MAHATHIR TAK HORMAT MAJLIS PRESIDEN PH, MASIHKAH BADAN ITU BERFUNGSI?



Tindakan Tun Mahathir Mohamad mengumumkan melalui media antarabangsa tentang keputusannya mahu kekal sebagai Perdana Menteri sehingga selesai Sidang APEC pada November 2020 adalah perbuatan yang jelas tidak menghormati Majlis Presiden PH.

Harus disedari bahawa kedudukan Tun Mahathir sebagai Perdana Menteri adalah berdasarkan keputusan serta konsensus badan tersebut.

Walaupun tidak disebut secara spesifik bila tarikh peralihan kuasa kepada Anwar Ibrahim mesti dilakukan, tetapi janji untuk menjadi Perdana Menteri hanya selama dua tahun itu adalah lafaz kata yang diumumkan sendiri oleh Tun Mahathir.

Sebelum PRU14, kata-kata itu diulang beberapa kali oleh Tun Mahathir dan pimpinan PH tidak membantahnya kerana mereka merasakan proses pembebasan dan pengampunan Anwar dijangka mengambil masa sekitar dua tahun juga.

Kalaulah diketahui pembebasan dan pengampunan Anwar boleh diselesaikan dalam jangka masa tiga bulan, barangkali belum tentu tempoh dua tahun yang selalu disebut Tun Mahathir itu dipersetujui begitu saja.

Bermakna, tempoh dua tahun itu bukan saja jangka masa yang difahami sebagai munasabah oleh pimpinan PH, bahkan juga merupakan janji yang didengar di bumi dan diketahui di langit.

Untuk itu, setelah memegang jawatan Perdana Menteri, jika Tun Mahathir mahu mengubah tempoh dua tahun yang dijanjikannya itu, beliau seharusnya merujuk kepada Majlis Presiden terlebih dahulu.

Hanya setelah Majlis Presiden bersetuju, barulah beliau boleh mengumumkan perkara tersebut kepada umum.

Adalah tidak beretika tindakannya mengumumkan hasrat mahu menjadi Perdana Menteri sehingga selesai Sidang APEC pada November 2020, tetapi tidak pernah sama sekali membawanya dalam mesyuarat Majlis Presiden PH.

Kenapa Tun Mahathir tidak membawanya ke dalam mesyuarat Majlis Presiden PH?

Apakah beliau menganggap Majlis Presiden tidak penting lagi atau bimbang hasratnya itu tidak mendapat sokongan dan mungkin ditolak?

Begitu pun, dengan tindakan Tun Mahathir membuat pengumuman melalui media itu, ramai kini tertanya-tanya tentang fungsi sebenar badan tertinggi dalam PH itu?

Apakah ia masih berfungsi atau Tun Mahathir sudah kembali kepada perangai lama PM4 dahulu di mana kata-katanya adalah wahyu yang mesti dituruti?

Mengapakah juga, meskipun setelah beberapa hari berlalu, pimpinan tertinggi PH masih tidak kedengaran bersuara sama ada menyokong, menolak atau mahu keinginan Tun Mahathir itu dibincangkan terlebih dahulu dalam mesyuarat Majlis Presiden?

Sesuatu yang harus disedari oleh pimpinan dalam Majlis Presiden ialah tindakan Tun Mahathir ini langsung tidak membawa kebaikan kepada masa depan PH sebagai sebuah kerajaan.

Lagi lama beliau berkuasa, kedudukan PH akan terus merudum berikutan tindakannya selama ini yang tidak peduli nasib rakyat, meremehkan janji manifesto serta lebih banyak mencatur soal politik berbanding membina semula negara.

Jika sekarang pun kedudukan kerajaan telah jauh merosot dan merudum hari demi hari, malah semua hasil kajian menunjukkan hal yang sama, tidakkah disedari bahawa kalau sehingga November 2020 beliau ada lagi sebagai Perdana Menteri, ia hanya menyebabkan kedudukan PH lagi parah jadinya?

Namun, perkara yang penting di sebalik tindakan terbaru Tun Mahathir ini adalah perlunya Majlis Presiden PH bertegas tanpa kompromi menetapkan dengan segera tarikh sebenar peralihan kuasa yang dijanjikan itu.

Hanya dengan ditetapkan tarikh yang khusus barulah Tun Mahathir selepas ini tidak boleh lagi sesuka hati melanggar janji atau menetapkan sendiri tempoh kuasa dirinya tanpa mempedulikan orang lain seolah-olah dalam negara ini beliau saja yang pandai dan tahu segala-galanya.

Bangun dan bertindaklah Majlis Presiden PH!! (ShahbudinHusin 12/12/2019)