Sanusi oh Sanusi…apa nak jadi dengan hang ni?
Selama ini ramai yang menganggap Menteri Besar Kedah, Sanusi Mohd Nor sebagai pemimpin yang berani, hebat dan begitu menghiburkan ketika berceramah.
Ketika berceramah, ada saja lawak jenaka dan mereka yang ditibainya pun banyak dalam bentuk lawak jenaka juga.
Tetapi, sesiapa yang mendengar ceramah beliau baru-baru ini yang memperlekeh Sultan Selangor dalam isu perlantikan Amirudin Shari sebagai Menteri Besar pada 2018 lalu, rata-ratanya kini mula mengubah fikiran mereka.
Ucapan beliau yang memperlekeh Sultan Selangor itu adalah suatu kebiadapan yang melampau, apa lagi tindakannya membandingkan dengan Sultan Kedah yang didakwanya lebih hebat yang tidak mungkin melantik pemimpin “cokia” seperti Amiruddin sebagai Menteri Besar.
Apa hak Sanusi mempertikaikan Sultan Selangor, sedangkan kuasa melantik Menteri Besar adalah hak mutlak dan kebijaksaan baginda selaku negeri?
Selain itu, dengan menyifatkan Amirudin sebagai pemimpin tak cukup inci atau pendek, Sanusi juga secara nyata melakukan penghinaan atas sesuatu ciptaan Tuhan.
Walaupun menarik balik kata-kata tak cukup inci itu, perbuatan Sanusi tetap tidak boleh diterima kerana beliau adalah pemimpin negeri dan tidak seharusnya begitu celupar menghina bentuk tubuh seseorang bila bercakap di depan khalayak yang terbuka.
Sedarkah beliau, kalau mahu dikira tak cukup inci, siapa lebih tinggi antara Amirudin dengan Tuan Ibrahim Tuan Man, Timbalan Presiden Pas sendiri?
Kenapa juga Sanusi hanya menarik balik kata-kata tak cukup inci yang ditujukan kepada Amirudin saja, tetapi tidak menarik balik perlekehannya terhadap Sultan Selangor?
Dalam ceramah beliau itu, sekurang-kurangnya ada tiga kesalahan telah dilakukan oleh Sanusi.
Pertama, beliau secara terang-terang telah menyentuh isu berkaitan 3R (Raja, Kaum dan Agama) secara tidak bertanggungjawab, biadap dan melampau.
Kedua, menghina fizikal individu lain secara terbuka dan sengaja.
Ketiga, menghina sesuatu ciptaan Tuhan kerana sama ada pendek, tinggi, hitam, putih atau apa juga rupa bentuk seseorang itu, ia adalah ketentuan serta rahsia tentang kebesaran-Nya yang kita sebagai manusia adalah berdosa menghinanya.
Dengan tiga kesalahan tersebut, pihak berkuasa wajar mengambil tindakan sewajarnya terhadap Sanusi.
Kalau orang biasa didapati menghina Sultan atau Raja, mereka pasti akan didakwa di mahkamah dan dalam kes Sanusi ini, pihak berkuasa wajar lebih pantas lagi untuk bertindak.
Ini kerana sebagai pemimpin, perlekehannya terhadap Sultan lebih membawa kesan buruk berbanding rakyat biasa melakulannya.
Dan kebetulan PRN Kedah akan berlangsung pada 12 Ogos depan, berdasarkan perlakuan Sanusi yang memalukan itu, inilah masanya untuk pengundi Kedah menghukum beliau dan parti yang diwakilinya.
Kedah tidak memerlukan pemimpin seperti Sanusi yang langsung tiada adab dan budi bahasa- kepada Tuhan, Raja serta sesama manusia.
Orang Kedah wajib berasa malu daripada terus berketuakan Sanusi memimpin negeri itu.
Dalam hal ini, jika Pas dan PN mahu mengelak daripada turut terbeban dengan apa yang Sanusi lakukan, langkah paling wajar ialah dengan tidak meletakkan beliau sebagai calon Menteri Besar Kedah lagi selepas ini.
Pas dan PN, demi nama baik Kedah dan nama mereka sendiri sebagai parti yang menjaja nama Islam, hendaklah berani menggugurkan Sanusi dan meletakkan pemimpin lain sebagai penggantinya. – ShahbudinHusin 13/07/2023.
https://shahbudindotcom.net/