Dalam isu semakan kehakiman yang difailkan oleh Najib Razak untuk mencabar kewujudan satu titah tambahan yang dikatakan telah diperkenan oleh Yang di-Pertuan Agong ke-16 supaya bekas Perdana Menteri itu menjalani baki enam tahun penjara di bawah tahanan rumah, secara mudah difahami ia adalah saman yang dikemukakan terhadap kerajaan.
Ini berikutan pihak yang dinamakan dalam senakin kehakiman Najib itu ialah Menteri Dalam Negeri; Komisioner Jeneral Penjara; Peguam Negara; Lembaga Pengampunan bagi Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya; Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) (Undang-Undang dan Reformasi Institusi); Ketua Pengarah Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang di JPM dan Kerajaan Malaysia.
Maka, bagaimana seorang Timbalan Perdana Menteri, Ahmad Zahid Hamidi boleh bersetuju untuk menjadi saksi dan membuat afidavit sokongan kepada permohonan Najib itu?
Tidakkah perbuatan Zahid Hamidi setuju menjadi saksi seolah-olah beliau telah bertindak menentang kerajaan yang dianggotainya sebagai menteri kabinet?
Ini tata kelola jenis apa namanya?
Selain itu, menerusi afidavit yang diikrarkan Zahid Hamidi pada 9 April lalu, Timbalan Perdana Menteri itu berkata, beliau dimaklumkan mengenai kewujudan titah adendum itu oleh Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz ketika pertemuan mereka di rumahnya di Country Heights pada 30 Januari lalu.
“Apabila saya menyoal lebih lanjut, beliau (Tengku Zafrul) menunjukkan kepada saya salinan titah adendum itu yang tersimpan pada telefonnya yang beliau ambil gambar dan imbas sendiri daripada salinan asal seperti yang ditunjukkan kepadanya oleh Yang di-Pertuan Agong ke-16 (Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah).
“Kandungan titah adendum itu secara jelas menyatakan bahawa pemohon (Najib) dibenarkan untuk menjalani hukumannya yang dikurangkan kepada tahanan rumah dan bukannya secara pemenjaraan seperti sekarang di Penjara Kajang.
“Saya juga melihat titah adendum itu bertarikh 29 Januari 2024 yang mempunyai meterai dan tandatangan Yang di-Pertuan Agong ke-16.
“Saya seterusnya mengesahkan bahawa titah adendum itu adalah tulen dan sebenarnya adalah Titah Prerogatif Diraja sama seperti Titah Utama,” demikian kata Zahid Hamidi dalam afidavitnya kepada mahkamah.
Dalam hal ini, berdasarkan afidavit Zahid Hamidi itu, adakah Tengku Zafrul telah menunjukkan titah adendum yang gambar atau salinan imejnya ada disimpan dalam telefon bimbitnya itu kepada PMX atau memaklumkannya kepada kabinet terlebih dahulu?
Jika tidak, kenapa ia mesti ditunjukkan kepada Zahid Hamidi yang merupakan hanya pemimpin nombor dua dalam kerajaan?
Lagi pula, berdasarkan hakikat beliau menunjukkan gambar atau salinan titah adendum itu pada 30 Januari itu hanya sehari selepas mesyuarat Lembaga Pengampunan diadakan pada 29 Januari, nampaknya pantas sungguh Tengku Zafrul menyampaikan maklumat yang diperolehinya kepada Zahid Hamidi.
Apa muslihat Tengku Zafrul dalam hal ini?
Dalam pada itu, oleh kerana disebutkan bahawa Tengku Zafrul yang memiliki gambar atau salinan imej titah adendum tersebut melalui apa yang didakwa telah ditunjukkan oleh Agong ke-16 kepadanya, mengapa tidak Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri itu sendiri yang diminta oleh Zahid Hamidi untuk menjadi saksi dan mengemukakan afidavit bagi permohonan semakan kehakiman yang difailkan Najib?
Kenapa mesti Zahid Hamidi selaku Timbalan Perdana Menteri dan Presiden UMNO pula yang setuju menjadi saksi dan mengemukakan afidavit ke mahkamah?
Komplot terlindung apa yang cuba dirancang Zahid Hamidi dan UMNO dalam permainan ini?
Adakah PMX sudah cukup awas dan berjaga-jaga membentengi kedudukannya sekarang ini? – ShahbudinHusin 17/04/2024.
https://shahbudindotcom.net/2024/04/17/apa-komplot-umno-dalam-isu-semakan-kehakiman-najib-kenapa-zahid-hamidi-setuju-jadi-saksi-dan-adakah-tengku-zafrul-tunjuk-titah-agong-itu-kepada-pmx.html