Menteri Pertanian arah siasat 'memo' naik harga telur


 Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) Datuk Seri Mohamad Sabu memaklumkan bahawa arahan telah diberikan agar siasatan dilakukan terhadap dakwaan berlaku kenaikan harga telur oleh beberapa pembekal.


Mohamad berkata pihak kementerian akan memberikan maklum balas dengan segera sebaik saja isu berkenaan dapat dikenal pasti.


"Saya telah mengarahkan Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) menyiasat aduan ini dan memberikan maklum balas segera mengenai aduan tersebut.


"Saya juga telah meminta KPKM berhubung dengan persatuan penternak ayam untuk mendapatkan maklum balas yang sama," katanya dipetik malaysiakini.

Portal itu mendakwa melihat memo daripada sebuah ladang pembekal telur bahawa harga telur akan dinaikkan sebanyak RM0.60 bagi setiap papan.


Walau bagaimanapun menurut laporan itu, seorang pemain industri pembekal dan pemborong telur yang tidak mahu dinamakan tidak menolak kemungkinan memo daripada pihak pengurusan ladang itu palsu.


Ini jelasnya kerana walaupun negara masih berdepan isu kekurangan bekalan telur, namun kerajaan tetap melakukan pemantauan rapi supaya harga barang keperluan itu tidak meningkat.


"Kita masih sedang menghadapi kekurangan telur tetapi kerajaan memantau rapi harganya.


"Maka mustahil bagi ladang menaikkan harga telur. Ini mungkin kerja kartel telur," katanya merujuk tindakan pihak tertentu yang membeli telur dari ladang dengan kuantiti melebihi keperluan mereka untuk memanipulasi harga pasaran.


Untuk rekod, kerajaan baru-baru ini mengumumkan pelanjutan subsidi kepada penternak ayam dan pengeluar telur ayam hingga Disember ini pada kadar 80 sen sekilogram (kg) bagi ayam dan 8 sen sebiji bagi telur.

Ia bagi memastikan industri ayam dan telur terus berdaya tahan dan pada masa yang sama memastikan kesejahteraan rakyat.



No comments: