PH putuskan Warisan bertanding di Kimanis
Pakatan Harapan mencapai kata putus Warisan, parti peribumi Sabah akan bertanding menghadapi pilihan raya kecil Kimanis
Mesyuarat yang dipanggil Ketua PH Sabah, Christina Liew itu, yang juga ketua PKR negeri, dihadiri semua parti komponen. Seramai 16 wakil parti menyokong pencalonan Warisan.
“Kepimpinan PH Sabah, dengan kuasa autonominya, bersetuju untuk memberikan ruang kepada Warisan meletakkan calon pada PRK Kimanis,” kata Liew dalam kenyataan.
PPBM diwakili timbalan ketua negeri, Masidi Manjun kerana ketuanya Hajiji Noor berada di Kuala Lumpur, manakala DAP diwakili Ginger Phoong Jin Zhe kerana ketuanya, Frankie Poon perlu menghadiri majlis atas kapasiti menteri. Amanah diwakili ketua negeri, Lahirul Latigu.
“Keputusan ini berdasarkan petisyen pilihan raya bagi kerusi DUN Rantau, yang mana dipersetujui parti yang bertanding di kerusi itu pada pilihan raya umum ke-14 akan dibenarkan bertanding semula,” tambahnya.
“Parti komponen PH Sabah akan menyokong dan memastikan kemenangan untuk calon Warisan,” katanya, dan menambah jentera pilihan raya masing-masing akan diaktifkan segera.
Keputusan ini mematikan keraguan adakah Warisan akan dapat bertanding di kerusi itu disebalik cubaan oleh PPBM Sabah dan pimpinan Pemuda PH Sabah, kecuali DAP, yang mahu pakatan itu bertanding kerusi itu.
Minggu lepas, Mahkamah Persekutuan mengekalkan keputusan Mahkamah Pilihan Raya membatalkan keputusan pilihan raya Kimanis pada 2018.
Kerusi Parlimen itu dimenangi Barisan Nasional dengan kemenangan tipis apabila calonnya, bekas menteri luar negeri, Anifah Aman memperoleh majoriti 156 undi menewaskan calon Warisan, Karim Bujang.