BOLEHKAH KERAJAAN TIDAK MELAKSANA, MALAH MENDERHAKAI TITAH AGONG?



Sama ada kita suka atau tidak Najib Razak diberi hukuman tahanan rumah, persoalan paling besar sekarang ialah mengapa titah adendum oleh Yang di-Pertuan Agong ke-16 berkaitan perkara itu tidak dilaksanakan oleh kerajaan, malah seolah-olah disembunyikan?


Secara kasar dan di mata sebahagian besar rakyat dan orang Melayu, perbuatan tidak melaksana dan menyembunyikan titah Agong itu adalah suatu perbuatan derhaka dan tidak sepatutnya berlaku sama sekali.


Bukankah Agong merupakan ketua negara yang mana titah baginda bukan saja harus dihormati, bahkan mesti dilaksana dengan sebaiknya?


Berdasarkan afidavit Ahmad Zahid Hamidi yang setuju menjadi saksi kepada permohonan Najib untuk mengesahkan kewujudan titah adendum itu, adalah jelas beliau mengetahui mengenai wujudnya titah tersebut pada 30 Januari 2024, iaitu sehari selepas titah itu ditandatangani oleh Agong ke-16 pada 29 Januari 2024.


Timbalan Perdana Menteri itu memaklumkan beliau ditunjukkan salinan imej titah itu oleh Menteri Perdagangan, Pelaburan dan Industri, Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz yang memperolehinya daripada salinan asal yang ditunjukkan oleh Agong ke-16 kepadanya.


Ini bermakna, seawal hanya sehari selepas titah adendum untuk membenarkan Najib diberi tahanan rumah ditandatangani oleh Agong ke-16, sekurang-kurangnya dua menteri kabinet kerajaan madani pimpinan PMX mengetahui kewujudannya.


Sama ada Zahid Hamidi atau Tengku Zafrul, oleh kerana mereka mengetahuinya, kenapa mereka tidak memaklumkan mengenai wujudnya titah adendum itu kepada PMX atau membangkitkannya dalam mesyuarat kabinet?


Dalam kenyataan media Lembaga Pengampunan pada 2 Februari 2024 berhubung permohonan pengampunan Najib, apa yang disebut hanyalah pengurangan hukuman penjara kepadda Najib daripada 12 tahun kepada 5 tahun dan denda RM210 juta diturunkan kepada 50 juta.


Tidak disebut sama sekali mengenai titah membenarkan Najib diberi tahanan rumah.


Kemudian, pada 2 April 2024, Najib memfailkan semakan kehakiman di mahkamah untuk mengesahkan kewujudan titah adendum oleh Agong ke-16 itu, seterusnya memohon kesemua atau salah seorang daripada tujuh responden yang disamannya agar melaksanakan titah tersebut.


Mereka yang dinamakan sebagau responden dalam saman Najib ialah Menteri Dalam Negeri; Komisioner Jeneral Penjara; Peguam Negara; Lembaga Pengampunan bagi Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya; Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) (Undang-Undang dan Reformasi Institusi); Ketua Pengarah Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang di JPM dan Kerajaan Malaysia.


Susulan saman difailkan Najib yang mengejutkan banyak pihak itu, Menteri Dalam Negeri, Saifuddin Nasution Ismail dalam responnya pada 4 April memberitahu media, beliau tidak pernah melihat dan tiada maklumat sama ada titah adendum itu wujud atau sebaliknya.


“Saya tiada maklumat berkaitan dokumen tambahan, dia (pihak Najib) kata dia ada. Sebab itu saya kata, saya akan teliti setakat mana yang ada pengetahuan kepada kita,” ujar Saifuddin lagi.


Berdasarkan rentetan peristiwa di atas, ia menunjukkan Najib memfailkan semakan kehakiman di mahkamah untuk mengesahkan kewujudan titah adendum setelah lebih dua bulan Zahid Hamidi mengetahui kewujudan titah Agong ke-16 sebagaimana ia dimaklumkan kepadanya oleh Tengku Zafrul pada 30 Januari 2024.


Dalam hal ini, siapa yang memberitahu Najib atau peguam Shafee Abdullah mengenai wujudnya titah adendum itu?


Najib tidak mungkin berani membawa ke mahkamah perkara ini, melainkan beliau telah diberi maklumat yang cukup sahih tentang wujudnya titah adendum oleh Agong ke-16 itu.


Adakah maklumat itu daripada Zahid Hamidi atau Tengku Zafrul?


Jika Zahid Hamidi atau Tengku Zafrul yang menyampaikan maklumat itu kepada Najib, kenapa ia tidak disampaikan kepada PMX dan kabinet?


Logiknya, kalau kabinet diberitahu tentang wujudnya titah adendum itu, agak mustahil bila mana Saifuddin pada 4 April mengatakan beliau tiada maklumat mengenainya.


Ataukah maklumat mengenai wujudnya titah adendum itu hanya diberitahu, sama ada oleh Zahid Hamidi atau Tengku Zafrul, hanya kepada PMX dan tidak kepada kabinet?


Jika itu yang berlaku, mengapa PMX tidak berusaha melaksanakan titah adendum oleh Agong ke-16 itu?


Kenapa sampai Najib membawa ke mahkamah untuk mengesahkan kewujudannya?


Daripada aspek yang lain, apabila Agong ke-16 menitahkan agar Najib diberi tahanan rumah melalui satu titah adendum atau tambahan, sudah tentulah titah tersebut dikeluarkan dengan tujuan khusus agar kerajaan melaksanakannya.


Ertinya, titah tersebut tidak mungkin disimpan begitu saja dalam peti besi di Istana Negara atau di mana-mana Istana di mana Sultan Abdullah atau Agong ke-16 bersemayam, sebaliknya ia mestilah dihantar kepada pihak kerajaan agar ia dapat dilaksanakan.


Sekali lagi timbul persoalan, mengapa titah Agong itu tidak dilaksanakan, malah seperti disembunyikan?


Seterusnya, bolehkah titah Agong tidak dilaksana dan diderhakai oleh kerajaan?


Mewakili dan bersama rakyat Malaysia yang tetap setia kepada Raja, saya juga inginkan jawapan daripada kerajaan madani mengenai persoalan ini. – ShahbudinHusin 18/04/2024.


https://shahbudindotcom.net/2024/04/18/bolehkah-kerajaan-tidak-melaksana-malah-menderhakai-titah-agong.html



No comments: