Jet kembali mendarat di lapangan terbang Subang
Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah (LTSAAS) di Subang, Selangor akan dibangunkan semula sebagai hub penerbangan perniagaan dan aeroangkasa.
Menurut Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook kedudukan LTSAAS amat strategi memandangkan amat hampir dengan Kuala Lumpur dan di tengah tengah kawasan perniagaan di Selangor yang memudahkan urusan untuk penerbangan perniagaan.
“Dengan penuh rasa sukacita saya mengumumkan Pelan Penjanaan Semula Lapangan Terbang Subang (Subang Airport Regeneration Plan, SARP) yang disediakan oleh Malaysia Airport Holdings Berhad berasaskan hala tuju dasar Kerajaan Malaysia akan dilaksanakan.
“Pada 2 Februari lalu saya telah membentangkan SARP kepada Jemaah Menteri dan cadangan pembangunan tersebut telah mendapat kelulusan selepas mengambil kira pertimbangan yang teliti.
“Pembangunan LTSAAS akan memberi fokus kepada pembangunan Aerospace Ecosystem, General Aviation, Business Aviation dan city airport atau secondary airport,” katanya dalam sidang media hala tuju dasar LTSAAS pagi ini.
Sehubungan dengan itu, kata Loke, ekosistem yang akan dibangunkan di LTSAAS akan melibatkan tujuh komponen. Iaitu pusat industri aeroangkasa; pusat penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih; pusat penyelidikan dan pembangunan; operasi penerbangan am; operasi penerbangan bisnes; urban air mobility (UAM) dan operasi penerbangan komersial serantau.
Cadangan tersebut katanya termasuk memperkenalkan semula penerbangan berjadual serantau menggunakan pesawat jet (narrow body) sehingga pesawat penumbang besar dan belly kargo menggunakan pesawat jet di LTSAAS.
“Cadangan melibatkan usaha memperkenalkan semula penerbangan berjadual serantau pesawat jet sehingga A320/B737 atau yang seumpamanya.
“Sasaran pasaran adalah kumpulan penumpang bisnes ataupun kelas premium dengan memanfaatkan penuh kedudukan LTSAAS yang cukup strategik di tengah-tengah ibu kota negara kita.
“Penerbangan berjadual menggunakan pesawat propeller dan turboprop akan dikekalkan berikutan permintaan pasaran terhadap perkhidmatan tersebut di LTSAAS dijangka berterusan dan positif,” katanya.
Menurut Loke lagi, penambahbaikan tersebut akan memberi rangsangan kepada rantaian industri pengangkutan udara dan industri aeroangkasa selaras dengan hasrat kerajaan untuk menjadikan Malaysia sebagai peneraju aeroangkasa di rantau Asia Tenggara menjelang tahun 2030.
“Melalui SARP, LTSAAS ini bakal berubah menjadi sebuah hab penerbangan serantau dengan kapasiti maksimum seramai 8 juta penumpang setahun.
“Pertumbuhan dan perubahan wajah LTSAAS akan menjana ribuan peluang pekerjaan bernilai tinggi kepada rakyat Malaysia
“Untuk langkah seterusnya, Malaysia Airports akan merangka seluruh pelan pembangunan semula LTSAAS secara terperinci setelah mengambil kira pandangan semua pihak dalan sesi-sesi libat urus dengan sikap yang terbuka dan membina.
“Anggaran kos pembangunan semula LTSAAS dapat diumumkan selepas pelan terperinci tersebut siap dibentangkan pada masa hadapan,” katanya lagi.
Tegas Loke, pembangunan semula LTSAAS merupakan usaha murni peringkat nasional yang berlandaskan gagasan Malaysia Madani.
Dari segi ekonomi, ia akan mempercepatkan pemulihan ekonomi pasca pandemik dengan menarik pelaburan dari dalam mahupun luar negara. Manakala dari aspek kemasyarakatan pula, projek tersebut cukup bermakna dengan memberi nafas baru kepada sebuah lapangan terbang di mana ramai warga Malaysia berkongsi ingatan dan nostalgia lampau yang indah.
Ahli Parlimen Seremban itu juga menegaskan pembangunan semula LTSAAS itu akan menerapkan reka bentuk mesra alam dan infrastruktur hijau ke dalam projek pembangunan semula demi kelestarian pada masa hadapan.