𝗔𝗸𝗵𝗶𝗿𝗻𝘆𝗮 𝗣𝗔𝗦 𝗕𝗲𝗿𝗷𝗮𝘆𝗮 𝗠𝗲𝗺𝗲𝗰𝗮𝗵 𝗕𝗲𝗹𝗮𝗵𝗸𝗮𝗻 𝗨𝗠𝗡𝗢

M Asri M Jamil







Dr Akmal ajak UMNO dan PAS kembali bertaut. Tidak lama selepas itu, pemimpin PAS pula menyambut, siap kata, kita buat kasi jadi. Nampaknya penyatuan ini sungguh-sungguh nampak indah di poster dan ucapan. Tetapi bila melihat keadaan UMNO hari ini, soalan lain pula muncul. Siapa sebenarnya yang semakin kuat, dan siapa yang semakin hilang arah.


PAS tidak perlu pun bertempur besar-besaran. Cukup dengan imej parti suci, berprinsip dan dekat dengan agama. Dalam diam, penyokong UMNO sendiri mula memandang ke arah PAS. Tiada siapa keluar parti, tetapi undi sudah mula bergerak. UMNO masih ada bangunan, jawatan dan mesyuarat. Yang hilang ialah keyakinan.


Muafakat Nasional pernah dijual sebagai projek penyatuan ummah. Akhirnya, yang banyak untung ialah PAS. Yang banyak bergaduh ialah UMNO. Setiap kali isu penyatuan disebut, UMNO kembali berpecah kepada dua atau tiga kem. Satu kem mahu bersama PAS, satu kem tidak percaya lagi, satu kem pula hanya mengira siapa dapat manfaat.


Sementara itu, PAS terus berjalan seperti biasa. Program agama jalan, jaringan komuniti hidup, kempen berterusan. Bila musim pilihan raya tiba, mereka sudah pun berada di hati pengundi. UMNO pula masih sibuk berbincang, apakah mahu bersatu, berkawan, atau berdiri sendiri.


Ironinya, penyatuan yang dilaungkan kononnya demi Melayu, akhirnya berjaya memecahkan UMNO lebih dalam daripada lawan politik mana mana. Dan yang paling menarik, PAS tidak pernah mengaku memecahkan sesiapa. Mereka hanya senyum, angguk, dan mengatakan, kami hanya mahu menyatukan.


Kadang kadang, itulah politik. Yang kelihatan seperti menyatukan, rupanya sedang memisahkan. Yang kelihatan kalah, sebenarnya sedang menang perlahan lahan.




No comments: