KPDN ambil tindakan stesen minyak biarkan kenderaan Singapura isi RON95



Sejak semalam tersebar rakaman sebuah kenderaan bernombor plat Singapura didakwa mengisi minyak RON95 di sebuah stesen minyak di Johor.




Pemilik kenderaan didakwa menutup dua huruf pada nombor plat menggunakan pita pelekat berwarna hitam untuk mengelakkan diri tertangkap.

Susulan isu ini, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Johor telah mengambil tindakan penguatkuasaan terhadap stesen minyak berkenaan atas kesalahan dibawah Subperaturan 12A Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974, Akta Kawalan Bekalan (AKB) 1961.


Pengarahnya, Lilis Saslinda Pornomo berkata, tindakan itu dibuat selepas mendapati pengusaha stesen minyak disyaki melanggar arahan Pengawal Bekalan berhubung larangan penjualan minyak petrol RON95 kepada kenderaan bernombor pendaftaran asing.

Katanya, rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) stesen minyak berkenaan telah diambil dan semakan telah dibuat bagi membantu siasatan.


“Kita jalankan pemeriksaan dan siasatan ke atas stesen minyak berkenaan susulan aduan serta penularan video di media sosial berkaitan dakwaan pengisian minyak RON95 oleh kenderaan bernombor pendaftaran asing dengan taktik menutup sebahagian nombor pendaftaran kenderaan bagi mengelak dikesan.



“Siasatan mendapati pembelian tersebut dibuat menggunakan kaedah tanpa tunai di salah satu pam di stesen minyak berkenaan tanpa membabitkan pengesahan identiti di kaunter,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.






No comments: