atau keburukan terhadap orang lain sudah ditebar.
Dan dia boleh terlepas. Lagi dan lagi.
Inilah satu bentuk sakit jiwa masyarakat yang rendah tamadun. Meski pun dia seorang yang bergelar “doktor”, dan lebih fasih bercakap orang putih berbanding cakap Melayu, belum tentu penyakit jiwa itu tidak ada padanya.
Penyakit jiwa berkenaan lebih rumit daripada hasad dan dengki. Ia bukan setakat hasad dan dengki — ia bersekali dengan apa yang disebut di atas tadi, yakni sebentuk ikhtiar yang mahu menutup kesalahannya sendiri dengan kononnya mendedahkan kesalahan dan kelemahan orang lain.
Penyakit berkenaan kita lihat juga ada pada Trump — yang minggu lalu kalah dalam pilihan raya Presiden Amerika.
Sepanjang kempen, modal dan strategi Trump mudah. Burukkan lawannya, Jeo Biden dan burukkan sekali bekas Presiden Barack Obama.
Cuma kali ini, “reality show” yang cuba dibuat Trump tidak selalu dipercayai orang. Dia kalah, termasuk di Georgia: sebuah belahan negeri di Amerika yang sudah puluhan tahun tidak dimenangi oleh Demokrat.
Lagi banyak Trump memburukkan orang yang tidak disukainya, semakin rakyat Amerika sedar rupa-rupanya Trump hanya mahu menutup skandalnya. Termasuklah kepentingan ekonomi dan perniagaan gelapnya dengan China dan Rusia.
Kita tahu, Amerika sering bermasalah dengan dua blok Komunis itu, tapi sejak era Trump, Komunis pun adalah seumpama kawannya. Apa yang mustahak, dia dapat buat duit di negara-negara Komunis dan diktator itu.
Kita tidak boleh membayangkan keadaannya apabila Trump sudah tidak lagi berkuasa. Dua anaknya yang selama ini menjadi penasihat Rumah Putih juga hilang kerja. Mungkin mereka akan kembali ke New York. Ke Menara Trump — sementara New York itu sendiri merupakan kubu kuat Demokrat.
Samalah halnya dengan Mahathir. Dia tidak duduk di Langkawi. Dia tinggal di Sri Kembangan, Selangor — negeri yang menjadi kubu kuat Keadilan. Bagaimanakan Mahathir boleh hidup selesa di negeri yang ditadbir oleh musuh nombor satunya?
Bukan orang tidak tahu, bahawa Mahathirlah yang menjadi dalang “Langkah Sheraton”. Cuma apa yang sesungguhnya terjadi, tidak seperti apa yang diinginkan oleh Mahathir. Dia tidak mahu Muhyiddin Yassin menjadi PM. Itu sahaja.
Dia hendak calon PM orang lain, yang dipilihnya. Orang yang boleh menutup dosanya.
Masalah yang timbul, menurut khabar-khabar angin, orang yang dipilih Mahathir itu tidak berani untuk bergerak sehingga memancung tengkuk Muhyiddin kerana dia belum lagi presiden parti.
Kalau-kalaulah Anwar berjaya menjadi PM entah esok entahkan lusa, dalam pilihan raya akan datang, kita akan dapat melihat Mahathir dan partinya akan menentang Anwar. Bersama calon PM Mahathir itu tadi. Mahathir akan kembali bersama PPBM, dan partinya, Pejuang gulung tikar. Tidak perlu lagi.
Semoga Mahathir panjang umur. Semoga dia dapat melihat dan merasakan, ertinya kekalahan. Apa ertinya, dosa tidak boleh ditutup dengan dosa?
*(Tulisan ini pertama kali diterbitkan di The Malaysian Insight pada 15 November 2020).
#SudahSudahlahMahathir