Pindah Hati Bayi: PM Anwar Ucap Tahniah Kepada PPUM

 


Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan kejayaan bersejarah PPUM itu jelas mencerminkan tahap kepakaran, profesionalisme serta dedikasi tinggi warga kesihatan negara lada 4 Januari 2026. Foto X Anwar Ibrahim

KUALA LUMPUR, 4 Jan – Datuk Seri Anwar Ibrahim mengucapkan tahniah atas kejayaan pasukan perubatan Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) melaksanakan pemindahan hati kepada bayi berusia empat bulan, sebelum ini.

Meskipun sibuk dengan jadual padatnya sebagai pemimpin negara, namun naluri seorang bapa dan datuk, Perdana Menteri, turut ‘tersentuh’ dengan kejayaan pasukan perubatan ‘menyelamatkan’ bayi kecil berkenaan.

Menerusi hantaran di media sosial, Perdana Menteri menyifatkan kejayaan bersejarah itu jelas mencerminkan tahap kepakaran, profesionalisme serta dedikasi tinggi warga kesihatan negara.

Beliau berkata, kepakaran warga kesihatan negara jelas terbukti melalui pelaksanaan prosedur yang amat kompleks dan berisiko tinggi itu dalam melaksanakan prosedur rumit.

“Tahniah kepada pasukan perubatan PPUM atas kejayaan bersejarah melaksanakan pemindahan hati kepada bayi berusia empat bulan seberat 6.2 kilogram.

“Ia mencerminkan tahap kepakaran, profesionalisme serta dedikasi tinggi warga kesihatan negara, khususnya dalam menangani prosedur yang amat kompleks dan berisiko tinggi,” katanya, di sini hari ini.

November lalu, PPUM melakukan pembedahan pemindahan hati terhadap seorang bayi lelaki yang mengalami kegagalan organ itu.

Sebelum ini, Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, dilaporkan berkata, beberapa minit sebelum prosedur bermula, jantung bayi itu terhenti secara tiba-tiba sehingga mencetuskan suasana cemas di Unit Rawatan Rapi Pediatrik PPUM.

Dr Dzulkefly berkata, pasukan perubatan kemudiannya bertungkus-lumus melakukan resusitasi dan berjaya menstabilkan kembali bayi berkenaan.



No comments: