Pengundi perlu mengambil serius pilihan raya ini berbanding untuk tidak melibatkan diri
Kesemua enam kerajaan negeri yang akan mengundi menghadapi
gabungan isu-isu ini. Beberapa isu ini mungkin berbeza secara geografinya dalam
negeri tertentu.
Faktor lain yang saling berkaitan yang boleh mempengaruhi aliran
pengundian termasuklah kesetiaan dan ideologi politik, perbezaan kelas
sosioekonomi, jurang bandar-luar bandar, faktor umur, perkauman dan jantina.
Pengundian mengikut gender
Di dalam artikelnya
selepas pilihan raya umum tahun lalu, saintis politik Dr Bridget Welsh melihat
pengundian mengikut gender. Analisis beliau mencadangkan lebih ramai wanita
berbanding lelaki yang keluar mengundi berbanding pilihan raya umum 2018, dan
PN mengambil keuntungan daripada keadaan ini yang didorong oleh sokongan
daripada wanita, yang kebanyakannya tertumpu di kalangan wanita Melayu.
Undi daripada wanita cukup penting dalam sebarang keputusan
pilihan raya. Jika benarlah undi wanita boleh mengubah sesuatu keputusan,
bagaimana parti atau gabungan ini akan mendapat kepercayaan dan keyakinan dari
para pengundi wanita menjelang pilihan raya nanti?
Apa yang penting kepada pengundi wanita
Jadi apa yang penting kepada pengundi wanita? Ia mungkin
gabungan beberapa isu yang dibincangkan sebelum ini.
Apa pun, keputusannya mungkin bergantung kepada sejauh mana
nasib wanita dan keluarga mereka dijaga atau jenis bantuan atau peluang yang
wanita terima atau alami sejak pilihan raya negeri yang lalu.
Tetapi bagaimana pula dengan:
·
obsesi tidak berkesudahan (dan cukup memenatkan) tentang polis moral dalam
mengawal tubuh dan autonomi wanita
·
kurangnya kepercayaan dan pelaburan dalam kepimpinan politik
wanita. Lihatlah bagaimana perwakilan wanita yang kurang daripada 30% jumlah
kesemua ahli dewan negeri dan ahli Parlimen. Ini bermakna bahawa tidak cukup
wanita berada di meja utama membuat keputusan untuk mempengaruhi cara negara
atau pelbagai negeri dikendalikan, atau bagaimana dasar dilaksanakan
·
jenaka dan komen tidak sesuai dibuat
oleh ahli politik lelaki tertentu, yang mendedahkan ketidakupayaan mereka untuk
mengambil serius kedudukan wanita atau menganggap mereka sama rata
Adakah apa-apa isu ini akan membuatkan para pengundi wanita
berfikir secara berbeza tentang siapa yang akan mereka undi? Konservatisme
serta sikap memandang rendah terhadap wanita dan penyisihan wanita daripada
membuat keputusan politik adalah cukup membimbangkan dan tidak memberi petanda
baik kepada negara.
Sikap ini wujud dalam kalangan ahli politik dalam kedua-dua
kerajaan perpaduan dan juga parti gabungan PN.
Pengundi harus membangkitkan isu-isu ini, bersama-sama dengan
isu-isu serius lain, contohnya cadangan
regresif bagi meminda undang-undang kewarganegaraan sedia ada,
apabila calon-calon datang mengetuk pintu mereka untuk mencari undi.
Kebijaksanaan para pengundi
Apabila kempen bermula, calon akan menampilkan usaha dan
kejayaan kerajaan negeri dan parti politik mereka dalam mengalahkan parti lawan
mereka.
Namun, para pengundi, lelaki dan wanita, perlu arif untuk
mentafsir yang mana kaca atau permata. Mereka tidak sepatutnya menyerahkan undi
mereka dengan sia-sia atau dengan hanya janji kosong. Ramai di antara kita
sudah melaluinya banyak kali sebelum ini.
Kita boleh meneka-neka berapa banyak isu kaum dan agama yang
akan dimainkan dan apakah jenis impaknya. Kita berkali-kali ditelagahkan antara
satu sama lain oleh ahli politik yang tidak bertanggungjawab dan tidak
berprinsip yang menggabungkan dan menunggang isu kaum dan agama dan
menggunakannya sebagai seruan untuk
mendapatkan sokongan.
Ini adalah strategi untuk mengalih perhatian orang ramai
daripada isu-isu penting seperti tadbir urus yang lemah, rasuah, kos sara hidup
yang meningkat, perumahan mampu milik yang tidak mencukupi dan kekurangan
penjagaan kesihatan yang mampu dimiliki. Ia cukup tidak bertanggungjawab dan
berbahaya kerana boleh membawa kepada keganasan dan ekstremisme agama. Adakah
pengundi dapat melihat melalui semua gangguan ini?
Apabila pilihan raya semakin hampir, kita pastinya akan menerima
lebihan maklumat di media sosial. Pengundi hanya akan diberi maklumat yang
barangkali benar, separuh benar, berita palsu, ugutan atau hanya kekarutan.
Adakah pengundi akan terpalit dengan isu-isu sebegitu hanya
untuk menyedari kemudiannya bahawa laporan itu adalah berita palsu? Namun,
seringkali kerosakan itu sudah pun berlaku kerana persepsi tidak mudah diubah.
Kenyataan yang keterlaluan diikuti dengan permintaan maaf atau
menyatakan bahawa sesuatu perkara telah diambil di luar konteks sudah cepat
menjadi kebiasaan. Adakah pengundi dapat membezakan apa itu kebenaran dan
fiksyen?
Kita semua, para pengundi dan calon, perlu berwaspada dan
bertanggungjawab terhadap semua jenis maklumat yang kita kongsi, terutamanya
semasa tempoh kempen.
Harapan untuk masa hadapan
Ya, ini ‘masa yang menjanjikan’ untuk negara kita sekali lagi.
Sehinggalah pilihan raya diadakan dan keputusan akhir diketahui, spekulasi akan
terus wujud.
Namun, warga di enam negeri ini harus kekal bertenang dan, yang
penting, keluar untuk mengundi. Semoga calon-calon dan parti-parti terbaik
diundi untuk meningkatkan peluang negara untuk berjaya dalam proses pemulihan
yang tidak menentu ini.
Perjalanan penuh ranjau dan panjang menanti di hadapan.
Prema Devaraj
Editor bersama, surat berita Aliran
1 Julai 2023
Terjemahan oleh: Zikri Rahman
The
views expressed in Aliran's media statements and the NGO statements we have
endorsed reflect Aliran's official stand. Views and opinions expressed in other
pieces published here do not necessarily reflect Aliran's official position.
AGENDA RAKYAT -
Lima perkara utama
1.
Tegakkan maruah serta kualiti kehidupan rakyat
2.
Galakkan pembangunan saksama, lestari serta tangani krisis alam
sekitar
3.
Raikan kerencaman dan keterangkuman
4.
Selamatkan demokrasi dan angkatkan keluhuran undang-undang
5. Lawan
rasuah dan kronisme