Sikap ahli politik pembangkang yang mengelirukan para penyokong mereka sehingga menganggap politik menghampiri kesucian akidah amat dikesalkan.
Ketua Wanita KEADILAN Pusat, Fadhlina Sidek berkata, politik adalah satu haluan pemikiran atau ijtihad dan bukannya akidah sehingga boleh menghukum seseorang yang tidak sehaluan sebagai sesat atau sebagainya.
Beliau bimbang budaya politik melampau akan mengembalikan masyarakat ke era kafir mengkafir (takfir) pada 1980an lalu yang banyak merosakkan keharmonian.
"Politik adalah ijtihad bukan akidah. Sebab itu apabila kita menjadikan politik ini akidah maka akan lahir satu pemikiran yang dipanggil kegalauan atau dalam bahasa Arab disebut ghuluw atau ekstrem.
"Dari budaya inilah dijadikan budaya takfir dalam masyarakat. Bila tak sama pandangan itu terus dikatakan kafir. Saya ni tak tahulah berapa kali dah kafir. Maknanya sampai ke tahap itu budaya politik kita yang sangat menakutkan.
"Sebab itu Dr Taha Jabir Alwani menyebut antara penyakit berbahaya dalam kalangan umat Islam ialah perselisihan faham (tanpa adab)," katanya dalam forum terbitan Media Perpaduan bertajuk "Malaysia Di Ambang PRN 2023", malam tadi.
Menteri Pendidikan itu turut membangkitkan perlunya adab dalam berbeza pendapat atau aliran pemikiran.
Meskipun negara akan menghadapi Pilihan Raya Negeri dan pelbagai jalur pemikiran akan diketengahkan, katanya, amat penting pemimpin dan penyokong mengekalkan budaya kesusilaan dan kesantunan dalam berkempen.
Ahli Parlimen Nibong Tebal itu juga tidak mahu politik di negeri beliau, Pulau Pinang, sepanjang PRN ini berkisar isu azan tidak boleh dilaungkan, sebaliknya pembangkang perlu mempunyai pengetahuan luas dalam isu pentadbiran dan ekonomi.
"Kalau di Pulau Pinang setiap kali pilihanraya isu yang dimainkan ialah 'azan tak daq', macam mana hangpa sembahyang? Jadi maknanya apa, tak boleh bahas isu ekonomi, kemajuan, ekonomi sebab itu dia (pembangkang) serang azan sahaja.
"Kalau dia betul ... lawan idea, bukan lawan azan. Kalau ini yang diulang ulang (ertinya pembangkang) miskin idea.
"Kita suruh masuk Dewan Rakyat bahas isu polisi, masuk Dewan Undangan Negeri pun isu polisi," katanya yang juga anak kepada tokoh pemikir Islam terkemuka, Datuk Dr Sidek Fadzil.
Mengenai pengundi muda pula, Fadhlina menjawab soalan moderator dengan menekankan peri pentingnya ibu bapa mendidik anak anak mengundi kerajaan yang betul.
Katanya Undi 18 masih mempunyai keterkaitan rapat pemikiran dengan pemikiran keluarga dan tidak seharusnya dibiarkan anak anak mengundi berdasarkan pendapat kawan kawan semata mata.
"Pengaruh keluarga juga amat besar dalam pengundian kali pertama. Ada kajian menunjukkan apa ibu mereka undi akan memberikan kesan kepada mereka. Sebab itu ibu pastikan anak ini undi kerajaan yang betul demi masa depan mereka," katanya lagi.