Persenda Sultan Selangor: Ambil tindakan tegas terhadap Sanusi - KEADILAN Shah Alam


Kenyataan Menteri Besar (MB) Kedah Datuk Seri Sanusi Md Nor dalam ceramah yang mempersenda Sultan Selangor sewajarnya diambil tindakan tegas sebagai amaran terhadap mana mana ahli politik agar tidak lagi menggunakan isu kaum, agama dan raja (3R) dalam kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Ogos ini.



Sehubungan itu, Ketua Penerangan KEADILAN Shah Alam, Suryamuizzudin Kamarudin pagi ini membuat laporan polis ke atas Sanusi di Balai Polis Seksyen 9, Shah Alam susulan ucapan MB baru baru ini.



Ucapan Sanusi tersebut katanya telah dimuatnaik di banyak saluran media sosial seperti YouTube, TikTok, Facebook serta Twitter dan memberi kesan memperlekehkan wewenang serta pertimbangan Sultan Selangor dalam urusan pelantikan Menteri Besar.



"Sebagaimana yang kita semua sedia maklum, enam negeri termasuk Selangor bakal mengadakan pilihanraya pada 12 Ogos akan datang dan ketika ini pelbagai parti-parti politik mengadakan program ceramah dan kempen penerangan.



"Namun demikian, pentas ceramah politik tidak seharusnya menjadi saluran untuk menghambur serangan, penghinaan dan pelecehan terhadap institusi diraja termasuklah wewenang sultan.



"Ucapan Muhammad Sanusi ini secara terang bersifat menghina Sultan Selangor dan tidak dapat diterima oleh rakyat Selangor yang kasih dan menghormati institusi diraja di negeri ini.



"Oleh itu, KEADILAN Shah Alam menggesa pihak berkuasa segera menyiasat serta mengambil tindakan tegas terhadap Sanusi yang saban hari menjadikan pentas ceramah Perikatan Nasional untuk menghambur penghinaan terhadap pimpinan negara serta menyemai perpecahan di kalangan rakyat menerusi kenyataan beliau yang bersifat perkauman serta menunggang ajaran Islam," katanya.



Menurut Suryamuizzudin lagi, KEADILAN Shah Alam juga mendukung pendirian tegas Kerajaan Perpaduan sebelum ini dalam usaha menangani kelompok-kelompok bejat yang menggunakan isu-isu 3R untuk mencapai tujuan politik sempit mereka.



"Kami berharap pendirian tegas Kerajaan Perpaduan ini dapat diterjemahkan dalam bentuk tindakan dan penguatkuasaan undang-undang yang tuntas dan bukan sekadar menanam tebu di tepi bibir.



"Negara ini tidak boleh dibiarkan musnah dek kerana politik perpecahan yang cuba dianjurkan oleh pemimpin Perikatan Nasional," katanya.