Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan kerajaan telah membuat keputusan supaya pencen dan pencen terbitan bagi bulan Julai hingga Disember 2023 dibayar menggunakan amaun pencen asal selaras dengan keputusan Mahkamah Persekutuan.
Melalui
satu kenyataan beliau yang juga Menteri Kewangan berkata, keputusan itu dibuat
susulan keputusan Mahkamah pada 27 Jun lalu memutuskan bahawa Seksyen 3 dan 7
Akta Penyelarasan Pencen (Pindaan) 2013 [Akta A1447] adalah tidak sah.
Ia
bermakna undang-undang sebelum pindaan adalah terpakai dengan sendirinya bagi
tujuan penyelarasan pencen.
"Kerajaan
membawa isu ini dalam Mesyuarat Jemaah Menteri bagi mencari jalan penyelesaian
untuk memastikan kebajikan pesara terus terbela.
"Kerajaan
sentiasa menghargai sumbangan pesara semasa berkhidmat dan prihatin dengan
kebajikan pesara dalam situasi sekarang. Kerajaan juga akan mengkaji semakan
gaji perkhidmatan awam dan ia akan turut melibatkan pesara-pesara perkhidmatan
awam," kata Anwar.
Mengulas
lanjut beliau turut menjelaskan, bagi pegawai awam yang bersara sebelum 2013
bayaran pencen dikembalikan kepada amaun Disember 2012 dan pegawai awam yang
bersara mulai 2013 pula, bayaran pencen dikembalikan kepada amaun asal semasa
bersara.
Manakala
perbezaan amaun pencen semasa dengan amaun pencen asal terus dibayar dalam
bentuk bantuan khas yang dinamakan sebagai Penghargaan Khas Kepada Pesara
(PKKP) bagi memastikan amaun yang diterima oleh pesara sama seperti amaun
pencen semasa iaitu amaun pencen pada Jun 2023.
"Penyelarasan
pencen akan dilaksanakan mengikut peratusan kenaikan yang telah ditetapkan
selaras dengan Akta Penyelarasan Pencen 1980 [Akta 238].
"Hasil
keputusan ini diharap dapat memberikan impak positif kepada kakitangan awam,
pesara-pesara perkhidmatan awam dan kerajaan," katanya melalui kenyataan
tersebut.