Kerjasama PH-Umno boleh berlaku PRU 15


Penganalisis Politik Mazlan Ali membuat ramalan emosi dan dendam - Minda  Rakyat

Politik Malaysia yang tidak menentu sejak 10 bulan kebelakangan ini memerlukan pendekatan baharu untuk menyelesaikannya.

Menurut penganalisis politik, Dr Mazlan Ali, sebarang formula boleh dicuba ketika mana dijangkakan tidak ada parti yang akan memperolehi majoriti mencukupi membentuk kerajaan sekiranya Pilihan Raya Umum (PRU) diadakan dalam tempoh terdekat, atau pun sehingga tamat penggal.

Katanya, tidak mustahil musuh politik sebelum ini seperti Pakatan Harapan (PH) akan melakukan kerjasama dengan Umno dan menjadi satu pakatan baharu menghadapi PRU ke 15.

Biarpun DAP dianggap tidak diterima dalam kalangan penyokong Umno, kata Dr Mazlan, namun sekiranya terdapat keazaman politik maka kerjasama tetap boleh dilakukan dengan formula tertentu.

“Kemungkinan Umno akan bekerjasama dengan PH itu tetap ada walaupun DAP dianggap faktor penghalang kerjasama ini.

“Bagaimanapun, politik adalah sesuatu yang dinamik dan elastik.

“Tidak mustahil kerjasama keduanya (PH-Umno) akan berlaku dan jika beberapa perbezaan yang wujud di antara PH dan Umno dapat diatasi,” katanya dipetik.

Bagaimanapun, Dr Mazlan berpendapat, situasi di dalam gabungan Perikatan Nasional (PN) akan lebih bercelaru sekiranya Umno ingin meneruskan hasrat bekerjasama dengan PH.

Malah ketika ini pun, menurut beliau, soal pembahagian kerusi dilihat menggugat kerjasama dalam perikatan kerajaan tersebut.

Cuma menurut Dr Mazlan, pemimpin Pas tidak akan meninggalkan Bersatu dan mengikut kehendak Umno untuk hanya membahagi-bahagikan kerusi di dalam Muafakat Nasional.

“Saya menjangkakan Pas akan kekal bekerjasama dengan Bersatu kerana ikatan antara kedua parti ini sangat erat, dan kerjasama antara Pas serta Bersatu dijangka boleh membawa sokongan yang besar kepada PN dalam PRU-15.

“Realitinya memang terdapat beberapa pemimpin Umno enggan bekerjasama dengan Bersatu, tetapi secara terbuka mahu bekerjasama dengan Pas.

“Sebenarnya, keadaan ini akan memberi dilema yang besar kepada Pas kerana Bersatu sangat penting kepada Pas, sedangkan Umno menolak Bersatu,” katanya.

Pembahagian kerusi yang tidak lancar di dalam PN, sekiranya Umno tidak bekerjasama dengan PH sekali pun, pada pendapat penganalisis politik, mungkin akan mencetuskan pertandingan tiga penjuru di antara BN, PN dan PH.

Tidak sebagaimana di Sabah pertandingan tiga penjuru kekal memberi manfaat kepada PN di Semenanjung pertandingan seperti itu lebih merugikan PN yang terpaksa menghadapi BN di kerusi-kerusi Melayu.

Elak lost generation, rangka pelan pembelajaran anti Covid 19

 

10 Things about: Fahmi Fadzil, engineer-performer-activist turned  politician | Malaysia | Malay Mail


Jangkitan Covid 19 yang mungkin mencatat angka baharu melebihi 2,500 sehari pada minggu-minggu akan datang amat membimbangkan para ibu bapa mengenai keselamatan anak-anak mereka dalam menjalani sesi persekolahan yang akan bermula pada 20 Januari ini.

Sehubungan itu, menurut Ahli Parlimen Lembah Pantai, Fahmi Fadzil, Menteri Pendidikan harus menilai situasi yang melanda institusi pengajian tinggi yang dibuka sejak seminggu lalu, namun beberapa di antaranya terpaksa ditutup berikutan pengenalpastian kes positif Covid-19 di kalangan yang hadir ke institusi tersebut.

Kata beliau, situasi pasti menjadi lebih sukar apabila melibatkan sekolah rendah dan menengah. Jumlah sekolah melebihi 10,000 buah dengan hampir 5 juta murid dan lebih 400,000 guru akan menjadi katalis tercetusnya banyak kluster baharu jika tidak dikawalselia dengan sempurna.

Oleh itu, Fahmi mahu Menteri Pendidikan segera membentangkan pelan pencegahan Covid 19 di sekolah rendah dan menengah bagi mengelakkan pelajar-pelajar menjadi mangsa wabak maut itu.

“Untuk itu saya cadangkan agar kerajaan melaksanakan program saringan Covid-19 bagi guru-guru dan staf pentadbiran sekolah, terutama bagi sekolah-sekolah di zon merah atau mereka yang telah merentas negeri pada minggu terakhir Disember 2020

“Kerajaan juga perlu mengumumkan dengan jelas proses yang perlu dilalui pelajar sekiranya mereka terpaksa dikekalkan di darjah atau tingkatan yang sama seperti tahun lalu

“Selain itu, sekiranya perlu belajar secara dalam talian maka perubahan kepada sistem pembelajaran dalam talian perlu dilakukan agar lebih baik daripada apa yang dilalui pelajar-pelaja, serta nyatakan status penyerahan terkini 150,000 laptop yang dijanji Menteri Kewangan sewaktu pembentangan Belanjawan 2021,” katanya dalam satu kenyataan.

Bagi Fahmi, Menteri Pendidikan perlu lebih proaktif mengusahakan penyelesaian segera kepada masalah-masalah pembelajaran kanak-kanak. Para pelajar, katanya tidak wajar dibiarkan menjadi “generasi yang hilang” (lost generation), terkandas dan terbelenggu di masa depan akibat kegagalan pemimpin hari ini.

“Kerajaan perlu menjelaskan perancangan atau pelan tindakan menyeluruh sekiranya sekolah-sekolah di sesebuah daerah dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) atau Perintah Kawalan Pergerakan Diperketat (PKPD), yang tidak membolehkan pelajar hadir ke sekolah

“Kerajaan juga seharusnya menyatakan program yang akan dilaksana untuk memastikan para pelajar tercicir yang jumlahnya bertambah sepanjang 2020 yang akan berminat untuk kembali ke sekolah,” katanya lagi.



Panas! Umno, Bersatu mahu Pas pilih MN atau PN, jangan ‘main dua kolam’

 


Panas! Umno, Bersatu mahu Pas pilih MN atau PN, jangan ‘main dua kolam’

Susulan hubungan antara Bersatu dan Umno yang dikatakan tegang, beberapa pemimpin parti itu berharap rakan sekutu mereka, PAS tegas pendirian menyatakan sokongan.

PAS perlu memutuskan untuk kekal sebagai rakan komponen Perikatan Nasional (PN) bersama Bersatu atau mempertahankan gagasan Muafakat Nasional (MN) bersama Umno.

“Saya berharap PAS boleh lebih tegas dengan pendirian mereka melihat kepada persefahaman antara Bersatu dan Umno,” kata Pengerusi Umno Kelantan, Ahmad Jazlan Yaakub secara ringkas ketika dihubungi Malaysiakini hari ini.

Senada dengan Jazlan, Ahli Majlis Tertinggi (MT) Umno, Razlan Rafii juga percaya akar umbi PAS masih mahu berjuang bersama partinya.

“Saya percaya akar umbi PAS juga mahukan Umno terus bersama mencipta kemenangan seperti yang diidamkan semasa kami sama-sama jadi pembangkang.

“Kita merayu demi kesatuan penyatuan ummah kepada PAS agar kekalkan MN dan kita sama-sama masuk pilihan raya umum (PRU) demi kesatuan yang jitu,” katanya.

Tambah Razlan, dia juga berharap PAS masih mengingati peristiwa penyatuan kedua-dua parti itu melalui piagam MN.

 

“Tangisan penyatuan di PWTC (Pusat Dagangan Dunia Putra) masih segar dalam ingatan setiap orang Melayu. Mereka suka dan gembira dengan kesatuan ini.

“Bukan datang bergolek, ia bermula di atas pentas ceramah penyatuan ummah, pemimpin Umno naik pentas, mohon maaf kepada ahli PAS, dan pemimpin PAS naik pentas memohon maaf terhadap ahli Umno, terlerai sudah amarah dan kecil hati antara PAS dan Umno.

“Itu bezanya perkahwinan PAS dan Umno sekiranya hendak dibandingkan dengan madu kita iaitu Bersatu,” tambahnya.

Selain itu, Anggota Parlimen Arau dari Umno, Shahidan Kassim pula menyifatkan PAS mempunyai kelebihan sekiranya kekal bersama Umno.

Kalau Bersatu nak kawan elok-elok, ikhlas

“Tidak, kalau PAS pergi dengan Bersatu tanpa Umno dia yang ada kerusi kurang dari 18 mungkin tinggal sembilan tetapi kalau pergi dengan Umno PAS dapat 26 kerusi (untuk PRU akan datang),” katanya.

Masih berharap partinya bersama Bersatu mencapai kata sepakat, Shahidan juga menambah, hal itu akan dapat memajukan pentadbiran negara.

“Kalau Bersatu mahu kawan dengan kita elok-elok secara ikhlas, semua parti Melayu ini boleh tadbir negara dan kita akan dapat sokongan dua pertiga majoriti,” katanya lagi.

Untuk rekod, selepas kerajaan Pakatan Harapan (PH) dijatuhkan melalui Langkah Sheraton, Bersatu membentuk kerajaan baru melalui kerjasama longgar dengan beberapa parti lain termasuk Umno dan BN.

 

Ia kemudian menyaksikan munculnya PN yang disertai PAS sebagai salah satu parti komponen manakala Umno dan BN kekal berada di luar gabungan tersebut.

Hal itu menimbulkan rasa kurang senang beberapa pemimpin Umno yang menyuarakan hal itu sama ada secara terbuka atau berkias, kerana PAS dan Umno sendiri sudah memeterai perjanjian persefahaman melalui MN.

Malah, pergeseran antara Bersatu dan Umno kian ketara selepas terdapat beberapa cubaan Umno untuk merebut kembali kerusi tradisi yang ditandingi mereka namun kini dimiliki oleh Bersatu.

Bukan cuma itu, perselisihan Umno dan Bersatu dikeruhkan lagi susulan dakwaan Bersatu yang galak ‘mencuri’ dan membeli ahli Umno.

Ekoran itu, semalam, Mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) Umno yang dipengerusikan presidennya Ahmad Zahid Hamidi memutuskan untuk membawa usul masalah hubungan tegang parti itu dengan Bersatu dalam perhimpunan agung Umno, yang dijadual 31 Januari ini.

Ketua Penerangan Umno Shahril Hamdan (gambar, bawah) berkata, MT mengambil keputusan itu setelah mempertimbangkan usul yang dikemukakan oleh 189 daripada 191 bahagian parti, yang dikatakan menolak untuk bekerjasama dengan Bersatu.

 

Sementara itu, Bersatu dalam satu mesyuarat majlis pimpinan tertingginya semalam, pula menegaskan agar semua pihak yang terlibat dalam PN menunjukkan sikap sebaliknya dan beranggapan mengadakan PRU pada masa terdekat bukan satu langkah baik.

Terbaru, PAS pula berkata, pihaknya enggan terlibat dalam perselisihan antara rakan sekutu dan sebaliknya menyeru mereka saling berlapang dada.

Setiausaha Agungnya Takiyuddin Hassan berkata, pihaknya percaya hanya perpaduan yang utuh dapat membawa kepada pembangunan negara yang bersatu padu.

PAS perlu buat keputusan selamat dan bijak

Sementara itu, Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu, Dr Muhammad Faiz Na’aman berkata, dia yakin PAS tidak akan meninggalkan kerajaan PN, sejurus meletakkan jurang kerjasama dengan Bersatu.

“Saya yakin PAS tidak akan memilih jalan begitu kerana ia akan memberi kesan kepada parti itu juga. Jadi PAS juga kin sedang bertindak dengan selamat,” katanya.

Tambahnya, Bersatu tidak menghalang mana-mana rakan komponen PN untuk bekerjasama dengan pihak lain, namun akui partinya akan terkesan sekiranya PAS bertindak meneruskan gagasan bersama MN.

“Kita tidak pernah beri kata dua kepada PAS tetapi kita harap PAS wajar lihat dari sudut mana pihak yang lebih mudah dipercayai dalam jangka masa panjang.

“[…] Kita tidak boleh buat apa-apa kalau itu pilihan dia (PAS). Kalau PAS pilih MN dan tinggalkan PN, ia sedikit sebanyak ada kesan (kepada Bersatu) saya tidak nafikan,” jelasnya lagi.


Laporan tambahan oleh Zikri Kamarulzaman

CEPAT...CEPAT...JANGAN LAMBAT2 BUAT ADUAN RASMI TERHADAP ANNUAR MUSA...




Bekas setiausaha BN, Annuar Musa akan disiasat oleh Lembaga Disiplin UMNO sekiranya terdapat sebarang aduan rasmi oleh ahli-ahli parti, berikutan kenyataannya pada sidang media yang dianggap menyerang dan memalukan parti.


Namun, Pengerusi Lembaga Disiplin UMNO, Zulhasnan Rafique berkata, setakat ini belum ada sebarang aduan dibuat terhadap Annuar.


"Lembaga Disiplin hanya boleh menjalankan siasatan jika ada aduan rasmi daripada mana-mana ahli UMNO," katanya.



BILA SEBENARNYA TUN M ADA BERTEMU MUHYIDDIN?


Shahbudin Husin

Tun Mahathir Mohamad berkata, beliau pernah memberi ingatan kepada Muhyiddin Yassin supaya tidak “bermain api” dengan UMNO , namun peringatannya itu tidak disambut baik.


“Anda (Muhyiddin) tu parti kecil. Nanti anda akan bergantung kepada dia (UMNO).


“Tapi dia kata dia boleh uruskan.


“Kita tengoklah macam mana dia boleh uruskan masalah tu,” kata Tun Mahathir pada sidang media di Putrajaya semalam.


Ketika ditanya lebih lanjut sama ada beliau mempunyai nasihat kepada Muhyiddin yang berdepan detik sukar ketika ini, Tun Mahathir berkata nasihat sudah pun diberikan.


“Tetapi masalahnya, bila dah nasihat tak mahu dengar. Itu yang jadi masalah,” tambah beliau.


Persoalan di sini, bila Tun Mahathir ada bertemu Muhyiddin?


Adakah pertemuan itu atas permintaan Muhyiddin atau Tun Mahathir yang ingin berjumpa Muhyiddin?


Adakah juga pertemuan itu hanya berkaitan nasihat tersebut saja atau perbincangan berkenaan hal-hal lain sama?


Apa agaknya perbincangan lain yang mungkin berlaku antara mereka berdua?



PRU TAK SELESAI MASAALAH

. Tuntutan UMNO untuk adakan PRU suku pertama tahun 2021 adalah tidak wajar dan tidak munasabah. Kenyataan itu antara keputusan yang dibuat dalam mesyuarat kepimpinan tertinggi UMNO.

2. Ketidaktentuan politik negara memerlukan kesembuhan jangka panjang dan sebaiknya ialah menunggu sehingga pembubaran wajib 2023. Pemulihan memerlukan demokrasi diperkukuhkan semula melibatkan reformasi pilihanraya, reformasi parlimen dan reformasi politik dan parti-parti politik.

3. Manakala sembuhan keseluruhan negara memerlukan ketahanan nasional dibina semula akibat politik perkauman dan politik pembelotan yang menjadikan kebencian agama dan kaum sebagai manupulasi politik. Ketahanan nasional sangat penting untuk negara menghadapi pasca krisis pandemik global. PRU segera tidak akan selesaikan masalah bahkan akan menjadi semakin parah kerana kempen-kempen pilihanraya akan berorientasikan sentimen perkauman dan agama sempit untuk meraih undi. Perpaduan nasional akan terus terancam.

4. Pemikiran Umno dalam keputusan MKT mendedahkan betapa parti Melayu itu tidak lagi memikirkan soal penyembuhan negara dan pemulihan demokrasi dari akar umbinya. Mereka hanya berfikir untuk mengekalkan politik kuno mereka dan politik selamat diri. Rakyat sedia maklum beberapa pimpinan tertinggi Umno dan mantan PM dan TPM Umno berada dalam kluster Mahkamah akibat penyewengan dana dan tuduhan rasuah.

5. Negara memerlukan penstrukturan semula secara berinstitusi berteraskan pemulihan demokrasi dan membina semula ketahanan nasional. Pemulihan ini akan mengembalikan kepercayaan rakyat kepada institusi pemerintahan dan institusi politik yang menguasai pilihan rakyat.

Masa sebelum pembubaran wajib 2023 adalah sangat kritikal untuk semua pihak menumpukan kepada projek besar-besaran penyembuhan negara. Jikalau semua pihak memahami tuntutan ini maka akan terbentuklah “Gabungan Terbesar Rakyat” bersatu tenaga memastikan aspirasi penyembuhan negara tercapai sebagai tuntutan PRU nanti.

DS Dr Mujahid Yusof Rawa

Naib Presiden AMANAH

Ahli Parlimen Parit Buntar

7 Jan 2021



JALAN KE ULU TEMBELING HAMPIR TERPUTUS HUBUNGAN DAN BAHAYA AKIBAT MENDAPAN KERANA HUJAN LEBAT TANPA HENTI

 


Amiruddin Ahmad

JERANTUT 8 JANUARI 2020- Jalan Taman Negara Kuala Tahan  ke  Ulu Tembeling hampir terputus akibat runtuhan kerana hujan lebat selama beberapa hari. Ianya mengakibatkan terputusnya hubungan lebih 2000 penduduk Ulu Tembeling dengan kampung -kampung lain dan ke bandar Jerantut.

Kejadian hujan lebat selama seminggu tanpa henti bukan sahaja menjadikan jalan yang baru dibina dalam tempoh 4 tahun ini runtuh, malahan lori balak yang berulang alik menganggkut balak sebelum ini juga menambahkan kerosakan jalan yang dibina untuk kemudahan penduduk pedalaman,  mengalami kerosakan teruk.

Selain penduduk, kakitangan kerajaan yang terlibat juga kemungkinan besar terpaksa menggunakan pengangkutan sungai semula jika jalan ini masih tidak dapat dibaiki dalam masa terdekat memandangkan persekolahan akan dibuka pada 20 Januari ini.

Keadaan ini bukan sahaja menyulitkan penduduk kampung  pedalaman , tetapi juga kakitangan kerajaan yang turut bimbang dengan keselamatan jika menggunakan pengangkutan darat yang selama ini dianggap sebagai kemudahan bagi penduduk Ulu Tembeling .




Sehingga berita ini ditulis belum ada mana mana wakil rakyat yang turun melihat kawasan berkenaan kerana air sungai kampug Garok di Padang Piol masih tenggelam dan tidak dapat dilalui kenderaan.





‘Pelaksanaan PKP bersasar perlu diiringi dengan bantuan kewangan’


Oleh Syahredzan Johan

(Setiausaha Politik kepada Ahli Parlimen Iskandar Puteri)

Dilaporkan semalam bahawa Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah telah memaklumkan bahawa Kementerian Kesihatan Malaysia mencadangkan supaya adanya ‘pemutus litar’ (circuit breaker) seperti PKP yang bersasar di beberapa tempat bagi membendung wabak Covid-19. 

Apa yang diusulkan KKM ini tidak memeranjatkan. Semalam Malaysia sekali mencatatkan kes harian tertinggi dengan 2,593 kes positif, memecah rekod sebelum ini iaitu 2,525 kes pada 31 Disember 2021. Kes kumulatif juga sudah melangkaui 120,000 dengan lebih 500 daripada kematian.

Di samping itu, Tan Sri Noor Hisham Abdullah juga dilaporkan berkata bahawa sistem kesihatan negara  kini sedang berada pada tahap genting (breaking point). Oleh itu, sesuatu yang drastik mesti dilakukan untuk memutuskan rantai jangkitan Covid-19 dalam masyarakat.

Sekiranya cadangan KKM untuk PKP bersasar ini dilaksanakan, Kerajaan harus juga mempertimbangkan juga impak kepada ekonomi dan rakyat di tempat-tempat yang mana PKP bersasar ini dilaksana, sekiranya ia melibatkan penutupan sektor ekonomi.

Harus diingatkan bahawa PKP dan PKPB yang dilaksanakan sebelum ini telah mengakibatkan kehilangan pekerjaan, pengurangan pendapatan dan impak negatif kepada orang ramai. Bantuan yang diberikan sebelum ini juga tidak cukup besar dan tidak cukup meluas, sehinggakan rakyat terpaksa bergantung harap pada simpanan KWSP mereka.

Sekiranya terdapat penutupan sektor ekonomi dengan PKP bersasar ini, Kerajaan digesa untuk memastikan ia diiringi dengan bantuan kewangan yang lebih besar dan lebih meluas kepada setiap lapisan masyarakat. Jika tidak, ia akan membawa kesan yang buruk ke atas situasi kewangan rakyat dan rakyat akan terus menderita.

Kerajaan telah digesa sebelum untuk memaklumkan kepada rakyat tentang pelan jangka pendek dan pelan jangka panjang untuk negara menghadapi krisis Covid-19 yang semakin meruncing. Malangnya, setakat ini perancangan Kerajaan masih tidak kelihatan dan parti-parti dalam Kerajaan seperti lebih berminat untuk mengadakan mesyuarat politik daripada menenangkan kegusaran rakyat dan menjadikan langkah membendung Covid-19 sebagai prioriti.


PN bukan saja retak menanti belah tapi sudah terbelah terpecah-pecah

 


PN bukan saja retak menanti belah tapi sudah terbelah terpecah-pecah

Kelmarin Ahli Parlimen Ketereh, Annuar Musa, dipecat serta-merta daripada jawatannya sebagai setiausaha agung BN selepas Presiden Umno yang juga Pengerusi BN Ahmad Zahid membuat keputusan tersebut.

Tindakan berkenaan diambil selepas bekas timbalan perdana menteri itu mengadakan pertemuan bersama ketua-ketua Umno bahagian.

Pertemuan tersebut dilaporkan bagi mendapatkan penjelasan berhubung usul Umno bahagian yang menolak kerjasama dengan Bersatu pada pilihan raya umum (PRU) akan datang.

Annuar yang juga Menteri Wilayah Persekutuan didakwa oleh akar umni Umno seolah-olah sering membawa suara Bersatu dalam BN.

Lebih menarik, MCA – salah satu parti komponen BN – pun terkejut dengan pemecatan Annuar dan hanya mengetahui mengenai pemecatan tersebut melalui laporan media.

Adakah mereka telah dikeluarkan dari kumpulan WhatsApp BN? Persoalan itu masih tidak dapat dipastikan.

Tidak cukup dengan membuatkan MCA keliru dan bertambah celaru, muncul pula laporan mendakwa 143 daripada 191 Umno bahagian di seluruh negara enggan bekerjasama dengan Bersatu.

Nampaknya bukan sahaja BN yang cuba diheret untuk dibuang ke gaung. Umno malah mahu meroboh Perikatan Nasional (PN) juga.

Usul tersebut seolah-olah memberi bayangan kepada ahli parlimen Umno supaya menarik balik sokongan mereka terhadap kerajaan PN yang dipimpin oleh ketua parti Bersatu yang pernah melakukan kerja khianat dari tangga hotel di Petaling Jaya.

Jika kita melihat Umno seolah-olah cukup dengan apa yang mereka lakukan, kita sebenarnya terpedaya. Umno sebenarnya masih jauh daripada berasa puas. Apa yang mereka teguk masih belum menghilangkan haus.

Kini tiba giliran PAS menerima kesan serupa. Selain Bersatu, Umno Terengganu juga sebulat suara meluluskan usul menolak kerjasama dengan PAS yang kemudiannya diikuti oleh Umno Kelantan.

Panjang kata, orang Umno di pantai Timur tahu PAS adalah rakan kongsi mereka dalam Muafakat Nasional (MN). Namun mereka juga tahu PAS tidak boleh dipercayai.

Umno menyangka mereka kini mempunyai kuasa tawar-menawa semasa berdepan Perdana Menteri yang juga Presiden Bersatu, Muhyiddin Yassin.

Berahi yang tak berkesudahan ini timbul semenjak Umno berjaya menjatuhkan Ahmad Faizal Azumu daripada jawatannya sebagai menteri besar Perak.

Ahmad Faizal bukan orang biasa-biasa. Dia merupakan timbalan presiden Bersatu sekali gus orang nombor dua Muhyiddin Yassin.

Mesej yang dihantar oleh Umno Perak itu terus sampai ke depan pintu Putrajaya.

Malah dakwaan terdapatnya usaha Bersatu untuk membeli ahli-ahli Umno menambah garam halus ke luka bernanah Umno. Ahmad Zahid pula langsung tidak menolak dakwaan Ketua Pemuda Umno Asyraf Wajdi Dusuki yang membuat dakwaan tersebut.

Semua malapetaka politik yang disenaraikan tadi adalah petanda kerajaan PN menghampiri tempoh tamatnya. Rasa meluat akar umbi Umno kini naik sampai ke kepala.

Menuntut PRU ke-15 dengan segera adalah petanda Umno semakin terdesak dan percaya dengan sifir mereka bahawa parti itu akan kembali berkuasa selepas itu.

Bersatu dan PAS hanya menjadi longgokan sampah atau bahan binaan yang menghalang laluan Umno. Biarpun Umno dilihat bersama dengan PAS dan Bersatu dalam kerajaan, sebenarnya mereka mahu bersendirian.

PN hari ini tidak selemah seperti mula-mula Muhyiddin mendakap Azmin Ali ketika dia baru menjadi perdana menteri. PN jauh lebih lemah pada hari ini berbanding hari tersebut.

PN bukan sahaja retak menanti belah, mereka sebenarnya sudah terbelah terpecah-pecah namun hanya berpura-rupa mengaku retak.


Amanah seru kerajaan PN tumpu tangani kes Covid19, henti berbalah sama sendiri

 


Amanah seru kerajaan PN tumpu tangani kes Covid19, henti berbalah sama sendiri


Bekas menteri kesihatan Dr Dzulkefly Ahmad berkata dengan kes positif melepasi 125,000, kematian melebihi 515 dan hari ini merekodkan kes terbanyak 3027, Malaysia berada dalam posisi yang amat gawat.

Ini, katanya dapat dilihat apabila kemudahan kesihatan awam khasnya hospital Covid-19 sudah hampir sarat dengan pesakit, manakala bagi mereka yang tidak bergejala tidak lagi dimasukkan ke hospital dan menjalani kuarantin di rumah.

Semalam KKM memaklumkan sistem penjagaan kesihatan awam negara sedang berada pada “tahap genting.”

Justeru, Dzulkefly menyeru kepimpinan gabungan politik negara supaya menumpukan usaha menangani pertambahan kes Covid-19.

“Berhenti berpolitik termasuk berbalah sesama sendiri dalam Perikatan Nasional, sekaligus membawa celaka dan ketidakstabilan buat rakyat dan negara,” tegasnya pada hantaran di Facebook malam ini.

Menurut Dr Dzulkefly “pemimpin negara semakin kaget dan cenderung untuk sekadar mengenakan PKP sahaja.”

“Sementara itu ada sebahagian pemimpin politik berangan-angan untuk membubarkan parlimen dan mengheret rakyat untuk berpilihan raya,” katanya.

Ahli parlimen Kuala Selangor dan pemimpin Amanah itu mengulas kemelut antara dua parti teras utama PN, Umno dan Bersatu.

 

Mesyuarat MT Umno yang dipengerusikan presidennya Ahmad Zahid Hamidi malam tadi memutuskan untuk membawa usul masalah hubungan tegang parti itu dengan Bersatu dalam perhimpunan agung Umno, yang dijadual 31 Januari ini.

Ketua Penerangan Umno Shahril Hamdan berkata, MT mengambil keputusan itu setelah mempertimbangkan usul yang dikemukakan oleh 189 daripada 191 bahagian parti.

Menurut laporan, sebanyak 189 bahagian Umno membuat keputusan untuk menolak kerjasama dengan Bersatu dalam mesyuarat bahagian masing-masing.

Bagaimanapun bekas setiausaha agung BN, Annuar Musa berkata dia mendapat maklumat hanya 99 bahagian yang menolak kerjasama dengan parti serpihannya itu.

Selain itu, terdapat gesaan yang kuat supaya PRU15 diadakan segera daripada pemimpin Umno.

Sementara itu, Dr Dzulkefly juga mengulas surat terbuka kepada Perdana Menteri Muhyiddin Yassin yang ditandatangani lebih 40 pakar perubatan negara.

 

“Surat terbuka ini sememangnya tepat dan wajar untuk perdana menteri kelapan bertindak!

“10 pelan tindakan kritikal yang disarankan dalam surat terbuka ini adalah amat mustahak dilaksanakan segera,” katanya lagi.

Menurut surat terbuka itu, pakar-pakar mengambil maklum “pengurusan pandemik Covid-19 negara memberi gambaran yang suram dan tidak terkawal.”

“Walaupun dijalankan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan intervensi kesihatan yang lain, laporan harian kes masih tidak menunjukkan tren penurunan.

“Kadar Insiden Terkumpul (bagi setiap 100,000 penduduk) dan Kadar Kebolehjangkitan (kes aktif bagi setiap 1,000 penduduk) tidak melandai, dengan Kadar Kebolehjangkitan berada pada tahap 0.879 bagi setiap 1,000 penduduk.

“Ini bermaksud antara 8 hingga 9 orang telah dijangkiti untuk setiap 10,000 orang,” kata mereka.

Lantaran itu, pakar-pakar ini mengusulkan sepuluh tindakan yang boleh dilakukan kerajaan, antaranya dengan memindahkan semua pesakit bukan Covid-19 ke hospital kerajaan dan swasta yang tidak merawat pesakit Covid-19.


Banjir di Maran ibarat tsunami, paling buruk dalam tempoh 20 tahun

 Bernama

Banjir di Maran ibarat tsunami, paling buruk dalam tempoh 20 tahun
Taman Maran Jaya yang dihuni 1,300 orang daripada 302 keluarga itu antara lokasi dilanda banjir buruk di negeri ini. - Gambar fail
MARAN: Ibarat tsunami. Itu antara ungkapan rata-rata penduduk di Taman Maran Jaya, di sini, apabila rumah mereka mengalami kerosakan dan dipenuhi lumpur susulan dilanda banjir teruk Ahad lepas.
Aini Shamsudin, 57, berkata beliau sama sekali tidak pernah menjangkakan air akan naik sehingga ke paras bumbung rumah dan menenggelamkan segala kelengkapan miliknya di rumah teres satu tingkat itu.
Ibu kepada empat anak itu berkata kejadian seumpama itu merupakan yang pertama sejak beliau menetap di kawasan perumahan berkenaan 20 tahun lepas.
"Kami sudah biasa dengan banjir, boleh dikatakan tujuh tahun sekali pasti akan jadi banjir besar tetapi belum pernah air naik mencecah sehingga ke bumbung rumah, ini baru pertama kali.
"Ketika kejadian saya di kampung dan bergegas untuk pulang pada hari yang sama tetapi terkandas kerana jalan tutup...bila tiba di rumah ia seolah-olah berlaku tsunami kecil," katanya kepada Bernama.
Sementara itu, anak sulungnya Mohammad Hanif Mohd Nazam, 26, berkata banjir mula pulih pada Isnin petang, namun keadaan rumah yang diselaputi lumpur menyukarkan mereka untuk membersihkan rumah.
"Lumpur sangat tebal mencecah buku lali saya, kerja-kerja membersih sudah tentu mengambil masa, cuma kami kini bimbang air naik semula sebab masih hujan di kawasan ini," kata anggota polis itu.
Bagi pesara Mohamad Nasik Deraman, 62, mesin basuh miliknya dihanyutkan arus kira-kira satu kilometer dari rumah dan beliau hanya sempat menyelamatkan kereta dan sebuah motosikalnya pada hari kejadian.
"Banjir terburuk yang pernah saya alami pada 2014, iaitu air hanya setakat pinggang saya yang mempunyai ketinggian 178 cm, tetapi kali ini sehingga paras bumbung, memang kami tak sangka langsung," katanya.
Taman Maran Jaya yang dihuni 1,300 orang daripada 302 keluarga itu antara lokasi dilanda banjir buruk di negeri ini dan tinjauan Bernama mendapati penduduk di kawasan itu sedang membersihkan kediaman masing-masing dengan mengalihkan barang-barang rosak dibantu rakan sekerja dan keluarga.
Nasihat TNB | Jauhi tiang & kabel elektrik ditenggelami air
-- BERNAMA

Generasi KEADILAN Malaysia Bantu Tawan Kawasan Pengkhianat

Melaknat pemimpin Melayu bergaduh

 


Jika kita menonton sidang media Annuar Musa yang memperihalkan kekacauan dalam Umno, dan bagaimana ia melibatkan pula PPBM dan PAS; kita akan mengesan beberapa perangai ahli politik Melayu. Satu kata kunci yang paling pejal dan tembam timbul daripada sidang beliau itu ialah ‘Pemimpin Melayu Tidak Mempedulikan Rakyat Bawahan’. Atau saya boleh menghujahkan pula begini, ‘Rakyat Dijadikan Tebusan dan Kepungan’.

Maka orang ramai bertanya kepada saya, “Emang beginikah perangai pemimpin Melayu?”

Saya harus memberikan jawapan yang agak mendukacitakan, “Ya selalunya, malah mungkin hampir setiap kali memang begini”.

Saya boleh membawa banyak bukti pemimpin Melayu menjadikan kita rakyat sebagai lapik kaki mereka. Untuk itu kita wajar melihat perangai Melayu, khususnya dari Pantai Timur. Sangat pula berkebetulan Annuar Musa dan Abdul Hadi Awang
misalnya berasal dari Kelantan dan Trengganu.

Ketika Munshi Abdullah belayar ke Kelantan, pada hujung abad ke-19; salah satu yang dikesani oleh Munshi ialah orang Melayu suka bergaduh. Dalam hal ini berperang. Pemimpin Melayu jika berperang, mereka tidak sanggup berbunuhan sesama sendiri. Pemimpin sayang nyawa mereka. Mereka cintai dunia. Mereka tidak mahu mati, yang diserahkan untuk mampus ialah rakyat. Haram jadah rakyat.

Jika kita merenung episod pertemuan Grandpre dengan Raja Bendahara Kelantan (terdapat perang saudara) termuat dalam Kisah Pelayaran Abdullah ke Kelantan, kita akan menemukan pemimpin Melayu tidak segan silu untuk “mengepung”, kemudian “mendera” orang tidak bersalah, dalam hal ini rakyat, sehingga menderita. Apabila Grandpre memohon agar suratnya disampaikan kepada Yang Dipertuan Kelantan, Raja Bendahara menjawab begini:

“Maka titah raja itu: ‘Tiada kita benarkan dan tiada kita beri izin, kerana bukannya dia empunya surat ini dan bukan ia Yang Dipertuan Kelantan; lagipun segala sungai sudah kita suruh tutup dan segala jalan pun sudah kita bebat; maka orang itu semuanya sudah terkepung, dan sehelai sirih seringgit tiada boleh dapat dan segala makanan pun tiada’. Maka semuanya orang itu seperti orang mati, tiada ia mengenal manusia lagi; barang siapa lalu ditembaknya; dan kalau tuan-tuan mati salah seorang ditembaknya kelak bukankah kita mendapat celaka kepada Tuan Bonham.”

Apakah punca pertelingkahan dan perang ini? Kuasa.

Jawapannya kuasa. Seperti dirakamkan perbualan Raja Bendahara dengan rombongan Munshi dan Grandpre, semuanya adalah kuasa. Dalam bahagian lain dihuraikan perebutan kuasa ini:

“Dan lagi, dengarlah Tuan Sayid, tatkala marhum ayah saya hendak mangkat, seorang pun tiada dijadikannya gantinya dalam sekalian berempat anak laki-laki melainkan pesannya: ‘Berperanglah engkau sekalian; barang siapa yang menang, ialah yang menjadi Yang Dipertuan di Kelantan ini. Maka aku pun demikian juga dahulu; sebab gagahku dan beraniku, maka aku menjadi raja di Kelantan ini’. Hatta maka marhum pun mangkatlah setelah itu, maka dalam sekalian bersaudara muafakatlah. Maka dijadikan dia raja dalam negeri ini.

“Maka ia memberi gelar akan saya Bendahara dan akan saudara saya yang tengah Temenggong dan seorang lagi Raja Kampung Laut. Maka sekarang inilah balasnya. Maka saya pun tiada mahu nama Bendahara; dan ia pun bukannya Yam Tuan. Maka sekarang barang siapa yang beruntung ialah mendapat kerajaan Kelantan ini.”

Dalam kisah yang sama kita juga akan menemukan pada perbualan Tuan Haji Terengganu dengan gelar Panglima Besar kepada Munshi, di mana Tuan Haji ini mengakui pembesar Melayu memang suka berperang dan tidak mempedulikan rakyat. Mereka sanggup membiarkan hidup rakyat itu nestapa berbanding memberdayakannya.

Oleh itu memang jadah sangatlah Muafakat Nasional, atau Perikatan Nasional atas nama Melayu. Kelekatan Islam itu hanya pelekat liplap tipuan. Ini kerana, untuk rekod; Melayu Islam tidak boleh duduk satu jong melainkan bertengkar, bertekak, dan akhirnya berperang. Pun ketika mereka berperang, mereka mengelakkan mati; yang nanti akan disorong ke tengah untuk mati disembelih ialah rakyat.

Adalah melucukan sekali jika ada dalam kalangan kita masih mempercayai pemimpin politik Melayu ini. Mereka tiada nilai. Tiada harga diri. Ini bukan saya yang cakapkan, ini malah disebut oleh tuanku Sultan Nazrin ketika menegur perangai pemimpin Melayu di Perak. Apa titah baginda?

“Doa rakyat yang merasakan diri mereka teraniaya tidak ada dinding untuk dimakbulkan Ilahi, janganlah rakyat dianiayai kerana dipengaruhi emosi berdendam dan pemikiran politik yang jumud.”

Jadi tuanku Sultan Nazrin yang memakai kata jumud itu. Bukan saya. Maka bukanlah sangat keterlaluan jika kita mengatakan pemimpin Melayu itu tidak minat untuk melindungi kita rakyat, bahkan mereka memang sangat suka menghukum dan menindas rakyat. Waima parti Melayu apa pun mereka. Ini mendorong Sultan Nazrin bertitah:

“Sama ada diwakili oleh ADUN PN atau PH, sama ada orang Melayu, Orang Asli, orang Cina, dan orang India, begitu juga penganut Islam, penganut Kristian, penganut Hindu, dan pengikut Buddha, serta yang berpegang kepada pelbagai kepercayaan, mempunyai keperluan yang sama, menanggung penderitaan yang sama, memiliki harapan yang sama, menagih perhatian yang sama. Semua rakyat di negeri ini, Melayu, Orang Asli, Cina, India; Islam, Kristian, Hindu dan Buddha, ialah makhluk ciptaan Ilahi; semua mereka rakyat Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Perak; semuanya mahukan sebuah negeri yang aman lagi makmur, dengan pemerintahan yang melaksanakan keadilan dan membina kerukunan, agar rakyat hidup dalam semangat saling menghormati penuh harmoni.”

Oleh itu, kita boleh menonton Annuar Musa mengata Ahmad Zahid. Kita juga boleh menonton kisah entah betul entah tidak ahli UMNO dibeli supaya menjadi ahli PPBM. Kita juga boleh menonton khabar angin parti UMNO akan diharamkan. Kita boleh menonton semua. Kita seronok menonton tetapi waspada. Yang mati nanti kita, rakyat. Pemimpin akan hidup seribu tahun lagi.

Barang diingat pemimpin ini tidak akan mati. Berapa banyak kes mereka digusurkan tetapi berapa banyak juga digugurkan. Anak-anak mereka boleh bermaharajalela menyorong resume dengan isyarat bin atau binti siapa. Demikian pemimpin Melayu. Jadah. Haram jadah. Sangat.

Janganlah percaya segala apa yang kita tonton seminggu dua ini. Jika Munshi hidup kembali dan menolong catat dalam pojok di Free Malaysia Today seperti hari ini, Munshi akan mengingatkan pembaca sekalian apa yang saya nyatakan di sini: Pemimpin tidak peduli. Mereka ingin melihat kita rakyat mampus. Dalam hati mereka malah menyeru, boleh pergi mati.

Duhai anak-anak di pusat perlindungan bencana yang mana berlaku kerana tangan pemimpin rakus membalak; duhai anak-anak yang tercicir pelajaran kerana peningkatan kes Covid-19 ekoran ketidakcekapan pemimpin dan kegilaan mereka kepada kuasa; marilah sama-sama kita melaknat pemimpin Melayu dulu dan kini yang membuat kita merana.

Kita laknat mereka sama-sama. Kita laknat.

Laknat daripada kita untuk mereka.

Laknat.